Sepanjang minggu lepas beberapa isu berkenaan krisis kepemimpinan di dalam keADILan menjadi bualan hangat dan mainan propaganda semua pihak. Banyak persoalan yang dibangkitkan oleh ahli dan pendukung keADILan,khususnya di blog Sdr Anwar Ibrahim untuk mengetahui perkara sebenar khususnya di belakang isu perletakan jawatan Sdr Ezam Mohd Nor sebagai Timbalan Ketua Perhubungan keADILan Negeri Selangor merangkap Ketua keADILan Bahagian Shah Alam.
2 aktiviti yang membabitkan saya secara langsung,iaitu pertemuan kepimpinan Angkatan Muda keADILan Pusat (AMK) dan kunjungan hormat ke atas Sdr Anwar Ibrahim. Pertemuan saya bersama Barisan Exco AMK dan Sdr Ezam dilihat sebagai menunjukkan solidariti menyokong Sdr Ezam,sebagaimana yang dimainkan oleh Laman Web Umno-Reform . Pertemuan kami pada malam tersebut bukanlah atas kapasiti menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak,sebaliknya lebih kepada majlis dialog bersama Sdr Ezam untuk mengetahui hujung pangkal pendirian yang diambil oleh beliau. Sebagai Pemangku Ketua AMK,saya mengambil tanggungjawab tersebut untuk menanyakan kepada Sdr Ezam sendiri mengenai spekulasi yang timbul,dan Alhamdulillah klarifikasi diperoleh dengan baik sekali. Saya berpendapat dalam keadaan kita, khususnya keADILan sedang menjaja budaya politik baru,adalah tidak wajar untuk kita memperbesarkan krisis yang timbul, ataupun bersikap opportunist, menangguk di air keruh dengan menyokong satu-satu pihak semata.Yang perlu kita dulukan adalah solidariti parti,bukan agenda peribadi.
Pertemuan AMK Pusat bersama Sdr Anwar Ibrahim memberikan mesej jelas dalam memupuk iltizam saya,dan pastinya seluruh kepimpinan AMK Pusat. Selain menyatakan sokongan pada atas kepemimpinan Sdr Anwar,beliau turut menegaskan setiap masalah hendaklah diselesaikan dengan semangat muafakat yang tinggi.Paling penting,mesej ringkas beliau menyuntik semangat, ‘tumpu pilihanraya umum,jangan terbawa-bawa pilihanraya parti!’
Demokrasi dalam parti sewajarnya didukung oleh semua pihak.Pun begitu wajar bagi kita,sebagai barisan depan penjana budaya politik baru untuk berfikiran matang dan bertindak secara rasional.Saya kekal berpendapat,kita wajar bersikap telus dan terbuka.jangan terbawa-bawa dengan sentimen yang kekal bakal memusnahkan harapan rakyat yang kian menggunung menyandarkan harapan untuk kita memandu Malaysia ke arah sebuah negara yang lebih adil dan demokratik.
Saya teringat ungkapan popular Farah Fauzana, Pengacara Melodi, “kurangkan kontroversi, tingkatkan prestasi!”