Tragedi Berdarah, Tragedi Hitam Buat Gerakan Kebebasan Akademik – Ketua AMK


Kenyataan Media

Oleh: Shamsul Iskandar Mohd Akin

1 Januari 2012

KEGANASAN POLIS TERHADAP MAHASISWA DIKECAM

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak polis yang menggunakan kekerasan terhadap mahasiswa yang berhimpun secara aman di depan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Perak awal pagi tadi. Pengerusi Gerakan Kebebasan Akademik (BEBAS) saudara Safwan Anang dilaporkan masih lagi terlantar di Hospital Slim River, Perak akibat patah tulang rusuk kesan dari tindakan ganas pihak polis. Rakaman video insiden tersebut yang kini telah dimuatnaik di beberapa laman sosial di internet juga jelas menunjukkan bahawa pihak polis telah bertindak keterlaluan tatkala meleraikan demonstrasi aman tersebut.

AMK menyifatkan peristiwa ini sebagai suatu tragedi hitam dalam sejarah gerakan kebebasan akademik dan merupakan satu bentuk penghinaan terhadap mahasiswa. Apakah layak bagi sekumpulan mahasiswa yang berhimpun bagi tujuan menuntut kebebasan akademik dilayan dan diperlakukan sedemikian zalim oleh pihak berkuasa? Insiden ini jelas menzahirkan bahawa pentadbiran Dato’ Sri Najib Razak tidak serius dalam usaha meminda Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) dan ianya tidak lebih sekadar gimik politik murahan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.

Apa yang berlaku semalam membuktikan bahawa pendekatan pentadbiran Dato’ Sri Najib kini semakin mirip kepada kaedah otokratik yang diamalkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Ini jelas bertentangan dengan janji beliau sendiri kononnya untuk menjadi pemimpin yang mendengar suara rakyat dan mesra anak muda. Harus diingat bahawa kejatuhan rejim di Tunisia dan Mesir bermula tatkala pihak berkuasa bertindak zalim dengan menindas anak muda dan mahasiswa. Peristiwa yang berlaku awal pagi tahun baru 2012 ini secara tersirat menandakan bermulanya kejatuhan rejim UMNO-Barisan Nasional.

Justeru, AMK menuntut supaya satu siasatan menyeluruh dijalankan terhadap insiden keganasan ini dan anggota polis yang bertanggungjawab mencederakan mahasiswa dihadapkan ke muka pengadilan. Kami juga menuntut supaya Menteri Dalam Negeri yang bertanggungawab terhadap pasukan polis supaya memohon maaf kepada mahasiswa yang dizalimi serta ahli keluarga mereka. AMK juga menawarkan khidmat guaman kepada semua mahasiswa yang terlibat sekiranya mereka berhasrat untuk mengambil tindakan perundangan terhadap pihak polis.


SHAMSUL ISKANDAR MOHD AKIN
Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK) Malaysia

Keadilan Untuk Anwar! Ayuh turun 9 Januari 2012!

Pengarang: Shamsul Iskandar

Ahli Parlimen Bukit Katil, Melaka Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Parti KEADILAN Rakyat (PKR) Pengerusi KEADILAN Majlis Pimpinan Negeri Melaka Peguam, Yusof Rahmat & co, Ketua KeADILan Cabang Jasin, Melaka

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s