Presiden Umno Tidak Sertai Himpunan 100,000 Rakyat Kecam Israel

TVS – Presiden Umno Najib Abdul Razak menolak jemputan Pakatan Rakyat ke persidangan meja bulat mengecam serangan tentera rejim Tel Aviv keatas misi kemanusiaan Freedom Flotilla.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang Dato Seri Anwar Ibrahim menghulurkan tangan menyeru Presiden Umno ini untuk turun berhimpun bersama rakyat di Kampung Baru, Jumaat depan.

Perhimpunan di ibu negara ini diadakan sebagai reaksi kepada serangan komando Tentera Laut Israel keatas konvoi membawa 10,000 tan bekalan makanan dan perubatan ke Semenanjung Gaza, yang dihimpit sekatan ekonomi Mesir-Israel.

Pakatan Rakyat akan turut menganjurkan persidangan meja bulat membabitkan parti-parti politik dan badan bukan kerajaan pada jam 11 pagi di lokasi yang sama.

“Tidak, kita akan debat isu ini di Parlimen pada hari Isnin. Kita akan bentang usul mengecam serangan ganas Israel dan pencabulan hak asasi manusia,” kata Najib kepada pemberita di Balai Polis Seapark, semalam.

Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru pernah menyaksikan perhimpunan orang Melayu menentang penjajahan British.

Pejabat Ketua AMK Malaysia

Siri Demo Besar Anti-Israel Esok

MALAYSIAKINI – Sekurang-kurangnya dua demonstrasi besar akan diadakan di ibu negara esok oleh pelbagai pihak bagi mengutuk serangan berdarah tentera Israel terhadap flotila bantuan kemanusiaan pro-Palestin.

Demonstrasi tersebut bagaimanapun dilangsungkan secara berasingan – satu di Masjid Kampung Baru anjuran Pemuda PAS manakala satu lagi di Masjid Negara oleh Pemuda Umno, selepas solat Jumaat.

Beberapa NGO dijangka turut menyertai demonstrasi tersebut antaranya Jemaah Islah Malaysia (JIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA).

Di Masjid Kampung Baru kumpulan penyokong pembangkang merancang berarak ke kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Ampang bagi menyatakan menyatakan bantahan mereka kepada negara sekutu Israel itu.

Ia dijadual disertai semua pemimpin utama Pakatan Rakyat dan diketuai ketua umum PKR sendiri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Dewan Pemuda PAS pusat, Kamaruzzaman Mohamad berkata satu memorandum akan diserahkan kepada kedutaan Amerika oleh pimpinan utama Pakatan.

Katanya, kira-kira 200 anggota unit amal PAS akan ditugaskan mengawal perhimpunan dan perarakan esok.

Kamaruzzaman juga berkata pihaknya turut menjemput BN untuk turut sertai dalam perhimpunan dan perarakan tersebut, tetapi mereka memilih untuk mengadakan perhimpunan sendiri.

Katanya, jemputan tersebut dibuat kepada setiausaha Pemuda Umno, Megat Firdaus Megat Junid.

Kamaruzzaman juga menafikan ura-ura yang mengatakan perhimpunan esok akan diadakan di Masjid KLCC dan Masjid Tabung Haji.

Sebaliknya, tambah beliau, perhimpunan akan diadakan di Masjid Kampung Baru selepas solat Jumaat sebelum berarak ke Kedutaan Amerika.

Sementara itu, Setiausaha Kerja Pemuda Umno, Saiful Hazizy Zainol Abidin berkata kumpulan di Masjid Negara akan diketuai oleh Ketua Pemudanya Khairy Jamaluddin.

Katanya, semua exco pergerakan tersebut diminta menghadiri perhimpunan tersebut.

Pejabat Ketua AMK Malaysia

Pemuda Pakatan: Hentikan Perkhidmatan Apco

MALAYSIAKINI – Para pemimpin Pemuda Pakatan Rakyat hari ini mendesak kerajaan berhenti menggunakan perkhidmatan syarikat perunding Apco Worldwide dan syarikat-syarikat lain yang ada kaitan dengan Israel selaras dengan pendirian negara mengutuk tindakan negara Zionis itu melancarkan serangan maut ke atas kapal bantuan kemanusian ke Gaza.

Delegasi yang terdiri daripada anggota Pemuda PAS dan PKR itu, menyerahkan nota bantahan tersebut kepada pegawai khas kepada Perdana Menteri, Razali Ibrahim di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pagi ini di bawah pengawasan ketat kira-kira 20 anggota polis dan pegawai keselamatan.

Delegasi tersebut diketua oleh Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan turut disertai setiausaha Dewan Pemuda PAS, Kamaruzzaman Mohd dan ketua Pemuda PKR Selangor Khairul Anwar.”Inilah masanya bagi perdana menteri mengambil langkah tegas untuk memprotes jenayah perang yang dilakukan oleh Israel,” kata Shamsul kepada wartawan selepas itu.

Kerajaan juga harus mengambil kesempatan ini untuk memutuskan semua bentuk hubungan dengan syarikat lain yang mempunyai kepentingan Israel, tambahnya.

Tidak ada demonstrasi diadakan pagi ini selain menaikkan sepanduk yang mendesak kerajaan mengusir Apco.

Para aktivis melaungkan slogan untuk beberapa ketika di kawasan letak kereta pejabat perdana menteri, sambil diperhatikan oleh kira-kira 20 anggota polis dan anggota keselamatan.

Pejabat Ketua AMK Malaysia

Anwar: MP BN Tak Layak Anggotai Kabinet Najib

MALAYSIAKINI – Penyenaraian lebih banyak senator dalam rombakan kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam, memberi tanggapan bahawa ahli parlimen BN tidak layak dilantik menjadi menteri dan timbalan menteri, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kebanyakan ahli-ahli parlimen yang kanan di Dewan Rakyat mungkin tidak layak menjadi menteri dan timbalan menteri dalam kabinet baru ini,” kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pemimpin Pakatan Rakyat di ibu pejabat PKR, Tropicana lewat petang semalam.

Sehubungan itu, Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh mencabar Najib supaya mengadakan pilihan raya kecil dengan meletakkan para senator baru dilantik bertanding dan menjadi ahli parlimen bagi menggantikan ahli parlimen BN yang sedia ada.

“Elok Datuk Seri Najib adakan suatu pilihan raya kecil untuk memilih dari kalangan senator-senator terbabit menjadi ahli parlimen, ganti mana-mana ahli parlimen BN yang dirasakan Najib tidak layak,” katanya.

Bukan Kabinet Rakyat

Terdahulu, penasihat DAP, Lim Kit Siang turut mempersoal tindakan Najib melantik sebegitu ramai senator untuk menganggotai kabinet barunya.

Kata Lim, perlantikan berkenaan langsung tidak mencerminkan sebuah ‘Kabinet Rakyat’.

Ini kerana, menurut ahli parlimen Ipoh Timur itu, senator yang dilantik itu bukannya dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya yang demokratik, tetapi dipilih oleh Najib berasaskan kepentingan politik sempit parti-parti komponen BN semata-mata.

Menurut Lim lagi, tindakan Najib melantik lebih ramai pemimpin MCA walaupun mungkin untuk menangani konflik kepentingan dalam parti perkauman Cina itu, tetapi perlantikan tersebut adalah sia-sia.

“Saya tidak nampak (perlantikan) ini sebagai suatu nilai tambah untuk MCA dan BN tidak mungkin boleh memulihkan keyakinan rakyat dengan perlantikan itu,” katanya.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali pula mengganggap pembentukan kabinet yang baru itu semata-mata untuk memulihkan kepercayaan rakyat.

Kabinet masalah MCA

Perlantikan tersebut menurut beliau, sebenarnya lebih untuk menangani masalah dalaman MCA dan BN sendiri.

Petang semalam, Najib mengumumkan rombakan kabinet yang menyaksikan bekas Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat digugurkan manakala Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung dilantik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menggantikan Datuk Seri Kong Cho Ha yang kini menjadi Menteri Pengangkutan, menggantikan Tee Keat.

