KUALA LUMPUR: Isu dalaman PKR Negeri Sembilan dengan Menteri Besar serta isu nyah warta Hutan Simpan Kuala Langat Utara antara hal berbangkit yang menjadi tumpuan dalam mesyuarat Biro Politik PKR, esok.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata dalam mesyuarat itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari juga akan hadir.
“Ini mesyuarat Biro Politik PKR yang biasa kita adakan setiap minggu. Biasanya Menteri Besar dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang pun akan hadir. Mereka juga ahli mesyuarat Biro Politik PKR.
“Sudah pasti isu itu mungkin akan dibangkitkan dan kita bincanglah bagaimana (untuk selesaikan). Kita akan bincangkan dalam mesyuarat esok” katanya ketika dihubungi hari ini.
Selain itu, beliau juga menjelaskan, hal-hal berkaitan persidangan Parlimen yang akan bermula minggu depan turut dibincangkan dalam mesyuarat yang dijadual dipengerusikan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Isu dalaman PKR Negeri Sembilan timbul selepas sejumlah kepemimpinan akar umbi PKR negeri itu sebelum ini mengeluarkan kenyataan menyatakan hilang keyakinan kepada Aminuddin sebagai pengerusi negeri, dengan mendakwa Menteri Besar itu gagal menyusun strategi untuk mengukuhkan Pakatan Harapan (PH) dan kekal menjadi kerajaan negeri.
Bagaimanapun semalam, Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) negeri, Datuk M Ravi menafikan PKR Negeri Sembilan bergolak, sebaliknya desakan segelintir pemimpinnya yang mahu Aminuddin ditukar hanya masalah dalaman parti.
Sementara bagi isu nyah warta tanah, Anwar dalam kenyataan semalam menzahirkan keyakinan kerajaan Selangor akan mengambil tindakan wajar selaras dasar parti itu dalam isu berkaitan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara.
Sebelum ini juga, dua portal berita melaporkan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) didakwa menceroboh dan membuka sebahagian kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Sungai Panjang di Sabak Bernam dan semalam, perbadanan itu dalam kenyataannya memaklumkan hasratnya untuk mengambil tindakan undang-undang termasuk tuntutan saman fitnah terhadap pihak yang terbabit dalam laporan berkenaan.
Ini kerana menurut PKPS, isu nyah warta HSKLU tiada kaitan langsung dengan perbadanan itu, sekali gus menafikan sekeras-kerasnya tuduhan berkenaan selain menyifatkannya ia sebagai kenyataan berniat jahat dan subversif bagi merosakkan imejnya.