Bebas Dari AUKU Harus Bermula Dari IPT Negeri Pakatan

Dari Malaysian Insider

16 Disember 2011

IPT negeri Pakatan harus amal semangat bebas AUKU

PETALING JAYA, 16 Dis — Kepimpinan muda PKR hari ini menggesa institusi pengajian tinggi di negeri-negeri Pakatan Rakyat agar bebas semangat Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) bagi menunjukkan komitmen mereka terhadap kebebasan akademik.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar (gambar) berkata, sebagai sebuah parti yang memperjuangkan kebebasan akademik, institusi pengajian tinggi di negeri-negeri pimpinan mereka seperti Universiti Industri Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di Kedah seharusnya menunjukkan semangat bebas AUKU dalam pentadbiran mereka.

“Kami mahukan negeri-negeri Pakatan yang menguasai universiti dan kolej tertentu untuk menunjukkan komitmen yang lebih mendalam terhadap kebebasan akademik.

“Mahasiswa kritikal dalam tindakan mereka dan cara negeri Kedah menghadapi krisis di KUIN dan negeri Selangor yang dilihat tidak mengambil tindakan terhadap perkara ini di Unisel tidak memperlihatkan perjuangan Pakatan,” jelasnya ketika sidang media di ibu pejabat PKR di sini.

Tambah Ahli Parlimen Lembah Pantai ini, mereka lantang memperjuangkan hak kebebasan akademik dan pemansuhan AUKU di peringkat pusat, dan seharusnya negeri-negeri pimpinan mereka mendahului perjuangan komponen pembangkang itu.

Kenyataan itu turut di sokong oleh Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Menurut beliau, tiada salahnya institusi pengajian tinggi menganjurkan wacana bebas AUKU sebagai tanda menyokong usaha kepimpinan pusat berkaitan perkara itu.

“Apa salahnya Unisel menganjurkan wacana-wacana yang lebih terbuka, kita boleh jemput Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan lain-lain kepimpinan parti politik untuk duduk dan berdiskusi dengan lebih terbuka di dalam kampus, tetapi setakat ini tiada tindakan daripada Unisel berhubung perkara ini,” jelas ADUN Seri Setia.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Md Akin menegaskan PKR memandang serius terhadap penangkapan 15 pelajar di KL Sentral kelmarin kerana mengadakan “flash mob” membantah AUKU.

“Kami anggota muda PKR memandang serius perkara ini kerana tindakan penahanan 15 pelajar daripada Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) itu jelas bercanggah dengan prinsip transformasi kebebasan yang dilaungkan Perdana Menteri,” katanya.

Menurutnya lagi, PKR menyokong penuh usaha mahasiswa berkenaan dan mengharapkan agar dapat mengadakan dialog terbuka di kampus-kampus universiti di negara ini.

“AMK akan melaksanakan tindakan agresif di kampus-kampus universiti di negara ini untuk berdialog dengan pelajar menggunakan bendera politik, dan kami percaya Pemuda Umno telah melakukan perkara yang sama tanpa halangan.

“Oleh itu, PKR menuntut Naib Canselor universiti-universiti berkenaan mengambil sikap terbuka untuk membenarkan kami melaksanakan perkara itu,” katanya lagi.

Tambahnya, PKR mendukung usaha mahasiswa yang berjuan untuk memansuhkan AUKU dan juga berharap dapat melibatkan golongan lain yang menyokong usaha ini.

Dalam sidang media itu juga, PKR menyambut baik jemputan daripada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah untuk bersama-sama mengadakan sesi meja bulat untuk berbincang berkenaan pindaan AUKU dan PKR telah sepakat memilih Nik Nazmi sebagai wakil parti untuk tujuan berkenaan.


—Malaysian Insider

Pengarang: Shamsul Iskandar

Ahli Parlimen Bukit Katil, Melaka Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Parti KEADILAN Rakyat (PKR) Pengerusi KEADILAN Majlis Pimpinan Negeri Melaka Peguam, Yusof Rahmat & co, Ketua KeADILan Cabang Jasin, Melaka

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s