
Dari Keadilan Daily
22 April 2012
Lebih 16,000 pengundi dipindah di Melaka- Shamsul
Ia berikutan pendedahan mengenai video seorang anak kepada ADUN Umno di Melaka yang terlibat dalam usaha Umno-BN negeri itu memindahkan alamat pengundi ke Melaka, khasnya di kawasan parlimen Bukit Katil.
Komplot jahat dan terancang itu turut melibatkan kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), yang dijalankan sebelum Mac lalu di empat universiti awam dan swasta di Melaka.
“Data 16,000 pengundi yang ditukar alamat disahkan sendiri oleh SPR dalam pertemuan baru-baru ini dan saya sendiri bersama teman-teman dalam Pakatan Rakyat Parlimen Bukit Katil akan membawa video ini segera ke SPR, SPRM dan polis untuk tindakan susulan.
“Kita juga mendesak pentadbiran Datuk Seri Najib Razak segera menyelesaikan masalah ini dengan segera sebelum Parlimen dibubarkan,” tegasnya.
Shamsul berkata, komplot jahat itu dilakukan kerana Umno-BN dilihat sangat sukar untuk mempertahankan kawasan parlimen di Melaka, selain dua dari empat kerusi DUN dimenangi Pakatan Rakyat pada PRU lalu.
“Tidak hairan apabila Umno Melaka memperalat mahasiswa untuk menukar alamat bagi mengundi mereka pada PRU kali ini kerana Umno sendiri tidak yakin untuk menang,” katanya lagi.
— Keadilan Daily
______________________________________
Video anak Adun terlibat pindah alamat, bukti penipuan undi- Fuziah
“Pendedahan ini mengesahkan desakan kita selama ini bahawa memang benar wujudnya usaha tersusun Umno BN untuk menukar alamat pengundi dan merasuah mereka untuk menang pilihan raya,” kata Naib Presiden KEADILAN, Fuziah Salleh.
“Ia jelas merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang pilihan raya dan wujud cubaan untuk membeli undi,” katanya.
Beliau mengulas video tersebut yang mendedahkan cubaan Umno Melaka cuba merasuah pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) supaya menukar alamat tempat pengundian bagi memberikan kemenangan BN.
Rakaman itu turut menunjukkan kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terlibat dalam aktiviti yang dijalankan sebelum Mac lalu di empat universiti awam dan swasta di Melaka.
Video tiga sedutan yang setiap satunya kira-kira lima minit itu dirakam secara tersembunyi dan kini tersebar di internet.
Dalam video berkenaan diberitahu bahawa Mahasiswa yang bersedia menukar alamat dijamin akan ditukar semula ke alamat asal mereka selepas selesai PRU serta segala kos ditanggung Umno negeri dengan syarat mengundi calon Umno BN.
“Kita yakin ini adalah tindakan terdesak Umno BN untuk mempertahan Melaka dari ditawan Pakatan Rakyat pada PRU kali ini dan Kita menyeru setiap pengundi seluruh negara segera menyemak nama masing-masing.
“Jika anda mendapati ada sesuatu yang tidak kena mengenai status anda, cepat-cepat membuat laporan atau menemui wakil Pakatan Rakyat berhampiran,” katanya lagi.
— Keadilan Daily
Sumber: http://kijang59.blogspot.com/