Malaysia kekurangan pekerja skil tinggi, apa tindakan KPT?

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dipersoalkan perancangannya untuk menghasilkan pekerja berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0)

Ahli Parlimen Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH – Hang Tuah Jaya) bertanya kepada Menteri Pengajian Tinggi apakah langkah yang sedang diambil untuk memastikan Malaysia tidak menghadapi kekurangan pekerja berskil tinggi pada masa hadapan.

“Ada kajian baru baru ini oleh Universiti Malaya yang bertajuk “employees expectation and preferences of graduates Malaysia”, yang menyimpulkan mustahaknya untuk IPT merangka program yang bersesuaian dan relevan dengan kehendak majikan dan pemegang taruh yang menyediakan peluang pekerjaan.

“Kalau kita merujuk senarai negara negara terkemuka dunia bagi pekerjaan berkemahiran tinggi. Luxemburg misalnya mempunyai 59.6% pekerjaan berkemahiran tinggi diikuti Singapura 54.7% dan Switzerland 51.3%.

“Untuk makluman, Kementerian Sains dan Inovasi baru baru ini memaklumkan kebimbangan mereka mengenai pekerja berkemahiran tinggi untuk memenuhi keperluan industri, khususnya teknologi baru.

“Saya ingin tanya kepada menteri apakah perancangan segera KPT dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk mengatasi masalah ini sebelum ia menjadi lebih rumit lagi,” katanya.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, KPT sedang bekerjasama dengan bebarapa kementerian lain seperti MOSTI, MITI dan Kementerian Sumber Manusia untuk melahirkan pekerja berkemahiran tinggi.

Katanya, pihak KPT juga menubuhkan IR 4.0 Competence Centre bagi menggarap industri baharu. Juga menyediakan korikulum masa hadapan di beberapa Institusi Pengajian Tinggi.

Sumber: https://www.suarakeadilan.my/post/malaysia-kekurangan-pekerja-skil-tinggi-apa-tindakan-kpt

Ketum sebagai produk kesihatan, sumber ekonomi baharu

Kerajaan perlu meneroka industri baharu berasaskan daun ketum sebagaimana telah dilakukan oleh Thailand.

Ahli parlimen Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH – Hang Tuah Jaya) berkata, industri tersebut jika dibangunkan dengan betul berpotensi membantu kemajuan ekonomi

“Kerajaan harus membangunkan ketum sebagai produk dan tumbuhan herba, kerana terdapat pasaran yang besar untuk produk itu di kawasan luar bandar

“Malah negara jiran kita Thailand telah mengeluarkan ketum daripada senarai bahan narkotiknya.

“Saya telah menonton temu bual dengan penyelidik dari Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) mengenai topik ketum, jadi saya percaya kami mempunyai keupayaan untuk membangunkan industri dengan lebih baik,” kata Shamsul semasa membahaskan Bajet 2022 di Dewan Rakyat.

Justeru Shamsul menggesa Kementerian Tenaga dan Sumber Asli untuk memperincikan masa depan program ketum negara yang mampu untuk memberi petani pulangan yang baik di samping mempelbagaikan produk herba Malaysia.

Ketum – atau nama saintifiknya, Mitragyna speciosa – adalah tumbuhan dalam keluarga kopi yang digunakan secara sejarah dalam perubatan herba. Ia berasal dari beberapa negara seperti Thailand, Indonesia, Malaysia, Myanmar, dan Papua New Guinea.

Sumber: https://www.suarakeadilan.my/post/ketum-sebagai-produk-kesihatan-sumber-ekonomi-baharu

Rizab simpanan tunai tertinggi, mengapa Sarawak paling banyak rakyat miskin?

Rakyat Sarawak seharusnya menjadi antara yang paling makmur di Malaysia kerana hasil bumi yang banyak termasuk gas asli, petroleum dan kayu balak.

Bagaimanapun, dalam jawapan di Dewan Rakyat hari ini, kerajaan mengesahkan Sarawak mempunyai insiden kemiskinan paling tinggi.

Hal itu, menurut Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, menimbulkan keraguan, ke manakah hasil kekayaan Sarawak selama ini dilonggokkan?

“Saya merujuk kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Eddin Syazlee Shith pagi ini di Dewan Rakyat. Beliau menjawab soalan yang dinyatakan oleh Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan YB Nga Kor Ming.

“Dalam menjawab soalan itu, Timbalan Menteri mendedahkan negeri Sarawak antara negeri yang merekodkan kadar kemiskinan paling tinggi di Malaysia. Pendedahan ini bukanlah satu perkara baru.

“Umum mengetahui meskipun sudah sekian lama Sarawak diperintah oleh Gabungan Parti Sarawak yang didominasi oleh PBB, kadar kemiskinan di negeri itu tidak bertambah baik, malah kekal di tahap yang sama,” kata Shamsul.

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu tertanya tanya mengapakah Sarawak yang mempunyai rizab simpanan tertinggi berbanding negeri lain di Malaysia, sebanyak RM31 bilion, tidak menggunakan dana berkenaan untuk membantu rakyatnya yang miskin.

“Amat menyedihkan buat rakyat Sarawak, di mana negeri ini mempunyai rizab simpanan tunai terbesar. Pendapatan negeri juga ketiga terbesar, di mana Sarawak menyumbang sebanyak 12% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar selepas Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Namun di mana silapnya dalam pengagihan kekayaan negeri ini kepada rakyat Sarawak?” tanyanya.

Lebih mengejutkan, kata Shamsul, ADUN ADUN Sarawak juga diberikan peruntukan pembangunan tahunan yang jauh lebih tinggi berbanding mana mana ADUN di Malaysia, malah melebihi peruntukan Ahli Parlimen.

Namun ke manakah perginya dana berkenaan kerana taraf hidup rakyat Sarawak kekal daif sejak berpuluh tahun.

“Peruntukan yang diterima setiap ADUN Sarawak antara yang tertinggi di Malaysia.

“Setiap wakil rakyat GPS menerima peruntukan tahunan sebanyak RM5 juta untuk Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), RM2 juta untuk Projek Kecil Luar Bandar (MRP), RM1 juta untuk Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) dan RM1 juta untuk Program Tabung Fasilitasi Pertanian.

“Adakah peruntukan yang diterima ADUN ini benar-benar sampai ke tangan rakyat untuk menikmati manfaatnya? Jika ya, mengapa Sarawak adalah antara negeri yang termiskin di Malaysia,” katanya lagi.

Sumber: https://www.suarakeadilan.my/post/rizab-simpanan-tunai-tertinggi-mengapa-sarawak-paling-banyak-rakyat-miskin

Calon DUN Paya Rumput teruskan janji perubahan

Calon DUN Paya Rumput, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mengucapkan terima kasih kepada seluruh pengundi di DUN berkenaan yang mengundi beliau semalam.

Menurut Shamsul, beliau akan meneruskan perjuangan membawa perubahan ke DUN berkenaan

“Terima kasih kepada semua pengundi yang telah keluar mengundi di Dun Paya Rumput.

“Saya akan tetap meneruskan aspirasi saya untuk membawa perubahan di Paya Rumput selaras dengan janji saya,” katanya.

Dalam pilihan raya semalam Shamsul tewas tipis kepada calon BN, Rais Yasin.

Rais mendapat 6,830 undi, manakala Shamsul mendapat 6,201 undi, di tempat ketiga calon PN Muhammad Fariz Izwan Mazlan yang mendapat 3,972 undi.

Sumber: https://www.suarakeadilan.my/post/calon-dun-paya-rumput-teruskan-janji-perubahan

Undi PH, BN perintah sejak merdeka, kempimpinan tidak bersih 

Pengundi Melaka diseru bersatu padu memilih Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan pada hari pengundian untuk memastikan kemakmuran negeri Melaka.

Hal itu diungkapkan oleh calon DUN Paya Rumput, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dalam ceramah grand finale, malam tadi.

Katanya, ada tiga gabungan utama yang bertanding tetapi PH memberi pilihan lebih baik dari segi kestabilan dan kemajuan negeri.

“Pilihan raya penting kerana ada kumpulan yang panggil Gagasan Bebas tetapi kita dihidangkan dengan 3 kumpulan utama. Iaitu adakah saudara saudari akan bersama PH atau memilih untuk memberi peluang sekali lagi kepada BN atau PN? Ini perkara paling mustahak yang harus kita sama sama muktamadkan esok.

“Rakyat telah beri peluang kepada BN sejak merdeka mentadbir Melaka. PRU 14 kita telah sama sama menolak BN dan angkat PH sebagai kerajaan. Kita boleh senaraikan apa yang berjaya kita lakukan dan apa yang tertangguh.

“Pada malam ini saya ingin berterus terang dengan rakyat, lepas BN kembali memimpin negeri ini apakah ada kejayaan mereka atau perangai lama berulang kembali?” tanyanya.

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu merayu agar rakyat tidak mensia-siakan undi dengan memilih parti yang tidak bersih dan suka bertelagah.

Atau mencuba PN yang tidak terbukti rekod pentadbirannya.

“Esok jangan kita sia-siakan undi dengan pendekatan try and error. Cukup kita beri peluang dan ruang kepada BN. Jangan pula kita cuba beri peluang kepada PN kerana di peringkat Persekutuan bergabung jadi kerajaan, di peringkat negeri bertelagah sampai ke bawah.

“BN ada calon Ketua Menteri, PH pun ada. Kalau beri peluang kepada mereka, siapakah calon yang mereka akan angkat?

“Kita mahukan kerajaan yang bersih dan kompetan. Kita sudah muak dan meluat dengan pemimpin yang mengkayakan diri dan sanak saudara mereka. Inilah yang mereka lakukan selama 18 bulan menjadi kerajaan,” katanya lagi.

Sumber: https://www.suarakeadilan.my/post/undi-ph-bn-perintah-sejak-merdeka-kempimpinan-tidak-bersih

Calon DUN Paya Rumput janji selesai masalah banjir di Bukit Datuk

Calon DUN Paya Rumput, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berjanji akan menyelesaikan masalah banjir kilat yang sering terjadi di kawasan Kampung Bukit Datuk A akibat sistem saliran yang kurang baik.

Beliau yang melakukan tinjauan semalam, mendapati kerja kerja mendalamkan tali air yang tidak berjalan lancar mungkin merupakan punca banjir.

“Ramai pemanggil meminta dibantu untuk menyelesaikan masalah di sini. Kita lihat saliran yang tersumbat dan projek yang belum siap.

“Masalah berlaku jika hujan lebat selama 1 jam maka air akan melimpah dan menyebabkan banjir di kawasan ini. Saya turun padang hari ini untuk melihat sendiri di mana kita semua sedia maklum hal hal seperti ini boleh kita selesaikan dengan segera kerana sekarang kita tengok di sini telah pun ada projek yang dilaksanakan.

“Tetapi hari ini kita tengok terhenti. Saya tidak tahun apa masalahnya. Yang penting isu ini akan menjadi isu utama bagi saya sekiranya diberi mandat dan amanah oleh warga Paya Rumput pada 20 November ini,” katanya.

Menurut beliau, masalah tali air dan banjir itu boleh diselesaikan dengan menghubungi agensi berkaitan dan beliau akan memastikan perkara tersebut diselesaikan segera.

Selain itu, Shamsul juga bertemu seorang penduduk tempatan yang mengadu masalah dihadapi kampung berkenaan setiap kali hujan lebat.

Menurut penduduk itu hujan dalam masa sejam biasanya menyebabkan banjir kilat dan menyukarkan kehidupan mereka.

“Kalau hujan lebat sangat akan banjir atau hutan satu jam akan banjir. Berlaku dalam setahun ini.

“Projek (mendalam tali air) baru dua bulan, tetapi tak siap siap lagi,” katanya.

Sumber: https://www.suarakeadilan.my/post/calon-dun-paya-rumput-janji-selesai-masalah-banjir-di-bukit-datuk

Calon PH DUN Paya Rumput yakin tangani isu internet

KUALA LUMPUR – Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yakin dapat menangani isu keterhubungan internet yang menjadi keluhan rakyat kawasan itu sekiranya dipilih sebagai wakil mereka.

Beliau melihat itu masalah yang besar khususnya terhadap pendidikan anak-anak dalam norma baharu ini, namun tidak sukar untuk diselesaikan.

“Saya bawa isu ini sebagai isu kempen kerana bagi saya ini satu isu yang mudah untuk dilaksanakan, it is low hanging fruits.

“Bagaimana caranya, saya kata kita ada banyak tempat industri di mana kita boleh bincang dengan syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi supaya naikkan pencawang-pencawang di kawasan itu.

“Dengan syarat ada kemudahan yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan supaya jangan dikenakan bayaran yang tak munasabah atau mahal.”

Ditambah pula dengan projek pembangunan perumahan yang dijangka akan semakin rancak di kawasan itu, kualiti capaian internet, katanya, perlu dipertingkatkan seiring pertambahan penduduk.

Maka, janji Shamsul, hal itu boleh diselesaikan dalam program kerja yang ingin disampaikannya kepada penduduk Paya Rumput dalam masa lima tahun seandainya diberikan mandat pada 20 November nanti.

Sumber : https://www.sinarharian.com.my/article/172653/Pilihan-Raya/PRN-Melaka/Calon-PH-DUN-Paya-Rumput-yakin-tangani-isu-internet?

PH tunjuk ia dapat tadbir lebih baik berbanding BN, kata Shamsul 

KRUBONG: Seorang pemimpin kanan PKR percaya kritikan bahawa Pakatan Harapan (PH) gagal menunaikan janji manifesto pilihan raya tidak akan mempengaruhi pengundi pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka kini.

Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, kerajaan Melaka pimpinan PH telah menunaikan lebih 60% janji yang dibuat dalam manifestonya untuk negeri itu walaupun tidak dapat menyempurnakan penggal pemerintahannya.

Shamsul, yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput pada PRN 20 Nov ini, mengakui PH berdepan “cabaran” dalam menguruskan ekonomi selepas pilihan raya umum 2018 (PRU14), tetapi menafikan bahawa gabungan itu gagal.

Baru-baru ini, bekas Perdana Menteri, Najib Razak, mendakwa bahawa pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Melaka merosot selepas PRU14.

Katanya, pada 2016 dan 2017, pertumbuhan KDNK negeri mengatasi purata kebangsaan masing-masing pada 5.5% dan 8.3%, tetapi menurun kepada 3.8% (2018) dan 2.9% (2019).

Bagaimanapun kata Shamsul, walaupun berdepan cabaran, kerajaan negeri pimpinan PH mampu menunjukkan prestasi yang baik.

“Tetapi adakah kita gagal? Tidak, kerana kita melaksanakan program kebajikan, negeri tidak muflis, kita mencapai simpanan di negeri ini dan ini sudah pasti menimbulkan persepsi bahawa PH boleh mentadbir negara lebih baik daripada Barisan Nasional (BN).

Shamsul, yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, berkata, PH telah belajar daripada 22 bulan tempoh pemerintahannya dan sedang mencari mandat kuat untuk menyelesaikan apa yang dimulakannya.

Isu lazim

Apabila ditanya sama ada tindakan PH menerima dua bekas ahli Umno akan menjejaskan sokongan kepada gabungan itu, Shamsul berkata, pengundi jarang membangkitkan isu ityu kepada beliau semasa kempen.

“Masih isu lazim dan keyakinan untuk mentadbir,” katanya.

Di Paya Rumput, Shamsul merancang untuk menangani masalah banjir melalui program pembangunan dan penyelenggaraan, memastikan sambungan internet lebih baik dan menambah baik infrastruktur di kawasan perindustrian.

Namun visinya bagi kawasan perindustrian adalah untuk mengurangkan kerenah birokrasi dan membawa masuk pelabur bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan belia di Paya Rumput.

“Saya fikir dalam tempoh lima tahun, rancangan kami (PH) adalah munasabah dan boleh dicapai. Ia bukan janji kosong,” katanya.

“Rakyat bosan dengan retorik, mereka mahu kerja sebenar dan saya bercadang untuk memastikan kerja sebenar dilakukan.”

Katanya, PH berharap dapat memenangi lebih 15 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka bagi memastikan kerajaan stabil dan mengelak situasi mereka perlu membentuk kerajaan dengan parti lain.

“Kami rasa orang Melaka faham perkara ini. Kami harap mereka akan beri kami mandat yang jelas. Itulah sebabnya pada pusingan terakhir (berkempen), kami minta orang ramai keluar mengundi,” tambahnya.

Mengenai ura-ura bahawa beliau adalah calon berpotensi bagi jawatan Ketua Menteri jika PH menang dan ketua negerinya, Adly Zahari gagal dipilih, Shamsul berkata, polemik seperti itu harus diabaikan.

“Kami telah umumkan Adly sebagai calon Ketua Menteri kami. Bagi kami fokus untuk menang pilihan raya, jadi kerajaan dan laksana pelan tindakan. Ini bagi saya, paling penting.”

Sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/11/16/ph-tunjuk-ia-dapat-tadbir-lebih-baik-berbanding-bn-kata-shamsul/?fbclid=IwAR0h2uMav6zBJgYVXauhXonzRzDWewuHdaamKHw6I0wNAsafglQr3NC9fUs



PRN Melaka: Laksana debat terbuka semua calon bertanding – Shamsul Iskandar

Tinggal empat hari sebelum rakyat Melaka keluar membuang undi.

Calon-calon selain BN semakin resah akibat kesukaran untuk menyampaikan manifesto parti apatah lagi memperkenalkan diri kepada para pengundi.

Justeru, calon DUN Paya Rumput, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin membuat gesaan terbuka kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya agar melaksanakan program debat untuk setiap calon yang bertanding dan disiarkan melalui media rasmi pemerintah dalam beberapa hari berbaki ini.

“Kita mendesak kerajaan ambil sikap terbuka membenarkan kesemua calon-calon yang bertanding dibenarkan keluar ke semua media arus perdana supaya ada liputan yang adil.

“Kalau tidak pun, benarkan semua calon mengikut DUN diletakkan atas satu pentas. Adakan forum atau debat untuk semua calon-calon yang bertanding agar dapat mempersembahkan idea mereka dan yakinkan pengundi.

“Kalau tidak, maknanya Umno yang sekarang memimpin kerajaan ketakutan dan bimbang dengan keberadaan PH, apatah lagi perpecahan mereka dengan PN yang mungkin telah dirasakan akan kalah teruk dalam pilihan raya

“Pada saya keputusan kalah atau menang bukan perkara utama, yang utama adalah membenarkan proses demokrasi itu berjalan dengan baik,” ujar Shamsul kepada Suara Keadilan.

Menurut Ketua Penerangan KEADILAN itu lagi, debat secara langsung akan membuka minda pengundi sekali gus menarik minat mereka keluar mengundi pada 20 November ini.

“Proses itu (debat) bermakna membenarkan kempen mengikut SOP, yang mana natijah akhir dari kempen untuk mempengaruhi pengundi keluar dengan satu kefahaman, parti mana yang mereka pilih kerana pilihan raya kali ini akan bertahan usianya satu penggal, 5 tahun.

“Sekali lagi kita mendesak kerajaan dalam beberapa hari ini membuka ruang kepada semua calon untuk liputan media arus perdana,” katanya.

Sebaiknya, menurut Shamsul, jika kerajaan PN meneruskan sikap menekan aktiviti berkempen maka hal itu akan meletakkan Malaysia dalam kalangan negara yang mengalami defisit demokrasi, kerana banyak negara lain membuat pilihan raya dalam pandemik tetapi mereka membenarkan kempen.

“Kita lihat dalam hal ini kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara yang dipimpin oleh PM dan Menteri Kesihatan dari Umno, mereka telah menyukarkan proses demokrasi dengan menghalang calon berkempen sesuai dengan SOP sedia ada.

“Kita sebenarnya ada pengalaman pilihan raya, iaitu Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. Selepas PRN berlaku lonjakan kes, dan PRN Sabah sepatutnya jadi ukuran bagaimana kita menguruskan PRN Melaka.

“Sebab selepas PRN Melaka akan ada pula PRN Sarawak. Selepas itu ada pilihan raya umum. Tak kan kita mahu menjangkakan setiap kali pilihan raya tidak boleh berkempen?” tanyanya.

Mengulas beberapa siri kompaun yang dikenakan kepada calon Pakatan Harapan kerana menggunakan baju berlogo parti, Shamsul menganggap hal itu amat tidak masuk akal kerana calon bertanding berasaskan parti. Katanya, amat mustahil calon tidak memperkenalkan logo parti untuk diundi kepada para mengundi.

“Ini saya anggap satu keputuan yang tidak masuk akal. Kalau tidak, jangan buat PRN kerana calon yang bertanding itu mewakili parti,” katanya lagi.

Sumber: https://www.suarakeadilan.my/post/prn-melaka-laksana-debat-terbuka-semua-calon-bertanding-shamsul-iskandar

SOP ketat: Rakyat perlu kenal calon sebelum mengundi – Shamsul Iskandar

Prosedur Operasi Piawai (SOP) berkempen yang terlalu ketat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini diakui oleh calon-calon Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional telah membataskan peluang mereka memperkenalkan diri kepada pengundi.

Bagi calon PH DUN Paya Rumput, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, biar pun beliau ‘orang lama’ dalam politik Melaka namun katanya pengundi masih perlu beramah mesra bersama calon untuk mereka membuat pertimbangan yang rasional sebelum mengundi.

“Setakat ini, saya sudah mendekati 30 peratus pengundi. Strategi saya mendekati pengundi secara berperingkat memandangkan terdapat 14 kawasan kediaman merangkumi 15,000 pengundi.

“Kerja tidak berakhir dengan menghantar risalah. Orang ramai perlu berjumpa dan mengenali calon kerana pengundi perlu melihat siapa orang yang akan diundi.

“Untuk itu saya menggunakan trak ‘wala wala’ PH memasuki kawasan perumahan di mana saya akan bercakap dengan pengundi melalui pembesar suara dan diharapkan ia menggalakkan mereka keluar dari rumah untuk mendengar,” katanya dipetik.

Menurut Ketua Penerangan KEADILAN itu lagi, segala ikhtiar dan kreativiti telah dicuba dari segi kaedah alternatif untuk berkempen, termasuk menggunakan media sosial.

Namun kata beliau, DUN Paya Rumput sesetengahnya berada di lokasi luar bandar yang capaian internetnya amat terhad.

Tambah Shamsul, kaedah biasa untuk menyatakan tawaran manifesto adalah melalui ceramah atau kempen rumah ke rumah tetapi kali ini dilarang akibat Covid 19.

Oleh itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepatutnya melakukan uji kaji dalam SOP kempen, kerana jika di Melaka sukar untuk berkempen secara atas talian bagaimanakah calon akan berkempen di Sarawak yang separuh lokasinya hampir tiada capaian internet.

“Melaka sepatutnya menjadi ujian yang baik kepada SPR, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan kerana keadaan sedang berubah. Terdapat idea baharu supaya mereka boleh membuat pelarasan semasa membuat persiapan untuk pilihan raya akan datang.

“Saya tidak boleh bayangkan PRN Sarawak berjalan lancar jika calon terpaksa bergantung kepada internet, kerana di Melaka pun kita ada isu ketersambungan, apa lagi di Sarawak,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Shamsul bersetuju dengan saranan Pengerusi Pakatan Harapan agar diadakan debat antara calon-calon Ketua Menteri Melaka melalui stesen penyiar rasmi kerajaan.

Katanya, sekurang-kurangnya rakyat masih boleh mengetahui apa yang ditawarkan oleh parti-arti yang bertanding dan media rasmi biasanya boleh diakses di mana-mana kawasan.

“Saya tidak nampak sebarang isu jika kita berkongsi platform untuk perbahasan. Ini akan memberi kita ruang dan peluang yang amat diperlukan untuk melontarkan idea kepada kawasan. Pengundi kita ingin tahu apakah inisiatif dan dasar baharu kita. Apa kita tawarkan kerana terdapat banyak isu di Melaka yang masih belum diselesaikan.

“Selain itu, adalah baik untuk memaklumkan kepada pengundi tentang rancangan kami (parti bertanding) supaya mereka lebih mengetahui isu-isu yang penting kepada mereka,” katanya.

Sumber: https://www.suarakeadilan.my/post/sop-ketat-rakyat-perlu-kenal-calon-sebelum-mengundi-shamsul-iskandar