BANDARAYA MELAKA – Pengerusi Perhubungan Pakatan Rakyat (PKR) Negeri Melaka, Shamsul Iskandar Mohd Akin mencabar Barisan Nasional (BN) tidak memfailkan sebarang rayuan ke Mahkamah Tinggi untuk mengetepikan keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh yang diisytiharkan kosong oleh mahkamah tersebut kelmarin.
Shamsul juga meluahkan keyakinannya bahawa peluang untuk Pakaran Rakyat (PR) untuk memenangi kerusi itu amat cerah berdasarkan rekod pemerintahan yang dicapai di kesemua negeri naungan PR sebelum ini.
“Berdasarkan Laporan Audit Negara 2009 yang memberikan penilaian empat bintang kepada pengurusan kewangan negeri yang diperintah oleh PR baru-baru ini.
“Ini menunjukkan bahawa, PR mempunyai reputasi baik dalam menguruskan wang negeri dan wang rakyat sehingga diberi pengiktirafan oleh badan yang sepatutnya menyebelahi BN,” katanya.
Katanya, UMNO atau BN diharap tidak menggunakan mahkamah untuk mengelak daripada bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) yang bakal diadakan sebaliknya berani menghadapi kuasa rakyat.
“Jika mereka yakin dengan kuasa rakyat yang dikatakan masih lagi berada di sebelah pihak mereka, maka mereka harus berani menerima keputusan mahkamah dengan hati terbuka dan berani berdepan dengan PR dalam PRK nanti,” katanya.
Kelmarin, kerusi DUN Kota Siputeh diisytiharkan kosong oleh Mahkamah Tinggi dan satu PRK bakal diadakan.
Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin memutuskan bahawa kerusi itu kosong selepas penyandangnya Datuk Abu Hassan Sarif tidak menghadiri dua persidangan DUN tahun ini.
Berikutan keputusan Mahkamah Tinggi itu, Abu Hassan juga dihalang daripada menghadiri persidangan DUN semalam.
Pejabat Ketua AMK