Penulis: Shamsul Iskandar
Memorandum Bantahan Kepada Perdana Menteri Malaysia
Pemuda Barisan Alternatif (BA), Gerakan Demokrasi dan anti Korupsi (GERAK) & Institut Pengembelingan dan Pembangunan Komuniti (IMPAK) memandang serius pendedahan yang dibuat oleh Gerakan Demokrasi & Anti Korupsi (GERAK) pada 26 Februari 2007 yang lepas, di mana pendedahan tersebut berikut satu tuduhan serius yang membabitkan penyalahgunaan kuasa oleh Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Dato’ Seri Zulkipli Mat Noor.
Pendedahan yang dibuat hasil daripada satu laporan yang dibuat kepada mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Omar oleh pegawai kanan BPR sendiri, iaitu Mohamad Ramli Manan memberikan satu gambaran yang amat jelas betapa komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi yang menjadi anutan tadbirurus kerajaan iaitu untuk menghapuskan amalan rasuah dan birokrasi kian terhakis. Dalam keadaan pelbagai kemelut pentadbiran yang dibelenggu permasalahan rasuah dan etika pentadbiran melingkari pentadbiran kerajaan hari ini, pendedahan terbaru oleh GERAK ini adalah ibarat menambah bebanan kerajaan untuk terus memperbetulkan keadaan yang kian parah dan jelek, sekaligus memalitkan imej dan akauntabiliti kerajaan yang gah dengan slogan akauntabiliti dan prinsip Islam Hadhari.
Ini ditambah lagi dengan pendedahan terbaru mengenai salah laku yang membabitkan Timbalan Menteri Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, iaitu Datuk Mohd Johari Baharum yang didakwa menerima sogokan lebih daripada RM5 Juta sebagai habuan untuk membebaskan beberapa penjenayah yang terlibat dengan beberapa jenayah berat. 3 kes yang didakwa ke atas Johari adalah:
i. Di dakwa berlaku pada Januari tahun ini apabila Johari dituduh mengarahkan pembebasan seorang ketua penjenayah di Perak, yang mana ketua penjenayah ini adalah merupakan adik kepada seorang lagi Timbalan Menteri;
ii. Mengeluarkan arahan pembebasan oleh seorang suspek yang disabit atas perjudian haram di Sabah pada bulan Februari lepas. Pendedahan yang dibuat oleh freewebs.com mendakwa Johari dirasuah RM3 juta untuk mengeluarkan arahan tersebut; dan
iii. Jaminan pembebasan seorang ketua penjenayah di Perak selepas penjenayah terbabit menyelesaikan dengan Johari dengan sejumlah wang tidak kurang daripada RM2.5 juta.
Teruskan membaca “Memorandum Bantahan Kepada Perdana Menteri Malaysia”
Angkatan Muda Minta Samy Jawab!
Berhubung dengan laporan berita mengenai soalan wartawan terhadap Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S.Samy Vellu semalam, Angkatan Muda KeADILan Malaysia berpendapat bahawa menteri itu tidak menjawab persoalan penting yang yang diutarakan oleh Angkatan Muda semasa mendedahkan perjanjian konsessi diantara Smart dan Kerajaan Malaysia berhubung dengan pembinaan lebuh raya yang menghubungkan Sungei Besi dan Bandaraya.
Antara persoalan yang lebih penting dalam memperkatakan isu ini ialah:
1. Samy Vellu tidak bersikap terus terang dalam memperkatakan mengenai kadar tol.
2. Mengapa kadar tol yang ditetapkan dalam perjanjian tersebut terlalu tinggi.
3. Salah pengiraan mengenai volum kesesakan seperti yang dinyatakan dalam Perjanjian.
4. Kerajaan boleh meperolehi balik pelaburan kos pembinaan lebuh raya pada tahun 2023. Keuntungan yang diperolehi oleh syarikat konsesi (Smart) ialah RM5 billion.
Pengisian pendedahan tersebut boleh didapati daripada laman web rasmi keADILan di http://www.keadilanrakyat.org.
Angkatan Muda mendesak agar Kerajaan menggubal Akta Kebebasan Media secepat mungkin supaya ketelusan dalam maklumat yang berhubung dengan kepentingan rakyat dapat diketahui umum.
Maklumat yang didedahkan oleh Angkatan Muda pada 1hb Mac lalu melibatkan kepentingan rakyat dan bukannya kepentingan inidividu.
Angkatan Muda juga merasa amat kecewa dengan cara jawapan yang keluar daripada seorang Menteri yang berkata, “ pergi jahanam dengan mereka ini.”
Kami berpendapat kata-kata sedemikian tidak sepatutnya datang dari seorang menteri tetapi daripada seorang ‘dracula’ dan tidak mirip seperti seorang Menteri Kabinet.
Kami menasihati agar Samy Vellu mengikuti kempen “Jiwai Bahasa” yang dijalankan oleh Kementerian kesenian dan Warisan (KeKKwa).
Apa yang dilakukan oleh Angkatan Muda tempoh hari (dalam mendedahkan perjanjian konsessi) adalah sebahagian daripada khidmat kepada rakyat kerana ianya memberi kesan langsung kepada rakyat.
Shamsul Iskandar Mohd Akin
Pemangku Ketua Angkatan Muda
Parti Keadilan Rakyat
Bantah Ketua Pengarah BPR – Bersama Ramaikan Perarakan Selasa Ini!
Isu penyalahgunaan kuasa Ketua Pengarah BPR, Dato Seri Zulkifli Mohd Noor sudah menjadi satu lagi bahan bualan rakyat kebelakangan ini. Apalah nasib kita rakyat Malaysia sekarang ini,di saat PM Abdullah Ahmad Badawi menegaskan yang pencegahan rasuah adalah antara mauduk utama yang menjadi teras kepimpinan beliau,orang yang diharapkan memacu usaha itu pula dipalit masalah yang sama!
Atas kapasiti sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab,maka satu perarakan untuk menyerahkan Memorandum Bantahan kepada Perdana Menteri di Jabatan Perdana Menteri,Putrajaya akan dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat, Angkatan Muda KeADILan Malaysia, dan Gerakan Demokrasi & Anti Korupsi (GERAK) pada Selasa, 6 Mac 2007. Perarakan ini akan diketuai oleh saya,YB Salahuddin Ayub Ketua DPP Pusat dan juga Sdr Ezam Mohd Nor selaku Pengerusi GERAK.
Bagi pihak penganjur,saya menyeru agar rakyat Malaysia yang prihatin dari segenap lapisan masyarakat untuk turut serta menyatakan sokongan ke atas bantahan ini. Sesungguhnya kita tidak boleh redha Malaysia terus bergelut dengan rasuah yang kelak mencemarkan masa depan kita dan juga generasi akan datang, apatah lagi di saat Slogan Anti Rasuah ini dicanang dan dinobatkan oleh kelompok manusia yang menjunjung falsafah Islam Hadhari!
Demo Tol Di Summit USJ 18 Mac 2007
InsyaAllah, Siri Demonstrasi Membantah Kenaikan Harga Tol akan diteruskan lagi pada 18 Mac 2007 akan datang,kali ini bertempat di Summit USJ.Atas kapasiti Pemangku Ketua AMK Pusat,saya menyeru agar segenap lapisan masyarakat untuk turut hadir menyatakan sokongan ke atas demonstrasi ini.
Kita protes sampai harga tol turun!
AMK Dedah Perjanjian Konsesi Tol SMART
Angkatan Muda KeADILan hari ini mendedahkan butir-butir perjanjian konsesi tol yang ditandatangani dengan SMART Sdn Bhd yang melibatkan terowong dan jalan raya antara pangkalan udara TUDM dan bulatan Kg. Pandan.
Butir-butir perjanjian menunjukkan secara jelas bahawa kerajaan meletakkan beban yang berat ke atas rakyat demi keuntungan besar bagi SMART Sdn Bhd.
Mengikut perjanjian, kadar tol akan bermula dengan RM 2.00 dan akan naik sebanyak RM 1.00 setiap lima tahun hingga 2030.
Kadar tol yang mendadak ini dijustifikasikan mengikut data yang dimanipulasi untuk memberi lebih keuntungan yang mendadak kepada SMART Sdn Bhd. Pertama, anggaran jumlah trafik adalah berdasarkan data yang diperolehi oleh jalan raya antara KLIA dan Lebuhraya KESAS. Anggaran ini tidak tepat sama sekali, kerana trafik di kawasan Sungai Besi adalah jauh lebih banyak daripada trafik antara KLIA dan KESAS. Anggaran yang tidak tepat ini akan mengakibatkan kadar tol yang melebih bagi rakyat biasa.
Keduanya, anggaran jumlah trafik yang terkandung dalam perjanjian naik setiap tahun, tetapi hanya sehingga 2022; selepas 2022, anggaran jumlah trafik berhenti di 40 juta. Bagaimanakah jumlah trafik boleh naik setiap tahun tetapi berhenti tepat pada tahun 2022?
Kesimpulan harus dilakukan bahawa anggaran jumlah trafik tidak naik selepas tahun 2022 supaya kenaikan kadar tol yang mendadak dan membebankan rakyat secara berketerlaluan boleh dijustifikasikan dan diteruskan.
Perjanjian tol ini juga tidak adil kerana walaupun SMART Sdn Bhd berbelanja RM 0.6 billion untuk membina terowong tersebut, kerajaan membelanjakan RM 1.3 billion. Oleh itu, sebahagian besar daripada pendapatan yang diperolehi oleh pengutipan tol harus disalurkan kepada kerajaan dan rakyat, dan bukan kepada SMART Sdn Bhd, seperti yang dibenarkan oleh perjanjian.
Walaupun kerajaan telah nyatakan bahawa kadar tol masih dibahas, sebenarnya, perjanjian tol ini ditandatangani pada tahun 2004 dan sememangnya sudah mengikat di sisi undang-undang. Oleh itu, sudah jelas bahawa kerajaan telah bersubahat dengan SMART Sdn Bhd untuk menjanakan keuntungan yang melebih dengan membebankan rakyat dengan kadar tol yang teruk dan melebih.
Fokus Pada Anwar, Bukan Pada Jawatan!
Meskipun Kongres Tahunan KeADILan bakal berlangsung pada bulan Mei depan, bahangnya sudah terasa seawal hari ini. Dalam pada kita mempersiapkan diri untuk berhadapan dengan pilihanraya yang hanya menanti ilham PM untuk diadakan, KeADILan juga dalam proses memperkemaskan kepimpinan dan jentera parti apabila dalam kongres akan datang juga akan dilangsungkan pemilihan parti. Kita tidak seperti Umno, yang seringkali menangguhkan amalan demokrasi dalaman mereka apabila tiba waktu pilihanraya. KeADILan tegar dan tegas untuk melaksanakan amalan demokrasi yang kekal menjadi mauduk utama perjuangan meski terpaksa berhadapan dengan cabaran kecil pemilihan.
Saya terpanggil untuk memberikan pandangan memandangkan terdapat kepelbagaian pendekatan ketika mana parti yang muda ini ghairah untuk mempraktikkan amalan demokrasi. Di suatu sisi, ada pandangan yang menyatakan bahawa amalan muafakat tanpa pertandingan dan mungkin juga tanpa pencalonan yang pelbagai mesti menjadi keutamaan pada tahap ini. Muafakat juga demokratik kata mereka. Saya juga cenderung untuk bersetuju dengan pandangan ini. Asasnya ialah prinsip syura seperti yang dinukilkan di dalam Al-Quran yang menggalakkan kita bermesyuarah, wa amruhum syura bainahum. Alasan utama pandangan ini ialah bagi mengelakkan bibit perpecahan yang lebih besar di dalam parti.
Di dalam masa yang sama pandangan yang menyatakan bahawa pesta (kalau boleh saya gunakan istilah ini) demokrasi mesti kelihatan di dalam parti yang komited dengan agenda perubahan khususnya di dalam usaha memperbaiki sistem dan amalan demokrasi di Malaysia juga tidak boleh disisihkan. Ada kebenaran dan niat yang murni bagi kumpulan yang mendokong sisi pandangan ini. Saya teringat salah satu bab di dalam buku karangan Wilfred Madelung, The Succession of Muhammad yang menceritakan bagaimana beberapa pencalonan telah dibuat semasa perbincangan Sahifah Bani Saadah untuk memilih Khalifah baru selepas wafatnya Nabi Muhammad S.A.W. walaupun Baginda Rasul seolah-olah telah menunjuk pengganti beliau iaitu Abu Bakar As-Siddiq.
