Perutusan Aidilfitri

Perutusan Aidilfitri Ketua AMK KEADILAN

Perutusan Aidilfitri, Syawal 1434, 2013

Muhasabah Memperkukuh Perjuangan

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar Walillah al-Hamd!

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam, khususnya di Malaysia.

Sementara Syawal wajar disambut dengan penuh kegembiraan, berlalunya Ramadhan perlu dihimbau dengan jiwa muhasabah demi memperkukuh perjuangan. Selaras dengan itu, AMK memikirkan beberapa persoalan penting mesti diberikan fokus, iaitu:

1. Aspek Politik: Perkukuh Amalan Demokrasi

Sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara bagi penggal baru telah bermula dan berterusan di bulan Ramadhan yang penuh berkat. Ahli-Ahli Parlimen yang telah mengangkat sumpah mempertahankan perlembagaan wajib sedar bahawa kepimpinan adalah amanah, bukan keistimewaan. Adalah penting amalan demokrasi diperkukuh oleh semua pihak untuk memastikan keadilan dapat dilaksanakan dan ketidakadilan dapat dihapuskan.

AMK berpandangan adalah penting memastikan prinsip kedaulatan undang-undang, jaminan hak asasi dan sikap inklusif dalam penggubalan dasar. Usaha menangani isu-isu kritikal seperti penyelewangan dan jenayah mesti segera diambil, khususnya dengan penggubalan Akta Kebebasan Maklumat dan tindakan pro-aktif oleh Suruhanjaya berkaitan.

2. Aspek Sosial: Menghidupkan Diplomasi Budaya

Beberapa insiden yang berlaku mutakhir ini terakhir jelas menunjukkan masih banyak usaha perlu dilakukan untuk menggalakkan interaksi positif dalam masyarakat majmuk. Ini penting diberi perhatian lebih mendalam demi memupuk persefahaman dan perpaduan, aset penting untuk negara bergerak ke hadapan.

Untuk itu, AMK berpendapat usaha merancakkan diplomasi budaya (cultural diplomacy) mesti dipertimbangkan segera untuk ditekuni dan diamalkan oleh semua pihak. Program dialog dan silang budaya mesti dihidupkan di peringkat akar umbi. Sebarang perbezaan atau masalah mesti ditangani dengan rasional, semangat kejiranan serta penghargaan terhadap batas individu dan masyarakat. Modul pendidikan di sekolah dan universiti perlu disemak untuk menyokong usaha ini, selaras dengan Laporan Razak 1956 dan Laporan Rahman Taib 1960.

3. Aspek Ekonomi: Berhemat Sebelum Terjerat

Kenyataan Agensi Penilaian Global, Fitch Rating yang mengunjur kedudukan kredit Malaysia daripada stabil kepada negatif perlu diberi perhatian besar oleh semua pihak. Peningkatan hutang negara ini kian memburuk dengan kejatuhan nilai ringgit. Pada masa yang sama, hutang isi rumah dan kebankrapan tidak memberikan sebab untuk kita berasa selesa dengan kedudukan ekonomi secara umum. Ternyata pemberian tunai dan juga bantuan kewangan yang dibuat untuk menyerap masalah ini dalam jangka masa pendek tidak memadai.

AMK percaya langkah-langkah yang lebih tersusun perlu digerakkan. Antara langkah awal yang perlu diambil ialah mengadakan siri latihan pengurusan kewangan (termasuk persoalan hutang) di peringkat akar umbi dan melalui siaran media massa, semakan dan penambahbaikan modul latihan keusahawanan serta meningkatkan kemudahan berniaga, khususnya kepada golongan muda dan keluarga yang berpendapatan rendah, untuk mengaktifkan pasaran.

Di peringkat kerajaan, langkah tegas dalam pemberian tender dan kontrak secara telus, mengurangkan belanja pengurusan yang melambung tinggi dan mengawal perbelanjaan yang tidak perlu adalah dituntut. AMK mahu mengusulkan satu pembaharuan dalam jawatankuasa pemberian tender dan kontrak di mana prosesnya tidak lagi hanya dibuat oleh penjawat awam semata-mata, tetapi juga melibatkan mana-mana profesional, akademik, aktivis atau pimpinan badan bukan kerajaan, pengguna, buruh atau pelajar, wakil rakyat pembangkang dan ahli majlis kerajaan tempatan sebagai elemen semak dan imbang.

Sesungguhnya semua persoalan ini memang tidak mudah untuk dilaksanakan. AMK percaya dengan kesediaan melaksanakannya secara bersama, ia mampu ditangani untuk kebaikan semua pihak.

Sempena Aidilfitri kali ini, AMK ingin menyeru kita semua mengambil kesempatan untuk mengerat hubungan silaturrahim, belajar keunikan hidup bermasyarakat di Malaysia, saling memaafkan dan bertekad untuk sedaya upaya menegakkan prinsip keadilan dan menghapuskan ketidakadilan.

Dalam aspek keselamatan, AMK berharap mereka yang pulang ke kampung halaman masing-masing sentiasa memastikan rumah yang ditinggalkan dalam keadaan selamat dan pandulah dengan berhati-hati.

Marilah kita bersama bermuhasabah demi memperkukuh perjuangan.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar Walillah al-Hamd!

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia
merangkap Ahli Parlimen Bukit Katil, Melaka

Pengarang: Shamsul Iskandar

Ahli Parlimen Bukit Katil, Melaka Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Parti KEADILAN Rakyat (PKR) Pengerusi KEADILAN Majlis Pimpinan Negeri Melaka Peguam, Yusof Rahmat & co, Ketua KeADILan Cabang Jasin, Melaka

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s