“Daripada Harapan Kepada Kemenangan” – Transkrip Ucapan Dasar Kongres AMK 2007

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

Pertama sekali saya mengucapkan selamat datang kepada para perwakilan, tetamu-tetamu kehormat dan pemerhati ke Kongres Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat.

Tahun ini merupakan tahun keempat kita berkongres sebagai Angkatan Muda Keadilan. Kalau dikira daripada persidangan agung tahunan pertama Parti Keadilan Nasional, tahun ini merupakan tahun kelapan kita bersidang. Ini bermakna usia parti kita sudah mencecah lapan tahun pada hari ini. Angkatan Muda Keadilan sejak penubuhannya adalah teraju utama perubahan dalam gerakan politik tanahair. Di bawah kepemimpinan dinamik saudara Ezam Mohamad Nor, Angkatan Muda Keadilan begitu sinonim dengan aksi-aksi yang berjaya menangkap imaginasi rakyat. Antaranya perang kita terhadap rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa. Kita telah membuat ratusan laporan polis yang didokong oleh rakyat. Tindakan kita itu telah mendedahkan keengganan pihak polis untuk bertindak; atau bahawa polis sebenarnya dikawal dan diperalatkan oleh pihak pemerintah.

Pendekatan agresif yang dipelopori oleh Bung Ezam ini telah menjadikan gerakan kita sebagai ikutan dan trend setter kepada seluruh negara. Ini adalah landasan bertolak pergerakan kita. Maka adalah menjadi kewajipan untuk kita meneruskan tradisi ini dengan memastikan bahawa Angkatan Muda Keadilan akan terus menjadi pendahulu zaman.

Saudara-saudari,

Perjuangan kita adalah perjuangan yang telah lama berakar. Malah, kalau dikira daripada penubuhan Parti Rakyat Malaysia, usia perjuangan kita tentunya telah menjangkau 52 tahun. Selepas penggabungan pada tahun 2003, kita berkongsi semangat dan matlamat perjuangan yang sama untuk mewujudkan sebuah negara Malaysia yang bebas, adil dan demokratik.

Lebih lima dekad berada di persada perjuangan politik tanah air bukanlah sesuatu yang mudah. Apatah lagi sekiranya perjuangan kita adalah untuk mengendong harapan rakyat ke arah perubahan sosial dan politik yang lebih bebas, adil dan demokratik. Seringkali perjuangan seperti ini menghadapi tentangan daripada pihak-pihak yang meraih keuntungan daripada sistem sosial dan politik yang sedia ada. Di zaman penjajahan British, dasar pecah dan perintah berasaskan garisan perkauman disokong dan dipertahankan oleh British kerana dasar ini memberikan keuntungan kepada mereka. Parti-parti politik yang menentang dasar ini dicap sebagai berhaluan kiri, radikal dan mengancam keselamatan negara. Ada di antara parti-parti ini yang diharamkan. Pemimpin-pemimpin mereka ditahan tanpa bicara, digiring ke penjara dan menghabiskan masa bertahun-tahun di sebalik jeriji besi.

Yang didokong oleh penjajah British adalah parti-parti politik yang berjuang untuk kepentingan kaum masing-masing. Ini bukan sesuatu yang sukar untuk difahami. Dengan menekankan mobilisasi politik berasaskan kepentingan kaum, penjajah British sebenarnya telah berjaya meneruskan dasar pecah dan perintahnya melalui parti-parti politik perkauman. Dengan memilih hanya untuk berunding dengan parti-parti politik sebegini mengenai kemerdekaan, penjajah British telah berjaya mengekang dan menindas parti-parti politik bukan perkauman.

Setelah negara mencapai kemerdekaan, parti-parti berasaskan kaum yang didokong oleh penjajah yang mendapat kuasa untuk memerintah. Mereka meneruskan politik pecah dan perintah. Kerana itu, meskipun rakyat telah bebas daripada penjajahan asing, minda mereka terus dijajah dan dibelenggu oleh penguasa-penguasa politik perkauman ini. Hanya di dalam suasana politik perkauman yang sentiasa tegang, mereka mampu kekal relevan. Parti-parti politik ini lebih cenderung untuk hanya memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing tetapi mengenepikan kepentingan rakyat secara keseluruhan. Lazimnya kepentingan yang diperjuangkan itu bukan sesuatu yang adil dan munasabah, termasuk penafian hak yang sah kaum-kaum lain.

Namun oleh kerana parti-parti politik ini bergantung kepada sokongan kaum-kaum tertentu, mereka tidak ada pilihan selain memperjuangkan bermati-matian tuntutan-tuntutan kaum masing-masing secara terpilih. Mereka mewujudkan ketegangan antara kaum, melaga-lagakan antara satu kaum dengan yang lain. Semakin lantang mereka bersuara mewakili kepentingan kaum masing-masing, semakin mantap sokongan kaum tersebut kepada parti mereka.

Dalam sistem politik perkauman ini, perdebatan mengenai hak sesuatu kaum seringkali bersifat provokatif dan sensitif. Apatah lagi sekiranya hak dan kepentingan yang dipertikaikan itu melibatkan hal-hal yang berkait dengan pengagihan kekayaan negara, budaya dan agama. Konflik kaum segera muncul apabila parti-parti berasaskan kaum ini, dalam usaha untuk meraih sokongan kaum masing-masing, mengapi-apikan sentimen kaum dan agama. Apabila api semangat perkauman marak dan tidak dapat dikawal lagi, wujud pula keperluan bagi elit pemerintah menggunakan kuasa yang ada untuk mengekang konflik kaum kononnya untuk menjaga keharmonian antara kaum dan kestabilan politik.

Oleh yang demikian, seringkali hak-hak demokrasi rakyat dibatasi oleh pemerintah. Malangnya, ruang lingkup demokrasi yang terbatas ini acapkali disalahgunakan oleh elit pemerintah untuk menekan suara rakyat demi menjaga kepentingan serta kelangsungan kuasa politik mereka. Dalam sejarah negara kita, begitu ramai pemimpin politik, aktivis pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, pemimpin kesatuan sekerja, ahli-ahli akademik malah pemimpin masyarakat tani yang menjadi mangsa undang-undang yang mengongkong kebebasan. Kegiatan politik dan sosial mereka dikatakan kononnya mengancam keharmonian hubungan kaum dan keselamatan negara.

Alasan menjaga keharmonian kaum dan agama telah menjadi satu senjata politik yang ampuh bagi golongan elit pemerintah untuk menyempitkan ruang persaingan politik dan demokrasi. Pendekatan politik menindas ini, tentu sekali tidak wujud level playing field di antara parti pemerintah dan pembangkang dalam proses pilihanraya dan pembuatan dasar-dasar negara. Dalam ruang politik yang terbatas ini, parti-parti politik pemerintah seringkali kreatif mencipta ruang dan peluang untuk mengekalkan kuasa.

Dewasa ini, parti-parti politik pemerintah yang mendakwa kononnya mereka berjuang untuk kepentingan kaum masing-masing sebenarnya merupakan alat kepada segelintir pemimpin mereka untuk meraih keuntungan peribadi. Menjelang musim pemilihan parti, pemimpin-pemimpin ini sanggup membelanjakan wang ratusan juta ringgit untuk memenangi jawatan dalam parti. Perbelanjaan yang besar ini tidak menjadi masalah kepada mereka. Ramai penyokong-penyokong mereka dalam kelompok elit politik dan perniagaan yang sentiasa bersedia untuk menyediakan dana. Malah amalan ini sudah menjadi begitu sebati dengan mereka, sudah menjadi cara hidup sehinggakan ada yang tidak segan silu menganggapnya sebagai satu bentuk pelaburan yang menjanjikan pulangan yang lumayan. Masakan tidak, apabila pemimpin-pemimpin politik yang mereka taja menjadi wakil-wakil rakyat, ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri, menteri-menteri besar atau menteri-menteri kabinet, projek-projek kerajaan bernilai berbillion ringgit tentunya berada dalam genggaman mereka.

Tatkala pemimpin-pemimpin atasan parti dan kroni meraih keuntungan peribadi berbillion ringgit, rakyat terbanyak semakin terpinggir. Angka-angka yang dikeluarkan oleh kerajaan menunjukkan negara sedang mengalami kepesatan kemajuan ekonomi, tetapi kehidupan rakyat terbanyak, terutamanya para pekerja, petani, nelayan dan golongan berpendapatan rendah semakin terhimpit. Peningkatan kos sara hidup begitu pesat sedangkan kenaikan gaji tidak memadai untuk membiayainya. Pengumuman kenaikan gaji kakitangan awam baru-baru ini kita sambut baik. Namun saya katakan bahawa ia sebenarnya adalah gula-gula untuk meraih sokongan rakyat menjelang pilihanraya umum semata-mata.

Hakikatnya ramai yang terpaksa melakukan kerja lebih masa, terpaksa mencari pekerjaan sampingan untuk menambahkan pendapatan keluarga. Bukan untuk hidup mewah, tetapi sekadar untuk menampung keperluan asas. Menyekolahkan anak-anak sekalipun sudah terasa perit. Kerajaan bisu dan buta terhadap keadaan ini. Kerana itu mereka sanggup membatalkan skim bantuan buku teks dan pelbagai kemudahan lain untuk anak-anak Malaysia mendapat pendidikan yang sempurna.

Kini lebih 90 ribu anak muda menganggur meskipun memiliki pendidikan tinggi. Isunya bukan kemalasan atau memilih pekerjaan. Isunya adalah kegagalan kerajaan Barisan Nasional menyediakan peluang pekerjaan secukupnya. Isunya ialah kegagalan kerajaan BN membuat perancangan pendidikan yang sepatutnya untuk memastikan para graduan memenuhi kehendak dan keperluan pasaran kerja.

Dalam kemelut ekonomi ini, pertarungan sebenarnya yang dihadapi rakyat ialah pertarungan untuk meneruskan kehidupan. Semakin ramai rakyat termiskin yang dipinggirkan daripada pembangunan negara. Malah ada yang diusir dari kampung halaman mereka semata-mata atas alasan pembangunan tanpa pertimbangan manusiawi.

Rakyat terbanyak yang menanggung keperitan hidup. Pada hari ini kita dapati bukan sahaja golongan berpendapatan rendah yang terpaksa berhempas pulas untuk meneruskan kehidupan seharian. Golongan kelas menengah juga tidak terlepas daripada kesusahan hidup. Golongan ini yang kebanyakannya tinggal dan bekerja di bandar-bandar besar merupakan antara kelompok yang pertama menerima kesan daripada kenaikan kos sara hidup. Kenaikan harga minyak dan tol contohnya telah memberi kesan yang besar kepada golongan ini. Sistem pengangkutan awam yang tidak sistematik bukan merupakan suatu pilihan kepada mereka.

Kenaikan kadar faedah bank juga bermakna golongan ini terpaksa membelanjakan wang yang lebih untuk membayar ansuran rumah dan kereta. Bagi pasangan suami isteri yang bekerja, penjagaan anak juga membabitkan kos yang besar. Manakala kenaikan kadar inflasi pula bermakna peningkatan dalam perbelanjaan seharian. Akhirnya golongan kelas menengah yang biasanya menjadi lambang kepada kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi sesebuah negara merupakan golongan “surviving middle class” di negara ini. Kebanyakan daripada mereka hanya hidup sekadar cukup makan sahaja.

Golongan yang tidak terjejas langsung dengan kemelut ekonomi yang melanda negara hanya golongan elit politik dan perniagaan. Dalam sistem politik dan ekonomi yang tidak berasaskan pengagihan yang adil, kelompok kecil ini masih berpeluang untuk memperolehi kekayaan dan menjalani kehidupan yang mewah, malah menimbun harta termasuk di luar negara walaupun rakyat terbanyak semakin lelah bergelut dengan kesempitan wang dan kemiskinan.

Pada hari ini, kerakusan elit politik dan perniagaan membolot harta kekayaan negara turut memberikan kesan negatif terhadap alam sekitar. Di samping kesan pemanasan global yang menyebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu, kewujudan sistem ekonomi politik yang memihak kepada sekelompok kecil golongan elit dalam negara menjadi punca utama kepada masalah alam sekitar di negara kita. Setelah lima dekad negara kita diasak secara rakus dengan pembangunan fizikal yang dirancang sebegitu rupa untuk memenuhkan kantung para elit politik dan ekonomi, kesannya kepada alam sekitar amat membimbangkan. Kejadian banjir, tanah runtuh dan pencemaran alam yang merupakan kesan langsung daripada pembangunan fizikal yang rakus ini menjadi ancaman baru kepada rakyat, terutamanya golongan “surviving middle class” dan yang berpendapatan rendah. Sementara kroni mengaut keuntungan berbilion ringgit daripada pelaksanaan projek-projek pembangunan mega, rakyat pula terpaksa menanggung risiko kehilangan nyawa dan harta benda.

Angkatan Muda Keadilan dengan ini menegaskan kembali komitmen kita mempertahankan kepentingan sosio-ekonomi rakyat terbanyak:

Pertama, satu dasar ekonomi yang adil perlu segera dilaksanakan. Pengagihan ekonomi yang adil tanpa mengira kaum dan agama perlu menjadi teras kepada dasar ekonomi negara. Rakyat Malaysia yang miskin tanpa mengira kaum perlu dibela.

Kedua, dasar ekonomi yang menggalakkan ketirisan dalam pengagihan dan mengkayakan segelintir kaum kerabat dan kroni perlu dihapuskan segera. Kita menuntut agar pembolotan saham-saham Bumiputera oleh individu-individu berkepentingan dihentikan.

Ketiga, kita menuntut agar penganugerahan kontrak-kontrak kerajaan kepada pihak swasta dilakukan secara telus melalui tender terbuka. Ini adalah penting dalam usaha kita untuk mengelakkan penyelewengan dan rasuah dalam penganugerahan kontrak-kontrak kerajaan. Sebagai pembayar cukai, rakyat mesti diberikan hak untuk akses kepada maklumat-maklumat terperinci perjanjian antara kerajaan dan swasta. Jangan berselindung di sebalik Akta Rahsia Rasmi.

Keempat, tindakan-tindakan segera perlu diambil bagi memastikan ekonomi negara lebih berdaya saing dan berdaya maju. Dasar-dasar dan peraturan-peraturan yang boleh menjejaskan daya saing ekonomi negara perlu dihapuskan segera. Dalam hubungan ini, agenda memerangi rasuah perlu dijadikan fokus utama. Pelabur-pelabur tidak yakin dengan negara kita kerana amalan rasuah yang berleluasa. Untuk itu, Angkatan Muda Keadilan bertekad untuk menjadikan kempen memerangi rasuah, baik di kalangan pemimpin tertinggi kerajaan mahupun pegawai bawahan, sebagai agenda utama kita.

Kelima, dalam mengejar pembangunan ekonomi dan mengaut keuntungan, pihak industri dan kerajaan perlu peka terhadap nasib para pekerja. Untuk itu, kita menuntut agar undang-undang mengenai gaji minimum dan sistem jaringan keselamatan sosial yang selari dengan peningkatan kos sara hidup perlu dilaksanakan. Usaha untuk mematuhi piawaian negara maju di dalam aspek ini seharusnya diberi keutamaan.

Keenam, pembangunan ekonomi tidak harus mengabaikan pemeliharaan alam sekitar. Pihak berkuasa perlu memastikan tidak ada projek-projek pembangunan dilakukan di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi. Di samping itu, kita menuntut agar Akta Pemuliharaan Alam Sekitar diperketatkan dengan hukuman yang lebih tegas untuk memastikan pengusaha projek, industri dan individu yang terlibat tidak melanggar undang-undang alam sekitar negara.

Saudara-saudari rakan-rakan seperjuangan saya,

Tahun ini kita menyambut ulang tahun kemerdekaan negara yang ke 50. Setelah 50 tahun merdeka, tentu sekali harapan rakyat untuk melihat wujudnya di tanah air mereka sebuah kerajaan yang adil dan demokratik semakin menggunung. Rakyat rata-ratanya sudah mual dengan kerakusan elit pemerintah membidak kekayaan negara kepada segelintir kaum kerabat dan kroni. Budaya rasuah semakin berleluasa, penyalahgunaan kuasa kian membarah dan institusi-institusi demokrasi negara semakin ditekan oleh elit pemerintah.

Apabila Parti Keadilan Nasional dilancarkan di kemuncak gelombang Reformasi lebih lapan tahun yang lalu, inilah harapan yang digendong oleh pemimpin dan ahli parti. Deklarasi Permatang Pauh yang menjadi piagam perjuangan Reformasi menyatakan dengan jelas bahawa perjuangan kita ialah untuk menegakkan Keadilan bagi semua tanpa mengira kaum dan taraf sosial serta untuk memelihara institusi-institusi penting negara daripada amalan rasuah dan salah-guna kuasa. Yang kita perjuangkan ialah demokrasi dan Keadilan sosial. Yang kita tentang ialah pemerintahan yang autoritarian, rasuah, zalim dan menindas. Matlamat yang sama kita gariskan ketika para reformis menubuhkan Parti Keadilan Nasional dan kemudiannya Parti Keadilan Rakyat. Matlamat ini jelas termaktub dalam 17 perkara mengenai matlamat parti sepertimana yang terkandung dalam perlembagaan parti.

Di awal penubuhan parti, ramai yang melihat bahawa Keadilan ialah sebuah parti masa depan. Dalam erti kata kita cuba untuk merubah sistem politik yang berasaskan pemecahan kaum, merubah sistem ekonomi yang rasuah dan menindas ke arah sebuah negara yang adil, demokratik dan bebas. Gagasan ini juga turut mendapat sambutan daripada rakyat terbanyak. Rata-rata melihat bahawa isu kaum dan agama tidak lagi menjadi penghalang utama kepada gejolak rasa rakyat untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang adil untuk semua.

Namun pada hari ini kita dapati isu-isu kaum dan agama kembali menjadi dominan dalam masyarakat. Akhir-akhir ini seolahnya wujud pertentangan yang nyata antara beberapa kelompok dalam masyarakat yang mempunyai pandangan yang berbeza mengenai kedudukan agama Islam, hak-hak istimewa kaum Bumiputera dan hak-hak munasabah kaum-kaum bukan Bumiputera di negara ini. Saya percaya bahawa perdebatan yang berlaku mengenai isu-isu kaum dan agama pada hari ini antaranya merupakan lanjutan daripada gelombang demokrasi rakyat yang dicetuskan oleh gerakan Reformasi 1998. Semakin banyak penggerak-penggerak masyarakat madani di negara kita yang semakin berani mengemukakan pandangan-pandangan serta tuntutan-tuntutan ke arah mewujudkan sistem politik dan sosial yang lebih demokratik dan saksama. Dalam proses ini mereka tentu sekali mempersoalkan sistem dan dasar yang sedia ada. Ini termasuklah yang menyentuh mengenai kedudukan undang-undang Islam dan hak istimewa kaum Melayu di negara ini.

Di tengah-tengah kemelut kaum dan agama ini, sebagai sebuah parti berbilang kaum yang perjuangannya tidak berasaskan kepentingan mana-mana kaum tertentu, maka Angkatan Muda Keadilan membuat beberapa penegasan :

Pertama, dalam keghairan mana-mana pihak untuk memperjuangkan kepentingan masing-masing, asas kepada perjuangan itu mestilah Keadilan. Ini bermakna, dalam sebuah sistem politik yang demokratik, sementara mana-mana kelompok dalam masyarakat bebas untuk memperjuangkan kepentingan masing-masing, kepentingan itu sendiri mestilah sesuatu yang munasabah dan adil. Untuk menentukan samada kepentingan itu sesuatu yang munasabah dan adil, maka kelompok-kelompok yang bertentangan perlu juga mengambil kira pandangan dan kepentingan kelompok yang lain.

Kedua, ruang kebebasan bersuara dalam masyarakat sivil tidak harus ditutup. Malah institusi-institusi masyarakat sivil perlu digalakkan untuk mengutarakan pandangan secara beradab, sopan dan penuh tanggungjawab. Ini boleh membantu kelompok-kelompok yang bertentangan memahami isi hati dan harapan masing-masing serta mengelakkan timbulnya syak wasangka dan prejudis yang boleh mengakibatkan perpecahan dalam masyarakat. Angkatan Muda Keadilan menyokong penuh sebarang usaha oleh penggerak-penggerak masyarakat madani ini dan pertubuhan-pertubuhan agama di negara ini dalam mengadakan dialog antara agama dan menganjurkan aktiviti-aktiviti yang boleh meningkatkan persefahaman dan kerjasama antara masyarakat berbilang bangsa dan agama di negara kita.

Ketiga, perjuangan demokrasi dan kesaksamaan hak di negara ini tidak harus mempertajamkan pertentangan kaum dan agama. Perjuangan demokrasi dan kesaksamaan hak tidak harus dilihat sebagai satu cubaan untuk memperjuangkan kepentingan kelompok kaum atau agama tertentu dan menidakkan hak dan kepentingan kaum dan agama yang lain. Oleh sebab itu, perlu ditekankan bahawa dalam kita memperjuangkan demokrasi dan kesaksamaan hak, asas-asas Keadilan dan sensitiviti kaum dan agama perlu diambilkira agar perjuangan ini tidak menimbulkan salah faham di kalangan masyarakat.

Saudara saudari rakan-rakan seperjuangan saya,

Kelahiran Keadilan di persada politik nasional sebenarnya merupakan manifestasi harapan rakyat bukan sahaja untuk melihat Malaysia baru yang bebas daripada cengkaman pemerintahan yang autoritarian dan rasuah, tetapi juga untuk membebaskan politik daripada amalan-amalan yang korup dan rendah moral. Dalam erti kata yang lain, PKR merupakan lambang wadah perjuangan politik baru yang berasaskan nilai-nilai demokrasi, Keadilan sosial, jujur, amanah dan rentas kaum. Politik kita adalah politik nilai (politics of virtues) bukannya politik rakus kuasa (politics of power). Bagi kita nilai-nilai yang murni ini menjadi tujuan dan matlamat kepada kuasa politik dan bukan sebaliknya.

Saya percaya bahawa sebagai reformis tulen, para pemimpin dan ahli Keadilan tidak akan berkompromi dalam mempertahan dan menyuburkan budaya politik nilai yang menjadi teras dan paksi kepada kekuatan perjuangan kita. Saya juga percaya kalau nilai-nilai murni ini terus hidup subur dalam Keadilan, maka kita akan berupaya membuktikan kepada rakyat kesuluruhannya tentang kekuatan sebenar Keadilan dan kemampuannya untuk benar-benar menjadi pengganti kepada parti-parti pemerintah dalam Barisan Nasional yang rata-ratanya sedang mengalami masalah defisit nilai moral yang cukup gawat. Makna kemenangan kepada Keadilan ialah apabila kita semua, para pemimpin dan ahli parti, terus konsisten dalam mengendong harapan rakyat untuk melihat wujudnya amalan politik nilai yang subur di negara kita.

Saudara-saudari,
Kita sedar bahawa rakyat menaruh harapan yang tinggi kepada kita. Intipati harapan rakyat kepada kita, Angkatan Muda Keadilan Malaysia dan Parti Keadilan Rakyat, adalah untuk memperjuangkan kepentingan mereka. Kini cabaran yang harus kita depani ialah menterjemahkan segala harapan itu kepada kemenangan.
Usaha kita, pengorbanan kita untuk mencari kemenangan ini bukan semata-mata kerana kita mahu mengecapi kemenangan, bukan kerana kita mahu meraih kuasa tetapi kerana itu harapan rakyat. Perkara asas perjuangan ini bukan kita, meski kita menerajuinya. Asas perjuangan ini adalah rakyat.
Keadilan bukan semata-mata sebuah parti politik. Keadilan ialah gerakan massa, wadah rakyat yang terbentuk atas Gelombang Reformasi dan harapan rakyat. Justeru, kita sebagai penggerak dan pendokong Keadilan menggalas beban amanah dan harapan besar rakyat untuk melihat masyarakat dan negara Malaysia tercinta ini mengalami perubahan yang bermakna ke arah masa depan yang lebih baik.
Demi untuk mencapai cita-cita perjuangan kita itu, Angkatan Muda Keadilan perlu terlebih dahulu memperkemas gerak kerja dan memperkasakan pergerakan ini.
Saya gariskan di sini cabaran-cabaran utama yang akan menjadi teras kepada pergerakan ini. Ini sebagai cabaran kepada kita seluruh anak muda yang mendokong hasrat dan cita-cita Angkatan Muda Keadilan.
Pertama, usaha-usaha untuk membina institusi dan memperkasa parti.
Ketika parti ini bermula, pelbagai pihak, khususnya pemerintah, membuat andaian dan tohmahan bahawa Keadilan adalah parti sementara, Keadilan akan terkubur dalam masa terdekat. Malah kebelakangan ini, tema yang sama dimainkan semula semasa Pilihanraya Kecil Ijok. Itu sememangnya menjadi impian mereka selama ini, yakni untuk melihat cabaran terhebat terhadap hegemoni dan monopoli kuasa mereka terkubur. Namun saya katakan kepada mereka, teruskan sahaja bermimpi di siang hari. Ia tidak akan menjadi kenyataan.
Oleh kerana mereka menguasai media massa yang saban hari meracuni pemikiran rakyat, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mengambil langkah-langkah perlu bagi memperkukuhkan keyakinan rakyat. Kita perlu mempertegaskan kembali kesediaan dan kemampuan Keadilan untuk menggalas amanah rakyat.
Kerana itu Angkatan Muda Keadilan mencadangkan agar parti mengambil serius usaha-usaha untuk membina institusi dan pada masa yang sama membina kapasiti ahli. Sebagai sebahagian daripada usaha ini, Angkatan Muda Keadilan akan mempertingkatkan upaya untuk memberikan pendidikan politik berterusan khususnya di dalam memahami idea-idea besar Anwar Ibrahim dan mempraktikkannya di dalam agenda perjuangan kita. Angkatan Muda sebagai pendahulu zaman, sebagai trend setter yang bersifat tangkas dan agresif perlu mengambil peranan utama di dalam perkara ini.
Saudara-saudari,
Pada masa yang sama, Angkatan Muda Keadilan menggesa parti untuk mengusahakan dana bagi menggaji secara tetap kakitangan yang secukupnya dengan penumpuan khusus kepada persiapan pilihanraya. Kakitangan sepenuh masa ini akan memainkan peranan sokongan kepada usaha-usaha Jawatankuasa Pilihanraya di setiap peringkat. Mereka perlu membuat kajian pandangan dan persepsi rakyat, pendekatan terbaik untuk menarik pengundi, strategi promosi dan sebagainya. Staf sepenuh masa yang mempunyai kemahiran dan pengalaman, dengan diberi latihan khusus akan dapat merangka dan merancang tugas-tugas ini dengan lebih berkesan. Pergantungan kepada tenaga kerja sukarelawan semata-mata, daripada kalangan ahli dan penyokong parti adalah tidak memadai. Namun tenaga kerja sukarelawan ini adalah sangat penting sebagai tenaga kerja sokongan kepada staf sepenuh masa apabila program-program dilaksanakan di lapangan.

Kedua, memperkemas organisasi dan mobilisasi.
Selain membentuk pasukan petugas pilihanraya, pembentukan Jentera Angkatan Muda (JAM) adalah ujian kepada Angkatan Muda Keadilan di dalam usaha mobilisasi. Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada Bahagian-bahagian yang telah berjaya mengumpulkan tenaga anak muda dan membentuk JAM. Selepas Kongres ini kita akan memberi tumpuan kepada aspek latihan mereka dan pada masa yang sama satu pasukan petugas khas akan dibentuk untuk memastikan setiap Bahagian dapat melaksanakan JAM. Kini, Skuad Angkatan Muda (SAM) juga telah diwujudkan dan akan terus dilatih untuk menjadi lebih berkesan dan tersusun.
Kegagalan atau keengganan memberi perhatian kepada usaha ini sebenarnya mencerminkan kelemahan daripada aspek menyusun organisasi dan membuat mobilisasi rakyat.
Di peringkat pusat kita akan menyusun satu rejim latihan yang teratur untuk EXCO Angkatan Muda Keadilan Malaysia dan Angkatan Muda Keadilan Negeri-negeri. Saya pertegaskan bahawa penyertaan di dalam skim latihan ini adalah satu kemestian kepada semua pemegang jawatan dan pemimpin Angkatan Muda Keadilan di mana kegagalan untuk menyertainya akan dikenakan tindakan disiplin.
Pada masa yang sama, setiap Negeri perlu menyusun satu skim yang sama untuk Bahagian-bahagian. Saya percaya kita mempunyai cukup tenaga untuk memberikan latihan. Yang kita perlu sekarang ialah kesungguhan dan komitmen ahli-ahli untuk menyertai program latihan.
Saya sendiri akan memberikan tumpuan kepada usaha latihan ini. Justeru kita mensyaratkan agar Angkatan Muda Keadilan Bahagian yang berhasrat menganjurkan ceramah umum, perlu mengadakan bersamanya Bengkel Sehari untuk latihan.
Ketiga, mempertingkatkan penyertaan wanita muda dan golongan belia
Pencapaian kita menarik penyertaan wanita muda di dalam Angkatan Muda Keadilan selama ini adalah sesuatu yang cukup membanggakan. Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua wanita muda yang mempunyai keyakinan untuk bersama-sama berjuang di dalam Angkatan Muda Keadilan.
Pada masa yang sama, kita perlu menjalankan usaha-usaha bagi menarik minat lebih ramai wanita muda untuk menyertai Angkatan Muda Keadilan. Ini adalah cabaran yang besar kepada kita demi memastikan kita terus kekal progresif dan mendepani zaman. Saya percaya melalui penyusunan semula pendekatan dan program Angkatan Muda Keadilan, cabaran ini akan dapat diatasi. Angkatan Muda Keadilan perlu lebih berbeza daripada pergerakan pemuda parti-parti politik lain. Angkatan Muda Keadilan perlu bergerak dengan dimensi yang lebih luas di dalam melaksanakan perjuangan yang dinamis dan berkesan. Justeru, di setiap peringkat bahagian dan negeri, keperluan untuk memperhebatkan kempen kemasukan golongan wanita muda adalah amat perlu. Angkatan Muda Keadilan tidak mahu golongan wanita muda dimanipulasi hanya sebagai peraih undi sebagaimana peranan yang dimainkan oleh Puteri Umno. Penyertaan wanita muda di dalam Angkatan Muda Keadilan adalah penting untuk sama-sama mendepani perjuangan khususnya di dalam melancarkan pengurusan Angkatan Muda Keadilan dan juga penerangan kepada rakyat.
Angkatan Muda Keadilan perlu memfokuskan juga kempen untuk menarik kelompok belia untuk bersama-sama Keadilan merencana sistem politik yang berteraskan kesaksamaan dan kepedulian rakyat. Adalah amat malang sekali andai belia di Malaysia ini, khususnya remaja-remaja kita biarkan mereka tanpa fokus dan hala tuju yang jelas. Gejala rempit, penyalahgunaan dadah, pengangguran tidak terkawal adalah merupakan masalah yang serius yang sewajarnya diberikan penekanan untuk mengawal dan mengurangkan. Angkatan Muda Keadilan di dalam respon kepada kebejatan sosial ini perlu menawarkan alternatif agar golongan remaja ini dapat kita perbetulkan hala tuju mereka di samping mereka peka dengan keadaan politik semasa. Apa yang perlu ialah menperbetulkan mereka dengan menyediakan program-program kemasyarakatan yang lebih dekat di hati mereka, dan di satu saat mereka perlu kita didik untuk faham akan keperluan membawa Malaysia ke arah pembudayaan politik baru. Apa yang berlaku lewat kebelakangan ini golongan – golongan ini bukan dididik mengenai politik, tetapi dipolitikkan oleh kumpulan-kumpulan tertentu seperti Pemuda Umno untuk menarik mereka seterusnya menyebarkan budaya samseng. Inilah realiti yang berlaku di seluruh Malaysia, dan jelas dilihat melalui pengamatan peribadi saya di Ijok. Justeru kita perlu menyediakan sesuatu untuk memperbetulkan kembali hala tuju mentaliti mereka dengan mendekati mereka dan sama-sama bergiat dengan mereka agar mereka lebih merasa dihargai dan kelak bersama-sama dengan kita. Angkatan Muda Keadilan perlu sedar bahawa kerosakkan mentaliti anak-anak muda kita akan berlaku apabila hanya dididik dengan material, lantas mereka akan menjadi buta dan tuli. Iltizam perlu disemat di dalam semua ahli Angkatan Muda Keadilan agar kita mempunyai matlamat untuk sama-sama memperbetulkan keadaan, bukan mempolitikkan keadaan.
Kelompok mahasiswa juga perlu diberi perhatian serius. Kenyataan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) baru-baru ini apabila seramai 38 orang mahasiswa akan didakwa di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) kerana terlibat dalam kempen Keadilan di Ijok dan kempen DAP di Machap adalah sesuatu menjelekkan. Di saat berlakunya pencabulan hak asasi yang ketara apabila kelompok mahasiswa ini dikecam dan dikongkong mentaliti mereka, golongan mat rempit disediakan pelbagai bentuk bantuan material, seolah-olah golongan mahasiswa ini jauh daya inteletual mereka berbanding mat rempit! Inilah yang berlaku di Malaysia sekarang, kerajaan tidak putus-putus untuk menyekat kebebasan berfikir di kalangan mahasiswa, dan universiti hanya menjadi kilang pengeluar lambakan graduan di pasaran kerja Malaysia yang semakin cacamarba dengan meningkatnya pengangguran dari tahun ke tahun. Dan seperti biasa, mahasiswa yang membantu Umno-BN dikecualikan daripada disabit kesalahan di bawah peruntukan AUKU. Dan beginilah acuan demokrasi ala Umno-BN. Kelompok remaja yang bukan mahasiswa pula disuap dengan material, agar mereka sentiasa berasa senang dan tidak peka dengan ketidakadilan kerajaan menindas rakyat. Mahasiswa hanya dididik menjadi mesin penyimpan informasi dan matlamat mereka hanya dibentuk untuk lulus peperiksaan akhir, bukan berjaya di dalam kehidupan dan menyumbang kepada kemajuan negara.
Di sinilah Angkatan Muda Keadilan perlu mengisi kekosongan ini. Kelompok mahasiswa perlu kita rapati meskipun kita tidak dibenarkan masuk ke dalam mana-mana institusi pengajian tinggi. Justeru, program bersifat intelektual dan santai perlu digiatkan dari masa ke masa. Angkatan Muda Keadilan perlu bersifat dinamis dari semasa ke semasa. Program kepartian yang bersifat santai dan rekreasi boleh menjadi kunci kepada program menarik minat kelompok mahasiswa untuk terus bersama-sama kita. Mereka perlu dididik dan diajar dengan satu pendekatan yang tidak menyebabkan mereka berasa tidak kondusif dan selesa untuk menyokong Keadilan. Angkatan Muda Keadilan perlu merangka program luar kepartian untuk menjadikan mahasiswa sebagai kelompok sasaran untuk menarik sokongan mereka.
Jangan kita jadikan AUKU sebagai halangan, jangan kita jadikan sekatan kerajaan untuk mendekati mahasiswa dan remaja adalah satu masalah, paling penting ialah kita perlu bergerak, khususnya di peringkat Angkatan Muda Keadilan untuk menjadi lebih relevan dengan menginstitusikan Keadilan bukan sekadar sebuah parti politik, tetapi lebih kepada agen pembentukan dan pembangunan masyarakat yang menyeluruh. Saya sendiri akan merangka beberapa perkara untuk kita fokuskan aktiviti dan rancangan supaya berdialog berterusan dapat dijalankan guna untuk mendapatkan pandangan serta sokongan khususnya dari kalangan kelompok belia dan mahasiswa.

Keempat, menyusun semula sistem kepemimpinan.
Seringkali di dalam mana-mana organisasi, struktur kepemimpinannya adalah berbentuk piramid. Sekelompok kecil di peringkat paling atas akan memainkan peranan yang paling utama dan akan menentukan segala-galanya untuk keseluruhan organisasi.
Andainya Angkatan Muda Keadilan mahu bergerak maju dan kekal bersifat progresif kita perlu mengubah struktur ini kepada pendekatan yang lebih demokratik. Penyertaan lebih ramai ahli di dalam proses membuat keputusan adalah amat perlu kerana saya percaya kepada kebijaksanaan bersama (common wisdom) yang akan memastikan kita membuat keputusan yang terbaik untuk semua.
Sebagai permulaan kita akan memastikan wujud saluran-saluran komunikasi dan interaksi antara pemimpin dan ahli. Di dalam era komunikasi serba canggih ini, terdapat begitu banyak ruang dan peluang yang boleh kita manfaatkan untuk tujuan tersebut. Justeru saya berharap semua ahli Angkatan Muda Keadilan akan menjadikan sebagai tanggungjawab mereka untuk memberikan idea dan buah fikiran untuk dilaksanakan oleh kepemimpinan Angkatan Muda Keadilan di setiap peringkat. Jawatankuasa Angkatan Muda Keadilan yang saudara-saudari amanahkan adalah semata-mata pentadbir dan pengurus kepada mandat, kehendak dan keperluan ahli.
Satu jawatankuasa khusus akan ditubuhkan untuk mengendalikan aspek komunikasi. Bukan sekadar maklum balas dan cadangan ahli, malah pandangan daripada masyarakat umum akan kita beri perhatian sewajarnya. Sebagaimana yang telah saya jelaskan sedari awal, Angkatan Muda Keadilan perlu menjadi lebih relevan dengan menginstitusikan Keadilan sebagai sebuah gerakan massa dan agen perubahan masyarakat. Komunikasi menyeluruh mesti diperhebat dengan modul-modul yang berpatutan agar wujud apa yang dipanggil kesinambungan komunikasi dua hala (continuous two-way communication), dalam erti kata kita bersedia menjadi mata dan telinga rakyat dan dalam masa yang sama kita juga akan sama-sama membantu rakyat menyelesaikan apa jua masalah mereka selagi mana ia mampu kita laksanakan. Angkatan Muda Keadilan perlu mendepani usaha dan inisiatif ini untuk memperkasakan komunikasi politik dan sosial parti di semua peringkat bahagian dan negeri.
Kelima, mengenengahkan politik baru.
Pemuda Barisan Nasional dengan penguasaan media massa dan jentera kerajaan cuba mencorakkan minda dan rentak anak-anak muda Malaysia. Tetapi cerapan mereka adalah cerapan yang jahat. Cara mereka merosakkan anak muda Malaysia. Pendekatan mereka menyemai kebencian, keganasan dan permusuhan kaum.
Semasa pilihanraya Ijok, Pemuda BN menggunakan slogan “Pemuda Gempur, PKR Terkubur” dan “Sedia Gempur”. Ini dan tindakan-tindakan ganas mereka, termasuk menyerang dan cuba mencederakan calon kita adalah cerminan sikap dan hati budi mereka yang sebenar.
Mereka percaya kepada menghunus keris dan mencari gaduh. Mereka percaya kepada menabur fitnah, tohmahan dan caci maki. Mereka hanya percaya kepada kuasa dan menggunakan kuasa yang ada untuk memaksakan semua orang mengikut kehendak dan telunjuk mereka.
Kita pertegaskan hari ini bahawa anak muda Malaysia tidak perlu kepada politik kebencian. Kita pertegaskan bahawa anak muda Malaysia menolak gangsterisme yang dibawa oleh Pemuda BN.
Di dalam negara Malaysia yang berpegang kepada nilai, cara dan pendekatan mereka tidak mempunyai tempat.
Kita menolak politik gangsterisme kerana kita tidak pernah menganggap anak Malaysia sebagai musuh. Meski BN sentiasa memusuhi kita, meski BN terus-terusan mahu memastikan kita terkubur; saya katakan kita tidak membenci mereka. Yang kita musuhi, yang kita benci ialah amalan rasuah, sikap mereka yang mengenepikan nilai dan kepentingan rakyat.
Ini yang mahu kita robah. Ini yang mahu kita gantikan dengan politik nilai.
Politik nilai menolak faham perkauman. Kita sama sekali tidak bersetuju dan tidak akan bersetuju dengan sikap memunggah kekayaan negara dan memberikannya kepada sekelompok kecil pemimpin, kroni dan keluarga mereka yang sudah sememangnya kaya-raya semata-mata atas nama Bumiputra atau Melayu.
Meskipun Dasar Ekonomi Baru dirangka dengan niat untuk membantu rakyat miskin yang rata-rata pada masa itu terdiri daripada orang Melayu, ia diperkudakan oleh pemimpin UMNO untuk memperkayakan diri mereka. Yang kita dokong, yang kita ketengahkan sekarang ialah satu pendekatan baru di dalam pembasmian kemiskinan. Setiap rakyat yang memerlukan harus dibantu oleh negara tanpa mengira warna kulit atau fahaman mereka.
Sekiranya yang paling ramai miskin masih Melayu, maka bantuan perlu diberikan kepada mereka. Begitu juga kepada orang India dan Cina yang miskin. Tidak ada maknanya memberikan bantuan, sokongan dan insentif kepada orang Melayu atau India atau Cina yang sudah sememangnya kaya-raya sehingga yang kaya terus kaya, yang miskin papa kedana.
Pada masa yang sama, Angkatan Muda Keadilan mendesak pembangunan Sabah dan Sarawak diberikan perhatian yang lebih. Dua negeri yang kaya dengan sumber alam ini ketinggalan kerana dihalang daripada mengecapi hasil negeri. Kekayaan negeri-negeri perlu dimanfaatkan pertamanya untuk membangunkan negeri tersebut dan bukannya untuk membiayai projek-projek mega yang sekadar untuk memenuhi nafsu dan ego pemimpin BN.
Saudara-saudari,
Nilai adalah sesuatu yang tetap, konsisten. Nilai tidak mungkin relatif. Kerana itu apabila kita berpegang kepada nilai, Keadilan akan terlaksana. Islam dan juga semua peradaban dunia memberikan perhatian yang berat kepada persoalan nilai. Apabila berpegang kepada nilai, sang penguasa tidak akan merampas hak yang lemah. Apabila kerajaan berpegang kepada nilai, kekayaan negara tidak akan dibolot untuk kepentingan peribadi.
Apabila nilai hilang, yang tinggal hanya nafsu bermaharajalela.
Justeru kita perlu melakukan segala yang terdaya untuk mengembalikan nilai sebagai paksi di dalam masyarakat. Usaha ini saya akui sukar, tetapi perlu kita laksanakan.
Saudara-saudari,
Saya mempunyai keyakinan penuh kepada pemimpin-pemimpin di hadapan saya ini. Saya percaya bahawa kita mampu melakukan yang terbaik untuk rakyat dan negara Malaysia. Kita tidak ada pilihan selain berkorban dan bersatu padu, meletakkan ke tepi segala perbezaan pendapat dan menanganinya dengan bijaksana dan terus bekerja bersama untuk memastikan harapan rakyat kepada Parti Keadilan Rakyat akan dapat dipenuhi.
Setiap daripada kita mempunyai pandangan tersendiri. Mempunyai idea dan wawasan. Setiap kita mahukan yang terbaik untuk Angkatan Muda Keadilan. Justeru kita marah apabila idea dan pandangan kita tidak diterima. Kita marah apabila sesuatu berlaku dengan cara yang tidak kita setujui. Tetapi kemarahan itu bukan kerana benci. Kemarahan itu adalah kerana cinta kita kepada pergerakan ini. Itu adalah lumrah seorang pemimpin.
Namun sebagai pemimpin kita juga perlu mengendalikan perbezaan pandangan dengan sebaik-baiknya. Tidak mungkin semua pandangan kita sahaja yang betul. Muafakat dan musyawarah adalah ciri asasi kepemimpinan. Mari kita amalkan dengan lapang dada dan fikiran terbuka. Yang kita cari ialah yang terbaik. Percayalah kepada kebijaksanaan ramai dan jangan kita amalkan politik kuasa dengan mahu memaksakan segala kehendak kita ke atas orang lain.
Saya percaya kepada politik inklusif. Setiap segmen masyarakat mempunyai wakilnya di dalam Angkatan Muda Keadilan. Atas sifat anak muda, sudah tentu citra dan pendekatan yang wujud pelbagai dan berwarna-warni. Maka di dalam struktur kepemimpinan Angkatan Muda Keadilan juga perlu ada kepelbagaian.
Perbezaan pandangan adalah satu rahmat, selagi mana kita tahu adab-adabnya, selagimana kita tahu dan mahu menanganinya dengan baik. Ayuh! Kita ketepikan segala perbezaan pandangan dan kita cari kesepakatan demi untuk melaksanakan amanah kita menterjemah harapan rakyat kepada kemenangan.
Saudara dan saudari sidang perwakilan dan pemerhati yang dikasihi sekalian,
Selama ini, kita menyertai pilihanraya yang penuh dengan penipuan, lapangan perlawanan yang tidak sama rata dan pengendalian pilihanraya yang pincang. Angkatan Muda Keadilan akan terus menuntut agar perubahan total, reformasi sistem dan perjalanan pilihanraya di Malaysia. Parti telah mendedahkan secara teratur segala kepincangan dan penyelewengan yang berlaku di dalam pengendalian pilihanraya umum yang lalu. Belum pernah satu dokumen yang selengkap ini dikemukakan, bersama bukti yang cukup. Namun tidak ada tindakan serius diambil oleh Suruhanjaya Pilihanraya selain daripada membuat pengakuan hambar mengenai hakikat yang kita ketengahkan.
Pilihanraya yang bebas dan adil merupakan asas utama di dalam sistem demokrasi. Indikator terpenting dalam mengukur keberkesanan amalan demokrasi di dalam sesebuah negara yang menobatkan demokrasi sebagai kiblat pentadbiran dan pengurusan adalah sistem pilihanraya yang telus dan adil. Pilihanraya yang adil adalah amat penting khususnya di dalam menyediakan sebuah platform yang seimbang kepada semua pihak yang menyertai pilihanraya secara sah. Dalam keadaan Malaysia berdiri sebagai sebuah negara demokrasi berparlimen, pilihanraya adalah medan terakhir untuk mana-mana parti politik berdaftar menawarkan wawasan mereka khususnya untuk memenangi sokongan rakyat dan mengemudi tadbir urus kerajaan. Malang sekali pilihanraya di Malaysia adalah sesuatu yang sentiasa berada di luar jangka. Luar jangka dalam erti kata wujudnya penipuan dalam pengurusan dan perlaksanaan pilihanraya. Natijah daripada penipuan ini ialah berlakunya penafian hak rakyat untuk memastikan kerajaan yang menang adalah pilihan rakyat. Justeru suara rakyat cuba ditekan dan penguasaan parti pemerintah diteruskan. Ini adalah petanda kerajaan yang menang dengan cara penipuan adalah kerajaan yang lemah, bacul dan tidak bermaruah.
Apa yang berlaku di dalam pengurusan pilihanraya Malaysia ini adalah kerana tidak adanya garis pemisah di antara ‘kerajaan’ dan ‘parti pemerintah’. Di dalam hukum sains politik, kedua-duanya meskipun berdiri dan saling bergantung di antara satu sama lain, adalah kekal dua entiti berbeza. Pun begitu jentera dan instrumen kerajaan di Malaysia adalah milik mutlak Umno-BN. Apa saja akan dilakukan demi memastikan kuasa mereka tidak beralih tangan. Tidak ada pengamalan dikotomi pentadbiran dan pengurusan politik yang diamalkan dengan baik oleh Kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Umno-BN sekarang.

Melihat kepada harapan rakyat yang semakin membuak khususnya sokongan dan sentimen rakyat pasca-Ijok, pembaharuan menyeluruh harus bermula sekarang demi menterjemahkan harapan rakyat kepada kemenangan rakyat. Perubahan harus bermula dengan merombak sistem pilihanraya itu sendiri dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Perlantikan Ahli Suruhanjaya termasuk Pengerusi dan Setiausaha mesti dibuat dengan telus dan bertanggungjawab; dipilih daripada kalangan individu yang mendapat kepercayaan orang ramai. Ahli SPR seharusnya bebas dan mampu bertindak dengan adil tanpa tekanan daripada mana-mana pihak. SPR mestilah menjadi badan bebas yang bertanggungjawab untuk mengendalikan pilihan raya yang bebas dan adil tanpa dicemari dengan penyelewengan dan penipuan dalam proses dan perjalanan pilihan raya.
Keadilan berpendapat kehadiran pemerhati antarabangsa amat penting untuk memantau pilihanraya di negara kita memandangkan terdapat banyak bukti-bukti kukuh penyelewengan, penipuan dan kelemahan dalam pilihan raya umum dan kecil di negara kita termasuk yang terbaru, pada pilihan raya kecil di Ijok. Keadilan akan terus mendesak kerajaan untuk membenarkan pemerhati antarabangsa meneliti dan mengikuti proses pilihan raya di Malaysia. Amalan ini bukanlah asing bagi negara-negara yang berpegang teguh kepada prinsip demokrasi seperti Turki, India, Indonesia, Thailand dan Afrika Selatan. Kehadiran pemerhati antarabangsa sememangnya akan menjamin kesihatan budaya dan amalan demokrasi yang diingini oleh rakyat di Malaysia.

Keadilan juga menggesa supaya kerajaan dan SPR mempertahankan hak rakyat Malaysia yang menetap di luar negara untuk mengundi. Diplomat, ahli-ahli perniagaan, pelajar-pelajar dan rakyat yang bekerja di luar negara mestilah mempunyai peluang untuk mengundi dengan mekanisma yang telus. Kita juga menggesa undi pos kepada tentera serta polis dihapuskan dan mereka dibenarkan mengundi di tempat – tempat pengundian awam memandangkan negara berada dalam keadaan yang aman dan tenteram. Sekiranya kerajaan berasa sukar dalam melaksanakan ini, kita mencadangkan agar kem-kem tentera digazetkan sebagai pusat pengundian dan proses mengundi dijalankan secara telus dengan dipantau oleh wakil parti-parti politik yang bertanding dalam pilihan raya.

Keadilan telahpun mencadangkan sejak dari kongres yang lepas supaya SPR memperkenalkan ‘indelible ink’ untuk pengundi. Di India, sebuah negara yang mempunyai penduduk seramai 1 bilion orang dan mempunyai rekod pengurusan pilihan raya yang kemas dan baik telahpun menggunakan sistem ini secara menyeluruh dan berkesan. Keadilan juga mencadangkan supaya SPR menggunakan peti undi yang lut sinar untuk menjamin kesahihan semasa proses pembuangan undi dan juga pengiraan undi; bukan sekadar membuat pengumuman mengenai rancangan untuk menggunakannya.

Hak setiap rakyat untuk mengundi seharusnya dijamin dan tidak dinafikan dengan alasan kabur mengenai proses pendaftaran pemilih. Kecanggihan teknologi yang ada seharusnya membolehkan maklumat mengenai penduduk digunakan bagi tujuan pendaftaran automatik rakyat apabila cukup umur yang ditetapkan.

Satu lagi tunggak penting dalam sistem demokrasi adalah media yang terbuka dan saksama. Angkatan Muda Keadilan menuntut agar semua parti politik yang berdaftar diberikan kebebasan berkempen untuk menggunakan saluran media cetak dan elektronik. Angkatan Muda Keadilan mengulangi penegasan bahawa kebebasan berkempen menggunakan media terangkum di dalam tiga aspek utama iaitu, peluang untuk menjawab segala tuduhan yang dikemukakan, laporan pilihanraya yang bebas dan adil serta akses yang terbuka kepada media.

Angkatan Muda Keadilan mencabar kerajaan untuk memberi ruang yang seadilnya kepada pemimpin-pemimpin parti-parti politik yang bertanding, di dalam media milik pemerintah dan swasta sepanjang tempoh berkempen. Angkatan Muda Keadilan yakin dan percaya bahawa rakyat harus diberikan peluang untuk mendapat maklumat yang adil sebelum mereka membuat pilihan di dalam pilihan raya. Untuk maksud di atas, Angkatan Muda Keadilan menuntut janji Perdana Menteri di dalam Parlimen pada 27 Oktober 2005 untuk meluluskan permit Suara Keadilan, iaitu lidah rasmi parti, dengan serta merta.

Pada pilihan raya kecil DUN Ijok, Keadilan telah mengambil keputusan untuk bertanding dan menampilkan bendahari agung kita, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai calon Keadilan. Keputusan pilihan raya ini mencatatkan Keadilan memperolehi 4,037 undi sokongan manakala BN memperolehi 5,883 undi sokongan. Walaupun secara teknikalnya kita dianggap mengalami kekalahan, tahap sokongan untuk Keadilan cukup meyakinkan. Ini petanda bahawa penerimaan dan sokongan rakyat untuk Keadilan semakin mantap sekaligus mencerahkan peluang kita di dalam Pilihan Raya Umum yang akan datang. Undi sokongan kita bertambah sebanyak 470 undi manakala undi popular kita meningkat sebanyak 1.46 % dalam keadaan kita menghadapi jentera kerajaan persekutuan dan jentera kerajaan – kerajaan negeri di seluruh Malaysia. Kita berjaya meraih 60% sokongan dari kaum cina disamping mempertahankan 50% sokongan dari kaum melayu dalam keadaan lambakan dan curahan rasuah dari Barisan Nasional yang dianggarkan sekitar RM 100 juta semasa pilihan raya kecil di Dun Ijok. Kemenangan kita di 4 saluran pemilih muda di Dun Ijok menunjukkan peranan Angkatan Muda amat penting di dalam menterjemahkan harapan rakyat kepada kemenangan. Kita sesungguhnya amat berbangga melihat dedikasi dan komitmen yang tinggi daripada Angkatan Muda Keadilan di semua peringkat yang bertungkus lumus berusaha di dalam upaya kita untuk memberikan tentangan hebat kepada parti lawan.

Partisipasi kita di Ijok membuktikan Keadilan merupakan ancaman terbesar kepada Umno-BN. Jika tidak masakan Keadilan dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dihenyak sebegitu rupa, yang jelas bukan sahaja menjelekkan kita sebagai anggota parti bukan pemerintah, hatta rakyat marhaen pun muak melihat propaganda murahan yang dimainkan oleh Umno-BN melalui media arus perdana milik kroni sang penguasa.
Namun, pengalaman Ijok juga menyedarkan kita bahawa sebahagian besar persiapan menghadapi pilihanraya perlu dilakukan sekarang dan bukannya semasa tempoh kempen pilihanraya itu sendiri. Angkatan Muda Keadilan mesti mengambil tanggungjawab untuk meneliti, mengkaji dan membuat pendedahan bagi membersihkan daftar pemilih terutamanya di saluran pemilih muda iaitu yang berumur di bawah 40 tahun. Amanah ini adalah besar maknanya kepada gerak kerja pilihanraya dan pastinya memerlukan komitmen dan penelitian yang terperinci. Kita sarankan gerak kerja ini dilaksanakan secara berterusan dan konsisten oleh JAM kerana kita nantinya akan berhadapan bukan sahaja dengan jentera Barisan Nasional malah jentera kerajaan termasuk Suruhanjaya Pilihanraya yang akan memanipulasikan daftar pemilih bagi tujuan memenangkan Barisan Nasional.
Dengan gerak kerja yang tersusun dan dibantu JAM yang efisyen, Insha Allah, harapan rakyat mampu kita terjemahkan kepada kemenangan.

DARI RAKYAT KEPADA RAKYAT
DARI HARAPAN KEPADA KEMENANGAN.
Reformasi!

Sekian, terima kasih.
Seremban, Negeri Sembilan.

Pengarang: Shamsul Iskandar

Ahli Parlimen Bukit Katil, Melaka Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Parti KEADILAN Rakyat (PKR) Pengerusi KEADILAN Majlis Pimpinan Negeri Melaka Peguam, Yusof Rahmat & co, Ketua KeADILan Cabang Jasin, Melaka

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s