Ali Baba Ancam Kedaulatan Digital Malaysia

Sudah banyak pihak menyuarakan kebimbangan mengenai risiko pelaburan dari negara China di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak. Calon Perdana Menteri Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir, baru-baru ini mempersoalkan dasar pelaburan asing yang dilihat mengancam kedaulatan negara, kerana membabitkan pengambilalihan tanah oleh pelabur asing. Tun juga meragui terma-terma di antara kerajaan Malaysia dengan kontraktor China berhubung pelaksanaan projek ECRL yang menelan kos sebanyak RM55 billion, dalam keadaan kadar hutang negara mencecah hampir RM1 trillion.

Dalam forum “Pelaburan China : Adakah Ia Keterlaluan” bertarikh 24 Ogos 2017, pakar ekonomi Prof Jomo KS, mengulangi kebimbangan tentang kesan kawalan dana di China kepada projek di Malaysia yang dibiayai oleh bank negara itu. Katanya, masalah akan timbul sekiranya projek ini digunakan untuk mendapatkan pinjaman yang beban hutangnya akan ditanggung oleh generasi akan datang. Beliau bimbang Malaysia akan terperangkap sebagaimana yang menimpa kerajaan Sri Lanka, yang terpaksa menyerahkan pemilikan pelabuhannya kerana tidak mampu membayar balik hutang AS$8 bilion dolar dalam beberapa projek infrastruktur yang dilaksanakan di bawah projek One Belt One Road China.

Satu Demi Satu Kedaulatan Negara Cuba Dicerobohi

Pada 29 Januari 2018, saya dikejutkan dengan laporan berita mengenai pengumuman perjanjian di antara DBKL dan Ali Baba untuk menggunakan servis cloud computing berasaskan Artificial Intelligence (AI) dan Big Data. Menurut perjanjian ini, apabila servis Ali Baba dilaksanakan, ia berupaya menarik pelbagai jenis data pengguna untuk tujuan perancangan bandar, pengurusan trafik dan kesesakan jalanraya (Bacaan lanjut di sini : https://techcrunch.com/2018/01/29/malaysia-alibaba-city-brain/).

smart city and wireless communication network

Sekali imbas, kita lihat ia adalah inisiatif yang murni untuk meningkatkan kecekapan pihak berkuasa dalam menguruskan penduduk yang semakin hari semakin padat di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur. Sudah tentu syarikat milik Jack Ma ini tidak akan berhenti di situ sahaja. Ini kerana Ali Baba sendiri mengumumkan bahawa servis ini akan dikembangkan ke institusi-institusi strategik lain seperti institusi perniagaan, keusahawanan, research dan seumpamanya.

Menakutkan! Negara China, yang terkenal dengan Citizen Scoring System a.k.a Social Credit System untuk mengawal tindak-tanduk rakyat China, kini menerusi Ali Baba, secara bebasnya boleh mendapatkan data-data strategik kita. Ketika DS Najib menuduh DAP sebagai parti komunis, beliau sendiri bermurah hati memberikan akses data-data sensitif dan strategik kepada syarikat gergasi kelahiran negara komunis. Sungguh ironi!

Mungkin ada yang tertanya-tanya, apakah dia Social Credit System ini? Dalam bahasa mudahnya, sistem ini dibina kerajaan komunis China untuk mengintip dan mengawal tindak-tanduk rakyatnya sendiri, sehingga ke tahap kerajaan berkuasa untuk menghalang rakyat ke luar negara. Setiap rakyat akan diranking; siapa yang mendapat score rendah akan dihukum dan diblacklist, manakala yang mendapat score tinggi dianggap sebagai rakyat yang setia dengan kerajaan dan beroleh kelebihan-kelebihan tertentu. Kaedah menentukan score ini adalah kabur, dan terdedah kepada manipulasi kerajaan.

Apa kaitannya Citizen Scoring System di China dengan perkembangan di Malaysia?

Malaysia di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib dan Barisan Nasional kini mengalami trust deficit yang sangat kritikal, seperti yang disuarakan oleh ekonomis rakyat, Dr Muhammed Abdul Khalid berulang kali di pelbagai forum yang disertai. Sejak menjadi Perdana Menteri pada tahun 2009, kemudian menempuhi PRU-13, prestasi DS Najib memimpin Barisan Nasional semakin merosot apabila hanya mendapat 47% undi popular. Menuju PRU-14, pentadbiran beliau dicemari pelbagai skandal mega, termasuk ibu segala skandal, 1MDB, yang meletakkan imej beliau cukup buruk di peringkat antarabangsa. Keputusan bekas mentor beliau, Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai Pakatan Harapan untuk menumbangkan Barisan Nasional memburukkan lagi populariti Najib di mata rakyat. Apa sahaja langkah Najib, dilihat sumbang oleh rakyat Malaysia yang saban hari terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi kesan pengenalan cukai GST.

Walaupun DS Najib berjaya mengeluarkan PAS daripada koalisi pembangkang, namun beliau sendiri tidak yakin dapat memenangi PRU-14, sehingga memperalatkan semua institusi yang ada untuk memenangkan Barisan Nasional “at all cost”.

Saya yakin kerjasama di antara DS Najib dan Ali Baba ini adalah salah satu kepingan puzzle untuk mengukuhkan lagi cengkaman kepada rakyat sekiranya mereka tetap memenangi PRU-14 ini, iaitu ke arah pengenalan Citizen Scoring System di Malaysia pada masa akan datang. Tidak mustahil, kerana kedudukan politik DS Najib kini berada dalam keadaan genting sehingga beliau sanggup melakukan apa sahaja cara untuk mendapatkan mandat secara pintu belakang bagi penggal-penggal berikutnya.

Apa mudarat yang boleh berlaku sekiranya ia menjadi kenyataan? Ini bukan hal yang boleh diambil ringan :

  1. Kerajaan boleh mengenalpasti penyokong anti-Barisan Nasional berbekalkan data yang ditarik dari sistem ini. Ini akan menimbulkan culture of fear di kalangan rakyat dan membunuh kebebasan bersuara yang sudah sedia sempit.
  2. Kerajaan berkuasa mendiskriminasi rakyatnya sendiri daripada menikmati peluang-peluang dan kelebihan tertentu secara saksama, akibat scoring system ini. Ini dibuktikan di China, apabila ada rakyat yang dinafikan hak ke institusi pengajian kerana dianggap sebagai bad citizen.
  3. Peluang-peluang ekonomi dalam negara boleh didominasi Ali Baba dan syarikat-syarikat China akibat monopoli data rakyat Malaysia. Ini akan menjejaskan kepentingan syarikat-syarikat bumiputera dan tempatan, yang terpaksa bersaing secara tidak adil dengan syarikat-syarikat gergasi China.

Persoalannya, adakah kita semua bersedia dengan kemungkinan-kemungkinan ini?

Agenda pengukuhan pengaruh negara China di peringkat global adalah sesuatu yang tidak boleh dipandang ringan. Malangnya, Malaysia yang selama ini terkenal sebagai sebuah negara yang neutral dari sudut dasar luarnya, kini seolah-olah dibiarkan “terperangkap” dengan dominasi kuasa China, tanpa ada counterbalance yang mencukupi. Kecurigaan mengenai pelaburan mega negara China ini diyakini ada kena mengena dengan cubaan DS Najib menyelesaikan hutang RM42 billion akibat kegagalan 1MDB. Sebagai contoh, kos pembinaan ECRL yang mencecah RM55 billion itu sangat meragukan kerana terma-terma perjanjian yang tidak didedahkan kepada umum. Tidak mustahil sebahagian kos pembinaan itu digunakan untuk membayar hutang 1MDB.

Pilihanraya Umum ke-14 ini adalah ibu segala pilihanraya untuk rakyat Malaysia. Terlalu banyak rahsia dan skandal yang tidak dapat didedahkan kebenarannya selagi Barisan Nasional masih dibenarkan memegang tampuk kuasa. Lebih menakutkan, kedaulatan negara seolah-olah hilang nilai di bawah pentadbiran DS Najib, yang sanggup melakukan apa sahaja untuk kekal berkuasa.

Rakyat Mesti Menang

Pada PRU-14 kali ini, ia bukan lagi soal pertembungan di antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional. Ia adalah pertembungan di antara RAKYAT dan rejim Barisan Nasional untuk memerdekakan negara buat kali kedua. Setiap undi adalah sangat berharga, kerana undi kita mewakili masa depan anak-anak kita yang bakal menerima kesan daripada kegagalan Barisan Nasional selama ini. Jangan sia-siakan undi kita, kerana setiap undi mampu menghantar anak-anak kita ke masa depan yang lebih baik.

“Terima kasih ayah, terima kasih ibu, kerana berani mengundi kerajaan baru, kerajaan Pakatan Harapan.” Semoga kita dikurniakan kesempatan usia untuk menerima penghargaan ini daripada anak-anak kita 10 – 20 tahun akan datang.

Pengarang: Shamsul Iskandar

Ahli Parlimen Bukit Katil, Melaka Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Parti KEADILAN Rakyat (PKR) Pengerusi KEADILAN Majlis Pimpinan Negeri Melaka Peguam, Yusof Rahmat & co, Ketua KeADILan Cabang Jasin, Melaka

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s