Kenyataan Media : Semangat dan Harapan Anak Muda Malaysia

KENYATAAN MEDIA
SHAMSUL ISKANDAR MOHD AKIN

“SEMANGAT DAN HARAPAN ANAK MUDA MALAYSIA”

Tanggal 16 September 2010, pertama kalinya Hari Malaysia diiktiraf sebagai batu tanda pembinaan sebuah negara yang meraikan jamak budaya. Hari Malaysia, kini berjaya dizahirkan sebagai satu sambutan besar yang bermakna hasil daripada perjuangan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dan Pakatan Rakyat secara khususnya.

Sewajarnya hari ini tidak dikenang sebagai satu sambutan yang biasa semata-mata. Ianya adalah satu manifestasi kesepaduan rakyat pelbagai kaum, dan generasi muda pastinya, untuk mencerahkan Malaysia sebagaimana yang ditekankan oleh YAM Almarhum Tunku Abdul Rahman lewat Pemasyhuran Kemerdekaan tanggal 31 Ogos 1957:

“..sebuah negara demokrasi yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa.”

Rentetan sejarah menunjukkan bagaimana generasi lama diiktiraf sebagai Generasi Merdeka. Dan selayaknya, generasi muda seperti kami, diiktiraf sebagai Generasi Malaysia.

Kelab Sultan Sulaiman ini sendiri mencatatkan sejarah yang unik, apabila menjadi medan muafakat pelbagai generasi untuk menentang penjajahan British ke atas Tanah Melayu. Bedanya hari ini, generasi muda bermuafakat di medan yang sama untuk melaung manifestasi semangat dan harapan anak muda untuk menolak penjajahan era baru oleh Umno-BN.

Tercetusnya gerakan reformasi pada tahun 1998, menggambarkan keluh kesah generasi muda yang selama ini terpasung minda dan jasad di dalam kerangka politik sempit ciptaan Umno-BN zaman berzaman. Ini dapat dilihat melalui peranan aktif kelompok muda untuk menggerakkan gerakan reformasi bersendikan slogan “Ke Arah Malaysia Yang Adil” pada waktu itu. Natijahnya, muafakat parti-parti pembangkang seperti KEADILAN (Parti KeADILan Nasional ketika itu), PAS, DAP dan PRM (kini bergabung dengan Keadilan) dan juga badan swadaya masyarakat (NGO) seluruh Malaysia yang tidak pernah berlaku dalam sejarah sebelum ini, berjaya mendatangkan gerun kepada Umno-BN.

Usai sepuluh tahun kemudian, generasi muda secara berani menterjemahkan suara mereka yang kian lama terbungkam, melalui Pilihanraya Umum Ke-12 2008, hingga tercetusnya tsunami politik. Lewat lembayung “Harapan Baru Untuk Malaysia”, suara anak muda mula bergema di dinding-dinding Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, sebagai peringatan bahawa generasi muda juga harus mempunyai ruang agar suara mereka didengar, dan harapan mereka direalisasi.

Demi meraikan peranan dan suara generasi muda yang kian aktif, tahun ini, KEADILAN mengorak langkah yang berbeza dan unik melalui pelaksanaan sistem pengundian demokratik yang julung kali berlaku dalam sejarah parti-parti politik Malaysia. Ini pastinya sesuatu yang memberikan nafas baru kepada politik baru Malaysia, bagaimana suara setiap anggota didengar dan diperinci sehalusnya.

Angkatan Muda KEADILAN Malaysia (AMK) mengalu-alukan perubahan ini. AMK merasai perit jerih yang bukan sedikit. Jatuh bangun dengan gelodak pengkhianatan dan harapan rakyat yang silih berganti, menyaksikan AMK bangkit dengan kematangan yang berbeza.

Menginsafi realiti bahawa generasi muda harus memainkan peranan yang lebih besar di dalam pembudayaan demokrasi dalam KEADILAN, dan mempertimbangkan gesaan generasi muda parti agar idealisme anak muda diangkat dengan lebih berkesan, saya dengan ini mengumumkan untuk menawar diri untuk mengisi ruang kepimpinan parti sebagai Naib Presiden KEADILAN.

KEADILAN telah membuktikan kemampuannya sebagai sebuah platform yang menyediakan ruang dan peluang yang kondusif untuk generasi muda lebih berperanan di dalam politik negara. Dan tentunya ia harus diterjemah melalui penyertaan strategik kepimpinan muda dalam heirarki KEADILAN.

Dukungan penuh ke atas kepimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail selaku kemudi KEADILAN akan lebih bermakna dengan kemampuan pimpinan untuk mendampingi generasi muda, dan saya bersedia memikul peranan tersebut, seandainya diamanahkan.

SHAMSUL ISKANDAR MOHD AKIN
KUALA LUMPUR
16 SEPTEMBER 2010

Pengarang: Shamsul Iskandar

Ahli Parlimen Bukit Katil, Melaka Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Parti KEADILAN Rakyat (PKR) Pengerusi KEADILAN Majlis Pimpinan Negeri Melaka Peguam, Yusof Rahmat & co, Ketua KeADILan Cabang Jasin, Melaka

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s