Takziah Buat Keluarga Mangsa Nahas Kemalangan Di Bukit Gantang, Perak

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) ingin merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa nahas yang berlaku di Kilometer 229.1 Lebuh Raya Utara Selatan dekat Bukit Gantang, Perak awal pagi semalam.

Difahamkan bahawa kemalangan ini adalah yang terburuk di dalam sejarah nahas jalanraya. Selaku Ketua KeADILan Bahagian Jasin, saya melihat kemalangan jiwa yang membabitkan kematian 22 nyawa itu amatlah dikesali, dan diharapkan agar ahli keluarga yang berkenaan dapat menerima keadaan dengan cekal dan redha, dan sentiasa percaya bahawa setiap yang berlaku pasti ada hikmah Tuhan dan bertujuan untuk menguji kesabaran kita sebagai umat manusia.

AMK melihat dengan serius pendedahan oleh Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Raja Musa Raja Razak bahawa syarikat bas berkenaan sebelum ini telah dikenakan 19 saman manakala pemandunya sahaja mempunyai 2 waran tangkap dan 13 saman.

AMK berharap agar ada usaha komprehensif oleh pihak-pihak berkenaan termasuklah pihak berkuasa dan pemilik-pemilik syarikat bas untuk terus memastikan perkhidmatan operasi mereka berada dalam lingkungan keselamatan yang digariskan dan sentiasa mengikut lunas undang-undang.

Malah AMK percaya sekiranya pemeriksaan rapi dibuat oleh Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melalui Institut Keselamatan Jalan Raya (Myros), banyak lagi syarikat bas yang menggunakan bas-bas usang untuk operasi mereka sedangkan kondisi pengangkutan yang digunakan amat berbahaya. Tidak terkecuali, pemandu-pemandu bas yang cuai dan ingkar pada undang-undang tetapi masih berkhidmat dengan aktif.

Justeru AMK ingin mencadangkan beberapa pendekatan kepada Kementerian Pengangkutan dan JPJ, agar:

(i) satu semakan berkala yang khusus ke atas pemandu-pemandu bas dan syarikat bas yang melibatkan penumpang awam pada kadar yang konsisten agar pemandu dan syarikat yang tidak menepati syarat dan disiplin pemanduan jalanraya ditegah daripada menjalankan operasi;

(ii) mewujudkan satu Pusat Latihan pemanduan khusus kepada pemandu-pemandu penumpang awam agar mereka dilatih secara professional dan tidak bergantung kepada pemilikan lesen semata-mata.

Ini perlu dipandang serius memandangkan nyawa penumpang menjadi taruhan sepanjang perjalanan, dan kelekaan pihak-pihak tertentu hanya akan mengundang bencana. Kita tidak perlu menunggu 10 lagi bencana menimpa untuk bertindak serius ke atas permasalahan ini.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua Angkatan Muda
Parti Keadilan Rakyat

Halang Pendidik Berpolitik, Hishamuddin Jangan Bersikap Jumud

hishamAngkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) membidas sekeras-kerasnya kenyataan Menteri Pelajaran, Hishamuddin Tun Hussien yang kononnya ingin mengambil tindakan tegas ke atas guru-guru yang aktif berpolitik sebagaimana dilaporkan media hari ini.

Persoalan timbul apakah arahan ini spesifik kepada guru-guru yang menyokong pembangkang, ataupun mana-mana guru yang aktif di dalam politik kepartian pemerintah dan pembangkang.

Dalam keadaan kelompok guru yang aktif di dalam Umno dan parti komponen BN dibenarkan untuk berkhidmat di dalam kedua-dua bidang – pendidikan dan politik – AMK melihat ugutan ini sebagai satu tindakan yang amat tidak demokratik dan tidak bertamadun.
Teruskan membaca “Halang Pendidik Berpolitik, Hishamuddin Jangan Bersikap Jumud”

Khairy Jamaluddin Bangkrap Politik, Seperti Monyet Diberi Bunga!

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) menegaskan bahawa Khairy Jamaluddin telah bankrap idea politik apabila terpaksa mengecam Penasihat KeADILan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat Melayu. Kenyataan beliau sebenarnya hanyalah memalitkan imej beliau dan Umno sendiri yang semakin korup dan tidak relevan dengan perjuangan ummat Melayu.

Di sebalik Khairy mempertahankan Dasar Ekonomi Baru, beliau masih lagi tidak mampu memberikan jawapan kepada pelbagai masalah khususnya ekonomi yang menimpa ummat Melayu dan juga rakyat Malaysia. Masalah kesenjangan jurang pendapatan di antara yang kaya dan miskin di Malaysia iaitu yang paling tinggi di kalangan negara-negara Asean dan juga kebolehsaingan (competitiveness) ekonomi Malaysia yang masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan Singapura, Korea Selatan dan Taiwan membuktikan bahawa UMNO tidak lagi kompeten untuk memimpin Malaysia untuk tempoh satu dekad lagi.

Justeru, inisiatif Dato Seri Anwar Ibrahim dan KeADILan menyarankan Agenda Ekonomi Malaysia Baru yang lebih menekankan kepada pemupukan ekonomi yang manusiawi telah memberi jalan keluar kepada kemelut ini dan keadaan ini cukup menggusarkan Umno kerana khuatir dengan kebolehupayaan KeADILan mendepani agenda kepedulian rakyat.

Di sebalik tuduhan Anwar kononnya agen Amerika dan Yahudi, sehingga ke hari ini Khairy dan pimpinan Umno membisu seribu bahasa mengenai tajaan kerajaan Umno-BN ke atas pelobi Yahudi Jack Abramoff, dan juga perlantikan Goldman Sach sebagai penasihat Khazanah yang jelas punya hubungkait langsung dengan Yahudi.

Saya ingin tanya Khairy apa jawapan beliau kepada pelbagai masalah rasuah yang semakin berleluasa dan integriti kerajaan yang semakin dipertikaikan ? Penutupan kes Johari Baharum, Zulkifli Mat Noor dan terbaru Musa Hassan jelas menggambarkan rasuah adalah musuh rakyat yang mendapat belaian khas Khairy dan beberapa kerat pimpinan Umno. Prinsip DEB terus dikhianati dengan kekayaan negara hanya berlegar-legar di sekeliling beberapa kerat pimpinan UMNO termasuk Khairy sendiri.

Di saat Malaysia menghampiri saat 50 tahun kemerdekaan, jelas Khairy lebih selesa untuk meneruskan agenda yang melemahkan ummat Melayu berselindung di sebalik slogan ‘Hidup Melayu’ yang dilaungkan. Apa yang menjadi matlamat mereka hanyalah untuk melahirkan ummat Melayu yang sentiasa tunduk kepada kehendak politik rakus Umno supaya terus berada di tampuk kekuasaan mutlak.

Saya cadangkan supaya Khairy memahami dengan sebenarnya bidalan, seperti monyet diberi bunga sebelum melemparkan tuduhan pengkhianat kepada pemimpin ummat Melayu yang telah berterusan membuktikan komitmen untuk mengangkat martabat ummat ini.!

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua Angkatan Muda
Parti Keadilan Rakyat

Abdullah Pengarah ‘Wayang Empat Babak’

Malaysia-Today.net
30 Julai 2007
Oleh Zulkifli Mohamed

PERMATANG PAUH: Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selayaknya dinobatkan sebagai ‘Pengarah wayang empat babak’ kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Md Akin.

Beliau merujuk ‘empat babak’ yang sedang diarahkan Abdullah melalui lakonan Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail.

Babak pertama katanya berkaitan penutupan kes Ketua Polis Negara (KPN) Datuk Seri Musa Hasan, yang dilaporkan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) oleh Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Johari Baharom.
Teruskan membaca “Abdullah Pengarah ‘Wayang Empat Babak’”

Dakwaan Ke Atas Malaysia-Today, Mereka Makin Terdesak…

Tindakan Umno membuat laporan polis ke atas pengendali portal berita Malaysia-Today, Raja Petra Kamaruddin jelas memperlihatkan satu keadaan yang begitu terdesak oleh parti tersebut. Ini ditambah dengan kenyataan Raja Petra melalui Malaysiakini [Raja Petra bingung dengan laporan polis terhadap Malaysia Today] bahawa beliau bingung dengan apa yang disabitkan oleh Umno ke atas beliau.

Sama seperti apa berlaku ke atas Nathaniel Tan, Raja Petra didakwa membenarkan blog beliau menyiarkan komen-komen dan artikel yang bersifat menghina agama Islam dan Yang Dipertuan Agong.

Saya melihat ini satu tindakan yang amat tidak rasional, orang lain memberi komen, orang lain yang kena. Dalam era globalisasi ini, apakah kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia dan pihak polis sukar untuk mengesan mana-mana pihak yang menyiarkan komen yang sensitif melalui alamat IP? kalau inipun sukar dibuat oleh pihak berwajib, maka terbuktilah teknologi hanya mainan mulut sesetengah pihak,sedangkan aplikasinya tidaklah sehebat mana.
Teruskan membaca “Dakwaan Ke Atas Malaysia-Today, Mereka Makin Terdesak…”

