Transkrip Wawancara Bersama Suara KeADILan

Selepas sebulan memangku jawatan Ketua Angkatan Muda, apa perasaan
saudara?
Ia, saya merasakan tanggungjawab itu bertambah, kerana saya melihat bahawa jawatan pemangku ini merupakan satu amanah besar dalam keadaan parti yang sedang memperkukuhkan jenteranya di semua peringkat bagi menghadapi pilihanraya umum ke 12 yang kemungkinan berlaku pada tahun hadapan.
Justeru penerimaan tanggungjawab pada tahap ini merupakan satu penerimaan yang berat dan penuh dengan risiko, tapi, sepanjang sebulan ini (Disember) saya mengambil kesempatan untuk turun ke negeri-negeri dan mendapat feedback yang positif daripada pimpinan-pimpinan pemuda dari peringkat negeri dan bahagian.
Keutamaan saya pada tahap ini adalah untuk memperkemas dan memperkukuhkan struktur kepimpinan Angkatan Muda ini supaya lebih relevan dan lebih penting.
Kerana Angkatan Muda KeADILan bukan hanya sekadar sayap tetapi merupakan tulang belakang kepada parti. Ini yang diterapkan oleh Ezam selama lapan tahun memimpin Angkatan Muda dan kini menjadi tanggungjawab saya meneruskannya.

Apakah wujud kesukaran kepada saudara untuk meneruskan kesinambungan kepimpinan dalam keadaan gaya dan pengaruh bekas Ketua Angkatan Muda Ezam Mohd Nor masih sebati dengan Angkatan Muda?

Tidak ada masalah besar dari segi kesinambungan kerana kita telah susun dengan cukup teratur supaya proses peralihan kuasa itu berjalan dengan baik dan bukan sekadar proses, tetapi asas kepada peralihan kuasa itu juga suatu yang melambangkan perubahan atau sikap reformis yang ada kepada Angkatan Muda khususnya Ezam sendiri.
Saya fikir alasan utama beliau melepaskan jawatan adalah supaya pergerakan ini dipimpin oleh kelompok yang muda yang mengambarkan inspirasi Angkatan Muda itu sendiri.
Bukan hanya retorika politik semata-mata tetapi pemimpin Angkatan Muda itu terdiri daripada mereka yang muda dan segar dari segi idealisma perjuangan, dan ini yang cuba diterapkan oleh Ezam sepanjang lapan tahun memimpin Angkatan Muda. Dan ini juga  melambangkan sikap atau jiwa reformis yang ada pada Ezam.

Dalam soal dasar dan pendekatan, gaya kepimpinan Ezam dilihat sebagai seorang yang radikal dan agresif sepanjang memimpin Angkatan Muda, jadi apakah saudara akan meneruskan gaya kepimpinan seperti Ezam itu? Atau apa pendekatan dan gaya saudara?

Saya melihat radikal dan agresif bukan sekadar pendekatan. Ia adalah suatu tradisi, tradisi Angkatan Muda ataupun kerana secara semulajadinya orang-orang muda mesti agresif dan berkemampuan melahirkan idea-idea yang segar. Justeru saya akan kekalkan tradisi tersebut cuma dari segi pendekatan pastinya ia  berbeza. Kerana pendekatan Ezam itu pendekatan ketika berlaku kegawatan politik di mana banyak banyak program-program Angkatan Muda ketika itu melibatkan mobilisasi massa secara besar-besaran.
Tetapi pada tahap sekarang ini tumpuan utama kita adalah untuk mendapat mandat daripada rakyat. Dalam ertikata lain menang dalam pilihan raya. Jadi memperkemaskan struktur Angkatan Muda di semua peringkat menjadi keutamaan kita. Misi dan visi Angkatan Muda kini jelas iaitu membantu parti menang dalam pilihanraya akan datang.

Bukan mudah untuk memang dalam pilihanraya terutamanya apabila kita berdepan dengan seluruh jentera kerajaan yang di-salahgunakan oleh Umno dan BN, apa strategi Angkatan Muda?

Saya akui bahawa di Malaysia kita bertanding bukan sahaja menentang BN tetapi seluruh jentera kerajaan termasuk media massa arus perdana. Kerana itu, Angkatan Muda membuat beberapa langkah awal termasuk mengenalpasti kekuatan dan kelemahan kita dalam pilihanraya yang lepas.
Angkatan Muda juga melancarkan program khas menghadapi pilihanraya termasuk program Jentera Angkatan Muda (JAM) iaitu pimpinan utama Angkatan Muda turun ke setiap negeri dan bertemu dengan pemimpin Angkatan Muda di peringkat bahagian di negeri tersebut. Antara penekanan utama kita adalah mendesak setiap bahagian mencari
dan mengenal pasti penyokong dan simpatisan parti untuk kita bimbing dan gilap sebagai barisan hadapan kita dalam pilihanraya akan datang. Sekarang ini, kita giat menyusun Jentera Angkatan Muda (JAM) ini supaya ianya lebih efektif dan berperanan di peringkat bawahan. Apa makna parti, jika tiada jentera yang kuat, walaupun kita ada isu
yang kuat, struktur yang baik tetapi tidak ada orang di bawah. Oleh itu Angkatan Muda sahut cabaran itu, dengan satu program yang terancang dan teratur. Dan saya percaya dengan ada program-program lain seperti Menjana Tenaga Kemenangan (MTK), Sistem Menang Pilihanraya ke 12 (SISMEP12) dan lain-lain kita berada dilandasan yang
betul untuk menghadapi BN dan jentera kerajaan yang disalahgunakannya dalam pilihanraya akan datang.

Akar umbi yang kuat merupakan antara faktor untuk menang dalam pilihanraya, boleh jelaskan di negeri mana Angkatan Muda mempunyai akar umbi yang kuat?

Kita mempunyai akar umbi yang kuat untuk menang di dalam pilihan raya
di Pulau Pinang. Saya berpuas hati dengan Angkatan Muda Pulau Pinang, yang baru-baru
ini berjaya menganjurkan Kongres Tahunan Angkatan Muda dengan jayanya. Bagi saya Angkatan Muda Pulau Pinang merupakan contoh kepada Angkatan Muda di negeri-negeri lain. Kemudian kita  kuat di Perak dan juga Selangor.
Selain itu saya sendiri tidak menolak kemungkinan Angkatan Muda Wilayah sendiri akan menjadi Angkatan Muda yang kuat, di bawah kepimpinan yang baru sekarang. Mereka telah menyusun satu program khusus mengenal pasti isu-isu yang akan dibangkitkan dalam pilihanraya ke 12 nanti. Isu tersebut pula dipecahkan kepada kawasan-kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan. Selain itu negeri Kelantan dan juga Terengganu. Baru-baru ini, Penasihat KeADILan Anwar Ibrahim turun ke Terenganu atas inisiatif Angkatan Muda Kuala Terengganu, kita lihat banyak hadirin yang datang dan menyatakan sokongan.

Dari segi kepimpinan Angkatan Muda Pusat itu sendiri, apakah akan ada
perubahan atau rombakan?

Ya saya komited pada idea perubahan dan reformasi. Kepimpinan ini perlu kita ibaratkan seperti sungai yang mengalir. Air sungai yang mengalir adalah bersih, bukannya air yang bertakung, sebab itu kita mesti positif dalam hal ini, saya sentiasa terbuka dengan muka-muka baru. Banyak emel yang saya terima dari anak-anak muda yang masih belajar di
Institut Pengajian Tinggi yang menyatakan pendirian mereka untuk masuk ke dalam parti, dan yang paling penting ialah bagaimana mereka ini boleh menyumbang pada Angkatan Muda.
Saya fikir itu perkara-perkara yang cukup positif. Saya tidak menolak untuk melakukan rombakan dalam barisan kepimpinan Angkatan Muda. Saya akan buat rombakan bila saya rasakan keadaan itu perlu. Pada waktu sekarang, saya selesa berkerja dengan pasukan yang ada, tetapi mungkin tahun depan, kita akan pastikan beberapa tokoh-tokoh
penting dalam mahasiswa akan masuk dalam senarai exco. Begitu juga agamawan-agamawan, yang sekarang ini agak kurang dalam struktur Angkatan Muda pusat. Profesional juga akan diberi ruang jika berminat. Dan sekarang ada usaha-usaha terancang untuk mengajak professional khususnya peguam untuk aktif di dalam Angkatan Muda.

Boleh saudara jelaskan mengenai kenyataan saudara yang meminta Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan anak lelaki Perdana Menteri Kamaluddin Abdullah disiasat. Boleh saudara jelaskan lebih lanjut apa dan mengapa?

Dalam banyak hal kita tengok Khairy sebagai menantu Perdana Menteri dan juga Kamaluddin tidak datang ke hadapan dan mempertahankan dirinya dari berbagai tuduhan salah laku. Mereka mengunakan bapanya (Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi) untuk berselindung di sebalik kemungkaran yang beliau lakukan. Saya katakan kemungkaran mengapa? Kerana banyak persoalan tidak dijawab dan persoalan-persoalan penting termasuk kemampuan beliau untuk meminjam RM9 juta ringgit untuk membeli saham ECM Libra. Itu tidak dijawab secara objektif. Saya cabar Khairy dan Kamaruddin, kalau benar mereka yakin betul dan benar, mereka harus jelaskan kepada orang ramai dan isytiharkan harta masing-masing. Biar BPR siasat harta-harta mereka.

Ia harus mengikut contoh bekas Ketua Pemuda Umno dahulu Anwar Ibrahim, yang pernah dikatakan rasuah. Apa tindakan Anwar?

Anwar membenarkan BPR menyiasat dan isytihar semua hartanya. Khairy patut contohi tindakan tersebut. Kerana Kamaluddin berada di peringkat kekuasaan, rakyat ingin tahu
bagaimana beliau sebagai anak muda, boleh jadi kaya dalam waktu yang cepat.
Beliau disenaraikan sebagai 10 orang Melayu terkaya pada tahun 2004, iaitu hanya setahun selepas bapanya menjadi Perdana Menteri. Kita juga nak tahu formulanya.
Yang saya nampak tidak ada formula kecuali nepotisme. Sebab itu saya mintak Abdullah berhenti bercakap soal memerangi rasuah, berhenti bercakap isu transpirasi dan berhenti bercakap keterbukaan, selagi Khairy dan Kamaluddin tidak tampil ke depan membersihkan nama mereka.

Bagaimana Angkatan Muda menilai kekuatan Abdullah dalam pilihanraya akan datang?

Saya amat positif dengan pilihan raya akan datang. Saya melihat Abdullah berada pada peringkat paling lemah. Begitu juga Umno dan BN. Cuma kelebihannya,  beliau berada di tampuk kekuasaannya dan memegang semua jentera-jentera kerajaan. Abdullah Ahmad Badawi ada mengatakan, ‘saya tidak akan menjadi Perdana Menteri satu penggal’— itu perkara yang menarik untuk kita  perhatikan.
Terdapat dua tafsiran. Pertama, dia tahu bahawa ramai pihak termasuk dalam Umno yang mengharapkan beliau hanya Perdana Menteri satu penggal dan yang kedua adalah ia merupakan satu amaran kemungkinan dia akan guna semua kuasa termasuk ISA bagi memastikan beliau kekal.

Bagaimana dengan kekuatan pembangkang pula?

Saya optimis kerana pada kali ini, pakatan antara parti-parti pembangkang dan juga NGO berada dalam keadaan yang cukup baik. Selain itu kita mempunyai banyak isu untuk digunakan bagi menyerang Umno dan BN. Contohnya isu peneroka bandar di Kampung Berembang, Kampung Chubadak dan lain-lain tempat. Mereka dihalau tanpa belas kasihan oleh BN dari tanah yang diduduki mereka berpuluh tahun tanpa pampasan dan rumah ganti. Manakala di kalangan masyarakat pertengahan pula, mereka terpaksa
berhadapan dengan inflasi yang tinggi. Dan baru-baru ini kadar tol pula meningkat.
Itu semua adalah isu-isu releven dan penting kepada rakyat. Dan saya fikir pada kali ini, rakyat akan membuka mata. Saya bukan bercakap dengan tidak mempunyai alasan, saya melihat bagaimana keupayaan kita dalam pilihanraya di Sarawak lalu, Sarawak
adalah satu situasi yang terlalu asing bagi KeADILan.
Walaupun kita ada parti di sana, tapi kita tiada penggerak-penggerak. Dan kita tidak tahu cara pemikiran rakyat Sarawak, kerana mereka tidak ada akses kepada media dan sebagainya. Tetapi mereka menunjukkan semangat untuk perubahan itu dengan baik.
Saya melihat analisa pilihan raya yang lalu, ada 20 kawasan di Sarawak yang majoritinya 1500 ke bawah. Dan itu petanda yang cukup baik bagi kita.

