
Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan Malaysia
27 April 2012
AMK desak PM Najib Razak tarik balik perintah melarang BERSIH 3.0
AMK berpendapat tindakan polis tersebut telah menyebabkan usaha kerajaan UMNO/BN untuk memulih imej transformasi dan terbuka menjadi slogan kosong sahaja. Sebenarnya kerajaan mempunyai peluang keemasan untuk membuktikan Malaysia sebagai sebuah negara yang paling demokrasi di dunia, malangnya telah gagal menangani Himpunan Bersih 3.0 dengan bijaksana dan menyebabkan keadaan yang tegang.
Sekiranya Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Hussein Onn telah menyatakan bahawa Bersih 3.0 tidak menggugat keselamatan negara, maka beliau perlu memastikan bahawa dibenarkan untuk berhimpun dengan aman. Kerajaan perlu menghormati hasrat rakyat dengan menarik balik perintah larangan serta memastikan tuntutan Bersih 3.0 untuk reformasi sistem pilihanraya dapat dijalankan.
Kerajaan tidak perlu memburuk-burukkan gerakan duduk-bantah Bersih 3.0 atau menuduh perhimpunan aman sebagai penyebab huru-hara kepada masyarakat. Dari Himpunan Bebaskan Anwar 109 ke Himpunan Hijau 226 telah menunjukkan bahawa peserta himpunan adalah berdisiplin dan rasional. Kedua-dua himpunan telah membuktikan bahawa dengan adanya kerjasama yang rapat di antara polis dan rakyat, tidak mustahil untuk mengadakan himpunan aman tanpa sebarang keganasan polis untuk tekan hak berhimpun.
Oleh itu, AMK menyeru PM Najib Razak agar tidak terus berdiam diri atau lari daripada isu kelulusan untuk Bersih 3.0 mengguna Dataran Merdeka. PM perlu menunjukkan keyakinan pimpinan dengan memperbetulkan karenah birokrasi serta mempertahankan hak untuk berhimpun. Hanya dengan membenarkan Bersih 3.0 berhimpun di Dataran Merdeka barulah boleh menunjukkan keikhlasan dan iltizam politik Najib Razak untuk melaksanakan Program Transformasi Kerajaan (GTP).
Akhir sekali, AMK memberi penghormatan yang setinggi-tingginya kepada pimpinan Bersih 3.0 yang berpegang kuat dengan pendirian serta meneruskan duduk bantah walaupun berdepan dengan pelbagai tekanan. AMK percaya semua rakyat tidak mengira kaum dan agama akan memberi sokongan yang kuat kepada Bersih 3.0 untuk menuntut pilihanraya yang bersih, adil dan bebas.
LEE KHAI LOON
Ketua Penerangan
Angkatan Muda KEADILAN Malaysia