Khairy Jamaluddin Pupuk Budaya Samseng & Berbohong!

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) menganggap kenyataan Khairy Jamaludin yang menyatakan bahawa Parti Keadilan Rakyat (keADILan) sengaja tidak mengikut peraturan keselamatan dengan sengaja berarak untuk bertembung dengan jentera penyokong Barisan Nasional (BN) adalah bohong dan tidak berasas sama sekali.

Di dalam hal ini AMK telah mendapatkan penjelasan daripada Setiausaha SPR sendiri, Datuk Haji Kamaruzaman Mohd Noor tentang bagaimana tidak ada laluan perarakan yang berlainan sepertimana yang biasa berlaku semasa hari penamaan calon. Beliau memaklumkan kepada AMK bahawa penerangan telah diberikan kepada kedua-dua parti yang akan bertanding dan beliau mengesahkan laluan perarakan oleh keADILan adalah betul sepertimana yang dirancang.

Justeru AMK melahirkan keyakinan bahawa halangan yang dilakukan terhadap calon keADILan semasa hari penamaan calon oleh Pemuda BN telah dirancang lebih awal oleh mereka untuk tujuan melakukan provokasi awal terhadap penyokong keADILan dan percubaan untuk menghalang Tan Sri Khalid Ibrahim daripada menyerahkan borang pencalonan beliau.

AMK menegaskan bahawa budaya samseng telah ditunjukkan dan digalakkan oleh pemuda BN dengan beberapa insiden yang tidak diingini dilakukan oleh anggota mereka sendiri. Di dalam hal ini, AMK adalah parti politik yang pertama membuat dua laporan polis sejurus selepas proses penamaan calon, masing-masing dilakukan oleh Zainurin bin Jiman pada jam 1232pm, repot no 900/07 dan Zulkanaine Bin Kassim pada jam 1251pm, repot no 901/07.

Di dalam kes Zainurin beliau telah ditumbuk di bahagian muka pipi sebelah kiri oleh salah seorang anggota pemuda BN dan di dalam kes Zulkanaine, beliau telah dibaling dengan kayu oleh sekumpulan pemuda BN. AMK percaya kedua-dua laporan polis di atas akan disiasat di bawah Seksyen 323 (mendatangkan kecederaan dengan sengaja) dan 336 (membahayakan nyawa dan keselamatan diri) Kanun Keseksaan.

AMK memberi amaran kepada Khairy dan konco-konconya untuk tidak bertindak di luar batas undang-undang kerana AMK tidak akan teragak-agak untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap mereka.

SHAMSUL ISKANDAR MOHD AKIN
Pemangku Ketua
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

[1 Hari 1 Pendedahan] – Siri Pertama

Sebagai mana yang telah saya janjikan,hari ini saya akan memulakan siri kempen 1 Hari 1 Pendedahan, khusus didedikasikan buat Dr Mohamad Khir Toyo bagi beliau menjawab dan merungkai semua pertanyaan yang selama ini membelenggu rakyat Selangor dan Malaysia amnya.

Pendedahan Pertama:

Khir Toyo perlu menjawab dakwaan yang mengatakan beliau telah eluluskan projek pembina jalan merentasi bendang termahal, di Sekinchan, sejauh 20.5 km, bernilai RM92.5 juta kepada kontraktor yang hampir disenaraihitamkan, Meram Holdings.

Menurut taksiran JKR, kos jalan itu tidak boleh melebihi RM50 juta. Subkontraktor yang menjalankan semua projek berkenaan, Cabaran Wangsa, dimiliki Pua Kim An, 27 tahun, tuan rumah yang pernah disewa oleh Khir.

Manakala seorang lagi pengarah syarikat, Ahmad Tarmizi Tajjeury adalah kroni Khir yang juga mendapat 100 ekar tanah yang memberi keuntunganminimum RM20 juta.

Rakyat menuntut jawapan konkrit daripada Khir Toyo!

Tunggu Mati Baru Ada Pembangunan!

Dr Khir Toyo telah menjelaskan yang peruntukan pembangunan sebanyak RM36 juta telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi ‘melangsaikan’ pembangunan yang dijanjikan oleh Mendiang K. Sivalingam, bekas ADUN Ijok yang telah meninggal dunia.

Beliau mendakwa yang perancangan sudah lama dibuat,dan Kerajaan Negeri mempunyai hak untuk melaksanakannya pada bila-bila masa, dan bukan semata-mata kerana Pilihanraya Kecil DUN Ijok.

Saya berpendapat kenyataan ini sungguh dangkal berasaskan beberapa faktor. Pertamanya kenapa beria-ia menyatakan bahawa ia perlu dilaksanakan sekarang. sudah hampir 4 tahun selepas Pilihanraya Umum 2004, baru sekarang terfikir bahawa pembangunan akan dilaksanakan?
Ooh..mungkin memang telah dirancang begitu agaknya..

Kedua, apakah kerajaan negeri hanya akan melaksanakan pembangunan pada waktu-waktu yang tertentu, di mana mereka bakal memperolehi pulangan berbaloi hasil sokongan rakyat setelah memperuntukkan jutaan ringgit kepada rakyat? Kalau tidak menguntungkan dan tidak ada harapan mendapat sokongan rakyat, ‘postpone’ dulu. Ini satu lagi ‘masalah pemikiran’ yang ada di kalangan pemimpin BN, khususnya Khir Toyo.

Saya kira inilah simptom-simptom manusia yang takut kehilangan kuasa, penyalahgunaan kuasa menjadi ‘halal’ asalkan memberikan keuntungan politik kepada mereka..Bak kata Datuk Hj Ismail Kamus, “kalau orang lemas,keladi-keladi pun direntap asalkan dapat berpaut.”

Saya terfikir relevannya kenyataan seorang sahabat saya sewaktu di Lunas dulu, “kalau nak pembangunan, doakan wakil rakyat meninggal dunia. ‘Confirm’ dapat eletrik, paip air, lampu jalan, jalan tar baru dan juga basikal!’

Tan Sri Khalid Calon KeADILan untuk PRK DUN Ijok

Sebagaimana yang dijangka, Tan Sri Khalid Ibrahim, Bendahari Agung keADILan merangkap Pengerusi Perhubungan keADILan Negeri Selangor telah diumumkan sebagai calon keADILan bagi menghadapi PRK DUN Ijok pada 28 April 2007 nanti.

Pemilihan beliau sebagai calon adalah amat dialu-alukan oleh Angkatan Muda keADILan Malaysia memandangkan kredibiliti beliau sebagai pemimpin diyakini rakyat untuk mewakili rakyat di DUN Ijok.

Biodata penuh beliau boleh dibaca di sini.

Sekalung apresiasi buat Tan Sri Khalid daripada seluruh kepimpinan AMK Malaysia.Bersama kita menggempur BN di DUN Ijok!!

‘Satu Hari Satu Pendedahan’ – Dedikasi Buat Khir Toyo

Atas kapasiti Pemangku Ketua AMK Malaysia, saya mengambil rasa tanggungjawab untuk melancarkan kempen ‘Satu Hari Satu Pendedahan’ yang akan bermula pada 19hb April depan, khusus sempena Kempen Pilihanraya Kecil (PRK) DUN Ijok yang bakal berlangsung pada 28hb April 2007.

Pendedahan yang dimaksudkan adalah pendedahan rasuah yang dilakukan oleh Menteri Besar Selangor Maju, Dr. Mohammad Khir Toyo sepanjang beliau menjawat jawatan MB Selangor.

Kita tidak bertindak menuduh,yang kita pinta cuma jawab setiap persoalan yang kian membuat rakyat sesak dan marah dengan tiap-tiap persoalan yang timbul tanpa dijawab dengan sempurna.

Dr. Khir Toyo, sila bersiap sedia!

Pengisytiharan Calon KeADILan PRK DUN Ijok 17 April 2007

Sumber: Laman Web Parti KeADILan Rakyat

Berikutan Mesyuarat Biro Politik Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Penasihat Parti Dato Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan calon Pilihanraya Kecil Dun Ijok esok (17 April), 8:30 malam di Bilik Gerakan KeADILan Batang Berjuntai, Ijok bagi melancarkan jentera pilihanraya KeADILan.

Yang turut hadir bersama adalah pimpinan tertinggi parti:
Presiden Dr Wan Azizah Wan Ismail,
Timbalan Presiden Dr Syed Husin Ali,
Naib Presiden Azmin Ali, Sivarasa Rasiah, Dr Lee Boon Chye, Mustaffa Kamil Ayub,
Ketua Wanita Fuziah Salleh,
Pemangku Ketua Angkatan Muda Shamsul Iskandar Mohd Akin; dan
Ketua Penerangan Tian Chua.

Sebarang pertanyaan, sila hubungi SD Johari 017-6061735 atau Ginie Lim 012-6693453.
Sekian, terima kasih.

Cuaca Politik MIC Kian Gelap

Sah petang tadi BN telah mengisytiharkan K Parthiban, Setiausaha MIC Bahagian Tanjung Karang sebagai calon BN bagi menghadapi PRK DUN Ijok pada 28 April akan datang.

Pengisytiharan ini disusuli dengan perletakan jawatan Ketua Bahagian MIC Kuala Selangor SP Thirumoorthy berserta 33 orang Ketua Cawangan MIC di dalam Bahagian Kuala Selangor, yang turut mendapat liputan oleh media TV3. Ini berikutan kekecewaan Thirumoorthy yang tidak dipilih sebagai calon di dalam PRK DUN Ijok bagi mewakili BN.

Seperti biasa, Samy Vellu jangan dicabar-cabar.Lihat sahaja kenyataan beliau tatkala ditanya media mengenai ancaman Thirumoorthy Ahad lalu:

“Biar Dia Berambus!”

Samy Vellu mendakwa yang 98% ahli MIC Kuala Selangor berada di belakang kepimpinan beliau dan akan menyokong keputusan beliau.Keceluparan Samy Vellu bukan sesuatu yang baru bagi rakyat Malaysia. Saya teringat apabila sewaktu berhadapan dengan Lunas pada tahun 2000 dahulu, beliau pernah menyatakan:

“Kalau calon MIC kalah, saya tidak akan balik KL!”

Apa yang berlaku? BN melalui S. Anthonysamy kalah dalam PRK DUN Lunas di tangan Saifudin Nasution Ismail. Kita tunggu dan lihat, bolehkah BN dan Samy Vellu menang tanpa sokongan akar umbi MIC di Ijok..

Mungkin Samy Vellu boleh mempertimbangkan untuk ‘memindahkan’ Kementerian Kerjaraya ke Ijok selepas 28 April..

Jadikan Ijok Sebagai Lunas Kedua!

Semalam Angkatan Muda KeADILan Malaysia telah berjaya melancarkan Jentera Pilihanraya AMK dan juga Skuad Angkatan Muda Negeri Selangor. Kehadiran masyarakat sekitar Ijok memberikan ‘tanda-tanda awal’ bahang pilihanraya Ijok makin hangat dan ada cahaya buat KeADILan di hujung jalan.

Penubuhan Skuad Angkatan Muda yang juga bertujuan sebagai pasukan gerak gempur pilihanraya dimulakan di Bahagian Gombak beberapa bulan yang lalu, dan kini disusuli di peringkat Negeri Selangor. Keahlian awal menjangkau 100 orang dan ini memberikan semangat buat kita untuk terus bergerak dan menggempur BN di Selangor.

Acara semalam yang dianggarkan kehadiran seramai 2000 orang turut diserikan dengan sesi ceramah oleh Sdr Azmin Ali, Naib Presiden KeADILan yang Juga Pengarah Pilihanraya KeADILan Pusat; dan Tan Sri Khalid Ibrahim, Bendahari Agung KeADILan yang juga Pengerusi Perhubungan di Selangor. Pimpinan AMK Pusat terdiri daripada Sdr Jonah, Amir Sari dan juga Tan Seng Toh juga turut berucap. Semalam juga adalah merupakan ucapan sulung Tan Sri Khalid sempena pengisytiharan kempen rasmi yang dimulakan oleh KeADILan untuk PRK DUN Ijok ini. Laporan rasmi boleh dibaca di Laman Web AMK.

Saya menegaskan betapa perlunya Ijok menjadi medan buat rakyat kembali menilai prestasi kerajaan di bawah pimpinan Pak Lah. Sedari 31hb Oktober 2003 sehinggalah hari ini, tidak ada satupun dasar-dasar yang menguntungkan rakyat di bawah pemerintahan Pak Lah. Isu kenaikan harga minyak, isu tol, inflasi berleluasa, penindasan masyarakat peneroka bandar melalui penghapusan setinggan, rasuah di peringkat tertinggi pimpinan kerajaan dan pentadbir awam, Islam Hadhari yang langsung tidak ada unsur-unsur Hadharah di dalam perlaksanaannya, semua kecelaruan ini berlaku di saat Pak Lah menjadi PM.

Dengan memberikan kemenangan kepada BN, ia akan turut memberikan signal kepada Pak Lah yang rakyat sentiasa bersama menyokong dasar-dasar ‘mesra rakyat’ beliau. Saya tidak fikir rakyat Ijok khususnya mudah diperlekeh oleh Pak Lah! Justeru, inilah medan terbaik buat rakyat menterjemahkan protes mereka kepada Kerajaan BN di bawah pimpinan Pak Lah.

Ijok berpotensi untuk menjadi medan manifestasi gelombang rakyat. KeADILan sentiasa berusaha untuk merealisasikan semangat agar Ijok bakal mengulangi kejayaan Lunas.

Kejayaan di Ijok bukan semata-mata buat KeADILan..sebaliknya untuk rakyat. Anda bakal menentukannya!

Pelancaran Jentera AMK PRK DUN Ijok & Skuad KeADILan Selangor

Esok Angkatan Muda KeADILan (AMK) Pusat dengan kerjasama AMK Negeri Selangor akan mengadakan majlis pelancaran Jentera Pilihanraya Kecil DUN Ijok & Skuad KeADILan Selangor mengikut maklumat berikut:

Tarikh: 15 April 2007 (Ahad)
Masa: 8.45 malam
Tempat : Bilik Gerakan Parti Keadilan Rakyat Ijok, No 2 Simpang 4, Ijok (Rumah Haji Miskun)

Selain daripada saya, Majlis Pelancaran ini akan turut diisi dengan sesi ceramah oleh Naib Presiden KeADILan, Sdr Azmin Ali; Bendahari KeADILan merangkap Pengerusi Perhubungan KeADILan Negeri Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim; dan juga Exco-Exco AMK Pusat serta pimpinan AMK Negeri Selangor.

 

Bahang di Machap kekal terasa, Inspirasi Lunas kekal menjadi azimat kita.

 

Sama-sama kita mendoakan agar kebangkitan Lunas akan berulang kembali di Ijok!

Machap Beri ‘Signal’ Jelas

Alhamdulillah,Pilihanraya Kecil DUN Machap telahpun berakhir. Dan sebagaimana yang sedia maklum, BN berjaya mengekalkan DUN Machap. Sedikit mengejutkan apabila undi calon BN menurun yang turut mengesani undi majoriti manakala undi calon DAP naik meskipun dalam kuantiti yang kecil. Dalam satu kenyataan, Datuk Wira Mohd Ali Rustam pernah menegaskan yang DAP hanya akan memperolehi satu undi sahaja dan bakal hilang wang deposit. Tapi keputusan ini pasti, pada hemat saya, akan membuatkan Mohd Ali Rustam sedikit terpukul dengan tutur kata beliau sendiri.

Keputusan DUN Machap ini sedikit sebanyak memberikan ‘signal’ jelas kepada barisan parti-parti alternatif agar memperkukuhkan gerak kerja untuk terus berhadapan dengan BN di dalam Pilihanraya Umum akan datang. Dalam keadaan rakyat dan masyarakat Machap disogok dengan limpahan projek dan siri-siri pembangunan berkala, kita perlu terus menyedarkan rakyat agar tidak terus termakan dengan gula-gula pembangunan yang dihidangkan oleh BN.

Perjuangan akan kita teruskan. Dan Ijok bakal menjadi destinasi seterusnya..