Pasca Subashini: Apakah Ada Jalan Keluar?

Oleh Shamsul Iskandar Mohd Akin*

Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan menjamin hak setiap individu untuk menganuti dan mengamalkan ajaran agama masing-masing secara aman dan harmoni. Jaminan perlembagaan terhadap hak kebebasan beragama merupakan asas utama keharmonian hubungan antara kaum dan agama di negara ini. Keharmonian dicapai apabila setiap individu bebas mengamalkan ajaran agama masing-masing tanpa gangguan atau paksaan.

Sebagai sebuah negara majoriti Islam, sistem undang-undang di negara ini dirangka untuk menjamin hak orang-orang Islam untuk diadili berdasarkan undang-undang diri Islam. Orang-orang Islam berhak mendapat pengadilan di mahkamah-mahkamah syariah yang diwujudkan khusus untuk mereka. Sementara itu, orang-orang bukan Islam pula dikecualikan daripada penguatkuasaan undang-undang Islam. Dalam kes perkahwinan dan perceraian umpamanya, orang-orang Islam adalah tertakluk kepada bidangkuasa mahkamah syariah, manakala orang-orang bukan Islam pula tertakluk kepada bidangkuasa mahkamah sivil. Kewujudan dwi-sistem ini secara prinsipnya memberi hak kepada masyarakat majmuk Malaysia untuk diadili oleh satu sistem perundangan yang meraikan kepelbagaian pegangan agama.

Namun demikian, konflik boleh muncul dalam keadaan-keadaan tertentu. Misalnya, kes-kes pemelukan agama Islam oleh salah seorang pasangan bukan Islam. Persoalan timbul tentang mahkamah manakah yang mempunyai bidangkuasa untuk menentukan status perkahwinan mereka. Mahkamah sivil atau mahkamah syariah? Jika pasangan ini mempunyai anak hasil daripada perkahwinan mereka, wujud persoalan tentang siapakah yang berhak menentukan agama anak dan mendapatkan hak penjagaan anak. Pasangan yang beragama Islam atau bukan Islam? Sekali lagi muncul persoalan tentang mahkamah manakah yang mempunyai bidangkuasa untuk mengadili kes-kes seperti ini. Mahkamah syariah atau mahkamah sivil?

Mahkamah Persekutuan dalam kes Subashini a/p Rajasingam lwn Saravanan a/l Thangathoray (selepas ini disebut Subashini) pada 27 Disember 2007 memutuskan perkara-perkara berikut:

1. Hanya Mahkamah Tinggi sivil boleh membubarkan perkahwinan orang bukan Islam yang dibuat di bawah undang-undang sivil walaupun salah seorang daripada mereka telah memeluk agama Islam. Perintah pembubaran perkahwinan sivil yang dibuat oleh mahkamah syariah tidak mempunyai kesan undang-undang terhadap status perkahwinan, selain menjadi bukti di Mahkamah Tinggi sivil tentang pembubaran perkahwinan tersebut mengikut undang-undang syarak. Hubungan dan tanggungjawab suami isteri masih lagi wujud sehinggalah Mahkamah Tinggi sivil mengeluarkan perintah pembubaran.

2. Pasangan yang telah memeluk agama Islam boleh menjadi pihak (sebagai responden) dalam permohonan pembubaran perkahwinan di Mahkamah Tinggi sivil. Sebaliknya, pasangan bukan Islam tidak boleh menjadi pihak dalam prosiding di mahkamah syariah kerana mahkamah syariah hanya mempunyai bidang kuasa dalam kes-kes yang melibatkan pihak-pihak yang beragama Islam sahaja.

3. Berdasarkan peruntukan di bawah Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan, mahkamah syariah mempunyai status yang setara dengan mahkamah sivil. Oleh yang demikian, mahkamah sivil tidak boleh mengeluarkan perintah injunksi menghalang pasangan yang memeluk agama Islam daripada meneruskan prosiding pembubaran perkahwinan dan penjagaan anak di mahkamah syariah. Permohonan perintah injunksi, jika dibenarkan, merupakan satu bentuk campurtangan oleh mahkamah sivil dalam prosiding mahkamah syariah.

