
KENYATAAN MEDIA
SHAMSUL ISKANDAR MOHD AKIN
22 FEBRUARI 2012
PERDAGANGAN DENGAN ISRAEL: APA PENDIRIAN PEMUDA UMNO?
Adalah satu tindakan yang memalukan bagi seorang pemimpin pemuda seperti Khairy untuk melaungkan tuduhan-tuduhan yang hanya menampakkan ketidak cerdikan beliau sebagai seorang pemimpin. Malah, tindakan ini hanya menunjukkan hipokrasi UMNO khususnya di dalam isu Israel ini.
Apa pendirian Khairy mengenai pendedahan kapal-kapal yang dimiliki sebuah syarikat yang didakwa dikuasai oleh kerajaan Israel mempunyai akses bebas ke Westport, Pelabuhan Klang? Dan AMK juga berminat untuk tahu pendirian Khairy mengenai penjelasan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir bahawa kerajaan tidak melarang perdagangan antara syarikat swasta negara ini dengan ahli-ahli perniagaan Israel.
Rakyat Malaysia juga tidak lupa bagaimana Malaysia menjalankan urusniaga konsultansi dengan APCO Worldwide yang menjadi isu kontroversi pada tahun 2010 yang menyaksikan Dato’ Seri Anwar digantung daripada Parlimen selama 6 bulan.
Sebagaimana yang diulang dengan tegas, baik daripada Dato’ Seri Anwar sendiri mahupun KEADILAN, aspirasi rakyat Palestin sentiasa menjadi keutamaan KEADILAN dan Pakatan Rakyat, disamping menyantuni pendirian Hamas untuk mengiktiraf pendekatan ‘two state solution’ sebagai penyelesaian krisis Palestin-Israel.
Adalah lebih mendukacitakan bagi UMNO, yang kononnya memperlihatkan sikap anti-Israel di media, tetapi mempunyai kebusukan yang tidak boleh ditampung dengan rentetan pendedahan mengenai hubungan dalam gelap antara Kerajaan Umno-BN dengan Israel.
Sekiranya benar mereka komited dengan sentimen anti-Israel yang sedang dilaungkan ini, AMK mencabar Khairy dan Pemuda Umno seluruhnya, untuk sama-sama menyatakan bantahan kepada Kerajaan Malaysia khususnya Perdana Menteri atas hipokrasi yang ditunjukkan oleh kerajaan dalam isu dagangan dengan Israel, seterusnya menghentikan sebarang bentuk hubungan dagang dengan Israel yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia.
AMK menunggu respon balas Khairy mengenai hal ini. Semoga beliau tidak berdolak dalik sebagaimana yang dilakukan beliau dalam debat mengenai skandal NFC.
SHAMSUL ISKANDAR MOHD AKIN
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia