
Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia
3 Ogos 2012
Tarik Balik Lagu Tema Sambutan Kemerdekaan 2012
Pada tahun ini, kerajaan melalui Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPPK) di bawah pimpinan menteri Dr. Rais Yatim, mencetuskan kontroversi secara pakej: melalui tema, logo, dan lagu tema. Tema ’55 Tahun Merdeka:Janji Ditepati” berterusan dipertikaikan rakyat di samping jeleknya logo dan lagu tema yang mengiringi tema sambutan hari kemerdekaan tersebut.
Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) berpandangan kontroversi ini tercetus berikutan terdesaknya Umno-BN untuk memaut sokongan rakyat secara paksa dengan memainkan sentimen ‘membalas budi’ ke atas pemerintahan Umno-BN di atas nikmat kemerdekaan yang dikecapi selama 55 tahun kemerdekaan. Ini berikutan betapa terdesaknya mereka memastikan rakyat ‘termakan budi’ seterusnya mengundi Umno-BN di dalam Pilihanraya Umum Ke-13 yang dijadualkan akan diadakan pada bila-bila masa selepas sambutan Aidilfitri.
Jika diteliti, saban tahun terdahulu, kelompok karyawan diraikan melalui pertandingan mencipta logo ataupun lagu tema bagi sambutan Hari Kebangsaan. Tetapi, ternyata Rais Yatim terbukti tidak meletakkan dirinya di ‘era moden’ ini, dengan membuat keputusan sehala tanpa mengambil kira pandangan khalayak.
AMK berpendapat, setelah kerajaan Umno-BN menarik balik logo sambutan Hari Kebangsaan berikutan protes rakyat, maka sudah sampai masanya kerajaan menarik kembali lagu tema yang menyaksikan gubahan lirik yang sangat jelek.
Tidak pernah berlaku, dalam mana-mana lagu patriotik khususnya untuk sambutan Hari Kebangsaan, gubahan liriknya secara langsung mengaitkan dasar one-off atau dasar berterusan kerajaan seperti yang dilakukan sekarang dengan mengungkit perihal BR1M, KR1M dan Klinik 1Malaysia. Ini hanya menunjukkan sindrom ‘hilang idea’ sehingga terpaksa mencedok isu-isu tidak berkait untuk membangkitkan semangat perpaduan di kalangan rakyat.
Dengan pendedahan terbaharu di ruang maya yang menyaksikan wujud persamaan melodi lagu tersebut dengan lagu sambutan keagamaan si gereja di Indonesia, maka ini memperkuatkan lagi dakwaan bahawa kerajaan bukan sekadar semberono mempropagandakan lagu tema Hari Kebangsaan, tetapi turut menciplak karya lain.
AMK mendesak kerajaan, tanpa sebarang kompromi, menarik balik lagu tema tersebut, dan memanggil karyawan muzik di Malaysia melalui Seniman misalnya, untuk kembali menggubah lagu tema baharu yang lebih menepati jiwa dan semangat kemerdekaan tulen.
Umno-BN harus berhenti mempropagandakan segala benda yang berada di bawah kawalan mereka, kerana selagi mana mereka meneruskan tabiat jelek ini, selagi itulah penolakan rakyat akan diperlihatkan tanpa kompromi.
Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia

Hahaha! Bagus Pak Rais.You have put worms into your own arse hole. Now Scratch man, Scratch!
Asalamualaikum
Ada pepatah menyatakan ‘ penyakit memberi itu menyebut” bermaksud menyebut pemberian yang telah dilakukan. Tapi jika sehingga bukan sekadar menyebut malahan menagih (meminta balasan) itu bukan lagi penyakit tapi maut. Tapi selepas sakit mestilah nyanyuk dulu kemudian baru maut. Pada mulanya lagu ini mungkin di anggap pukulan maut tapi yang pasti akhirnya menempah maut.
Wasalam.