Saudara melihat apakah ucapan-ucapan perkauman Umno memberi kesan kepada pakatan BN dan sokongan bukan Melayu pada Umno?

Saya lihat Umno terpaksa bermain dengan isu perkauman yang sempit. Dan saya yakin itu dibuat kerana mereka sudah tidak punya harapan untuk menang di kawasan-kawasan yang majoritinya India dan Cina, sebab itu mereka terpaksa mempertahankan kawasan-kawasan kubu yang terakhir iaitu Melayu. Sebab itu di dalam Perhimpunan Agung Umno yang lalu, Umno terpaksa meyakinkan orang Melayu mereka adalah penyelamat orang Melayu. Walhal, kawasan Melayu di Kampung Berembang yang terletak tidak sampai
15 kilometer dari PWTC diruntuhkan ketika hari terakhir Perhimpunan Agung Umno.
Manakala banyak lagi isu orang Melayu tidak diselesaikan oleh Umno. Umno sebagai parti teras dalam pemerintahan Malaysia ia tidak lagi menyantuni kelompok-kelompok lain termasuk parti-parti lain dalam BN. Saya yakin kita akan saksikan undi protes yang tinggi daripada bukan Melayu terhadap Umno dan BN dalam pilihanraya akan datang.

Bagaimana hubungan saudara dengan pimpinan Pemuda dalam parti-parti
pembangkang yang lain?

Kami punyai satu wawasan yang sama iaitu menjatuhkan kerajaan yang sedia ada dan mengajak rakyat melakukan perubahan, itu saya fikir itu adalah kesepakatan di kalangan pemuda di seluruh parti pembangkang. Ia boleh dilihat baru-baru ini, bila kita buat laporan mengenai kes Zakaria Derus di Klang, diikuti langsung oleh pemuda PAS dan DAP.Begitu juga di pilihanraya Sarawak. Tidak ada pertembungan dua atau tiga penjuru parti-parti pembangkang. Maknanya sudah ada persefahaman.
Saya baru-baru ini bertemu Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub, kami berbincang untuk mempercepatkan penubuhan sekreteriat Pemuda antara KeADILan dan PAS.
Kerana antara visi saya sebelum pilihanraya ke 12 ini, Angkatan Muda KeADILan dan Pemuda PAS dapat memperkemaskan kerjasama dari segi program dan pengisian dan kerjasama di antara Barisan Alternatif.

Apa pesanan untuk anggota Angkatan Muda seluruh Malaysia yang membaca temubual ini?

Saya punya satu pesanan penting. Iaitu kita akan mengangkat satu tema, Pengisytiharan Permatang Pauh, yang kita masyhurkan dulu ketika zaman awal reformasi.
Dan ini kebanyakannya dilupakan, tetapi Angkatan Muda tidak pernah lupa perkara penting ini, sekarang, tahun 2007, kita akan masuk ke 9 tahun reformasi.
Dan Deklarasi Permatang Pauh ini akan kita masyhurkan ke seluruh  negara.
Ini pengisian penting saya kepada Angkatan Muda seluruh negara dan saya akan edarkan perkara ini ke seluruh negara supaya mereka lebih faham dan yakin untuk berkerja keras. Selain itu saya minta rakan-rakan Angkatan Muda supaya lebih fokus gerak kerja dan bersatu serta memberi sokongan pada kepimpinan yang ada sekarang untuk terus ber-gerak ke hadapan, kerana ini adalah pusingan terakhir kita untuk kita mengubah Malaysia ini dan akhirnya saya minta kita komited dan bersatu di bawah kepimpinan yang sedia ada. SK

Pengarang: Shamsul Iskandar

YB Datuk Seri Shamsul Iskandar @ Yusre bin Mohd. Akin Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya (Dikenali Parlimen Bukit Katil sebelum ini) (2013-kini) Mantan Timbalan Menteri Industri Utama (2018-2020) Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia (2018-kini) Mantan Naib Presiden KEADILAN (2014-2018) Mantan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (2007-2014)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s