
Kenyataan Media
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia
14 Mac 2012
AMK prihatin dengan masalah “Generasi Hamba Rumah”
Perlaksanaan skim tersebut terbukti sudah gagal kerana adalah tidak realistik dari segi mengatasi keupayaan golongan muda yang berpendapatan di bawah RM3000 sebulan. Mengikut Perdana Menteri Najib Tun Razak, sebanyak 1,623 permohonan bagi jaminan di bawah Skim Rumah Pertamaku telah diterima sehingga Januari tahun ini, hanya 280 pinjaman yang diberikan jaminan dengan nilai RM41.1 juta.
Sejak pelancaran skim tersebut pada bulan Mac 2011, hampir 10 bulan kerajaan hanya menerima
162 permohonan sebulan serta 28 permohonan daripadanya diluluskan. Pencapaian sebegitu memang mengecewakan dan mendedahkan kelemahan kerajaan dalam menangani keperluan masyarakat untuk memiliki rumah sendiri. Masalah tersebut juga menunjukkan bahawa dasar kerajaan berjurang besar dengan keadaan sebenar yang dihadapi oleh masyarakat umum.
Semasa pembentangan Belanjawan 2012, Perdana Menteri Najib Tun Razak telah menaikan had maksimum pinjaman harga rumah dalam Skim Rumah Pertamaku daripada RM220,000 kepada RM400,000 kepada pasangan suami isteri yang berpendapatan kurang daripada RM6,000.
Namun demikian, sektor perbankan tidak menerima baik dengan Skim Rumah Pertamaku malah berpendapat bahawa adalah mustahil untuk memberi pinjaman 100% kepada orang muda di bawah 35 tahun. Maklum balas sektor perbankan merupakan satu tamparan kuat kepada kerajaan yang hanya tepuk sebelah tangan.
AMK menegaskan bahawa Skim Rumah Pertamaku hanya membantu orang muda membeli rumah melalui pinjaman tetapi tidak menyelesaikan masalah keupayaan kewangan yang ada pada orang muda.
Ramai orang muda yang berpendapatan kurang daripada RM3000 sebulan merupakan golongan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Mereka tidak berupaya untuk membayar ansuran pinjaman bank yang memakan separuh daripada pendapatan bulanan mereka.
Oleh itu, skim tersebut hanya akan menyebabkan lebih ramai orang muda terjerumus sebagai ‘Generasi Hamba Rumah’, bagaikan merompak yang miskin untuk yang kaya. Lebih membimbangkan adalah skim tersebut telah mendorong aktiviti spekulasi harga hartanah yang akhirnya akan memberi keuntungan yang lumayan kepada syarikat hartanah yang besar.
AMK berpendapat bahawa sebagai kerajaan yang bertanggungjawab perlu campur tangan dalam mengawal harga hartanah khasnya menangani masalah spekulasi hartanah yang panas. Di samping itu, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu bekerjasama untuk membina lebih banyak rumah mampu milik untuk memenuhi permintaan orang muda.
Konsep bina jual perlu dilaksanakan berperingkat agar tiada projek terbengkalai yang merugikan pembeli rumah.
Akhir sekali, AMK mencadangkan kerajaan yang bertanggungjawab perlu melindungi hak habitat yang merupakan hak asasi manusia. Masalah ‘Generasi Hamba Rumah’ kian hari kian serius dan perlu ditangani dengan mengawal penawaran dan permintaan dengan bijaksana. Kerajaan tidak boleh melepas tangan dan membiarkan orang muda menjadi hamba rumah.
LEE KHAI LOON
Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia