Hargai kepelbagaian Malaysia, wujudkan kesalingan produktif – Shamsul Iskandar 

Rakyat Malaysia perlu menghargai kepelbagaian budaya dan agama di negara ini untuk menghasilkan kesalingan yang produktif.

Bagi Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin inti ucapan Prof Dr Siddiq Fadzil suatu ketika dahulu yang menekankan maksud ayat al Quran ‘Lita’arafu’ perlu dihayati untuk bangsa Malaysia mengambil mutiara berharga daripada kepelbagaiannya.

“Saya percaya setelah kita Merdeka dan menyambut Hari Malaysia, sewajarnya kita mengambil satu sikap yang positif dan mula melihat semula agenda pendidikan kita, melihat semula pendekatan dalam pentadbiran, apakah kita benar-benar menjamin prinsip keadilan kepada semua masyarakat.

“Apakah makna lita’arafu dalam keadaan sekarang ini? Sekarang kita berhadapan realiti parti-parti mewakili kaum, dan kita ada kepelbagaian kaum. Sampai sekarang ada isu-isu yang membabitkan ras dan perkauman. Jadi bagaimana cabaran untuk memastikan agenda dalam negara kita dan mengangkat persoalan Bersekutu Bertambah Mutu?

“Profesor Siddiq Fadzil yang kembali ke rahmatullah, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia pernah menyatakan andainya kepelbagaian diurus dan dikendalikan dengan bijaksana ia akan menghasilkan kesalingan produktif. Iaitu saling memperkaya dan memperkasa,” katanya dalam sesi perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong pada Sidang Parlimen yang ke-14, kelmarin.

Dalam bahas tersebut, Shamsul turut membacakan ayat al Quran, surah Hujurat [49]: 13 yang terjemahannya:

“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling takwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”

Katanya, konsep Lita’arafu perlu diamalkan kerana saling mengenal bukan bermaksud bertanya khabar tetapi mengenal sensitiviti dan budaya kaum serta agama lain.

Selain itu, Shamsul juga mencadangkan agar Kementerian Pengajian Tinggi menimbangkan untuk mewujudkan “Kerusi Siddiq Fadzil” yang boleh dijalankan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sebagai usaha dalam pemerkasaan kepelbagaian kaum.

Sumber: https://www.suarakeadilan.my/post/hargai-kepelbagaian-malaysia-wujudkan-kesalingan-produktif-shamsul-iskandar

MoU beri peluang PH ‘mencorakkan’ negara, bukannya sokong kerajaan PN 

Memorandum kerjasama Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) tidak boleh ditafsir secara mudah bahawa pembangkang telah menyokong kerajaan.

Bagi Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, memorandum tersebut sendiri mempunyai peruntukan yang memberi kelebihan kepada PH, iaitu Perkara 9, yang membenarkan pembangkang terus mengkritik dan menegur pentadbiran PM Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Dalam rundingan terakhir, kita minta dalam MoU ini diletakkan satu peruntukan, iaitu dalam Perkara 9. Memorandum ini ada dua bahagian; satu perjanjian kedua lampiran.

“Dalam memorandum utama dinyatakan tugas dan peranan PH sebagai pembangkang. Jadi itu saya percaya satu klausa yang cukup penting memberi pencerahan kepada rkayat bahawa MoU ini walaupun kita tandatangani dengan kerajaan, namun ia tidak menghakis peranan kita sebagai pembangkang yang terus melaksanakan semak, imbang, menegur dan mengkritik kerajaan. Dengan ada peruntukan isu sahaja pun sudah memadai bahawa kita bukan menyokong kerajaan.

“Ada beza MoU ini dengan yang biasa diamalkan di negara demokrasi lain iaitu CSA, perjanjian memberi sokongan dan Belanjawan. Di negara yang ada kerajaan minioriti, mereka harus buat perjanjian dengan pembangkang supaya apabila timbul hal Belanjawan kerajaan diberi sokongan oleh pembangkang (untuk meluluskan Belanjawan)

“Dalam konteks negara kita, kerajaan PM Ismail bukanlah majoriti. Dari 220 Ahli Parlimen yang sedang berkhidmat (beliau dapat 114), maknanya 114 sudah ada majoriti.

