Penolakan Gaji Minimum, Kerajaan Abai Kepedulian Rakyat

Alasan Kerajaan Pusat untuk menolak cadangan perlaksanaan gaji minimum RM900 dan Elaun Kos Sara Hidup (COLA) RM300 yang dituntut oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) adalah amat mendukacitakan dan bersifat lemah.

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) melihat kerajaan terus memberi alasan demi alasan, dalam keadaan rakyat terus ditekan dengan pelbagai kenaikan harga barang yang menjurus kepada meningkatnya kadar inflasi.

Kerajaan turut mendakwa bahawa tidak semua negara maju memberi gaji minimum kepada pekerjanya dengan mengambil contoh Amerika Syarikat, Britain dan Australia yang membayar gaji mengikut tempoh jam bekerja. Sedarkah kerajaan bahawa di Australia, gaji minimum ditetapkan AUD$13.47 sejam dan AUD$511.86 seminggu, bersamaan RM1,502.15 seminggu? Di Britain juga kadar minimum seminggu adalah £5.35 sejam dan £203.30 seminggu, bersamaan RM1,406.80 seminggu?
Teruskan membaca “Penolakan Gaji Minimum, Kerajaan Abai Kepedulian Rakyat”

Sah, BN Amal Politik Samseng!

Laporan terkini Malaysiakini jelas menunjukkan yang BN sudah terdesak.Tidak cukup polis digunakan untuk membatalkan sesi ceramah KeADILan dan parti-parti alternatif yang lain malam semalam, hari ini pimpinan KeADILan pula diserang dan dicederakan.  Saya mengiyakan kata-kata Sdr Azmin Ali, Naib Presiden KeADILan, kita sebenarnya telah menang..dan orang kalah selalu hilang punca & akal!

Lagi serangan terhadap Khalid dan penyokong PKR di Ijok

Soon Li Tsin
Apr 25, 07 7:50pm

Sekumpulan penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diketuai oleh calonnya Tan Sri Khalid Ibrahim diserang oleh sekumpulan lelaki yang tidak dikenali ketika mereka mengadakan kempen dari rumah ke rumah di Ladang Coalfield, dekat Ijok petang tadi.

Bagaimanapun, Khalid (foto) tidak cedera kerana sempat dibawa pergi dari tempat kejadian.

Ketua PKR bahagian Klang, P Krishnasamy, 46, bagaimanapun cedera dibelasah kumpulan lelaki berkenaan.

Menurut Krishnasamy, Khalid dan kumpulan penyokong PKR itu mengadakan kempen dari rumah ke rumah apabila kira-kira 10 lelaki muncul dan mengarah mereka meninggalkan kawasan perumahan di ladang tesebut.

Kumpulan lelaki itu kemudiannya dikatakan bertindak membelasah para enyokong PKR itu. Krishnasamy mengenal pasti salah seorang penyerangnya sebagai Balakrishnan.

“Mereka memukul saya, mengoyak baju saya dan memecahkan kaca mata saya,” katanya.

“Saya terus memberitahu penyokong PKR itu supaya membawa Tan Sri (Khalid) pergi dari situ,” tambahnya.

Krishnasamy, yang mengetuai pusat operasi PKR di Tuan Mee, dan tiga orang lagi tidak dapat pergi dari situ apabila pintu masuk ke ladang tersebut telah dikunci.

“Kami masih berada di sini dan kami masih menunggu untuk dibawa keluar dari sini supaya kami dapat membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi malaysiakini kira-kira sejam lalu.

Bagaimanapun, difahamkan kira-kira jam 7.40 malam, mereka berada di balai polis Ijok untuk membuat aduan.

Ketika dihubungi, Khalid berkata, kejadian tersebut berlaku selepas beliau berkempen ke 20 rumah di situ.

Bukan pertama kali

“Kumpulan itu kelihatan marah dan berkata mereka akan menutup pintu masuk ke estet tersebut dan mengarahkan keluar dari situ.

“Pada pandangan Krishnasamy, kami patut selesaikan terlebih dahulu kempen dari rumah ke rumah di situ dan kemudiannya baru beredar, tetapi mereka mula mengganggu kami,” katanya.

Ini bukanlah kali pertama taktik gangguan seumpama itu digunakan ketika Khalid berkempen.

Minggu lalu, kira-kira 20 orang, termasuk mereka yang memakai uniform Pemuda Barisan Nasional (BN), didakwa cuba menggangu Khalid dan dua jurugambar sambilan, termasuk blogger Jeff Ooi.

Khalid akan berdepan dengan calon BN, K Parthiban dalam pilihanraya kecil Ijok Sabtu ini. 

Cuaca Politik MIC Kian Gelap

Sah petang tadi BN telah mengisytiharkan K Parthiban, Setiausaha MIC Bahagian Tanjung Karang sebagai calon BN bagi menghadapi PRK DUN Ijok pada 28 April akan datang.

Pengisytiharan ini disusuli dengan perletakan jawatan Ketua Bahagian MIC Kuala Selangor SP Thirumoorthy berserta 33 orang Ketua Cawangan MIC di dalam Bahagian Kuala Selangor, yang turut mendapat liputan oleh media TV3. Ini berikutan kekecewaan Thirumoorthy yang tidak dipilih sebagai calon di dalam PRK DUN Ijok bagi mewakili BN.

Seperti biasa, Samy Vellu jangan dicabar-cabar.Lihat sahaja kenyataan beliau tatkala ditanya media mengenai ancaman Thirumoorthy Ahad lalu:

“Biar Dia Berambus!”

Samy Vellu mendakwa yang 98% ahli MIC Kuala Selangor berada di belakang kepimpinan beliau dan akan menyokong keputusan beliau.Keceluparan Samy Vellu bukan sesuatu yang baru bagi rakyat Malaysia. Saya teringat apabila sewaktu berhadapan dengan Lunas pada tahun 2000 dahulu, beliau pernah menyatakan:

“Kalau calon MIC kalah, saya tidak akan balik KL!”

Apa yang berlaku? BN melalui S. Anthonysamy kalah dalam PRK DUN Lunas di tangan Saifudin Nasution Ismail. Kita tunggu dan lihat, bolehkah BN dan Samy Vellu menang tanpa sokongan akar umbi MIC di Ijok..

Mungkin Samy Vellu boleh mempertimbangkan untuk ‘memindahkan’ Kementerian Kerjaraya ke Ijok selepas 28 April..

Bantah Penahanan Tian Chua Di IPD Ampang Malam Ini!

Saya dimaklumkan yang Sdr Tian Chua, Ketua Penerangan KeADILan telah ditahan polis bersama sekumpulan aktivis dan penduduk tempatan yang turut sama membantah perobohan Kampung Berembang, Ampang hari ini.

Tambah mengejutkan yang Tian Chua juga didakwa atas tuduhan cubaan membunuh so bawah seksyen 307 Kanun Keseksaan. apa yang melucukan, dakwaan itu dibuat hanya kerana Tian melanggar penghadang jalan yang disusun oleh pemaju,dan pemaju mendakwa yang Tian melakukan cubaan membunuh ke atas pemaju terbabit!!

Bersama-sama kita berkumpul di IPD Ampang Taman Dagang pada jam 8 malam ini untuk menyatakan sokongan kepada Tian dan bantahan ke atas tuduhan karut ini!

Memorandum Bantahan Kepada Perdana Menteri Malaysia

Pemuda Barisan Alternatif (BA), Gerakan Demokrasi dan anti Korupsi (GERAK) & Institut Pengembelingan dan Pembangunan Komuniti (IMPAK) memandang serius pendedahan yang dibuat oleh Gerakan Demokrasi & Anti Korupsi (GERAK) pada 26 Februari 2007 yang lepas, di mana pendedahan tersebut berikut satu tuduhan serius yang membabitkan penyalahgunaan kuasa oleh Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Dato’ Seri Zulkipli Mat Noor.

Pendedahan yang dibuat hasil daripada satu laporan yang dibuat kepada mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Omar oleh pegawai kanan BPR sendiri, iaitu Mohamad Ramli Manan memberikan satu gambaran yang amat jelas betapa komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi yang menjadi anutan tadbirurus kerajaan iaitu untuk menghapuskan amalan rasuah dan birokrasi kian terhakis. Dalam keadaan pelbagai kemelut pentadbiran yang dibelenggu permasalahan rasuah dan etika pentadbiran melingkari pentadbiran kerajaan hari ini, pendedahan terbaru oleh GERAK ini adalah ibarat menambah bebanan kerajaan untuk terus memperbetulkan keadaan yang kian parah dan jelek, sekaligus memalitkan imej dan akauntabiliti kerajaan yang gah dengan slogan akauntabiliti dan prinsip Islam Hadhari.