Beliau juga mengumumkan pelantikan dua ahli parlimen sebagai timbalan menteri iaitu MP Serian, Datuk Richard Riot Jaem sebagai Timbalan Menteri Luar dan MP Labis yang juga anak Datuk Seri Dr Chua Soi Lek – Chua Tee Yong sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Empat senator turut dilantik sebagai timbalan menteri yang baru ialah bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk G Palanivel sebagai Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi; Datuk Donald Lim Siang Chai (Timbalan Menteri Kewangan); Naib Presiden Kanan Parti Progresif Rakyat (PPP), Datuk Maglin Dennis D’Cruz (Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan) dan Gan Ping Shou@Gan Ping Sieu (Timbalan Menteri Belia dan Sukan).

Katanya, Yang di-Pertuan Agong juga telah memperkenankan pelantikan Senator Datuk Donald Lim Siang Chai, Senator Datuk Maglin Dennis D’Cruz dan Senator Gan Ping Shou@Gan Ping Sieu sebagai ahli Dewan Negara.

Pejabat Ketua AMK Malaysia

12 Rakyat Malaysia Selamat, Kini Di Haifa

MALAYSIAKINI – Wisma Putra hari ini mengesahkan 12 rakyat Malaysia yang berada dalam kapal Mavi Marvara yang ditawan Israel semalam selamat tetapi kini ditahan di Haifa.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata usaha membawa pulang mereka itu sedang dilakukan dengan kerjasama beberapa negara seperti Turki, Jordan, Ireland dan Filipina.

Dua hari lalu, kapal Mavi Marmara – kapal utama flotila enam kapal yang ditugaskan menghantar bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza yang diserbu dan diserang oleh tentera rejim Israel.

Pada kejadian itu, sekurang-kurangnya 20 aktivis pro-Palestin dibunuh manakala puluhan yang lain cedera.

Rakyat Malaysia yang berada di kapal itu adalah sebahagian daripada 480 aktivis pro-Palestin yang ditawan komando Israel.

Mereka dalam misi yang dinamakan Lifeline4Gaza, yang mengambil bahagian dalam ‘Flotila Kebebasan’ bagi membawa bantuan kemanusiaan ke Semenajung Gaza.

Adalah dipercayai Lifeline bukan badan kemanusian tunggal dari Malaysia yang terbabit, kerana ada beberapa kumpulan yang bergerak secara berasingan dengan kapal yang lain.

Pejabat Ketua AMK Malaysia

Anwar Gagal Lawat Unit Kondominium Kedua

MALAYSIAKINI – Perbicaraan kes liwat II yang membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersambung hari ini dengan melawat lokasi ‘kejadian’ di sebuah unit kondominium Desa Damansara .

Anwar dan peguam utamanya, Karpal Singh tiba di perkarangan kondominium itu pada jam 2.28 petang tanpa berhenti bercakap kepada pemberita.

Kira-kira 50 minit kemudian mereka meninggalkan lokasi berkenaan dan menuju ke Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

Sebelum perbicaraan bermula, Anwar memberitahu wartawan bahawa pihaknya gagal melawat atau meninjau unit kondominium yang mereka kehendaki.

Sebaliknya, mereka dibawa ke sebuah unit lain yang telah mereka lawati pada awal Februari lalu.

“Saya fikir permohonan kami jelas, kami ingin tinjau unit yang satu lagi,” katanya.Pada jam 3.50 petang, Karpal dilihat memasuki kamar hakim dengan diikuti dengan Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden.

Karpal kemudian memaklumkan kepada mahkamah bahawa saksi pembela yang terdiri daripada pakar Australia akan tiba pada jam 7 pagi, Khamis ini.

“Kami mahu pakar-pakar itu ke mari bagi meneliti pengakuan yang dibuat oleh tiga doktor dari Hospital Kuala Lumpur,” katanya.

Hakim, Datuk Mohamad Zabidin Md Diah kemudiannya menangguhkan perbicaraan sehingga Khamis ini.

Pejabat Ketua AMK Malaysia

Serang Flotila: Kedutaan AS Di Malaysia ‘Diserbu’

MALAYSIAKINI – Seperti di negara lain, rakyat Malaysia turut berdemonstrasi membantah serangan berdarah komando Israel kepada flotila bantuan pro-Palestin dengan ‘menyerbu’ bangunan kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur hari ini.

Pembangkang, NGO, pelajar mula kelihatan membanjiri bangunan itu sejak jam 10.30 pagi tadi secara berperingkat-peringkat bagi menyatakan perasaan marah mereka.

Dalam satu bantahan oleh kumpulan pembangkang tengah hari tadi, kira-kira 100 orang berkumpul di kedutaan itu di Jalan Tun Razak bagi menyerahkan memorandum bantahan mereka kepada kuasa dunia itu.

Demonstrasi yang diketuai Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar itu mulai riuh apabila wakil kumpulan itu tidak dibenarkan masuk ke dalam bangunan kedutaan untuk menyerahkan memorandum dua halaman itu.

Mereka membawa sepanduk dan melaungkan reaksi yang tidak puas hati terhadapat isu ini.

Kumpulan itu antaranya melaungkan slogan anti-Israel seperti “hancur Israel”, “jahanam Israel” “mampus Israel”.

Antara pemimpin pembangkan yang turut serta dalam perhimpunan tersebut Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa dan Naib Presiden PAS Salahudin Ayub dan pengarah stategi PKR Tian Chua.

Berucap ringkas di depan kedutaan itu, Mahfuz menyeru rakyat Malaysia terus membantu warga Palestin, dengan memutuskan segala perhubungan dengan Amerika Syarikat dan Israel.

Dua kumpulan bergerak berasingan

“Harapkan ini merupakan langkah awal (membantu Palestin),” kata Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena.

Turut berucap menyatakan perasaan tidak puas hati dalam perhimpunan itu Tian Chua, Nasharuddin dan beberapa pemimpin Pemuda PAS.

Sejam sebelum itu, perhimpunan oleh sekumpulan 200 aktivis NGO di tempat yang sama menyaksikan sedikit kekecohan ekoran tindakan seorang pesertanya yang cuba membunuh diri kerana tidak dapat mengawal perasaan.

Dalam demontrasi anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) itu, presidennya Datuk Ibrahim Ali turut menyerahkan memorandum bantahan mereka kepada pihak Amerika Syarikat yang dilihat sebagai sekutu rapat Israel.

Sementara itu, demonstari terbesar hari ini di kedutaan sekutu kuat Israel itu dianjurkan oleh NGO Lifeline4Gaza yang disertai 300 peserta.

Lifeline4Gaza merupakan NGO yang menyelaraskan bantuan kemanusian daripada Malaysia ke Palestin.

Kedua-duanya perhimpunan itu berlaku serentak di tempat yang sama tetapi mereka kelihatan bergerak dalam kumpulan yang berbeza.

Dalam perhimpunan Lifeline4Gaza, pengarah Muslimrelief Zulkifli Mohd Nani yang mengetuai kumpulan itu menyeru semua rakyat Malaysia terus berdemonstrasi membantah tindakan ganas tentera Israel semalam.

Katanya, pada Jumaat ini mereka akan sekali lagi berkumpul di tempat itu bagi menyatakan bantahan mereka.

Pejabat Ketua AMK Malaysia

MB Selangor Ajak Rakyat Malaysia Berkabung

MALAYSIAKINI – Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mengajak seluruh rakyat Malaysia memberikan penghormatan terakhir ke atas kehilangan 16 nyawa peserta frotila pro-Palestin yang diserang tentera Israel semalam.

“Seluruh rakyat Malaysia perlu berkabung bagi menghormati kehilangan 16 nyawa setakat ini, dalam serangan kejam tentera Zionis itu,” katanya.

Katanya, tindakan tentera Zionis itu sama sekali tidak boleh diterima oleh masyarakat berbilang kaum di Selangor kerana ia merupakan perbuatan kejam dan melampaui batas kemanusian.

“Kerajaan Selangor mendesak Mahkamah Keadilan Antarabangsa menyiasat dan bertindak terhadap tentera Zionis kerana melakukan jenayah yang dikutuk seluruh rakyat Malaysia dan masyarakat dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Khalid juga menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyatakan dengan jelas bahawa Malaysia telah memutuskan semua hubungan diplomatik dan perniagaan dengan kerajaan serta rakyat Israel.

“Perdana Menteri perlu mengistiharkan bahawa Malaysia secara rasmi telah membatalkan kontrak dengan (firma perunding) Apco (Worldwide) dan mengharamkan sistem teknologi keselamatan untuk kegunaan polis yang dibekalkan syarikat Eropah dan Amerika Syarikat dengan nasihat teknikal Yahudi,” katanya.

Pejabat Ketua AMK Malaysia