Dari Keadilankini
27 Februari 2012
AMK kecam keganasan Umno dan Perkasa
KUALA LUMPUR, 27 Feb: Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), Lee Khai Loon mengecam sekeras-kerasnya tindakan keganasan dan perangai tidak bertamadun UMNO dan Perkasa yang membuat kecoh di Himpunan Hijau 2.0 di Sudut Pidato, Pulau Pinang semalam.
Keganasan yang dilakukan oleh Umno dan Perkasa itu teah mengakibatkan dua orang wartawan termasuk seorang yang terpaksa memerlukan lapan jahitan di tangan serta orang awam telah dicederakan oleh kumpulan samseng tersebut.
Jelas Lee, lebih mendukacitanya adalah tindakan polis yang lewat mengawal keadaan dan tidak berupaya untuk mengelakkan kecoh berlaku.
Malahan pihak polis menuduh pihak penganjur tidak memaklum kepada polis lebih awal.
“Sebenarnya program-program yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat atau masyarakat sivil bukan pertama kali menghadapi kecoh dan provokasi daripada golongan samseng yang dipercayai berkaitan dengan UMNO dan PERKASA.
“Banyak perbuatan samseng telah berlaku di ceramah atau program yang diadakan di Selangor, Melaka dan Pahang termasuk Ketua Umum Parti KEADILAN Rakyat, kereta Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dirosak oleh sekumpulan samseng di Sembrong minggu lepas,” jelasnya melalui kenyataan media yang dihantar.
Tambahnya, Anggota AMK juga dicederakan pada kejadian di Sembrong itu tetapi sampai kini tiada seorang yang ditangkap untuk siasatan atau dituduh.
Menurutnya lagi, AMK mendapati bahawa pelbagai gambar dan bukti telah diambil serta direkodkan oleh peserta Himpunan Hijau 2.0 di Pulau Pinang. Gambar juga menunjukkan bahawa Timbalan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gelugor, Dr. Novandri Hasan Basri muncul di kawasan insiden bersama dengan samseng yang membuat kecoh dan provokasi.
“AMK menyeru agar polis mengambil tindakan tegas terhadap golongan yang memukul dan mencederakan wartawan dan orang awam.
“Polis perlu bersikap neutral serta professional dalam menyiasat insiden tersebut agar mengembalikan kewibawaan polis.
“Banyak laporan polis telah dibuat tetapi tiada tindakan serius diambil untuk membanteras insiden tersebut terus berlaku dan seterusnya mengelakkan sebarang persepsi polis yang berpihak sebelah,” sambungnya.
Sementara itu, AMK juga turut mengucapkan tahniah kepada semua peserta Himpunan Hijau 2.0 yang berjaya menunjukkan sikap disiplin, rasional serta aman dalam menolak pembinaan loji LYNAS di Malaysia.
Perhimpunan bantah LYNAS bukan sahaja berlaku di seluruh negara malah luar negeri telah mencapai satu titik sejarah perjuangan rakyat yang penting di Malaysia.
“AMK menyeru agar kerajaan akan akur kepada tuntutan rakyat untuk hentikan LYNAS. Malaysia bukan sebuah negara miskin, maka tidak perlu menarik pelaburan yang mencemari serta mengugat keselamatan rakyat seperti radioaktif,” katanya.
Sekiranya kerajaan Malaysia benar-benar mengamal prinsip rakyat diutamakan seperti yang diwar-warkan dalam 1 Malaysia, maka perlu mengkaji semula dasar pelaburan asing untuk memastikan bahawa industri yang mencemari dan mengugat keselamatan orang ramai.
—Keadilankini