
Kenyataan Media
Oleh: Shamsul Iskandar Mohd Akin
11 Januari 2012
INSIDEN LETUPAN BOM: PERKASA DICABAR NAFI PENGLIBATAN, UTUSAN DIDESAK DEDAH IDENTITI SUMBER POLIS
AMK berpandangan bahawa insiden letupan bom ini adalah percubaan jahat pihak tertentu untuk mencemarkan imej polis kerana difahamkan bahawa bom tersebut telah diletakkan di bawah kon keselamatan pihak polis sendiri. Di samping itu, ianya juga bertujuan untuk memburukkan imej peserta perhimpunan yang jelas berjaya menurut semua arahan polis dan memberikan kerjasama penuh dalam memastikan perhimpunan tersebut berjalan dalam situasi aman dan selamat.
Kita semua sedia maklum bahawa penyokong-penyokong Saiful Bukhari Azlan yang dikatakan terdiri daripada beberapa orang ahli Perkasa turut berada berhampiran dengan lokasi di mana letupan bom tersebut berlaku. Sebelum daripada itu, Presiden Perkasa Dato’ Ibrahim Ali turut membuat kenyataan kepada pihak media bahawa Perkasa akan turun untuk melakukan provokasi pada perhimpunan Bebas Anwar 901. Apakah wujud kemungkinan bahawa insiden letupan tersebut didalangi oleh ahli Perkasa?
Sehubungan dengan itu, AMK ingin mencabar Perkasa supaya menafikan sebarang penglibatan mereka dalam insiden letupan tersebut. AMK juga mendesak akhbar Utusan Malaysia supaya mendedahkan identiti ‘sumber polis’ yang dikatakan mendakwa bahawa tiga butir bom yang meletup kelmarin adalah milik peserta perhimpunan Bebas Anwar 901. Adalah cukup pelik kerana pihak polis sendiri masih belum mengumumkan hasil siasatan berhubung insiden tersebut tetapi akhbar Utusan Malaysia telah melaporkan ‘hasil siasatan’ mereka sendiri yang kemudiannya diolah menjadi berita fitnah dan propaganda jahat. Justeru, pihak AMK akan menulis surat rasmi kepada Ketua Polis Kuala Lumpur bagi memohon beliau mengumumkan hasil siasatan polis dan pihak yang bertanggungjawab dalam insiden tersebut yang mana telah menyebabkan beberapa orang peserta perhimpunan mengalami kecederaan.
SHAMSUL ISKANDAR MOHD AKIN
Ketua
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia