[Harakahdaily]: BA Jasin Bertambah Mantap Menjelang Pilihanraya Umum

JASIN, 22 Mei (Hrkh) – Barisan Alternatif (BA) Jasin telah berjaya mencapai persetujuan dalam banyak perkara termasuk pembahagian kerusi bagi Pilihan raya Umum yang dijangka diadakan pada masa terdekat ini.

Menurut Yang DiPertua Kawasan Jasin, Mejar (B) Jasme Tompang, kita memperhebatkan lagi kerjasama BA selepas 2004 lalu dan bagi menghadapi Pilihan raya Umum ini pelbagai gerak-kerja bersama telah dilaksanakan.

“Antaranya pembahagian kerusi di antara PAS dan KeADILan dalam parlimen Jasin, program ceramah BA dan sebagainya hasil dari perbincangan serta persefahaman yang telah dicapai melalui beberapa pertemuan,” kata beliau lagi.

Pemangku Ketua Angkatan Muda KeADILan, Shamsul Iskandar Md Akin yang turut berucap pada malam itu turut mempersoalkan apakah kebaikan atau keuntungan yang diperolehi oleh penduduk Jasin selepas dinaiktarafkan sebagai Majlis Perbandaran Jasin.

“Selain mengutip bayaran meletak kenderaan dan kalau tidak akan dikenakan saman, saya tidak nampak ada usaha perancangan dari pihak kerajaan bagi membantu rakyat khususnya di Jasin,” kata beliau.

Beliau turut mendedahkan penipuan di dalam Pilihan raya Kecil Ijok baru- baru ini di mana terdapat 1,111 nama pemilih yang pernah mengundi pada 2004 telah dihilangkan dari daftar pemilih baru.

Tambahnya, senarai nama pengundi baru seramai 1,200 orang terus diwartakan tanpa dipamerkan terlebih dahulu,ini menyebabkan tiada bantahan boleh dibuat atau dicabar di mahkamah.

Beliau juga mempersoalkan, bagaimana boleh terdapat 50 orang nama pemilih yang sudah meninggal dunia, termasuk 12 orang itu datang mengundi semula pada hari tersebut. – mks.

[Malaysiakini]: Benarkan BPR Siasat Samy Vellu & Keluarga

Angkatan Muda Parti Keadilan (AMK) mencabar Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu supaya membenarkan Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyiasat beliau dan keluarganya.

Pemangku Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, masyarakat tidak akan mempercayai kenyataan presiden MIC itu dan jika benar-benar ikhlas, beliau harus memanggil BPR untuk menjalankan siasatan. Beliau menegaskan demikian ketika diminta mengulas kenyataan Samy Vellu bahawa beliau akan meletakkan jawatan sebagai Menteri Kerjaraya dan Presiden MIC jika dihadapkan ke mahkamah dan dapat dibuktikan beliau melakukan kesalahan rasuah.

Ketika bercakap kepada pemberita di Perhimpunan Agung MIC yang ke-61 di PWTC senakan, Samy Vellu berkata, beliau pernah disiasat BPR selama tiga bulan berkaitan dengan saham Maika tetapi keputusan siasatan menunjukkan beliau tidak melakukan kesalahan.

Shamsul Iskandar berkata, sebelum inipun, Samy Vellu pernah mengumumkan bahawa namanya telah dibersihkan oleh bekas Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Zulkipli Mat Noor.

Bagaimanapun, katanya, kenyataan itu tidak berasas kerana Zulkipli pernah didakwa terbabit dengan kesalahan rasuah.

Hilang kepercayaan

‘Saya menasihatkan Samy Vellu supaya mengikut langkah rakan-rakannya seperti bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir untuk meletakkan jawatannya, “ kata Shamsul Iskandar.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, parti itu telah beberapa kali membuat laporan kepada BPR berhubung dakwaan rasuah membabitkan saham Maika dalam Telekom, terhadap Samy Vellu, tetapi tiada tindakan diambil.

Lim berkata, tidak kira siapa, jika dibuktikan bersalah, mesti meletakkan jawatannya.

“Tidak ada pengecualian, walaupun Perdana Menteri, harus meletak jawatan,” katanya.

Lim berkata, beliau telah hilang kepercayaan bahawa BPR akan mengambil tindakan terhadap Samy Vellu.

“Ketika Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mula-mula menjadi perdana menteri, beliau pernah mengatakan akan mengambil tindakan ke atas 18 orang yang terlibat dengan rasuah tetapi setakat ini tiada sebarang tindakan diambil”, katanya.

pautan:

Laman Web Angkatan Muda KeADILan Malaysia
Malaysiakini

Aksi Terlampau Pengganas BN Di Ijok

Saya kira pendedahan ini adalah merupakan pendedahan yang paling moden sekali, memandangkan sarat dengan bukti audio visual untuk menafikan semua tuduhan liar yang mengatakan KeADILan adalah pemula provokasi tatkala kita berkempen sewaktu PRK DUN Ijok lewat bulan lepas.

Pendedahan berikut, yang diinisiatifkan di Laman Web Angkatan Muda KeADILan boleh dilihat di sini.

Saya boleh merumuskan begini, KeADILan adalah ancaman kepada Umno/BN,ancaman yang sebenar-benar ancaman yang mampu memusnahkan hegemoni politik mereka. Jika tidak masakan mereka terus-terusan mengasak KeADILan sebegini rupa?

Proud To Be Malaysian? Nonsense!

Saya terkejut apabila membaca kenyataan media oleh bapa kepada almarhumah altantuya. Apakah kes altantuya ini akan diperlakukan sepertimana kes Dato Seri Anwar Ibrahim dan kes-kes lain yang melibatkan beberapa pemimpin negara yang korup?

Sekilas pandang memang begitulah geraklaku yang cuba diatur oleh sang penguasa yang takut dengan bayang-bayangnya sendiri. Apa sudah jadi dengan Pelan Integriti Nasional (PIN) sekiranya imej beberapa institusi penting negara dipertikaikan ? Yang dipertikaikan oleh rakyat dan juga rakyat luar negara sekarang ialah institusi penting yang melibatkan keselamatan (pasukan polis) dan pertahanan negara (kementerian pertahanan).

Kalau PM Abdullah masih lagi dengan perangai dan sikap sambil lewa di dalam memimpin negara ini maka ada satu sahaja kesimpulan yang boleh saya nyatakan : Malu aku jadi rakyat Malaysia!

[Malaysiakini] Anwar Boleh Tentang Samy Jika PRU Selepas April 2008

Kerajaan dicabar mengadakan pilihanraya umum selepas April tahun depan bagi membolehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyahut cabaran Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu supaya menentangnya di Parlimen Sungai Siput.

Pemangku Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin berkata, Anwar bersedia bertanding menentang Samy Vellu jika direstui oleh pihak parti.

“Jika parti meminta Anwar bertanding di Sungai Siput, sudah tentu beliau akan bertanding menentang Samy Vellu di kawasan tersebut.

“Pilihanraya juga perlu bersih dan adil, jika tidak AMK menganggap cabaran Samy Vellu itu sebagai tiada erti,” katanya.

Ketika membuat cabaran itu semalam, Presiden MIC itu dilaporkan berkata: “Mana-mana kawasan boleh berjumpa (bertanding). Boleh datang ke kawasan saya di Sungai Siput. Kita bukannya tikus yang penakut”.

Bercakap dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan menyuarat jawatankuasa kerja pusat (CWC) MIC di Kuala Lumpur semalam, Samy Vellu berkata, Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak boleh menafikan kemenangan MIC dengan majoriti yang lebih besar dalam pilihanraya kecil jok Sabtu lalu.

Piliharaya kecil itu menyaksikan Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi DUN itu selepas calonnya, K Parthiban dari MIC, menewaskan calon PKR, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan majoriti 1,850 undi.

Lulus projek waktu p’raya

Anwar tidak dibenarkan bertanding dalam pilihanraya selama lima tahun selepas dijatuhkan hukuman penjara enam tahun atas tuduhan salahguna kuasa pada 1999. Anwar dibebaskan pada 2004 dan ini bermakna beliau hanya boleh bertanding selepas April 2008.

Manakala Mahkamah Persekutuan telah membatalkan sabitan tuduhan liwat terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Mengulas lanjut mengenainya, Shamsul Iskandar turut mencabar Samy Vellu supaya tidak menggunakan kuasa sebagai Menteri Kerja Raya untuk meluluskan projek pembangunan sepanjang kempen pilihanraya.

“Kita mendapati Jabatan Kerja Raya (JKR) menjalankan projek pembinaan jalanraya dan pelbagai projek lain melalui peruntukan kerajaan sepanjang kempen pilihanraya seperti yang berlaku dalam pilihanraya kecil Ijok.

“Membina jalanraya bukan definasi pembangunan kerana ia merupakan tanggungjawab kerajaan,” katanya.

Shamsul Iskandar juga meminta Samy Vellu membersihkan dirinya daripada isu saham Maika dalam MIC yang telah berlarutan sejak lebih 20 tahun lalu.

Program Pendedahan Penyelewengan PRK DUN Ijok

Pimpinan KeADILan dan PAS akan mendedahkan penyelewengan kerajaan & SPR dalam PRK DUN Ijok kepada umum. Butiran lanjut program ceramah perdana ini adalah seperti berikut :-

Tarikh: 4 Mei 2007 (Jumaat)

Masa: 9 malam

Tempat: Markas Tarbiyyah PAS Tmn Melewar,Gombak

Penceramah: Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Khalid Ibrahim, Sdr Azmin Ali, pimpinan PAS.

InsyaAllah bersama-sama kita meramaikan majlis pada malam ini.

Malaysia Kan Bolehland?

Kalau kekalahan KeADILan di Ijok memang datang daripada suara rakyat di Ijok,kami redha. Tempang sudah sistem demokrasi di Malaysia hasil acuan pemerintahan Kerajaan BN dengan kerjasama tegar SPR dengan apa yang kami alami di Ijok semalam.

Rumusan saya mudah,KeADILan bukan kalah di tangan rakyat Ijok, KeADILan kalah di tangan hantu-hantu,di tangan SPR yang zalim. Lihat saja komen Kamaruzaman Mohd Nor sewaktu ditemuramah di TV3 apabila beliau diminta mengulas mengenai pengundi hantu.

“kalau lelaki kita angkat seluar dia,kalau perempuan kita angkat skirt dia.kalau kaki tak jejak tanah,betullah itu pengundi hantu.”

Ya Allah, cerdiknya Setiausaha SPR ini!Memang inilah salah satu kriteria untuk menjadi penjunjung titah kerajaan BN.

Saya bersama-sama beberapa teman diketuai Sdr Ezam Mohd Nor telah bertindak menahan beberapa buah bas persiaran yang datangnya daripada utara tanah air.sahih disyaki mereka adalah pengundi hantu,tetapi didakwa adalah peraih undi daripada utara. Peraih undi datang pukul 4 petang di saat masa pengundian hanya tinggal sejam? mana logik akal yang boleh terima dakwaan sebegini rupa. Akibatnya,kami ditahan polis sehingga lewat malam dan hanya dibebaskan dengan jaminan polis.

Pada pagi pengundian beberapa petugas PAS telah dipukul oleh Petugas Pemuda BN sehingga ada yang parah dan nazak hingga terpaksa mendapatkan rawatan di ICU Hospital Sungai Buloh. Ini tidak mendapat mana-mana liputan daripada media arus perdana di Malaysia. Tapi biasalah tu, Malaysia kan Bolehland?

Saya akan menulis dengan lebih terperinci mengenai pengalaman saya sepanjang bersama pasukan KeADILan dan Rakan-rakan Parti PAS dan DAP. Saya akui, tanpa kerjasama rakan-rakan daripada PAS & DAP, kami mungkin tidak dapat bergerak dengan lebih baik.

Komitmen sukarelawan juga amat dihargai.mereka begitu bertungkus lumus untuk sama-sama menggembleng tenaga demi memastikan kemenangan Tan Sri Khalid.Biarpun kita tewas,tetapi semangat itu biarlah melangkaui zaman.

Teringat akan kata-kata Almarhum Ustaz Fadzil Noor, bekas Presiden PAS..

“Kebenaran tidak akan diperoleh melalui hamparan permaidani merah.Kebenaran hanya akan lahir dari perjuangan yang menuntut pengorbanan…”

Ayuh Kita Cipta Sejarah!

Tuan/Puan Pengundi Ijok Yang Dihormati,

Hari Sabtu (28/4) ini hari penentuan bagi semua rakyat di dalam DUN Ijok. Kepada rakan-rakan berbangsa Melayu, Cina & India saya merayu supaya mengundi calon Parti Keadilan Rakyat Tan Sri Dato’ Khalid Ibrahim. Anda semua: Melayu, Cina dan India berpeluang untuk mencipta sejarah.

Dan sejarah itu akan anda cipta dengan mengundi calon Parti Keadilan Rakyat Tan Sri Khalid Ibrahim.

Tan Sri Khalid adalah rakan lama saya. Beliau adalah seorang anak Selangor yang telah beberapa kali mencipta sejarah. Pada tahun 1981, Tan Sri Khalid Ibrahim ketika itu sebagai Ketua Pehawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad telah menjadikan Syarikat Guthrie yang ketika itu dimiliki oleh pemodal-pemodal asing sebagai syarikat Malaysia. MeMalaysiakan Syarikat Guthrie ini berjaya dilakukan melalui PNB melakukan ‘Serangan Waktu Subuh’ ke atas Bursa Saham London. TSK melaksanakan langkah MeMalaysiakan Syarikat Guthrie, salah sebuah syarikat perladangan terbesar di dunia kerana beliau terdorong oleh semangat patriotik dan mahu menyaksikan Syarikat Guthrie diuruskan oleh rakyat Malaysia sendiri. ‘Serangan Waktu Subuh’ yang dilakukan oleh PNB terhadap Bursa Saham London menyebabkan nama Tan Sri Khalid terkenal di masyarakat korporat dunia dan Malaysia dihormati oleh masyarakat ekonomi antarabangsa.

Tan Sri Khalid sekali lagi mencipta sejarah Ketua Eksekutif PNB dengan memperkenalkan Skim Amanah Saham Nasional dan Skim Amanah Saham Bumiputera. Melalui langkah ini beliau telah memungkinkan jutaan rakyat Malaysia memiliki saham. Berkat buah fikiran anak Selangor kelahiran Jeram ini, pemilikan saham di Malaysia hari ini tidak terbatas kepada golongan kaya sahaja.

Pada tahun 1992, beliau sekali lagi mencipta sejarah. Beliau mencadangkan kepada saya, selaku Menteri Kewangan pada wakti itu untuk melaksanakan Skim Pinjaman Amanah Sham Bumiputera kepada Rakyat Termiskin bermula dengan RM700 juta dilancarkan di Baling, Kedah yang telah mengubah kehidupan 140,000 rakyat Malaysia.

Apakah makna undi anda kepada Tan Sri Khalid, calon Pari Keadilan Rakyat pada hari Sabtu ini? Maknanya adalah anda mencipta sejarah politik. Apakah makna sejarah politik itu? Maknanya adalah anda telah menolak sikap sombong dan angkuh pemimpin-pemimpin Barisan Nasional baik dari kalangan UMNO, MIC dan MCA yang menganaktirikan Ijok selama ini. Anda telah menolak amalan rasuah dan rakus pemimpin-pemimpin BN.

Tanyakan kepada Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak tentang komisyen berjumlam lebih RM530 juta untuk membeli kapal selam Scorpene dan hampir RM400 juta untuk membeli jet pejuang Sukhoi. Jumlah komisyen di dalam pembelian pesawat pejuang dan kapal selam berjumlah hampir-hampir RM1 billion. Jumlah tersebut sahaja mampu membina 200 sekolah rendah, 100,000 klinik kesihatan dan 20,000 unit rumah kos rendah. Jumlah rasuah tersebut kira-kira 20 kali ganda lebih banyak daripada pembangunan Pilihanraya Ijok yang diisytihar secara tergesa-gesa oleh Barisan Nasional tempoh hari.

Bolehkan calon BN K. Partihban menanyakan soalan ini kepada Dato’ Seri Najib yang juga Menteri Pertahanan? Bayangkan bagaimana ekonomi penduduk di Pekan Ijok dan Batang Berjuntai dapat dijana dengan jumlah wang tersebut. Jumlah tersebut juga boleh menyelesaikan masalah pengangguran dan sosial yang begitu parah sehingga hari ini. Setelah lebih 50 tahun merdeka masyarakat Tuan Mee masih lagi minum di air perigi. Bagaimana keperihatinan pimpinan MIC?

Dengan Tan Sri Khalid dan juga Parti Keadilan, anda sekalian juga akan mencipta sejarah dengan membawa politik baru yang menjaga kepentingan masyarakat pelbagai kaum dan agama. Kami di Parti Keadilan telah mengusulkan Agenda Ekonomi Nasional yang menjaga kepentingan semua kaum, meningkatkan kebolehah daya saing kaum Bumiputera dan memberi peluang kepada golongan miskin tanpa mengira kaum. Kami juga memberi komitmen menjaga hak penganut-penganut agama mengamalkan agama mereka dan menjaga kesucian serta keselamatan tempat-tempat ibadat mereka.

Rakyat Ijok berhak mendapat calon terbaik. Calon tersebut ialah Tan Sri Khalid Ibrahim, calon Parti Keadilan Rakyat. Ayuh, mari kita cipta sejarah!

Yang benar,

Anwar Ibrahim

[1 Hari 1 Pendedahan] – Siri Kesembilan

Pendedahan Kesembilan:

Khir membayar RM10,000 sebulan bagi tapak banglonya, di Lot 14, Jalan 2/1G, Seksyen 2 Tambahan, Bandar Baru Bangi, yang dibelinya daripada PKNS dengan harga diskaun 50 peratus.
Sumber pendapatannya dipertikaikan kerana sebelum ini beliau membayar tunai RM150,000 untuk selesaikan pinjaman rumahnya di Kajang, selepas lima bulan menjadi MB.