Sila Beri Kuasa Pendakwaan Pada SPRM – AMK


Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

29 Februari 2012

Beri Kuasa Pendakwaan Kepada SPRM

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) ingin memberikan pandangan mengenai beberapa isu bersabit bidang kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak pada Program Pegawai Integriti Bertauliah di Putrajaya 27 Februari 2012 yang lepas.

Pertama, merujuk kepada kenyataan Dato’ Sri Najib bahawa lebih kuasa akan diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika BN menang majoriti dua-pertiga dalam PRU-13. AMK mempersoalkan komitmen ini yang kelihatan sangat meragukan.

AMK sendiri sebelum ini, secara konsisten melakukan puluhan laporan kepada SPRM melibatkan pelbagai salah laku dan penyelewengan kuasa yang melibatkan politikus Umno-BN. Tetapi, tidak ada satu pun laporan beserta bukti kukuh yang dikemukakan oleh pihak AMK, diambil serius oleh pihak SPRM. Ini senario yang berlaku dalam keadaan Umno-BN sendiri sedang memerintah Malaysia dengan majoriti mudah di Parlimen. Justeru rakyat boleh membayangkan, sekiranya majoriti dua-pertiga diberikan kepada Umno-BN, apakah yang bakal terhasil?

Terbaharu, sekiranya benar agenda pembanterasan rasuah menjadi komitmen terpenting kerajaan, maka seharusnya dalam kes Pusat Fidlot Nasional (NFC), tindakan pendakwaan boleh diambil pada kadar segera dengan informasi yang dikira sangat mencukupi untuk menghadapkan pihak-pihak berkenaan ke muka pengadilan. Tetapi sehingga ke hari ini, tiada apa yang boleh dilihat. Malah Dato’ Sri Najib sendiri mempertahankan kredibiliti Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil yang terlibat secara tidak langsung dalam skandal NFC ini.

Komitmen Dato’ Sri Najib ini, sebenarnya memberikan satu petanda jelas, bahawa SPRM akan menjadi lebih mandul sekiranya BN terus diberikan mandat memerintah negara, baik melalui majoriti mudah mahupun majoriti selesa.

Kedua, mengenai persetujuan kerajaan agar SPRM mempunyai akses penuh kepada dokumen-dokumen pengisytiharan harta mana-mana anggota pentadbiran.

AMK secara prinsipnya menyambut baik pelaksanaan ini. Walaubagaimanapun, yang menimbulkan persoalan besar di sini ialah mengenai ketelusan pelaksanaan dan kuasa pendakwaan.

Dalam aspek ketelusan pelaksanaan, mengapakah tidak ada usaha oleh kerajaan untuk mencontohi Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang yang membuka akses pengisytiharan harta kepada awam, berbanding hanya menspesifikkan kepada SPRM semata-mata. AMK meragui hal ini kerana, laporan yang mempunyai bukti sahih pun tidak mendapat perhatian SPRM, inikan pula SPRM akan sanggup bertindak ke atas satu dokumen yang tidak diklasifikasikan sebagai dokumen awam dan terbuka.

Mungkin dalam hal ini, AMK tegas berpendapat, Dato’ Sri Najib wajar memulakan langkah untuk mengisytiharkan harta kepada khalayak terlebih dahulu, agar mudah menjadi ikut bagi anggota-anggota pentadbiran lainnya.

Dalam konteks kuasa pendakwaan, AMK berpandangan ia tidak seharusnya khusus kepada Peguam Negara semata-mata, sebaliknya, pindaan Rang Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2008 perlu dipinda agar kuasa pendakwaan diberikan sepenuhnya oleh SPRM. AMK yakin dan percaya, sekiranya ini dicadangkan, Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat akan menyatakan pendirian bersetuju dengan pindaan ini demi memastikan agenda membanteras rasuah dapat dilaksanakan dengan telus.

Tuntasnya, AMK melihat usaha membanteras rasuah di Malaysia harus mempunyai political will yang utuh dan nyata demi kemaslahatan rakyat Malaysia seluruhnya. Dan AMK percaya, dengan komitmen yang jelas, SPRM mampu memainkan peranan yang baik SEKIRANYA Umno-BN berjaya ditumbangkan dalam PRU-13 yang akan datang.


Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK) Malaysia

Pengarang: Shamsul Iskandar

YB Datuk Seri Shamsul Iskandar @ Yusre bin Mohd. Akin Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya (Dikenali Parlimen Bukit Katil sebelum ini) (2013-kini) Mantan Timbalan Menteri Industri Utama (2018-2020) Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia (2018-kini) Mantan Naib Presiden KEADILAN (2014-2018) Mantan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (2007-2014)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: