Tolak Panel Siasatan Bersih 3.0 Yang Dikepalai Tun Haniff – AMK


Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

11 Mei 2012

Pelantikan Tun Haniff Omar: AMK mengajak rakyat Malaysia untuk tolak hasil siasatan panel Bersih 3.0

Sejarah perundangan dilengkapi dengan penegasan bahawa ‘keadilan itu bukan sekadar perlu dilaksanakan, tetapi mesti dilihat dilaksanakan’.

Memperlihatkan kepada prinsip ini, Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) berpandangan bahawa pelantikan mantan Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar selaku Pengerusi Panel Siasatan Bebas Bersih 3.0, adalah satu langkah terkebelakang, menempangkan proses keadilan dan membuktikan kerajaan BN terdesak untuk memulihkan keyakinan rakyat.

Malah, AMK berpandangan pelantikan ini sebenarnya hanyalah satu strategi mainan media Umno-BN. Ini bertujuan untuk terus-menerus mengalihkan pandangan rakyat daripada menekankan soal reformasi sistem pilihanraya, dengan memfokuskan kepada isu siasatan yang ‘bebas’ di bawah panel yang diketuai oleh individu yang ‘tidak bebas’.

AMK menggariskan tiga (3) sebab mengapa kredibiliti Tun Haniff selaku Pengerusi Panel ini boleh dipertikaikan:

1. Sebagaimana yang telah disiarkan oleh media beberapa hari lepas, sikap prejudis beliau kononnya Bersih 3.0 didalangi oleh pihak pro-komunis, adalah satu kenyataan yang sangat tidak bertanggungjawab malah keluar daripada norma realiti politik negara. Kenyataan tanpa fakta, digembar gembur secara bersistematik, memperlihatkan Bersih 3.0 seolah-olah satu gerakan yang ‘kotor’. Dan inilah persepsi awal yang diperlihatkan oleh beliau sebelum memimpin panel yang akan dinanti-nantikan oleh rakyat apakah resolusi lanjut yang bakal dihasilkan.

2. Tun Haniff juga tidak pernah kita lupakan dengan kalimah keramat beliau di mana beliau tidak pernah menjumpai ayat di dalam Al-Quran yang mengharamkan judi. AMK tidak berminat untuk tahu apa iktiqad pegangan beliau, tetapi dalam keadaan prinsip keadilan asas di dalam Al-Quran pun masih gagal beliau fahami, bagaimana beliau mampu mengemudi sebuah panel yang bertanggungjawab menyiasat gerakan Bersih yang menuntut keadilan dalam sistem pilihanraya Malaysia?

3. Bersih 3.0 menyaksikan keganasan pihak polis berada pada tahap yang paling parah dalam sejarah penyuraian perhimpunan aman yang berlaku di Malaysia. Bagaimanakah seorang mantan Ketua Polis Negara, mampu mengheret institusi yang pernah beliau pimpin selama 20 tahun ke kancah pengadilan? Ini persepsi dan realiti yang sedang membelenggu rakyat ke atas kredibiliti beliau kini.

AMK berharap Tun Haniff boleh kembali menyemak artikel tulisan beliau di dalam The Star pada 12 Februari 2006, tatkala beliau memberikan respon balas mengenai cadangan penubuhan IPCMC :

The IPCMC must have the confidence not only of the public but also of the police. Thus, appoint the right people to be commissioners; this is absolutely vital.

Dalam kes siasatan Bersih ini, Panel harus meraih keyakinan rakyat, bukan keyakinan polis. Maka, melantik pihak yang tepat sebagai Pengerusi adalah sesuatu yang maha penting. Terbukti, Tun Haniff bukan individu yang sesuai. Maka AMK berpandangan, sewajarnya beliau, atas integriti selaku bekas Ketua Polis Negara, mengundur diri secara terhormat. Begitu juga dengan ahli-ahli panel yang lain.

AMK dengan tegas mengajak rakyat Malaysia untuk menolak hasil siasatan Bersih 3.0 sekiranya Pengerusi dan ahli-ahli panel yang tempang kredibilitinya terus dikekalkan !


Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia

Pengarang: Shamsul Iskandar

Ahli Parlimen Bukit Katil, Melaka Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Parti KEADILAN Rakyat (PKR) Pengerusi KEADILAN Majlis Pimpinan Negeri Melaka Peguam, Yusof Rahmat & co, Ketua KeADILan Cabang Jasin, Melaka

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s