4. Samada ibu atau bapa boleh menentukan status agama anak di bawah umur. Perkara 12(4) Perlembagaan Perseketuan menyebut “parent”, yang bermaksud samada ibu atau bapa, berhak menentukan status agama anak-anak di bawah umur 18 tahun. Justeru, pertukaran agama anak di bawah umur yang dibuat oleh pasangan yang memeluk agama Islam tanpa kebenaran pasangan bukan Islam adalah sah.

Berdasarkan penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam kes Subashini, terdapat beberapa implikasi dan permasalahan. Pertama, di bawah Seksyen 51 Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976, hanya pasangan bukan Islam boleh membuat petisyen pembubaran perkahwinan di Mahkamah Tinggi sivil setelah tamat tempoh tiga bulan daripada tarikh pasangannya memeluk agama Islam. Masalah akan timbul sekiranya pasangan bukan Islam tidak memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan setelah tamat tempoh tersebut. Kedua-dua pasangan masih mempunyai hak-hak dan tangungjawab-tanggungjawab sebagai suami isteri walaupun mereka secara realitinya sudah tidak lagi hidup sebumbung sebagai suami dan isteri.

Masalah yang lebih besar mungkin akan timbul sekiranya pasangan yang memeluk agama Islam berkahwin mengikut undang-undang Islam. Di sisi undang-undang sivil, beliau masih lagi merupakan seorang suami atau isteri kepada pasangan bukan Islam, walaupun kini mempunyai tanggungjawab baru sebagai suami atau isteri kepada pasangan beragama Islam. Apakah akan terjadi sekiranya beliau meninggal dunia sebelum sempat perkahwinan sivilnya dibubarkan? Apakah jawapan undang-undang terhadap persoalan mengenai hak “isteri-isteri” atau “suami-suami” beliau terhadap harta pusakanya?

Kedua, Mahkamah Persekutuan dalam kes Subashini tidak memberikan panduan yang jelas mengenai hak penjagaan anak. Oleh kerana Mahkamah Persekutuan mengatakan bahawa kedua-dua pihak berhak untuk membawa kes masing-masing ke mahkamah sivil dan mahkamah syariah, bagaimana pula sekiranya kedua-kedua mahkamah memberikan keputusan yang berbeza mengenai hak penjagaan anak. Keputusan mahkamah manakah yang perlu dipatuhi? Konflik perundangan pasti akan timbul sekiranya hal ini berlaku.

Dalam perundangan Islam, terdapat beberapa pandangan mengenai hak penjagaan anak khususnya di dalam kes-kes yang melibatkan perceraian disebabkan pertukaran agama. Jumhur ulama’ menegaskan bahawa anak akan mengikuti siapa yang beragama Islam. Ini bermaksud sekiranya berlaku perceraian disebabkan pertukaran agama, anak akan mengikuti bapa atau ibu yang beragama Islam. Asas utama kepada pandangan ini ialah Islam meletakkan kepentingan penjagaan aqidah anak tersebut. Imam Malik walau bagaimanapun berpandangan bahawa hak penjagaan anak akan diserahkan kepada bapa tanpa mengambil kira agama apa yang dianuti oleh si bapa dan anak dibenarkan membuat pilihan untuk memilih agamanya apabila sampai umur baligh iaitu pada umur 15 tahun ke atas. Ini adalah kerana hak penjagaan anak secara hakikinya terletak di atas bahu bapa.

Ulama’ Madinah pula mempunyai pandangan yang berbeza daripada kedua-dua pandangan di atas iaitu hak penjagaan anak diberikan kepada ibu dan anak boleh membuat pilihan apabila sampai umur baligh di mana asas kepada pandangan ini ialah secara tabiinya anak akan lebih cenderung untuk bersama-sama dengan ibu. Persoalannya, bagaimanakah pandangan-pandangan di atas boleh diaplikasikan dalam masyarakat majmuk Malaysia? Undang-undang syariah di Malaysia pada ketika ini memperuntukkan, dari segi urutan kepentingan, ibu akan mendapat hak penjagaan. Walau bagaimanapun, dari segi amalannya mahkamah akan sentiasa meletakkan pertimbangan hak penjagaan berdasarkan kepada kebajikan anak-anak.

Sebagai mekanisme penyelesaian konflik, undang-undang perlu memberikan panduan yang jelas tentang cara untuk mengatasi konflik. Lebih-lebih lagi di dalam kes-kes yang melibatkan pertukaran agama yang berpotensi menimbulkan pergolakan di dalam sebuah masyarakat majmuk, satu penyelesaian yang adil dan munasabah bagi kedua-dua pihak perlu dicari. Dalam konteks ini, adalah amat perlu bagi pihak kerajaan mengambil tindakan legislatif melalui pindaan undang-undang. Sebagai contoh, penulis mencadangkan Seksyen 51 Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (selepas ini dirujuk “Akta 1976”) perlu dipinda untuk membenarkan pasangan yang memeluk agama Islam memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan di Mahkamah Tinggi sivil. Pindaan ini boleh mengelakkan berlakunya “deadlock” jika pasangan bukan Islam tidak memfailkan petisyen perceraian.

Sebagai alternatif, kerajaan juga boleh menggubal undang-undang yang mengiktiraf pembubaran perkahwinan sivil oleh mahkamah syariah. Seterusnya, penggubal undang-undang juga disaran supaya pindaan seksyen 51 Akta 1976 dapat memperincikan kaedah hak penjagaan anak supaya tidak akan berlaku kezaliman terhadap anak-anak. Di dalam hal penjagaan anak ini, walaupun penulis cenderung kepada pandangan oleh jumhur ulama’ akan tetapi mengambil kira manhaj malizi yang terdiri daripada pelbagai kaum, pandangan Imam Malik dan juga Ulama’ Madinah perlu dipertimbangkan oleh penggubal undang-undang.

Rakyat Malaysia mengharapkan supaya keputusan yang tegas (bold) dapat dibuat oleh Mahkamah Persekutuan di dalam kes Subashini memandangkan ianya mengandungi isu-isu mendesak yang menguji keupayaan toleransi kemajmukan masyarakat dan hanya mampu diselesaikan oleh Mahkamah Apex. Apa yang pasti, keputusan kes Subashini nampaknya menimbulkan persoalan-persoalan yang lebih rumit yang memerlukan jawapan dan tindakan segera daripada pembuat undang-undang. Ada eloknya satu muzakarah peringkat tertinggi dapat dilaksanakan yang melibatkan tokoh-tokoh agamawan dan penggubal undang-undang supaya satu jawapan yang lebih segar dan progresif dapat dicapai di mana ianya akan memberikan manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia.

* Penulis yang merupakan graduan undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berasal dari Kampung Kesang Jaya, Jasin, Melaka dan sekarang ini beramal sebagai seorang Peguambela & Peguamcara dan juga Peguam Syarie. Sebarang maklum balas, sila emel kepada shamsuliskandar@yahoo.co.uk

Pengarang: Shamsul Iskandar

YB Datuk Seri Shamsul Iskandar @ Yusre bin Mohd. Akin Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya (Dikenali Parlimen Bukit Katil sebelum ini) (2013-kini) Mantan Timbalan Menteri Industri Utama (2018-2020) Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia (2018-kini) Mantan Naib Presiden KEADILAN (2014-2018) Mantan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (2007-2014)

One thought on “Pasca Subashini: Apakah Ada Jalan Keluar?”

  1. asalamu alaikum, saya setuju dengan artikel yang anda ulas, saya doakan semoga apa yang anda perjuangkan Allah merahmati, Amin
    salam berpikir merdeka

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: