Memorandum Bantahan Kepada Perdana Menteri Malaysia

Pemuda Barisan Alternatif (BA), Gerakan Demokrasi dan anti Korupsi (GERAK) & Institut Pengembelingan dan Pembangunan Komuniti (IMPAK) memandang serius pendedahan yang dibuat oleh Gerakan Demokrasi & Anti Korupsi (GERAK) pada 26 Februari 2007 yang lepas, di mana pendedahan tersebut berikut satu tuduhan serius yang membabitkan penyalahgunaan kuasa oleh Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Dato’ Seri Zulkipli Mat Noor.

Pendedahan yang dibuat hasil daripada satu laporan yang dibuat kepada mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Omar oleh pegawai kanan BPR sendiri, iaitu Mohamad Ramli Manan memberikan satu gambaran yang amat jelas betapa komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi yang menjadi anutan tadbirurus kerajaan iaitu untuk menghapuskan amalan rasuah dan birokrasi kian terhakis. Dalam keadaan pelbagai kemelut pentadbiran yang dibelenggu permasalahan rasuah dan etika pentadbiran melingkari pentadbiran kerajaan hari ini, pendedahan terbaru oleh GERAK ini adalah ibarat menambah bebanan kerajaan untuk terus memperbetulkan keadaan yang kian parah dan jelek, sekaligus memalitkan imej dan akauntabiliti kerajaan yang gah dengan slogan akauntabiliti dan prinsip Islam Hadhari.

Ini ditambah lagi dengan pendedahan terbaru mengenai salah laku yang membabitkan Timbalan Menteri Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, iaitu Datuk Mohd Johari Baharum yang didakwa menerima sogokan lebih daripada RM5 Juta sebagai habuan untuk membebaskan beberapa penjenayah yang terlibat dengan beberapa jenayah berat. 3 kes yang didakwa ke atas Johari adalah:

i. Di dakwa berlaku pada Januari tahun ini apabila Johari dituduh mengarahkan pembebasan seorang ketua penjenayah di Perak, yang mana ketua penjenayah ini adalah merupakan adik kepada seorang lagi Timbalan Menteri;

ii. Mengeluarkan arahan pembebasan oleh seorang suspek yang disabit atas perjudian haram di Sabah pada bulan Februari lepas. Pendedahan yang dibuat oleh freewebs.com mendakwa Johari dirasuah RM3 juta untuk mengeluarkan arahan tersebut; dan

iii. Jaminan pembebasan seorang ketua penjenayah di Perak selepas penjenayah terbabit menyelesaikan dengan Johari dengan sejumlah wang tidak kurang daripada RM2.5 juta.

Dakwaan dan tuduhan yang dibuat ke atas Johari ini adalah amat berat dan memalukan, kerana ini sedikit sebanyak menunjukkan yang Johari telah melakukan pecah amanah ke atas Perdana Menteri sendiri yang juga merupakan Menteri Keselamatan Dalam Negeri. Ini juga membuktikan yang Perdana Menteri seolah-olah hilang kawalan apabila beliau tidak maklum dengan masalah yang dilakukan oleh timbalan beliau sendiri!

Apa yang dilihat oleh kami, Perdana Menteri perlu mengambil tindakan segera dengan menggantung jawatan Ketua Pengarah BPR untuk melicinkan proses siasatan agar dengan inisiatif ini boleh mewujudkan elemen kepercayaan dan integriti di kalangan penjawat awam di Malaysia.

Meskipun beberapa pimpinan Umno/BN berpendapat bahawa adalah tidak wajar bagi Johari untuk melepaskan jawatannya atas alas an ‘man is innocent until proven guilty’, tetapi mengikut prosedur amalan biasa kerajaan, khususnya di dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998, beliau telah dipecat daripada parti dan Kerajaan meskipun pada ketika itu kes beliau baru di peringkat pertuduhan, malahan tidak pun dibawa ke mahkamah lagi pada ketika tu. Justeru apakah rasional pihak kerajaan untuk tidak mengambil tindakan yang serupa ke atas Johari dan Zulkipli yang kes kedua mereka ini adalah jauh lebih berisiko dan berat berbanding kes Datuk Seri Anwar Ibrahim?

Atas kapasiti sayap pemuda keADILan dan PAS, GERAK & IMPAK, kami mendesak Perdana Menteri, demi kepentingan negara dan demi membersihkan imej Perdana Menteri dan Kerajaan, supaya:

(i) Perdana Menteri perlu mewujudkan sebuah Suruhanjaya Bebas Penambahbaikan BPR untuk menyiasat kepincangan yang berlaku di dalam BPR itu sendiri dan juga menyiasat Standard Operation Procedure (SOP) di mana wujud kepincangan dalam sesuatu siasatan yang dijalankan oleh BPR;(ii) BPR wajar diletakkan di bawah seliaan Parlimen Malaysia, bukan di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk menjamin ketelusan penyiasatan BPR ke atas sesuatu kes, khususnya kes-kes berprofil tinggi demi menjamin integriti BPR sebagai sebuah badan yang berwibawa;

(iii) Kerajaan dengan segera memulakan siasatan terhadap tuduhan – tuduhan yang ditimbulkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang telah mendedahkan berkenaan pembelian 18 pesawat Sukhoi Su-30MK oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bernilai US$900 juta (RM3.2 bilion) yang menimbulkan persoalan serius mengenai integriti dan ketelusan urusniaga tersebut

(iv) Kerajaan mengumumkan hasil siasatan 18 kes rasuah berprofil tinggi sebagaimana yang pernah diwar-warkan oleh Datuk Seri Utama Rais Yatim. Meskipun beliau tidak lagi menjawat portfolio Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, adalah menjadi kewajipan kerajaan atas kapasiti ‘collective responsibility’ untuk mendedahkan hasil siasatan kes-kes tersebut agar ia boleh memberi penjelasan yang sahih dan mutlak kepada rakyat agar tidak menimbulkan pelbagai spekulasi atas akauntabiliti kerajaan; dan

(v) Status kes Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan juga Dato’ Seri Rafizah Abdul Aziz didedahkan kepada umum setelah sekian lamanya diperam oleh Kerajaan dan BPR.

Kami mendesak agar bantahan ini dipandang serius.

6 Mac 2007
 
 

YB. SALAHUDDIN HAJI AYUB
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat
 

SHAMSUL ISKANDAR MD AKIN
Pemangku Ketua Angkatan Muda PKR
 

MOHAMED EZAM MOHD NOR
Pengerusi Gerakan Demokrasi dan anti Korupsi (GERAK)
 

HAJI MAHFUZ OMAR
Pengerusi Institut Pengembelingan dan Pembangunan Komuniti (IMPAK)

Pengarang: Shamsul Iskandar

YB Datuk Seri Shamsul Iskandar @ Yusre bin Mohd. Akin Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya (Dikenali Parlimen Bukit Katil sebelum ini) (2013-kini) Mantan Timbalan Menteri Industri Utama (2018-2020) Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia (2018-kini) Mantan Naib Presiden KEADILAN (2014-2018) Mantan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (2007-2014)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s