Ini ditambah lagi dengan pendedahan terbaru mengenai salah laku yang membabitkan Timbalan Menteri Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, iaitu Datuk Mohd Johari Baharum yang didakwa menerima sogokan lebih daripada RM5 Juta sebagai habuan untuk membebaskan beberapa penjenayah yang terlibat dengan beberapa jenayah berat. 3 kes yang didakwa ke atas Johari adalah:

i. Di dakwa berlaku pada Januari tahun ini apabila Johari dituduh mengarahkan pembebasan seorang ketua penjenayah di Perak, yang mana ketua penjenayah ini adalah merupakan adik kepada seorang lagi Timbalan Menteri;

ii. Mengeluarkan arahan pembebasan oleh seorang suspek yang disabit atas perjudian haram di Sabah pada bulan Februari lepas. Pendedahan yang dibuat oleh freewebs.com mendakwa Johari dirasuah RM3 juta untuk mengeluarkan arahan tersebut; dan

iii. Jaminan pembebasan seorang ketua penjenayah di Perak selepas penjenayah terbabit menyelesaikan dengan Johari dengan sejumlah wang tidak kurang daripada RM2.5 juta.

Teruskan membaca “Memorandum Bantahan Kepada Perdana Menteri Malaysia”

Angkatan Muda Minta Samy Jawab!

Berhubung dengan laporan berita mengenai soalan wartawan terhadap Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S.Samy Vellu semalam, Angkatan Muda KeADILan Malaysia berpendapat bahawa menteri itu tidak menjawab persoalan penting yang yang diutarakan oleh Angkatan Muda semasa mendedahkan perjanjian konsessi diantara Smart dan Kerajaan Malaysia berhubung dengan pembinaan lebuh raya yang menghubungkan Sungei Besi dan Bandaraya.

Antara persoalan yang lebih penting dalam memperkatakan isu ini ialah:
1.    Samy Vellu tidak bersikap terus terang dalam memperkatakan mengenai kadar tol.
2.    Mengapa kadar tol yang ditetapkan dalam perjanjian tersebut terlalu tinggi.
3.    Salah pengiraan mengenai volum kesesakan seperti yang dinyatakan dalam Perjanjian.
4.    Kerajaan boleh meperolehi balik pelaburan kos pembinaan lebuh raya pada tahun 2023. Keuntungan yang diperolehi oleh syarikat konsesi (Smart) ialah RM5 billion.

Pengisian pendedahan tersebut boleh didapati daripada laman web rasmi keADILan di http://www.keadilanrakyat.org.

Angkatan Muda mendesak agar Kerajaan menggubal Akta Kebebasan Media secepat mungkin supaya ketelusan dalam maklumat yang berhubung dengan kepentingan rakyat dapat diketahui umum.

Maklumat yang didedahkan oleh Angkatan Muda pada 1hb Mac lalu melibatkan kepentingan rakyat dan bukannya kepentingan inidividu.

Angkatan Muda juga merasa amat kecewa dengan cara jawapan yang keluar daripada seorang Menteri yang berkata, “ pergi jahanam dengan mereka ini.”

Kami berpendapat kata-kata sedemikian tidak sepatutnya datang dari seorang menteri tetapi daripada seorang ‘dracula’ dan tidak mirip seperti seorang Menteri Kabinet.

Kami menasihati agar Samy Vellu mengikuti kempen “Jiwai Bahasa” yang dijalankan oleh Kementerian kesenian dan Warisan (KeKKwa).

Apa yang dilakukan oleh Angkatan Muda tempoh hari (dalam mendedahkan perjanjian konsessi) adalah sebahagian daripada khidmat kepada rakyat kerana ianya memberi kesan langsung kepada rakyat.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Pemangku Ketua Angkatan Muda
Parti Keadilan Rakyat

Fokus Pilihanraya Umum,Jangan Terbawa Pilihanraya Parti!

Sepanjang minggu lepas beberapa isu berkenaan krisis kepemimpinan di dalam keADILan menjadi bualan hangat dan mainan propaganda semua pihak. Banyak persoalan yang dibangkitkan oleh ahli dan pendukung keADILan,khususnya di blog Sdr Anwar Ibrahim untuk mengetahui perkara sebenar khususnya di belakang isu perletakan jawatan Sdr Ezam Mohd Nor sebagai Timbalan Ketua Perhubungan keADILan Negeri Selangor merangkap Ketua keADILan Bahagian Shah Alam.

2 aktiviti yang membabitkan saya secara langsung,iaitu pertemuan kepimpinan Angkatan Muda keADILan Pusat (AMK) dan kunjungan hormat ke atas Sdr Anwar Ibrahim. Pertemuan saya bersama Barisan Exco AMK dan Sdr Ezam dilihat sebagai menunjukkan solidariti menyokong Sdr Ezam,sebagaimana yang dimainkan oleh Laman Web Umno-Reform . Pertemuan kami pada malam tersebut bukanlah atas kapasiti menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak,sebaliknya lebih kepada majlis dialog bersama Sdr Ezam untuk mengetahui hujung pangkal pendirian yang diambil oleh beliau. Sebagai Pemangku Ketua AMK,saya mengambil tanggungjawab tersebut untuk menanyakan kepada Sdr Ezam sendiri mengenai spekulasi yang timbul,dan Alhamdulillah klarifikasi diperoleh dengan baik sekali. Saya berpendapat dalam keadaan kita, khususnya keADILan sedang menjaja budaya politik baru,adalah tidak wajar untuk kita memperbesarkan krisis yang timbul, ataupun bersikap opportunist, menangguk di air keruh dengan menyokong satu-satu pihak semata.Yang perlu kita dulukan adalah solidariti parti,bukan agenda peribadi.

Pertemuan AMK Pusat bersama Sdr Anwar Ibrahim memberikan mesej jelas dalam memupuk iltizam saya,dan pastinya seluruh kepimpinan AMK Pusat. Selain menyatakan sokongan pada atas kepemimpinan Sdr Anwar,beliau turut menegaskan setiap masalah hendaklah diselesaikan dengan semangat muafakat yang tinggi.Paling penting,mesej ringkas beliau menyuntik semangat, ‘tumpu pilihanraya umum,jangan terbawa-bawa pilihanraya parti!’

Demokrasi dalam parti sewajarnya didukung oleh semua pihak.Pun begitu wajar bagi kita,sebagai barisan depan penjana budaya politik baru untuk berfikiran matang dan bertindak secara rasional.Saya kekal berpendapat,kita wajar bersikap telus dan terbuka.jangan terbawa-bawa dengan sentimen yang kekal bakal memusnahkan harapan rakyat yang kian menggunung menyandarkan harapan untuk kita memandu Malaysia ke arah sebuah negara yang lebih adil dan demokratik.

Saya teringat ungkapan popular Farah Fauzana, Pengacara Melodi, “kurangkan kontroversi, tingkatkan prestasi!”

Tribunal Jenayah Terhadap Rakyat & Rasuah Harus Ditubuhkan Bersama Tribunal Jenayah Perang

Angkatan Muda Keadilan Malaysia menyokong saranan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir agar ditubuhkan Tribunal Jenayah Perang bagi mendakwa Presiden Amerika Syarikat George W. Bush dan Perdana Menteri Britain Tony Blair.

Walaubagaimanapun, kami mendesak agar kerajaan menubuhkan Tribunal Jenayah Terhadap Rakyat menyiasat pendakwaan berniat jahat terhadap tokoh-tokoh rakyat seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohammad Sabu, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Karpal Singh, peristiwa Memali dan aktivis-aktivis Reformasi di samping penggunaan undang-undang zalim seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Rahsia Rasmi dan Akta Universiti dan Kolej Universiti.

Kami juga berharap Tribunal tersebut mendedahkan keadaan di Pusat Tahanan Perlindungan Kamunting yang digunakan untuk menahan tahanan-tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri; sebagaimana Tun Dr. Mahathir kini mendedahkan keadaan Abu Ghraib.

Pada masa yang sama, sebuah Tribunal Rasuah juga harus ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan rasuah oleh Tun Dr. Mahathir di dalam ’bail out’ Konsortium Perkapalan bernilai RM2 billion; pemberian kontrak bernilai beratus juta ringgit kepada anaknya untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan keputusan untuk tidak mendakwa Dato’ Seri Rafidah Aziz berikutan siasatan rasuah BPR.

Kami juga ingin mendesak ahli Tribunal tidak bekerjasama dengan bekas-bekas diktator yang ingin menggunakan Tribunal tersebut untuk mengalih perhatian dari tindakan jenayah mereka sendiri. Kami menyeru ahli Tribunal untuk mengambil keputusan moral di dalam kerjasama mereka dengan seorang tokoh yang telah menyalahguna kuasa, mengumpul berbillion-billion ringgit wang rakyat dan kini membelanjakannya untuk persidangan antarabangsa.

SHAMSUL ISKANDAR MD. AKIN                                                                                                          Pemangku Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia