
Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia
3 April 2012
Jawapan Balas Kepada Kenyataan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi: Reformasi sistem dan bukan Transformasi untuk Bebaskan Rakyat Malaysia
AMK melihat kenyataan ini merupakan satu kenyataan yang melucukan dalam keadaan rakyat dapat menilai dengan jelas apa yang sedang dilalui oleh rakyat mutakhir ini.
Agenda reformasi merupakan agenda untuk membebaskan rakyat Malaysia daripada elemen pembodohan yang dilakukan secara sistematik oleh Umno-BN sejak sekian lamanya. Terlahir dari Deklarasi Permatang Pauh 1998, falsafah perjuangan ini dimurnikan dari semasa ke semasa dan diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan khususnya melalui pentadbiran kerajaan – kerajaan negeri Pakatan Rakyat selepas kemenangan diraih usai Mac 2008.
Membanding-bezakan reformasi dan transformasi adalah sesuatu yang janggal, dalam keadaan agenda transformasi yang dicanang oleh Umno-BN melalui kepimpinan Dato’ Sri Najib Razak, merupakan agenda yang diciplak daripada apa yang direncanakan oleh Pakatan Rakyat. Malah dalam sesetengah keadaan, lebih parah prestasinya dibandingkan dengan pentadbiran negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat.
Melalui pendekatan reformasi, terbukti bagaimana pengurusan kewangan negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat menunjukkan peningkatan prestasi yang mengagumkan, meskipun ada negeri seperti Selangor dan Pulau Pinang misalnya, hanya ditadbir Pakatan Rakyat selama empat tahun sahaja.
Tetapi lihat bagaimana Agenda Transformasi membenarkan penyelewengan wang rakyat seperti yang didedahkan secara konsisten melalui Laporan Ketua Audit Negara, mengambil contoh skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC) misalnya.
Agenda Transformasi, meskipun indah melalui pelbagai bentuk slogan dan akronim dasar seperti ETP, GTP dan lain-lain akronim lagi, merupakan agenda yang boleh disifatkan ‘syok sendiri’ apabila pihak yang menghasilkan agenda ini merupakan pihak yang menilai dan memberikan penarafan kononnya agenda ini ‘berjaya’. Sedangkan rakyat di bawah tidak merasai secara menyeluruh apa yang sebenarnya digarap oleh pemerintah melalui dasar-dasar ini.
Hakikatnya rakyat khususnya generasi muda terus tertindas dengan kekangan kos sara hidup, disebalik agenda ‘rakyat didahulukan pencapaian diutamakan’ yang dicanang-canangkan oleh Umno-BN.
Tuntasnya, AMK menyarankan Ahmad Zahid agar lebih membuka mata dan pemikiran beliau, dan tidak terus terperosok di dalam sindrom penafian yang berterusan. Berhentilah membodohkan rakyat dengan membanding-bezakan sesuatu yang tidak setara sama sekali, kerana rakyat hari ini lebih bijak untuk menilai pihak mana yang lebih diyakini untuk membawa masa depan Malaysia ke arah yang lebih baik.
Demi rakyat dan Malaysia yang lebih adil dan demokratik, agenda reformasi adalah jawapannya.
Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia