Bantah Ketua Pengarah BPR – Bersama Ramaikan Perarakan Selasa Ini!

Isu penyalahgunaan kuasa Ketua Pengarah BPR, Dato Seri Zulkifli Mohd Noor sudah menjadi satu lagi bahan bualan rakyat kebelakangan ini. Apalah nasib kita rakyat Malaysia sekarang ini,di saat PM Abdullah Ahmad Badawi menegaskan yang pencegahan rasuah adalah antara mauduk utama yang menjadi teras kepimpinan beliau,orang yang diharapkan memacu usaha itu pula dipalit masalah yang sama!

Atas kapasiti sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab,maka satu perarakan untuk menyerahkan Memorandum Bantahan kepada Perdana Menteri di Jabatan Perdana Menteri,Putrajaya akan dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat, Angkatan Muda KeADILan Malaysia, dan Gerakan Demokrasi & Anti Korupsi (GERAK) pada Selasa, 6 Mac 2007. Perarakan ini akan diketuai oleh saya,YB Salahuddin Ayub Ketua DPP Pusat dan juga Sdr Ezam Mohd Nor selaku Pengerusi GERAK.

Bagi pihak penganjur,saya menyeru agar rakyat Malaysia yang prihatin dari segenap lapisan masyarakat untuk turut serta menyatakan sokongan ke atas bantahan ini. Sesungguhnya kita tidak boleh redha Malaysia terus bergelut dengan rasuah yang kelak mencemarkan masa depan kita dan juga generasi akan datang, apatah lagi di saat Slogan Anti Rasuah ini dicanang dan dinobatkan oleh kelompok manusia yang menjunjung falsafah Islam Hadhari!

AMK Dedah Perjanjian Konsesi Tol SMART

Angkatan Muda KeADILan hari ini mendedahkan butir-butir perjanjian konsesi tol yang ditandatangani dengan SMART Sdn Bhd yang melibatkan terowong dan jalan raya antara pangkalan udara TUDM dan bulatan Kg. Pandan.

Butir-butir perjanjian menunjukkan secara jelas bahawa kerajaan meletakkan beban yang berat ke atas rakyat demi keuntungan besar bagi SMART Sdn Bhd.

Mengikut perjanjian, kadar tol akan bermula dengan RM 2.00 dan akan naik sebanyak RM 1.00 setiap lima tahun hingga 2030.

Kadar tol yang mendadak ini dijustifikasikan mengikut data yang dimanipulasi untuk memberi lebih keuntungan yang mendadak kepada SMART Sdn Bhd. Pertama, anggaran  jumlah trafik adalah berdasarkan data yang diperolehi oleh jalan raya antara KLIA dan Lebuhraya KESAS. Anggaran ini tidak tepat sama sekali, kerana trafik di kawasan Sungai Besi adalah jauh lebih banyak daripada trafik antara KLIA dan KESAS. Anggaran  yang tidak tepat ini akan mengakibatkan kadar tol yang melebih bagi rakyat biasa.

Keduanya, anggaran jumlah trafik yang terkandung dalam perjanjian naik setiap tahun, tetapi hanya sehingga 2022; selepas 2022, anggaran jumlah trafik berhenti di 40 juta. Bagaimanakah jumlah trafik boleh naik setiap tahun tetapi berhenti tepat pada tahun 2022?

Kesimpulan harus dilakukan bahawa anggaran jumlah trafik tidak naik selepas tahun 2022 supaya kenaikan kadar tol yang mendadak dan membebankan rakyat secara berketerlaluan boleh dijustifikasikan dan diteruskan.

Perjanjian tol ini juga tidak adil kerana walaupun SMART Sdn Bhd berbelanja RM 0.6 billion untuk membina terowong tersebut, kerajaan membelanjakan RM 1.3 billion. Oleh itu, sebahagian besar daripada pendapatan yang diperolehi oleh pengutipan tol harus disalurkan kepada kerajaan dan rakyat, dan bukan kepada SMART Sdn Bhd, seperti yang dibenarkan oleh perjanjian.

Walaupun kerajaan telah nyatakan bahawa kadar tol masih dibahas, sebenarnya, perjanjian tol ini ditandatangani pada tahun 2004 dan sememangnya sudah mengikat di sisi undang-undang. Oleh itu, sudah jelas bahawa kerajaan telah bersubahat dengan SMART Sdn Bhd untuk menjanakan keuntungan yang melebih dengan membebankan rakyat dengan kadar tol yang teruk dan melebih.

Fokus Pada Anwar, Bukan Pada Jawatan!

 

Meskipun Kongres Tahunan KeADILan bakal berlangsung pada bulan Mei depan, bahangnya sudah terasa seawal hari ini. Dalam pada kita mempersiapkan diri untuk berhadapan dengan pilihanraya yang hanya menanti ilham PM untuk diadakan, KeADILan juga dalam proses memperkemaskan kepimpinan dan jentera parti apabila dalam kongres akan datang juga akan dilangsungkan pemilihan parti. Kita tidak seperti Umno, yang seringkali menangguhkan amalan demokrasi dalaman mereka apabila tiba waktu pilihanraya. KeADILan tegar dan tegas untuk melaksanakan amalan demokrasi yang kekal menjadi mauduk utama perjuangan meski terpaksa berhadapan dengan cabaran kecil pemilihan.

Saya terpanggil untuk memberikan pandangan memandangkan terdapat kepelbagaian pendekatan ketika mana parti yang muda ini ghairah untuk mempraktikkan amalan demokrasi. Di suatu sisi, ada pandangan yang menyatakan bahawa amalan muafakat tanpa pertandingan dan mungkin juga tanpa pencalonan yang pelbagai mesti menjadi keutamaan pada tahap ini. Muafakat juga demokratik kata mereka. Saya juga cenderung untuk bersetuju dengan pandangan ini. Asasnya ialah prinsip syura seperti yang dinukilkan di dalam Al-Quran yang menggalakkan kita bermesyuarah, wa amruhum syura bainahum. Alasan utama pandangan ini ialah bagi mengelakkan bibit perpecahan yang lebih besar di dalam parti.

Di dalam masa yang sama pandangan yang menyatakan bahawa pesta (kalau boleh saya gunakan istilah ini) demokrasi mesti kelihatan di dalam parti yang komited dengan agenda perubahan khususnya di dalam usaha memperbaiki sistem dan amalan demokrasi di Malaysia juga tidak boleh disisihkan. Ada kebenaran dan niat yang murni bagi kumpulan yang mendokong sisi pandangan ini. Saya teringat salah satu bab di dalam buku karangan Wilfred Madelung, The Succession of Muhammad yang menceritakan bagaimana beberapa pencalonan telah dibuat semasa perbincangan Sahifah Bani Saadah untuk memilih Khalifah baru selepas wafatnya Nabi Muhammad S.A.W. walaupun Baginda Rasul seolah-olah telah menunjuk pengganti beliau iaitu Abu Bakar As-Siddiq.

Walau apapun pertandingan (contestation) pandangan, pada hemat saya, Kongres kali ini perlu menjadi titik tolak keADILan untuk melangkah lebih berani. Persoalannya bagaimana ? Saya beriltizam menggerakkan seluruh kekuatan Angkatan Muda untuk menobatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden keADILan dan juga mendesak Kerajaan agar beliau dibenarkan untuk bertanding dalam pilihanraya umum yang akan datang. Saya tegas menyatakan, ini wajar menjadi fokus utama kongres parti akan datang. Bukan bermakna menafikan amalan dan semangat demokrasi di dalam parti, tetapi adalah lebih penting bagi kita untuk meletakkan keADILan di landasan yang tepat dengan kemudinya dipegang secara serius oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dengan penyertaan beliau sebagai Presiden, pastinya keyakinan ahli dan rakyat Malaysia akan bertambah dan suasana/ambience ini akan memperhebatkan lagi keADILan untuk berhadapan dengan Umno/BN dalam Pilihanraya Umum akan datang. Mengikut urutan fiqh keutamaan, di dalam keadaan sokongan rakyat kian memuncak kepada keADILan dan perubahan politik, perkara ini yang wajar kita tekankan, bukannya ghairah untuk merebut jawatan di dalam parti.

Kanser & Rasuah

Saya salah seorang partner/rakan kongsi kepada MAKNA (Majlis Kanser Negara).  Sokongan saya kepada perjuangan melawan penyakit kanser telah lama saya lakukan sebelum akhirnya saya mengetahui bahawa bapa saya sendiri mengidap penyakit kanser.

Beliau sekarang sedang berjuang melawan penyakit kanser. Saya juga yakin bahawa penyakit rasuah di dalam negara ini ibarat kanser di dalam badan manusia. Sekiranya tidak dibendung, ianya akan berleluasa dan akhirnya menghancurkan seluruh sistem tubuh badan manusia. Keyakinan saya terhadap PM Lemah turut terhakis apabila beliau memberikan alasan bahawa indeks persepsi rasuah negara merudum kerana di zaman beliau pendedahan kerajaan beliau mengenai rasuah turut meningkat.

Saya ingin  betulkan ‘mantiq’ tersebut bahawa kalau kerajaan komited dengan membawa mereka yang terlibat dengan rasuah ke muka pengadilan, imej Malaysia akan bertambah baik dan bukan sebaliknya. Mesti ada yang tidak kena dengan retorika politik beliau ! Saya ingatkan PM Lemah sebuah pepatah cina, untuk  tengok ikan sama ada elok atau tidak, tengok dulu di bahagian kepala. Justeru, kepala kerajaan mesti walk the talk dahulu.

Satu pendedahan rasuah di peringkat tertinggi akan dilakukan minggu depan terhadap Ketua Pengarah BPR  (Kepala BPR) sendiri. Tunggu apa lagi. Yang diperlukan ialah tindakan. Saudara bayangkan lah keadaannya sekiranya kita masih lagi merasa “selesa” hidup di sebuah negara yang berada pada tangga ke 44, Indeks Persepsi Rasuah tanpa sekelumit perasaan dan komitmen untuk menghapuskannya !

Trauma Dengan Poster Gong Xi Fa Cai!!

cny

Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Gong Xi Fa Cai kepada kawan-kawan Angkatan Muda di semua peringkat dan juga para pengundi di Bahagian Jasin. Untuk kali ini, di bahagian Jasin, saya telah sediakan beberapa keping banner ucapan Selamat Tahun Baru Cina yang disertakan gambar para pimpinan iaitu Dato Seri Anwar Ibrahim, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Dr Syed Husin Ali.

Saya telah meminta Setiausaha Bahagian, Puan Mahani Masban untuk mendapatkan permit penggantungan. Beliau maklum pada saya kesukaran dan halangan yang beliau terpaksa hadapi untuk mendapatkan permit tersebut. Setelah berusaha selama 3 hari, barulah berjaya dilakukan. Kadang-kadang saya geleng kepala apabila mengenangkan tindakan pemerintah yang senantiasa menyekat proses demokrasi daripada disuburkan hatta sehingga “trauma” apabila melihat banner tersebut.

Karut memang karut,tapi itulah realitinya di Malaysia…

Ceramah Bersama TG Datuk Nik Abd Aziz

Malam ini, 18/2/2007, saya diundang untuk bersama-sama dengan pimpinan PAS Kawasan Jasin menyertai ceramah perdana oleh Menteri Besar Kelantan, YAB Datuk Tuan Guru Nik Aziz. Pada saya setelah kehadiran Dato Seri Anwar Ibrahim pada tahun 2005, kehadiran Tuan Guru ke kawasan Jasin pasti akan menyuntik semangat dan moral para petugas untuk lebih bekerja keras. Ini kerana untuk meyakinkan rakyat dan mendapat undi mereka tidak hanya melalui ceramah umum. Saya agak terkesan apabila melihat laporan kajian mengenai kesan ceramah terhadap para pengundi yang mana sekitar 5-10% sahaja. Justeru, malam ini saya akan tegaskan kepentingan mengenai kita mengangkat “senjata” iaitu risalah dan maklumat dan “menyerang” pengundi dengan maklumat yang kita ada.

Ayuh para komrad, teruskan usaha kita!!

Gempur Kampung Umno?

Semalam, 17/2/2007, saya mengadakan ceramah kelompok dan dialog di Peti Undi Kg Tehel, di dalam kawasan Dewan Undangan Bemban, Parlimen Jasin. Kg Tehel ialah di antara kawasan peti undi yang sukar buat KeADILan. Pasukan KeADILan bahagian Jasin telah memulakan kerja di kawasan tersebut bermula tahun lepas dan hasilnya, kita berjaya mengadakan jamuan hari raya Eidulfitri peringkat bahagian dan beberapa siri ceramah kelompok. Saya teringat apabila rakyat di kg tersebut berasa cukup terharu di atas sokongan dan bantuan yang telah kami usahakan secara bersama bagi membantu mangsa banjir di kg tersebut. Pihak kami juga turut membantu menyelesaikan beberapa masalah yang dihadapi oleh mereka terutamanya bantuan yang lewat tiba, tindakan menutup bilik gerakan banjir lebih awal oleh JKKK Kg Tehel, persediaan peralatan sekolah dan beberapa pertolongan yang lain. Saudara2 bayangkanlah kalau kita menjadi kerajaan, pasti berbagai lagi program yang boleh dilaksanakan. Mudah-mudahan rakyat di kawasan ini akan membuka mata.

Fokus Pilihanraya Umum,Jangan Terbawa Pilihanraya Parti!

Sepanjang minggu lepas beberapa isu berkenaan krisis kepemimpinan di dalam keADILan menjadi bualan hangat dan mainan propaganda semua pihak. Banyak persoalan yang dibangkitkan oleh ahli dan pendukung keADILan,khususnya di blog Sdr Anwar Ibrahim untuk mengetahui perkara sebenar khususnya di belakang isu perletakan jawatan Sdr Ezam Mohd Nor sebagai Timbalan Ketua Perhubungan keADILan Negeri Selangor merangkap Ketua keADILan Bahagian Shah Alam.

2 aktiviti yang membabitkan saya secara langsung,iaitu pertemuan kepimpinan Angkatan Muda keADILan Pusat (AMK) dan kunjungan hormat ke atas Sdr Anwar Ibrahim. Pertemuan saya bersama Barisan Exco AMK dan Sdr Ezam dilihat sebagai menunjukkan solidariti menyokong Sdr Ezam,sebagaimana yang dimainkan oleh Laman Web Umno-Reform . Pertemuan kami pada malam tersebut bukanlah atas kapasiti menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak,sebaliknya lebih kepada majlis dialog bersama Sdr Ezam untuk mengetahui hujung pangkal pendirian yang diambil oleh beliau. Sebagai Pemangku Ketua AMK,saya mengambil tanggungjawab tersebut untuk menanyakan kepada Sdr Ezam sendiri mengenai spekulasi yang timbul,dan Alhamdulillah klarifikasi diperoleh dengan baik sekali. Saya berpendapat dalam keadaan kita, khususnya keADILan sedang menjaja budaya politik baru,adalah tidak wajar untuk kita memperbesarkan krisis yang timbul, ataupun bersikap opportunist, menangguk di air keruh dengan menyokong satu-satu pihak semata.Yang perlu kita dulukan adalah solidariti parti,bukan agenda peribadi.

Pertemuan AMK Pusat bersama Sdr Anwar Ibrahim memberikan mesej jelas dalam memupuk iltizam saya,dan pastinya seluruh kepimpinan AMK Pusat. Selain menyatakan sokongan pada atas kepemimpinan Sdr Anwar,beliau turut menegaskan setiap masalah hendaklah diselesaikan dengan semangat muafakat yang tinggi.Paling penting,mesej ringkas beliau menyuntik semangat, ‘tumpu pilihanraya umum,jangan terbawa-bawa pilihanraya parti!’

Demokrasi dalam parti sewajarnya didukung oleh semua pihak.Pun begitu wajar bagi kita,sebagai barisan depan penjana budaya politik baru untuk berfikiran matang dan bertindak secara rasional.Saya kekal berpendapat,kita wajar bersikap telus dan terbuka.jangan terbawa-bawa dengan sentimen yang kekal bakal memusnahkan harapan rakyat yang kian menggunung menyandarkan harapan untuk kita memandu Malaysia ke arah sebuah negara yang lebih adil dan demokratik.

Saya teringat ungkapan popular Farah Fauzana, Pengacara Melodi, “kurangkan kontroversi, tingkatkan prestasi!”