Kekal dan Besarkan Dana Pendidikan Selangor – AMK


Kenyataan Media
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia

9 Jun 2012

ANGKATAN MUDA KEADILAN GESA DANA PENDIDIKAN SELANGOR DIKEKAL DAN DIBESARKAN

Angkatan Muda Keadilan Malaysia menggesa Dato’ Menteri Besar Selangor dan Kerajaan Negeri Selangor agar tidak membatalkan rancangan menubuhkan dana pendidikan bagi membantu siswa yang terjejas dengan tindakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membekukan pinjaman pendidikan sekalipun PTPTN telah mengumumkan pembatalan tindakan tersebut.

Sebaliknya AMK menggesa Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim untuk menggunakan kepakaran beliau bagi mewujudkan Dana Tetap Pendidikan yang lebih besar. Dana tetap ini dan aset-aset yang dimilikinya tidak digunakan atau dicairkan tetapi hanya hasil daripada pelaburan dana tersebut disalurkan untuk kepentingan pendidikan rakyat.

Satu skim khas boleh diwujudkan bagi memberi peluang kepada rakyat yang prihatin dengan masa depan negara dan kepentingan pendidikan untuk memberi sumbangan kepada dana tersebut.

Ini adalah lanjutan daripada tindakan segera Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim yang mengumumkan dana khas RM30 juta untuk membantu siswa yang terjejas dengan tindakan PTPTN membekukan pinjaman kepada pelajar baru Universiti Selangor (UNISEL) dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

Ternyata Kerajaan Negeri Selangor yang dipimpin Pakatan Rakyat tidak sanggup memperjudikan kepentingan dan kebajikan siswa. Sekalipun tindakan zalim Barisan Nasional (BN) tersebut telah menimbulkan kemarahan rakyat, Pakatan Rakyat tidak bersedia untuk bermain politik semata-mata bagi mendapatkan keuntungan politik. Prinsip ini yang mendorong Dato’ Menteri Besar Selangor membuat keputusan berani tersebut setelah mengadakan perbincangan dengan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Ternyata BN terperanjat dengan pendekatan ini sehingga memaksa PTPTN menarik balik keputusan zalim tersebut di dalam tempoh tidak sampai 24 jam selepas pengumuman penubuhan dana tersebut. Tindakan yang mengutamakan kepentingan rakyat telah berjaya mematikan permainan politik BN.

AMK juga mengulangi gesaan sejak tahun 2008 agar negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat mempertingkatkan kerjasama di dalam sektor pendidikan dan pekerjaan. Ini adalah untuk membantu golongan muda yang memerlukan bantuan mendapatkan pendidikan dan peluang pekerjaan berkualiti.

Satu konsortium pendidikan melibatkan institusi-institusi pendidikan tinggi dari negeri-negeri Pakatan Rakyat boleh ditubuhkan untuk menghimpunkan kepakaran masing-masing bagi manfaat bersama yang lebih besar. Konsortium ini juga boleh menjadi penyelaras dan pemudahcara untuk membuka akses yang lebih luas kepada anak-anak muda Malaysia, khususnya dari negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat.

Pada masa sama, perlu wujud satu usaha penyelarasan untuk menyuai-padan (match) rakyat yang mencari pekerjaan dengan peluang-peluang pekerjaan yang wujud. Latihan-latihan perlu untuk menyesuaikan mereka dengan pekerjaan tersebut juga boleh ditawarkan. Usaha meningkatkan kualiti pendidikan dan pekerjaan ini adalah lebih bermakna daripada keuntungan sekejap rasuah tunai yang diamalkan secara berleluasa oleh BN sekarang.

AMK percaya rakyat akan menilai prestasi kerja kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang mengutamakan rakyat dan dapat membandingkannya dengan BN yang lebih gemar bermain politik murahan bagi mendapat keuntungan politik sekalipun mengorbankan kepentingan rakyat.


AHMAD ZAKI YAMANI BIN ZAINON
Pengarah Strategi
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

Pengarang: Shamsul Iskandar

YB Datuk Seri Shamsul Iskandar @ Yusre bin Mohd. Akin Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya (Dikenali Parlimen Bukit Katil sebelum ini) (2013-kini) Mantan Timbalan Menteri Industri Utama (2018-2020) Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia (2018-kini) Mantan Naib Presiden KEADILAN (2014-2018) Mantan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (2007-2014)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: