
Kenyataan Akhbar
Tan Sri Abdul Khalid Bin Ibrahim
22 Februari 2012
MAIS DAN JAIS PERLU MENGESAHKAN DAKWAAN MURTAD
Ini berikutan dakwaan yang dibuat oleh Dato’ Hasan Ali dan kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) yang cuba mewujudkan tidakstabilan terhadap masyarakat Islam dan bukan Islam khusus di Negeri Selangor.
Kenyataan Dato’ Hasan melibatkan tiga perkara iaitu: kitab injil berkuasa solar (solar-powered talking bible), mubaligh Kristian berpakaian jubah memasuki masjid dan minum serta mandi air suci.
Apa yang jelas sekarang adalah dakwaan-dakwaan ini tidak disertakan dengan bukti yang kukuh tetapi telah mula mewujudkan rasa tidak selesa di kalangan masyarakat majmuk.
Dakwaaan ini juga tidak konstruktif kerana ianya semata mahu melemahkan peranan MAIS dan JAIS dan akhirnya memberi kesan DYMM Sultan Selangor selaku ketua agama Islam dimana Tuanku telah melakukan usaha baik dan bersungguh untuk memartabatkan agama Islam .
Oleh yang demikian, adalah amat penting untuk JAIS dan MAIS menjalankan siasatan terperinci ke atas dakwaaan ini dan bertindak untuk keadilan bagi semua pihak.
Kerajaan Negeri juga akan berbincang dengan MAIS dan JAIS jika dakwaan tanpa bukti ini boleh dibiarkan berterusan.
Selama ini kita tidak menyekat mana-mana individu atau NGO dari bersuara tentang perkara ini walaupun ianya tidak selari dengan pendirian kerajaan Pakatan Rakyat; dimana mereka dibenarkan mengguna premis milik kerajaan negeri atau anak syarikat untuk kegiatan ceramah mereka.
Walaupun Kerajaan Negeri mengambil sikap terbuka, kita tidak akan menyokong penggunaan premis kita untuk sebarang aktiviti yang boleh memecah-belahkan masyarakat. Jika dakwaan yang dibuat boleh menimbulkan ketegangan, maka kita perlu fikirkan tindakan yang sesuai untuk menegakkan keadilan dan kebenaran untuk semua.
TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR