
Dari Malaysiakini
19 Disember 2012
AMK buat laporan desak polis siasat pendedahan Deepak
Laporan itu dibuat oleh Ketua AMK Shamsul Iskandar Md Akin di ibupejabat polis Petaling Jaya pada jam 12.07 pagi ini.
NONELaporan itu dibuat berdasarkan pendedahan Deepak yang diterbitkan oleh portal Harakahdaily (edisi video) dan Keadilan Daily pada 12 Disember lalu.
Dalam laporan polis itu, Shamsul berkata, Deepak menceritakan latarbelakang penyediaan SD kedua itu secara terperinci yang didakwanya mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, isterinya Rosmah Mansor dan seorang peguam yang namanya tidak dinyatakan.
Dalam laporan polis itu juga, Shamsul juga berkata, Deepak mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lebih berminat untuk menutup kes tersebut selepas pendedahan SD itu.
Sehubungan itu, kata Shamsul, hal demikian menimbulkan persoalan antaranya apakah kepentingan Najib dan Rosmah yang didakwa memanggil Deepak – sepertimana yang didakwa oleh peniaga permaidani itu – pada hari Balasubramaniam mendedahkan SD pertamanya.
Sehubungan itu, Shamsul mendesak supaya siasatan kes pembunuhan wanita Mongolia itu dibuka semula.
— Malaysiakini
______________________________________________________________________
Dari KeadilanDaily
19 Disember 2012
Pendedahan Deepak: AMK lapor polis mahu Rosmah disiasat
PETALING JAYA 19 Dis: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) hari ini membuat laporan polis terhadap isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berhubung pendedahan oleh ahli perniagaan, Deepak Jaikishan baru-baru ini.
Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya kira-kira 11.30 pagi tadi oleh Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin, ditemani Timbalannya, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin serta beberapa anggota.
Ia ekoran pendedahan Deepak 12 Disember lalu yang menceritakan secara teliti latar belakang akuan bersumpah kedua oleh penyiasat persendirian, P Balasubramaniam berkaitan siasatan terhadap pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shariibuu.
Deepak sebelum ini diketahui rapat dengan Rosmah yang disifatkan sebagai seorang kakak menyatakan, Datuk Seri Najib Razak turut terlibat dalam proses penyediaan akuan tersebut, dan ia adalah atas permintaan Rosmah.
Shamsul berkata, pendedahan itu menimbulkan beberapa soalan yang memerlukan siasatan polis.
“Apakah kepentingan Najib dan Rosmah dalam pembunuhan Altantuya sehingga mengarahkan Deepak agar memastikan pengeluaran akuan bersumpah kedua tersebut berlaku? Apakah penglibatan mereka?” soal Shamsul pada sidang media sebelum membuat laporan.
Menurut Deepak, Balasubramaniam menyatakan beliau dan keluarga diugut untuk membolehkannya membuat akuan bersumpah kedua tersebut.
“Sekiranya perkara ini benar, apakah peranan Najib, Rosmah dan adik Perdana Menteri, Nazim Razak dalam ugutan itu? Apa yang mereka mahu selindungi?” soal Shamsul lagi.
Sedangkan, Balasubramaniam turut menegaskan, hanya akuan bersumpah pertamanya yang sah.
Justeru katanya, ia turut menimbulkan persoalan apakah Najib tidak memberitahu perkara sebenar apabila beliau bersumpah tidak pernah bertemu Altantuya.
Siapa pula yang mengarahkan Altantuya dibunuh oleh pegawai Unit Tindakan Khas (UTK), Koperal Sirul Azhar Omara dan Cif Inspektor Azilah Hadri kerana ternyata mereka dijadikan ‘kambing hitam’, kata Shamsul.
“Deepak turut memberitahu, SPRM lebih berminat untuk menutup kes tersebut sebelum ini, Jadi apakah benar SPRM menutup siasatan kes tersebut?” sambungnya.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan, AMK akan melancarkan 50,000 keping poskad ‘Tanya Sama Rosmah’ di program Himpunan Suara Anak Muda dekat Dataran Anak Muda, Petaling Jaya Selatan, 9 malam esok.
“Kita akan edarkan poskad mengandungi tiga soalan yang hanya Rosmah mampu jawab. Poskad tersebut akan diedarkan ke seluruh negara dan dialamatkan kepada Rosmah.
“Rakyat di Sabah dan Sarawak pun berpeluang mendapat penjelasan dari isteri Perdana Menteri itu,” jelas Shamsul.
— KeadilanDaily

Terlalu banyak persoalan. Rakyat akan menilai sendiri…..