Bahawasanya Dewan yang mulia ini menyatakan pendirian terhadap Kerajaan Persekutuan dan Polis Di Raja Malaysia untuk:-
(i) Menghentikan segala tangkapan dan halangan kepada kempen Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) 2.0 di Selangor malahdi seluruh negara;
dan Kerajaan Negeri seterusnya:-
(ii) Mempertahankan hak rakyat untuk menggunakan kemudahan-kemudahan Kerajaan Negeri, badan-badan berkanun Negeri, syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan tanpa halangan polis atau mana-mana pihak selari dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
Pada 9 Julai 2011, BERSIH telah mengadakan perhimpunan aman bagi mempertahankan prinsip demokrasi yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
BERSIH telah pun menjunjung kasih di atas titah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong telah menasihatkan BERSIH dan pihak Kerajaan Persekutuan untuk menjcari jalan penyelesaian untuk semua.
Justeru BERSIH bersetu mengadakan perhimpunan di Stadium Merdeka. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri turut menawarkan stadium sekiranya BERSIH sanggup bertolak ansur.
Namun YAB Perdana Menteri telah mungkir janji. Permit turut ditolak pihak Polis. Polis turut mengadakan sekatan jalan raya semata-mata untuk menyusahkan rakyat dan menggagalkan perhimpunan BERSIH.
Bukan sahaja aktivis BERSIH termasuk anggota parti politik berdaftar ditangkap seolah-olah penjenayah, baju-baju kuning turut dirampas.
Akhirnya terbukti suara rakyat suara keramat. Rakyat Malaysia pelbagai kaum dan latar belakang, tua dan muda tetap turun berduyun-duyun bukan sahaja di Malaysia malah seluruh dunia bagi menyatakan solidariti terhadap perjuangan menuntut demokrasi.
Di sebelah malam pula dalam program di Kelana Jaya, Polis telah mengadakan sekatan jalan dan mengepung Kompleks PKNS. Walaupun saya cuba berunding, permintaan saya ditolak dan program tersebut terpaksa dibuat di Pusat Khidmat saya.
Memandangkan ini melibatkan hak asasi manusia dan konsep Demokrasi Berperlembagaan, perkara ini hendaklah disegerakan selepas tindakan Kerajaan Persekutuan dan Polis Di Raja Malaysia yang telah menghina kedudukan Kerajaan Negeri dan lebih penting lagi merupakan pelanggaran kepada Perlembagaan Persekutuan.