92 Peratus Rakyat Malaysia Percaya Media Baru

Sebanyak 92 peratus rakyat Malaysia mengikuti media baru seperti laman sosial Facebook dan Twitter, kata pensyarah kanan Universiti Malaya Prof Dr Abu Hassan Hasbullah.

Katanya, jika dibandingkan dengan Amerika Syarikat dan Eropah, Malaysia mempunyai lebih ramai pengikut setia media baru yang lebih percayakan laporannya berbanding dengan media arus perdana.

Menggalakkan penyertaan golongan muda dalam jaringan sosial, Abu Hassan mengajak lebih banyak penyertaan golongan tersebut di internet.

Bercakap kepada kira-kira 900 pemuda di Kongres Anak Muda Kebangsaan di Petaling Jaya, Abu Hassan berkata kebangkitan media baru sekarang ini telah menjadi semacam “agama” pada masa kini.

Katanya, untuk membawa perubahan dalam negara ini, orang muda mestilah melangkah setapak lagi memasuki media baru dan meninggalkan politik lama.

“Keluarlah daripada politik primitif dan majulah ke depan,” katanya yang terkenal dengan kajian masa depan melalui pusat kajiannya Zentrum Future Studies.

Sementara itu, dalam persidangan sehari anjuran sekretariat belia Selangor itu turut dihadiri beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat, antaranya Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai), Khalid Samad (Shah Alam) dan Tony Pua (Petaling Jaya Utara).

Penutupannnya petang tadi dirasmikan oleh Menteri Mesar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sendiri.

Dalam ucapannya, Khalid antaranya menyeru golongan muda supaya mengambil bahagian dalam lebih banyak aktiviti kerajaan negeri, antaranya “Jom daftar undi” dan rancangan pembangunan sektor pertanian luar bandar.

Sumber: Malaysiakini

Pejabat Ketua Angkatan Muda Keadilan

Malaysia

Nik Aziz Ajak Rakyat Contohi Cara Berpolitik MCA

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu rakyat mencontohi cara berpolitik pemimpin MCA kerana mereka memlilih dan menjatuhkan seseorang pemimpin melalui pemilihan di peringkat dalaman parti.

Pada 4 Mac lalu, 22 angota jawatankuasa pusat (CC) MCA meletakkan jawatan, yang sekaligus menyaksikan Datuk Seri Ong Tee Keat terpaksa bertanding semula jika mahu terus berkuasa.

Menurut Nik Aziz, masyarakat bukan Islam akan memerhatikan bagaimana buruknya politik orang Melayu apabila bertelagah sesama sendiri.

Beliau mengulas dan menyelar tindakan sesetengah pemimpin politik yang mendedahkan keburukan pemimpin lain atau ketuanya di khalayak umum apabila keluar parti.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, jika anggota parti yang tidak suka kepada pemimpinnya, ia boleh diselesaikan di peringkat dalaman mengikut prosedur dalam sesebuah pertubuhan, sama ada melalui mesyuarat agung atau sebagainya.

“Mendedahkan keburukan bekas pemimpin kepada orang lain di khalayak umum perbuatan tidak berakhlak dan tidak bertamadun,” katanya kepada Bernama selepas menyampaikan ceramahnya di Dataran Ilmu, di Kota Bharu, hari ini.

Nik Aziz mengulas tindakan Anggota Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, yang mendedahkan kepincangan dalam Parti Pakatan Rakyat (PKR), membabitkan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, apabila keluar dari parti itu dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Terbaru, Zahrain mendedahkan nama lapan Ahli Parlimen yang disebut-sebut akan melompat parti ke PKR bagi menjayakan rancangan pembangkang untuk mengambil alih kerajaan pusat pada 16 September 2008.

Nik Aziz berkata, anggota parti mempunyai saluran tertentu untuk menjatuhkan pemimpin yang mereka tidak suka dan bukan cara mendedahkan keaiban pemimpin itu di khalayak umum.

“Ini cara tidak kena dan peluang masih terbuka untuk pihak yang melakukan perbuatan itu kembali ke pangkal jalan untuk bertaubat daripada melakukan kesalahan itu,” katanya.

Sumber: Malaysiakini

Pejabat Ketua Angkatan Muda Keadilan

Malaysia

Isu Tanah TNB: Jawatankuasa Dibentuk

Tenaga Nasional Bhd (TNB) bersetuju untuk membentuk jawatankuasa bersama dengan penduduk kampung baru Rawang untuk mencari penyelesaian dalam pertikaian melibatkan tanah di situ.

Keputusan untuk membentuk jawatankuasa itu dicapai pada pertemuan dengan sepuluh wakil penduduk kampung dan lapan pegawai TNB, dipengerusikan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

Turut hadir dalam pertemuan ini ialah exco kerajaan tempatan Ronnie Liu, ahli parlimen Selayang William Leong dan wakil rakyat Rawang Gan Pei Nei.

Keputusan untuk membentuk jawatankuasa bersama itu timbul berikutan tindakan TNB mengancam untuk meruntuhkan perkampungan berkenaan pada Isnin lalu, bagi membina menara kabel rentangan tinggi.

Operasi merobohkan kampung berkenaan bagaimanapun dibatalkan pada saat terakhir apabila penduduk menghalang pihak berkuasa memasuki tanah berkenaan.

Berikutan ini, kerajaan mengumumkan operasi tersebut ditangguhkan bagi membolehkan rundingan hari ini dijalankan.

Pada kejadian dua hari lalu, lebih 200 orang berhimpun di jalan masuk menuju Kampung Sg Terentang, Rawang dalam usaha terakhir mereka menghalang TNB daripada menyambung semula kerja-kerja pembinaan dalam projek Pengukuhan Sistem Kawasan Tengah (CAR) di kampung mereka.

Kes berkenaan pernah dibawa ke Mahkamah Persekutuan pada November lalu dan mahkamah memutuskan bahawa TNB mempunyai hak untuk meneruskan projek itu.

Mahkamah juga memerintahkan TNB supaya membayar pampasan berjumlah RM10.4 juta kepada penduduk terlibat.

Apabila siap kelak, projek yang membabitkan pemasangan kabel voltan tinggi sepanjang 59km, kira-kira satu kilometer jaraknya dari Kampung Sg Terentang itu akan menyaksikan pembinaan lima menara satu tiang.

Projek CAR akan meningkatkan pengeluaran tenaga elektrik daripada 33kV kepada 275kV dan membantu mengatasi kekurangan kuasa di Lembah Klang.

Sumber: Malaysiakini

Pejabat Ketua Angkatan Muda Keadilan

Malaysia

Ilmuwan Digesa Tidak ‘Menikus’

Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM) dibidas oleh bekas presidennya Syed Husin Ali kerana bersikap menikus dalam menyatakan pandangan mereka kerana bimbang ‘melukakan (perasaan) kerajaan.’

Syed Husin yang juga timbalan presiden PKR berkata beliau berasa “hilang ghairah” dengan ilmuwan yang kurang berhubung dengan masyarakat dan menahan diri daripada memberikan analisis kritikal.

“Ini sikap yang sangat salah, ia mencerminkan ketakutan psikologi. Sekarang terlalu banyak ketakutan dan kawalan; (oleh) polis, media, mahkamah, pelajar, pekerja dan juga ahli akademik,” katanya ketika menutup Persidangan Pengajian Malaysia (MSC) ketujuh di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Syed Husin, yang juga senator Dewan Negara selama tiga penggal, berkata demikian dengan merujuk kepada seorang pembentang kertas kerja di persidangan tersebut.

Menurutnya, peserta berkenaan tidak berani mengulas lebih jauh daripada topik yang dibentangkannya kerana bimbang melukai perasaan kerajaan.

Kebebasan akademik dalam negara ini dikawal melalui Akta Universiti dan Kolej Universiti (1971) yang menetapkan supaya mahasiswa, pensyarah dan kakitangan pentadbiran menandatangani dokumen ‘Aku Janji.’

Kekangan ini menyebabkan beberapa orang pelajar dan pensyarah menghadapi tindakan disiplin kerana mengambil bahagian dalam aktiviti yang didakwa berciri politik.

Sumber: Malaysiakini

Pejabat Ketua Angkatan Muda Keadilan

Malaysia

SMM ‘Bergelimpangan’ Teruskan Kongres

Selepas halangan demi halangan, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) hari ini meneruskan kongres gerakan mahasiswa anjuran mereka dengan penuh daif, sehingga pesertanya terpaksa duduk bergelimpangan di lantai.

Walaupun program tersebut berlangsung di tempat yang penuh selesa di sebuah dewan milik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), kumpulan tersebut mendakwa kerana “mahalnya” dewan itu, mereka tidak lagi mampu menyewa kerusi.

“Kami tidak mampu bayar. Dewan ini bukannya murah. Cuba tengok di sebelah sana,” kata pengerusinya Hilman Idham sambil menunjuk ke arah tabung derma yang diletakkan di sebelah pintu masuk dewan tempat program itu berlangsung.

Semalam, sebuah universiti universiti di Lembah Klang Universiti Malaya (UM) dilaporkan melarang pelajarnya menghadiri program anjuran SMM – yang sering dilabelkan propembangkang.

Dalam notis yang ditampal di sekitar universiti itu semalam, kongres tersebut didakwa bakal membincangkan isu-isu politik yang didakwa bertentangan dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Ditemui Malaysiakini di program tersebut, Hilman menceritakan, SMM terpaksa bertukar tempat di saat akhir (semalam) kerana “disabotaj” pihak-pihak tertentu.

Katanya program tersebut tersebutnya yang sepatunya berlangsung di sebuah dewan di Taman Setiawangsa ditukar tempatnya setelah “dihalang” dengan pelbagai alasan.

Hilman berkata, ketika pihaknya mahu mengadakan raptai program semalam, seorang pegawai yang ditugaskan menjaga dewan berkenaan memberitahu mereka, program tersebut tidak sesuai dijalankan di dewan milik Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu.

Menurut pemimpin pro-Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, kakitangan tersebut antaranya memberitu mereka, program tersebut “tidak sesuai” dijalankan di situ kerana melibatkan anak ketua pembangkan Nurul Izzah Anwar.

Bagaimanapun kedatangan Nurul Izzah yang juga ahli parlimen Pantai bagi merasmikan program tersebut pagi ini ternyata mengubat hati kira-kira kira 300 penuntut daripada pelbagai universiti di seluruh negara itu.

Dalam ucapannya, beliau antaranya mengimbau kembali detik-detik ketika bapanya Datuk Seri Anwar Ibrahim bergelut dalam gerakan reformasi sepuluh tahun lalu.

ADUN Bukit Tunku Lau Weng San juga turut hadir menyaksikan program tersebut. Beliau turut kelihatan duduk bersila di lantai.

Pada hari ini, di tempat yang sama, sekretariat belia Selangor turut mengadakan persidangan anak muda di tempat yang sama, tetapi dewan yang berbeza, sekali gus memeriahkan lagi suasana sekitar kawasan itu.

Sumber: Malaysiakini

Pejabat Ketua Angkatan Muda Keadilan

Malaysia

Najib Benarkan Negara Musuh Umat Islam Bentuk Imej Malaysia

KUALA LUMPUR 19 Mac – Ahli Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusuf mengecam kerjasama antara kerajaan Malaysia dan syarikat perunding Israel, APCO Worldwide meskipun kerajaan tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara terbabit.

Menurut Yusmadi berdasarkan jawapan yang diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di Parlimen semalam, jelas menunjukkan kerajaan bersekongkol dengan firma Israel yang berpengkalan di Amerika Syarikat itu.

“Di dalam jawapan yang diberikan, kerajaan menyatakan tidak melantik syarikat perunding Apco untuk mempromosikan Malaysia secara khusus tetapi secara umumnya dilantik untuk melaksanakan perkhidmatan berkaitan komunikasi secara menyeluruh. Dikatakan ia bertujuan untuk meningkatkan kapasiti kerajaan dalam bidang komunikasi di Malaysia.

“Dari jawapan ini jelas membuktikan APCO sebagai sebuah syarikat perundingan bertanggungjawab menjalankan perkhidmatan komunikasi dan dikatakan bukan mempromosi 1Malaysia meskipun trend syarikat komunikasi kerajaan sebenarnya membentuk imej 1Malaysia,” kata beliau ketika dihubungi Suara Keadilan.

Beliau juga membidas jawapan yang diberi Mohamed Nazri yang tidak mengetahui hubungan APCO dengan negara-negara lain atas alasan ia merupakan urusan syarikat tersebut.

“Bagaimana kerajaan boleh membenarkan syarikat-syarikat terutama yang membentuk imej negara dikaitkan dengan penasihat yang mempunyai latar belakang Israel. Sedangkan kerajaan tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel. Bagaimana hubungan ini boleh terbentuk melalui pintu belakang?” soal Yusmadi.

Tanya beliau bagaimana sebuah syarikat Israel dilantik melaksanakan perkhidmatan komunikasi yang secara langsung membenarkan imej negara ini dibentuk oleh musuh negara.

Beliau pada masa yang sama mencabar pemuda Umno yang selama ini kononnya mengecam sebarang campurtangan asing dan kerjasama melibatkan Israel supaya menyatakan pendirian mereka berhubung isu itu.

Sebaliknya kata Yusmadi, fatwa ulama terkemuka dunia, Sheikh Dr Yusuf Al Qaradawi berhubung kes fitnah Anwar pula dianggap satu bentuk campurtangan asing oleh Umno.

Sumber: Suara-Keadilan

Pejabat Ketua Angkatan Muda Keadilan

Malaysia

Anwar Anggap Usul Seret Ke Jawatankuasa Parlimen Jenaka Basi

LONDON 19 Mac – Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat Parlimen untuk menggantung beliau daripada menghadiri parlimen berikutan pendedahan beliau slogan 1 Malaysia dan 1 Israel sebagai jenaka basi.

Kata beliau,”APCO Worldwide, sebuah firma perunding antarabangsa berpangkalan di Amerika Syarikat tidak seharusnya terbabit dalam sebarang urusan politik di negara ini”.

Bercakap pada sidang media selepas berucap di London School of Economics, Anwar yang sebelum ini ditohmah kononnya ejen

Yahudi, menyifatkan persamaan Satu Malaysia dan One Israel sebagai satu “kebetulan aneh”.

Ironinya, Umno yang mendabik dada sebagai juara Melayu dan memperjuangkan Islam khususnya dalam isu kalimah Allah, melantik APCO yang dipimpin sebahagian Yahudi berfahaman Zionis.

Anwar menyifatkan beban tanggungjawab bagi menerangkan peranan sebenar APCO terletak di bahu pimpinan Umno.

Khamis lalu semasa membahaskan titah Yang Dipetuan Agong di dalam Dewan Rakyat Anwar telah memdedahkan hubung kait APCO dengan pemerintah Zionis Israel dan mempersoalkan bagaimana

Perdana Menteri sanggup menggunakan khidmat syarikat tersebut untuk memperbaiki imej kerajaan.

Walau bagaimanapun dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam APCO yang mempunyai pejabat di Malaysia menafikan syarikat tersebut terbabit dalam menasihati Najib berhubung gagasan 1Malaysia.

“Bertentangan dengan kenyataan yang dibuat di Parlimen Malaysia, 1Malaysia telah diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum kerajaan Malaysia melantik APCO. APCO tidak mempunyai peranan dalam mengadun konsep 1Malaysia yang telahpun terbentuk sebelum pembabitan APCO.

“Adalah tidak benar APCO mewakili kerajaan Israel seperti yang didakwa dalam Parlimen Malaysia. APCO tidak pernah terlibat dalam kempen hubungan awam berkaitan konsep Satu Israel,” kata kenyataan itu.

Sumber: Suara-Keadilan

Pejabat Ketua Angkatan Muda Keadilan

Malaysia

Karnival Orang Muda Tiada Perubahan

KUANTAN, 19 Mac: Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang, Ustaz Suhaimi Md Saad menjelaskan tidak ada sebarang perubahan tarikh dilakukan penganjur pada program Karnival Orang Muda Geng Kita sebagaimana yang dijadualkan pada 20 hingga 21 Mac 2ini di Taman Tas, Kuantan.

Ustaz Suhaimi dihubungi Harakahdaily sebentar tadi berikutan adanya khabar angin yang diterima kononnya program besar-besaran yang menghimpunkan pemuda seluruh Pahang itu dipinda tarikhnya dipercayai bagi tujuan mensabotaj program.

“Tidak ada sebarang perubahan dibuat oleh penganjur sama ada dalam bentuk perubahan tarikh apa lagi membatalkannya. Sebaliknya program tersebut menjadi lebih perdana apabila kita berjaya mendapat persetujuan Datuk Zaid Ibrahim dan Saifuddin Nasution Ismail untuk hadir.

“Saya mengutuk sebarang bentuk sabotaj dari mana-mana pihak yang tidak bertanggung-jawab. Orang ramai tidak perlu risau dan boleh hadir mengikuti program dalam suasana santai dan kekeluargaan,” katanya.

Sumber: Harakahdaily

Pejabat Ketua Angkatan Muda Keadilan

Malaysia

Bukan Islam Perhati Buruknya Perangai Pemimpin Politik Melayu

KOTA BHARU, 19 Mac: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) berkata, masyarakat bukan Islam memerhatikan bagaimana buruknya perangai pemimpin politik Melayu.

Ini kerana pemimpin politik Melayu begitu buruk sekali perangai mereka apabila bertelagah sesama sendiri sehingga sanggup mendedahkan perkara yang tidak sepatutnya.

Kata beliau, sepatutnya apabila seseorang ahli parti yang tidak suka kepada pemimpinnya, dia menggunakan saluran parti untuk mengemukakan pandangan.

“Ia boleh diselesaikan di peringkat dalaman mengikut prosedur sebagai sebuah pertubuhan sama ada melalui mesyuarat agung atau program lain.

“Namun dengan mendedahkan keburukan bekas pemimpin kepada orang lain di khalayak umum, perbuatan itu jelas tidak berakhlak dan tidak bertamadun,” katanya selepas menyampaikan kuliah mingguan di Medan Ilmu, di sini, hari ini.

Baru-baru ini, anggota Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mendedahkan kepincangan membabitkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim di parlimen, setelah keluar dari parti terbabit.

Bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang itu juga mendedahkan nama lapan anggota Parlimen yang disebut-sebut akan melompat parti bagi menjayakan rancangan pembangkang mengambil alih kerajaan pada 16 September 2008.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, rakyat sepatutnya mencontohi cara berpolitik pemimpin MCA apabila mereka menggunakan saluran parti bagi melantik atau menjatuhkan seseorang pemimpin.

Menurutnya, anggota parti mempunyai saluran tertentu untuk menjatuhkan mana-mana pemimpin yang mereka tidak suka.

Sumber: Harakahdaily

Pejabat Ketua Angkatan Muda Keadilan

Malaysia

Jom Heboh Di Kelantan Ada Kelainan

KOTA BHARU, 19 Mac: Apabila disebut program Jom Heboh tentunya kita terbayang aksi artis lelaki dan perempuan terlonjat-lonjat di atas pentas.

Namun, lain pula dengan Jom Heboh yang akan diadakan di sini pada 26 dan 27 Mac ini, tiada artis wanita ditampilkan pada konsert yang akan diadakan.

Sebaliknya konsert itu pada malam 27 Mac hanya menampilkan artis lelaki termasuk Jay Jay, Jamal Abdillah, Kumpulan Raihan dan Megat Nordin.

Selain itu, difahamkan tiada siaran langsung dibuat bagi konsert berkenaan seperti dilakukan TV3 di negeri-negeri lain sebelum ini.

Kelainan juga dapat disaksikan apabila tempat duduk di antara lelaki dan wanita diasingkan pada persembahan konsert terbabit.

Pegawai Khas kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Nasruddin Mahmud Muhaidin berkata, pihak penganjur telah memberi jaminan akan mematuhi segala peraturan yang ditetapkan kerajaan negeri.

“Mereka bersetuju untuk mematuhi Enakmen Kawalan Hiburan 1998 yang dikuatkuasa di negeri ini.

“Datuk Takiyuddin Hassan sebagai anggota Exco yang bertanggungjawab memberi penekanan mengenai perkara itu pada mesyuarat yang diadakan sebelum ini,” katanya.

Karnival Jom Heboh TV3 sebelum ini lebih dikenali sebagai Sure Heboh diadakan di seluruh negara kecuali Kelantan.

Bagaimanapun, TV9 pernah menganjurkan program Sua Rasa dan Perkampungan Hadhari di Kota Bharu sebelum ini tanpa melibatkan percanggahan dengan dasar kerajaan negeri.

Program Jom Heboh akan diadakan di perkarangan Stadium Sultan Mohammad Ke IV dengan menampilkan pelbagai pameran dan aktiviti jabatan-jabatan kerajaan negeri dan agensinya.

Nasruddin juga berkata, sebuah khemah besar yang dinamakan sebgai Kota Ilmu disediakan pihak penganjur untuk dijadikan tempat solat dan pameran program Jejak Rasul.

“Dijangka Pemangku Raja akan hadir pada program al Kuliyyah yang akan disiarkan secara langsung pada petang 26 Mac yang bakal diadakan di khemah tersebut.

“Selain itu Menteri Besar dan anggota-anggota Exco dijemput untuk mengisi program Talk Show,” katanya.

Program dua itu bermula dari jam 9 pagi hingga 12 malam.

Beberapa jabatan dan agensi kerajaan yang akan terbabit dalam pameran dan aktiviti interaktif iaitu Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Urusetia Pembangunan Ihsan, Belia, Sukan dan NGO, Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan.

Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam dan Pusat Penerangan Pelancongan.

Sumber: Harakahdaily

Pejabat Ketua Angkatan Muda Keadilan

Malaysia