AMK Kecam Penahanan Nathaniel Tan

Angkatan Muda Keadilan Malaysia [AMK] mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak polis menahan Nathaniel Tan, Editor SuaraKeadilan.com dan Setiausaha Eksekutif kepada Pengerusi Yayasan Masa Hadapan (Foundations of the Future), Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Keluarga Nathaniel bersama pemimpin dan penyokong Parti Keadilan Rakyat hanya dapat mengetahui dengan pasti bahawa beliau berada di dalam tahanan polis hanya pada jam 10.30 malam, 6 jam selepas beliau dibawa pergi dari pejabatnya oleh tiga orang yang mendakwa diri mereka pegawai polis pada jam 4.30 petang.

nat Pada peringkat awal, pihak polis telah enggan memberikan pengesahan samada benar beliau ditahan sehingga menyebabkan satu laporan polis mengenai kehilangan beliau terpaksa dibuat pada jam 8.00 malam. Polis hanya mengesahkan bahawa beliau berada di dalam tahanan polis setelah didesak oleh saya dan beberapa pimpinan keADILan dan pada masa yang sama semakin ramai rakyat berkumpul di pintu masuk Bukit Aman menuntut berita mengenai kehilangan Nathaniel.
Teruskan membaca “AMK Kecam Penahanan Nathaniel Tan”

Penolakan Gaji Minimum, Kerajaan Abai Kepedulian Rakyat

Alasan Kerajaan Pusat untuk menolak cadangan perlaksanaan gaji minimum RM900 dan Elaun Kos Sara Hidup (COLA) RM300 yang dituntut oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) adalah amat mendukacitakan dan bersifat lemah.

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) melihat kerajaan terus memberi alasan demi alasan, dalam keadaan rakyat terus ditekan dengan pelbagai kenaikan harga barang yang menjurus kepada meningkatnya kadar inflasi.

Kerajaan turut mendakwa bahawa tidak semua negara maju memberi gaji minimum kepada pekerjanya dengan mengambil contoh Amerika Syarikat, Britain dan Australia yang membayar gaji mengikut tempoh jam bekerja. Sedarkah kerajaan bahawa di Australia, gaji minimum ditetapkan AUD$13.47 sejam dan AUD$511.86 seminggu, bersamaan RM1,502.15 seminggu? Di Britain juga kadar minimum seminggu adalah £5.35 sejam dan £203.30 seminggu, bersamaan RM1,406.80 seminggu?
Teruskan membaca “Penolakan Gaji Minimum, Kerajaan Abai Kepedulian Rakyat”

Kerajaan Wajib Turunkan Harga Minyak Tanpa Kompromi!

Media cetak arus perdana hari ini (29 Januari 2007) telah menyiarkan berita mengenai kejayaan Petronas yang terus mengekalkan rekod keputusan kewangan cemerlangnya dengan meraih keuntungan sebelum cukai RM76.3 billion dan hasil keuntungan tersebut, Petronas menyumbang balik sejumlah RM48.3 bilion kepada kerajaan dalam bentuk cukai, dividen, royalti dan eksport duti.

Angkatan Muda KeADILan Malaysia (AMK) ingin menyatakan tahniah di atas kejayaan tersebut, dan kesempatan ini diambil untuk menyatakan ketegasan AMK bahawa wujud keperluan yang mendesak dan munasabah agar harga minyak diturunkan pada kadar yang segera.

AMK berpendapat bahawa tidak ada sebab untuk Petronas dan Kerajaan Pusat mengambil satu keputusan untuk menurunkan kadar harga minyak yang sekian lama membebankan rakyat untuk menjalani kehidupan seharian.
Teruskan membaca “Kerajaan Wajib Turunkan Harga Minyak Tanpa Kompromi!”

Banjir Ibu Kota: Samy Vellu Bertanggungjawab Penuh!

sa

Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (AMK) memandang serius dengan bencana banjir yang melanda ibu negara lewat semalam, dan berpendapat ini adalah berpunca daripada kegagalan perencanaan projek SMART yang dikelola oleh Kementerian Kerjaraya.

Dalam satu kenyataan media yang dibuat oleh Datuk Seri S. Samy Vellu, kementerian telah menetapkan bahawa harga tol untuk laluan SMART adalah pada kadar RM2 sehala. Ini bertepatan dengan pendedahan yang sebelum ini pernah dibangkitkan oleh pimpinan AMK mengenai isu konsesi tol SMART ini melalui beberapa pendedahan yang telah dibuat dan didedahkan kepada umum. Jelas terbukti bahawa pendedahan AMK mengenai konsesi tol SMART ini adalah benar dan segala dakwaan Samy Vellu berkenaan kesahihan pendedahan ini adalah jelas terbatal.
Teruskan membaca “Banjir Ibu Kota: Samy Vellu Bertanggungjawab Penuh!”