Walau apapun pertandingan (contestation) pandangan, pada hemat saya, Kongres kali ini perlu menjadi titik tolak keADILan untuk melangkah lebih berani. Persoalannya bagaimana ? Saya beriltizam menggerakkan seluruh kekuatan Angkatan Muda untuk menobatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden keADILan dan juga mendesak Kerajaan agar beliau dibenarkan untuk bertanding dalam pilihanraya umum yang akan datang. Saya tegas menyatakan, ini wajar menjadi fokus utama kongres parti akan datang. Bukan bermakna menafikan amalan dan semangat demokrasi di dalam parti, tetapi adalah lebih penting bagi kita untuk meletakkan keADILan di landasan yang tepat dengan kemudinya dipegang secara serius oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dengan penyertaan beliau sebagai Presiden, pastinya keyakinan ahli dan rakyat Malaysia akan bertambah dan suasana/ambience ini akan memperhebatkan lagi keADILan untuk berhadapan dengan Umno/BN dalam Pilihanraya Umum akan datang. Mengikut urutan fiqh keutamaan, di dalam keadaan sokongan rakyat kian memuncak kepada keADILan dan perubahan politik, perkara ini yang wajar kita tekankan, bukannya ghairah untuk merebut jawatan di dalam parti.
Santai Minda – Movie Of The Year
Mungkin gambar-gambar ini sudah tersebar luas,tapi elok juga buat kita jadikan bahan santai minda di celah-celah kemelut politik yang tak surut..
Kanser & Rasuah
Saya salah seorang partner/rakan kongsi kepada MAKNA (Majlis Kanser Negara). Sokongan saya kepada perjuangan melawan penyakit kanser telah lama saya lakukan sebelum akhirnya saya mengetahui bahawa bapa saya sendiri mengidap penyakit kanser.
Beliau sekarang sedang berjuang melawan penyakit kanser. Saya juga yakin bahawa penyakit rasuah di dalam negara ini ibarat kanser di dalam badan manusia. Sekiranya tidak dibendung, ianya akan berleluasa dan akhirnya menghancurkan seluruh sistem tubuh badan manusia. Keyakinan saya terhadap PM Lemah turut terhakis apabila beliau memberikan alasan bahawa indeks persepsi rasuah negara merudum kerana di zaman beliau pendedahan kerajaan beliau mengenai rasuah turut meningkat.
Saya ingin betulkan ‘mantiq’ tersebut bahawa kalau kerajaan komited dengan membawa mereka yang terlibat dengan rasuah ke muka pengadilan, imej Malaysia akan bertambah baik dan bukan sebaliknya. Mesti ada yang tidak kena dengan retorika politik beliau ! Saya ingatkan PM Lemah sebuah pepatah cina, untuk tengok ikan sama ada elok atau tidak, tengok dulu di bahagian kepala. Justeru, kepala kerajaan mesti walk the talk dahulu.
Satu pendedahan rasuah di peringkat tertinggi akan dilakukan minggu depan terhadap Ketua Pengarah BPR (Kepala BPR) sendiri. Tunggu apa lagi. Yang diperlukan ialah tindakan. Saudara bayangkan lah keadaannya sekiranya kita masih lagi merasa “selesa” hidup di sebuah negara yang berada pada tangga ke 44, Indeks Persepsi Rasuah tanpa sekelumit perasaan dan komitmen untuk menghapuskannya !
Trauma Dengan Poster Gong Xi Fa Cai!!
Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Gong Xi Fa Cai kepada kawan-kawan Angkatan Muda di semua peringkat dan juga para pengundi di Bahagian Jasin. Untuk kali ini, di bahagian Jasin, saya telah sediakan beberapa keping banner ucapan Selamat Tahun Baru Cina yang disertakan gambar para pimpinan iaitu Dato Seri Anwar Ibrahim, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Dr Syed Husin Ali.
Saya telah meminta Setiausaha Bahagian, Puan Mahani Masban untuk mendapatkan permit penggantungan. Beliau maklum pada saya kesukaran dan halangan yang beliau terpaksa hadapi untuk mendapatkan permit tersebut. Setelah berusaha selama 3 hari, barulah berjaya dilakukan. Kadang-kadang saya geleng kepala apabila mengenangkan tindakan pemerintah yang senantiasa menyekat proses demokrasi daripada disuburkan hatta sehingga “trauma” apabila melihat banner tersebut.
Karut memang karut,tapi itulah realitinya di Malaysia…