“Sebab itu kita lihat apabila kerajaan kemukakan pandangan untuk wujudkan persefahaman dalam keadaan negara sedang hadapi pandemik Covid 19, maka di sana kita merasakan elok kita manfatkan peluang ini untuk meletakkan agenda dan prinsip perjuangan kita,” katanya dalam forum maya Borak Dahsyat bertajuk: “MoU; Betul Ke PH Sokong Kerajaan?”, malam tadi.

Ditanya mengapakah baharu sekarang PH ingin bersama kerajaan dan tidak sebelum itu, Shamsul berkata, PH perlu membuktikan mereka bukan pengacau yang menjatuhkan PM Mahiaddin sebelum ini sebagaimana dijaja oleh tentera siber PN dan media rasmi negara.

“Saya sebut, kita berhadapan pelbagai kritikan (sebelumnya) terutama bila Mahiaddin terpaksa meletak jawatan. Kita dikatakan kumpulan yang tidak menghiraukan masalah negara waktu pandemik Covid. Kita dianggap pengacau, kumpulan yang hanya nak bermain politik.

“Walhal dari segi fakta dalam kerajaan Mahiaddin sendiri yang menarik sokongan, Zahid Hamidi dan rakan-rakan Umno yang lain. Maka runtuhlah kerajaan Mahiaddin.

“Kemudian barulah kita ambil peluang angkat pemimpin kita untuk jadi calon PM. Setelah selesai semua proses itu Anwar tidak berjaya dapat majoriti. Yang jadi Ismail.

“Sekarang bila berlaku perubahan, jangan kita pula dituduh sekali lagi menggugat kerajaan Ismail dalam erti kata membelakangkan semua isu yang berkaitan rakyat semata-mata untuk menjadi PM,” katanya.

Oleh yang demikian, tambah Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu, penyertaan PH dalam MoU perlu dianggap bukti konkrit bahawa pembangkang sanggup bersama-sama kerajaan PN untuk mengeluarkan rakyat Malaysia dari pandemik Covid 19 dan membina semula negara.

“Jadi dengan adanya memorandum ini memberikan pencerahan kepada rakyat PH dalam main business. Kita nak tumpu kepada kesihatan, tumpu kepada ekonomi, tumpu reformasi Parlimen. Itu teras permintaan kita. Itu dipersetujui kerajaan dengan garismana pelaksanaan.

“Itu merupakan hidangan kita kepada rakyat. Tengok betapa serius kita untuk bersama-sama mengeluarkan negara ini daripada pandemik dan memberi tumpuan kepada pembinaan semula negara, terutama ekonomi,” katanya lagi.

Sumber: https://www.suarakeadilan.my/post/mou-beri-peluang-ph-mencorakkan-negara-bukannya-sokong-kerajaan-pn

Fasa 2 pemulihan: KEADILAN Jasin terus bantu rakyat 

Kerajaan meletakkan Melaka di bawah Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara mulai 3 September lalu.

Cakna terhadap usaha bersama meringankan beban masyarakat, KEADILAN Jasin terus konsisten membantu masyarakat yang memerlukan melalui bantuan bakul makanan.

Setiausaha Pengelola KEADILAN Cabang Jasin berkata, usaha mengedarkan bakul makanan tetap rancak di kawasan tersebut seperti mana ketika Melaka di bawah Fasa 1 dahulu.

“Inisiatif melalui bantuan bakul makanan daripada Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin selaku Ketua Cabang KEADILAN Jasin diteruskan walaupun negeri Melaka beralih kepada Fasa 2 di bawah Pelan Pemulihan Negara .

“Selain menelusuri masyarakat di kawasan sekitar Kampung Sempang Pantai dan Serkam Darat melalui bantuan bakul makanan, KEADILAN Jasin turut bertanya khabar penduduk dan menasihati mereka yang belum mendapatkan vaksin agar segera berbuat demikian dalam usaha bersama mencapai imuniti kelompok di samping pencegahan daripada dijangkiti wabak virus Covid 19,” katanya.

Turut sama dalam jelajah bakul makanan itu ialah Naib Ketua Cabang KEADILAN Jasin, Marhan Berahim dan Shukur Rassal, Ketua Wanita KEADILAN Jasin, Noranizah Abdul Karim, Setiausaha KEADILAN Cabang Jasin Mohd Faizal Daud dan Pengerusi Penggerak Harapan Rakyat Syamsul Iqbal Mohd Akin.

Sumber: https://www.suarakeadilan.my/post/fasa-2-pemulihan-keadilan-jasin-terus-bantu-rakyat

Bantu anak yatim Covid-19, pendidikan negara perlu diperkasa 

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin meminta kerajaan supaya mendedahkan perancangan untuk anak-anak yang menjadi yatim piatu kerana Covid-19.

Beliau berkata, mereka bukan sekadar kehilangan sumber kehidupan, tetapi juga terkesan secara mental.

“Seramai 1,5715 pelajar dilaporkan menjadi anak yatim piatu disebabkan Covid-19, ini berkait dengan kebajikan.

“Jadi saya meminta kerajaan menyatakan apa perancangan untuk membantu keluarga ini, kerana ini perkara serius, mereka bukan sekadar hilang tempat bergantung, tetapi mereka berdepan saat begitu trauma berhadapan perkara ini.

“Saya juga mencadangkan supaya jawatankuasa perkhidmatan anak-anak Covid-19 diwujudkan supaya ada program khas untuk bantu mereka.

“Jabatan kebajikan juga tidak ada punca kuasa, mereka tidak tahu bagaimana untuk bantu, sudah tentu perkara mendesak ini perlu ambil tindakan segera,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Shamsul berkata kerajaan perlu mengutamakan dua isu utama dalam pendidikan iaitu infrastruktur dan pedagogi atau kaedah mengajar.

“Cara mengajar sudah pasti berbeza di sekolah dan secara talian, tak boleh pukul rata, bagaimana nak menarik minat anak-anak ini, apa persediaan mereka, bukan sekadar pengumuman tetapi apa telah dilakukan dalam berdepan masalah pendidikan dan berlaku lost generation.

“Dari segi infrastruktur, komputer riba, telefon dibekalkan YTL ada yang terbakar, apa kualiti telefon yang diberi.

“Saya juga nak bangkitkan 1Bestari Net yang dipimpin Pagoh sebelum ini, apa yang sudah jadi, berbilion dibelanjakan, tetapi seperti tidak boleh buat apa-apa.

“Jadi saya akan minta bawa ke PAC, pastikan duit dibelanjakan untuk kepentingan negara dan dapat diperhalusi terus sampai ke akar umbi.

“Dalam pertemuan wakil parti dengan menteri kewangan beliau sebut isu komputer riba sedang diusahakan, katanya bulan September, Oktober, November, tapi nampaknya belum berlaku, jadi kita akan terus desak agar janji dipenuhi kementerian,” katanya.

Sebelum mengakhiri perbahasannya, Shamsul memberi ingatan kepada kerajaan di atas kesediaan PH memasuki MoU transformasi politik dan kestabilan politik.

“Terbang kunang di tengah malam,

Hinggap masuk di tiang seri,

Tangan kanan diajak bersalam,

Apa maksud pisau di kiri.

“Harap jangan ada pisau, harap salam itu salam betul-betul,” katanya.

Sumber: https://www.suarakeadilan.my/post/bantu-anak-yatim-covid-19-perkasakan-pendidikan

Transformasi Parlimen dan Kerajaan: MoU buka lembaran baharu sejarah negara

KUALA LUMPUR: Memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai Blok Kerajaan dan Pembangkang di Dewan Rakyat petang ini bakal membuka lembaran baharu dalam sejarah Malaysia.Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam Titah Diraja Tuanku pagi ini menzahirkan penghargaan kepada pendekatan baharu kerjasama dwi-partisan antara semua pihak.

Agong bertitah, memorandum itu bakal membentuk landskap politik baharu dan membawa perubahan dalam sistem pentadbiran negara.Dalam satu kenyataan bersama antara Kerajaan dan Pembangkang pada Ahad, memorandum persefahaman tersebut bertujuan untuk mengembalikan kestabilan politik negara demi menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara melalui pendekatan kerjasama secara dwi-partisan.

Perjanjian yang bakal dimeterai di Dewan Banquet, Bangunan Parlimen pada jam 5 petang Isnin itu, akan didedahkan sepenuhnya kepada umum sebagai komitmen terhadap keterbukaan penuh dan kebertanggungjawaban.

Ia akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bersama-sama pimpinan kanan Pakatan Harapan, iaitu Presiden PKR merangkap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu, dan Presiden UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Selain itu, Kerajaan akan turut diwakili Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Tan Sri Annuar Musa, dan Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul.

Sementara itu Blok Pembangkang pula diwakili Datuk Seri Saifuddin Nasution, Datuk Seri Salahuddin Ayub, Anthony Loke Siew Fook, Gobind Singh Deo, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, dan Fahmi Fadzil.Pada Ogos lepas, Perdana Menteri telah mengadakan pertemuan dengan pimpinan kanan Pakatan Harapan di Pejabat Perdana Menteri.

Perkembangan itu dianggap penganalisis politik sebagai muafakat kedua-dua pihak untuk menjunjung kasih Titah Agong agar usaha ditumpukan kepada menangani COVID-19, dan kembalikan kesejahteraan kepada rakyat dan negara.

Dalam kenyataan susulan, Anwar berkata, pertemuan itu bagi meredakan suhu politik yang dilihat terlalu panas ketika ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, Pakatan Harapan tiada masalah dengan pentadbiran Perdana Menteri baharu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jika pendekatan yang diambil kerajaan, fokus ke arah usaha menangani krisis pandemik COVID-19, dan ekonomi rakyat.

Sumber: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/transformasi-parlimen-dan-kerajaan-mou-petang-ini-buka-lembaran-baharu-sejarah-negara-319494

Henti desakan Undi Percaya: PN terus bermain politik, bukan PH – Shamsul Iskandar 

Kenyataan Ketua-ketua Penerangan Parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) yang menyeru agar pembangkang tidak lagi meneruskan desakan diadakan Undi Percaya ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jelas menampakkan sikap sebenar gabungan tersebut yang mahu memanjangkan lagi isu keabsahan pentadbiran PM Ismail Sabri.

Menurut Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, bukan Pakatan Harapan (PH) yang kemaruk bermain politik, tetapi PN yang masih tidak menghormati titah Yang di-Pertuan Agong agar diadakan Undi Percaya menyebabkan suhu politik sukar disejukkan.

Katanya, dalam keadaan kerajaan PN dan PH mula berdamai dengan perjanjian persefahaman yang ditandatangani petang ini, tidak perlulah Ketua-ketua Penerangan PN menuduh PH tidak ikhlas berpolitik dan tidak mengutamakan rakyat.

“Ini persis makna peribahasa ‘rumah siap pahat masih berbunyi’.

“Sindiran sebegini menunjukkan PN masih terus ingin bermain politik.

“Fakta menunjukkan yang menarik sokongan daripada menyokong Mahiaddin dulu kumpulan mereka sendiri, dan bukannya pembangkang,” kata Shamsul dalam kenyataan balas ringkas.

Pagi tadi, ketua-ketua Penerangan komponen PN berkata pemimpin PH bermuka-muka ingin berkerjasama dengan kerajaan PN tetapi dalam masa sama tetap mendesak agar Undi Percaya dibentang di Dewan Rakyat yang memberi isyarat pertentangan politik akan kekal panas sepanjang sidang Parlimen kali ini.

Sumber: https://www.suarakeadilan.my/post/henti-desakan-undi-percaya-pn-terus-bermain-politik-bukan-ph-shamsul-iskandar

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya agih sumbangan Kotak Mitra

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin baru-baru ini mengagihkan sumbangan Kotak Mitra 2021 kepada masyarakat kaum India.

Menurut kenyataan Pusat Khidmat Parlimen Hang Tuah Jaya, sumbangan tersebut diagihkan kepada kaum India di kawasan DUN Pengkalan Batu.

“Kotak Mitra 2021 ini atas insiatif dari pihak Kementerian Perpaduan Negara khas untuk masyarakat India di pelosok negara khususnya dalam situasi pandemik ini,” kata kenyataan berkenaan.

Turut mengimarahkan program tersebut ialah NGO PERKAM, AJK Pakatan Harapan DUN Pengkalan Batu dan Saudara Khamisdzee Penyelaras DAP DUN Pengkalan Batu.

Hadir sama Ketua Wanita Cabang KEADILAN Hang Tuah Jaya, Elizah Asuan Kailani, wakil Srikandi KEADILAN Melaka Fify Nuriety dan wakil AMK Cabang Hang Tuah Jaya Arjun Ragunathan.

Sumber: https://www.suarakeadilan.my/post/ahli-parlimen-hang-tuah-jaya-agih-sumbangan-kotak-mitra

PM Ismail Sabri terlepas peluang bentuk kerajaan pembaharuan, terpaksa umum dasar populis 

Pengumuman 7 pembaharuan yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri semalam disifatkan sebagai cubaan mengalihkan isu selepas pemimpin Perikatan Nasional 2.0 tersebut terlepas peluang membentuk kerajaan pembaharuan dan mula mendapat maklum balas negatif daripada rakyat.

Bagi Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, PM Ismail sewajarnya mengambil kesempatan pertama selepas dilantik pada Ogos lalu dengan membariskan tokoh-tokoh berkaliber dalam kabinetnya.

Katanya, ‘silat politik’ Ismail kelihatan bermula baik apabila menjemput pemimpin Pakatan Harapan bertemu, namun perubahan itu terhenti akibat pertarungan kuasa yang memuncak, dan akibatnya beliau terlepas peluang memupuk keyakinan rakyat dengan melantik ahli politik yang dipertikaikan ke jawatan menteri.

“Apa bagusnya (pada peringkat permulaan)? Optiknya kerajaan dipimpin beliau serius melakukan kerja dan apa sepatutnya sebagai ketua untuk membuat jajaran dengan anggota Parlimen pembangkang.

“Namun selepas pertemuan itu, diumumkan kabinet. Rakyat tengok kabinet yang sama. Jumlah kabinet pun sama. Ada sedikit adjusment, kemudian dilantik Mahiaddin Yassin sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN). Bagaimana kita nak jangkakan keputusan berbeza (tidak gagal) bila kita buat perkara yang sama?

“Di sini dia telah hilang peluang. Sebab itu dia kena tampung dengan pengumuman yang bersifat populis. Saya tegaskan beliau sepatutnya mengambil peluang dengan mencorakkan keadaan negara pasca pandemik Covid.

“Sepatutnya kestabilan politik diutamakan kalau beliau mempunyai azam politik untuk memberikan pembangunan ekonomi kepada mereka yang dibuang kerja dan sebagainya.

“Saya percaya beliau akan mendapat sokongan lebih baik daripada pengumuman bersifat tempelan (7 perkara). Kita masih lagi tak boleh jangka sejauh mana hal (pembaharuan) itu dilakukan. Untuk ekonomi dan Covid nampaknya beliau telah terlepas (peluang),” katanya dalam forum maya, “Politikkopi: Perkembangan Seminggu”, malam tadi.

Bagaimanapun, Shamsul mengakui pembaharuan yang diumumkan PM Ismail tersebut baik untuk perkembangan demokrasi di Malaysia tetapi Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu mengingatkan sebagaimana dialog khusus dalam filem seniman agung P. Ramlee bahawa kebaikan berkemungkinan mempunyai makna lain di belakangnya.

“Dia umum undang-undang anti lompat parti, Undi 18, PM 10 tahun. Biarpun diakui sebagaiannya dari tuntutan reformasi sejak 1998 dan sewajarnya ini perkara baik yang diumumkan

“Namun dalam hal ini saya ingat kata-kata filem P. Ramlee, ‘baik ada makna’. Apakah setelah umum 7 tranformasi ini nanti diumum pula Najib sebagai penasihat ekonomi? Ini jadi masalah kepada negara.

“Sudahlah baru-baru ini diumumkan PM gagal sebagai pengerusi MPN. Jadi apakah kali ini tujuan yang ingin dibawa?” tanyanya.

Selain itu, Shamsul juga agak terkilan kerana PM mengumumkan pembaharuan 7 perkara tersebut ketika rundingan antara pihak Kerajaan dan Pembangkang masih berjalan berhubung isu berkenaan

Katanya, hal yang ditawarkan itu sebenarnya tidak jauh bezanya daripada tawaran Mahiaddin Yassin sebelum ini, cumanya pembangkang menolak ketika itu pentadbiran Mahiaddin telah sampai kepenghujungnya dan hanya kerajaan minioriti.

“Ada beza ketika Mahiaddin membuat hubungan dengan pembangkang dan Ismail berhubung dengan pembangkang?

“Ketika tawaran diberikan Mahiaddin, beliau telah minioriti tetapi Ismail (berhubung dengan pembangkang ketika) dia baru sahaja menjadi PM. Sudah tentu ada jangkaan rakyat bahawa mungkin akan ada perubahan.

“Dan perubahan itu ialah beliau menjemput Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu bertemu di Putrajaya,” ujarnya.

Menjawab soalan moderator mengenai usul Undi Percaya yang seakan-akan takut untuk dibentangkan di Dewan Rakyat, Shamsul bersetuju bahawa usul itu seharusnya disegerakan pada hari pertama sidang Parlimen 13 September ini.

“Apa salahnya PM datang pada Isnin nanti dengan memasukkan usul Undi Percaya. Kalau kita nak masuk usul Undi Tak Percaya sukar berlaku kerana urusan kerajaan lebih utama. Kerajaan perlu masukkan Undi Percaya.

“Sepatutnya dia mulakan (pentadbiran) dengan satu tindakan yang boleh diterima oleh rakyat.

“Bagi saya isu keabsahan ini akan terus menghantui. Pergawai kerajaan pun bingung nak bagi sokongan, nanti tukar balik (kerajaan jatuh sekali lagi),” katanya.

Sumber: https://www.suarakeadilan.my/post/pm-ismail-sabri-terlepas-peluang-bentuk-kerajaan-pembaharuan-terpaksa-umum-dasar-populis

‘Kalau dulu kabinet gagal, sekarang juga kerajaan gagal’ 

Pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) 2.0 biar pun dihiasi retorik kononnya ingin memulihkan negara, memulihkan sistem kehakiman atau memulihkan perjalanan Parlimen namun pada hakikatnya tidak lebih daripada ‘produk lama yang diberi pembungkus baharu’.

Menurut Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, kabinet baharu yang hampir 90% muka-muka kitar semula sudah pasti akan meneruskan kegagalan lama, berbanding menyumbang idea baharu bagi memulihkan negara.

“Pada saya tak boleh nak brain kata orang sekarang. Tak boleh nak faham apa ada dalam kepala Perdana Menteri (PM). Yang boleh saya simpulkan begini, kalau dalam jabatan kerajaan, (kitar semula ini) seperti tukar suka sama suka. Contoh nak tukar jadi cikgu di Kuala Krai dengan cikgu di Pengerang.

“Kabinetnya sama, kabinet dipilih Mahiaddin dulu, yang sama sekarang ini menganggotai kabinet Ismail Sabri. Ada sedikit adjusment tetapi tiada yang signifikan. Jawatan yang diangkat sebagai menteri kabinet itu jika orang lihat tidak mungkin mereka terfikir, ‘inilah yang kita mahu untuk pulihkan negara’.

“Menjadi lebih parah bila Mahiaddin dipilih sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN). Ini bagi saya tidak masuk akal dan tentunya dibahas dengan bersungguh-sungguh dalam Dewan Rakyat nanti untuk melihat di mana rasionalnya.

“Sebab apa yang berlaku ini boleh disimpulkan satu perkara, Ismail Sabri ingin sangat jadi PM, justeru berkompromi dengan apa sahaja diminta oleh Presiden Bersatu, termasuklah mengekalkan kabinetnya,” kata Shamsul dalam forum maya anjuran IDE bertajuk: “Sidang Parlimen 13/9/21: Ujian dan Cabaran Untuk Siapa?” semalam.

Oleh itu menurut beliau, usahlah rakyat mengharapkan yang terbaik daripada kabinet Ismail Sabri melainkan terus mengkritik bagi memastikan kegagalan era Mahiaddin Yassin berkurangan, dan tidak terlalu menjejaskan negara.

Malah, katanya, MPN yang dibentuk oleh kerajaan PN 2.0 ini pun belum tentu akan berjalan lancar kerana idea asalnya dikemukakan oleh Tun Mahathir dan idea tersebut tidak pernah dibentangkan secara menyeluruh kepada pentadbiran Ismail Sabri.

“Kalau dulu orang kata kabinet gagal, sekarang ini tentu akan gagal juga kerana orang yang sama. PM yang gagal dulu juga jadi pengerusi MPN. Majlis pemulihan ini untuk pulihkan negara, ini idea dari Tun Mahathir, dan diambil serta ditubuhkan jawatankuasa. Ini bukan asli dari kerajaan.

“Apa yang dilakukan ini tidak lebih sekadar kepentingan politik semata-mata. Hanyalah manoeuvre politik oleh Umno dan sekutunya. Menunjukkan lemahnya PM sekarang yang dikuasai sepenuhnya oleh Mahiaddin dan Bersatu,” katanya lagi.

Sumber: https://www.suarakeadilan.my/post/kalau-dulu-kabinet-gagal-sekarang-juga-kerajaan-gagal

Undi Percaya: Apa yang dibimbangkan PM Ismail Sabri jika ada 114 majoriti – Shamsul Iskandar

Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak perlu bimbang untuk membentangkan usul Undi Percaya di Parlimen ketika beliau dikatakan memilikki sokongan 114 kerusi.

Bagi Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, proses Undi Percaya mampu memberi keyakinan kepada rakyat mengenai majoriti yang dimiliki Ismail kerana mereka tidak melihat proses temuduga yang dijalankan pihak Istana Negara sebelum ini.

“Kalau PM merasakan beliau tidak ada masalah sokongan majoriti maka apalah yang hendak dibimbangkan membawa Undi Percaya. Seperti mana disebut ada 114, maka buktikan dalam dewan

“Sebab 114 itu dianggap Ahli Parlimen yang menyokong Ismail hadir ke istana. Kita difahamkan ada yang tidak hadir, sebahagiannya melalui zoom. Itu proses untuk Agong memuaskan hati Baginda bahawa Ismail mempunyai sokongan majoriti, namun itu bukan menjadi tatapan rakyat. Rakyat tak dapat akses perkara ini.

“Rakyat tahu Tuanku panggil, apa berlaku dalam istana rakyat tidak tahu. Namun yang ingin kita lakukan (Undi Percaya) ialah demokrasi berparlimen. Agong menunjukkan kebijaksanaan Baginda meminta pergi ke dewan bentangkan dan tunjuk sokongan majoriti,” katanya dalam forum maya anjuran IDE bertajuk: “Sidang Parlimen 13/9/21: Ujian dan Cabaran Untuk Siapa?” semalam.

Menurut Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu lagi, proses Undi Percaya adalah sesuatu yang perlu dilakukan kerana telah ada duluan oleh dua PM yang lepas.

Apatah lagi, katanya, kali ini telah dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan dianggap tidak wajar hal itu didiamkan begitu sahaja.

“Kalau nak kata tak ada dalam Perlembagaan, tidak penting, bagi saya tindakan duluan pernah ada. Maknanya bukan satu perkara yang pelik untuk melakukan Undi Percaya di dalam dewan.

“Apabila kita melakukan prosiding (usul Undi Percaya) ini maka direkodkan dalam hansard dan boleh dirujuk oleh generasi akan datang kalau timbul isu seperti ini pada masa akan datang,” katanya.

Mengenai spekulasi Yang di-Pertuan Agong bersetuju bahawa Undi Percaya tidak perlu dilakukan, Shamsul berkata hal berkenaan tidak timbul kerana arahan melakukannya dibuat secara kenyataan rasmi, oleh itu sekiranya tidak perlu dibuat maka istana perlu mengeluarkan kenyataan seperti itu.

“Walaupun ada laporan menteri menjaga undang-undang berkata Tuanku kata tidak perlu dan sebagainya, setakat ini saya tidak baca kenyataan media dari istana. Pada saya itu pendapat beliau (menteri).

“Untuk itu wajar PM bawa isu Undi Percaya ini dengan serius. Saya sebagai pembangkang akan terus mengasak PM untuk membuktikan keabsahan beliau.

“Politik negara mesti dilihat kukuh. Itu hanya boleh berlaku jika Undi Percaya dibawa ke Dewan Rakyat. Jika dapat 114 atau 113 sokongan maka teruskan sebagai PM. Jika dapat 109 maka berhentilah sebagai PM,” katanya lagi.

Sumber: https://www.suarakeadilan.my/post/undi-percaya-apa-yang-dibimbangkan-pm-ismail-sabri-jika-ada-114-majoriti-shamsul