#BERSIH: Ambiga isytihar BERSIH 3.0 berjaya, 300,000 hadir


Dari: Malaysiakini

29 April 2012

Ambiga isytihar BERSIH 3.0 berjaya, 300,000 hadir

Gabungan menuntut pilihan raya bersih dan adil (BERSIH) berkata perhimpunan mereka berjaya dan mendakwa 300,000 rakyat Malaysia turun menyertai BERSIH 3.0 menuntut reformasi pilihan raya.

NONE“Dalam erti kata tersebut, ia adalah satu kejayaan,” kata pengerusi bersama BERSIH, Datuk S Ambiga dalam sidang media selepas perhimpunan tersebut.

“Suasana yang hebat dan bilangan yang ada di situ – ia amat besar.”

 “Kami merasakan bahawa ia adalah satu kejayaan kerana terdapat sokongan yang begitu banyak untuk tujuan ini dan segala-galanya berjalan dengan baik (sehinggakan) kami memberi arahan supaya bersurai dengan cepat, pada jam 2.30 petang, kerana semasa kita sampai ke Dataran (Merdeka), amat sukar bagi orang ramai untuk duduk,” kata Ambiga.

“Bagi orang yang hadir, mereka berkelakuan baik bagi sejumlah seramai itu,” katanya

NONEBeliau melahirkan rasa kesal atas kekecohan yang berlaku selepas
sebahagian daripada penghalang yang menutup Dataran Merdeka dirempuh, dan berkata ia “amat menyedihkan”.

Beliau juga memandang berat laporan bahawa penyokong dan anggota polis yang bertugas cedera dalam kekecohan tersebut, dan menegaskan bahawa jawatankuasa pemandu akan bekerjasama sepenuhnya dengan polis dalam menjalankan siasatan mereka.
   
Bagaimanapun, kerana beliau tidak ada fakta yang tepat mengenai kejadian itu, maka Ambiga berkata, BERSIH akan memanggil satu sidang akhbar minggu depan berhubung butir-butir lanjut mengenainya.


— Malaysiakini

Nafi Sahaja Tidak Cukup


Kenyataan Media
Parti KeADILan Rakyat (PKR)

14 Mac 2012

Kenyataan Penafian Tidak Menjernihkan Pelbagai Persoalan Mengenai Integriti Dan Ketelusan Perdana Menteri

Saya memandang serius kenyataan-kenyataan penafian yang dibuat tanpa disertakan bukti berhubung dakwaan salah guna kuasa Perdana Menteri yang ditimbulkan mutakhir ini. Walaupun saya mengalu-alukan kenyataan yang dibuat oleh Shangrila Hotel, ada dua aspek yang mempersoalkan ketelusan Perdana Menteri dalam berdepan dengan rakyat:

1.Sehingga sekarang, tidak ada sebarang maklumbalas dari Perdana Menteri mengenai 8 bukti yang sewajarnya diberikan kepada rakyat agar sebarang keraguan dapat dirungkai secepat mungkin, seperti yang disyorkan KEADILAN; dan

2.Perdana Menteri seolah-olah merasakan kenyataan penafian oleh pejabat beliau dan Shangrila Hotel sudah memadai untuk memadamkan isu ini.

Persoalan yang dibawa bukanlah semata-mata siapa yang menanggung kos majlis pertunangan tersebut, tetapi ketelusan dan operasi Pejabat Perdana Menteri yang sewajarnya mengasingkan di antara kepentingan peribadi dan tugasan umum. Perdana Menteri menjanjikan transformasi politik, ekonomi dan sosial sebagai jawapan kepada tuntutan rakyat agar rasuah dan salahguna kuasa pimpinan diperangi sehabis-habisnya; maka Perdana Menteri perlulah memberikan teladan yang baik bahawa segala urusan Pejabat Perdana Menteri bebas dari sebarang unsur salah guna kuasa dan pecah amanah.

Ini adalah piawaian integriti baru yang dituntut rakyat Malaysia. Mungkin Perdana Menteri merasakan isu ini remeh, tetapi sikap Perdana Menteri menangani isu ini membayangkan sama ada beliau betul-betul ikhlas dalam menjalankan transformasi politik, ekonomi dan sosial negara.

Sebab itu KEADILAN berpendapat masih banyak persoalan yang belum dijawab dalam hal ini, terutamanya apabila dibandingkan dengan satu lagi majlis peribadi yang menggunapakai khidmat Shangrila Hotel.

Pada hari Ahad 24 Julai 2011, Perdana Menteri telah mengadakan satu jamuan meraikan hari lahir beliau di Sri Perdana. Banquet Event Order (BEO) majlis tersebut diedarkan bersama-sama dengan kenyataan akhbar ini.

Berdasarkan BEO tersebut, fakta-fakta berikut adalah tepat:

1.Tempahan turut dibuat oleh Pejabat Perdana Menteri, walaupun ia jelas adalah majlis peribadi Perdana Menteri;

2.Berbanding dengan majlis pertunangan anak beliau, majlis ini dengan jelas menyatakan bahawa ia majlis peribadi Perdana Menteri. Ini menimbulkan persoalan kenapa majlis pertunangan anak Perdana Menteri tidak dinyatakan secara jelas sebagai majlis peribadi, sebaliknya disebut sebagai “majlis Pejabat Perdana Menteri”?

3.Perdana Menteri membelanjakan sekitar RM79,053 untuk satu majlis meraikan hari lahir beliau; pecahannya seperti berikut:

Buffet untuk 100 tetamu @ RM207 setiap seorang RM20,700

Band Syed Sobri @ RM7,300 + 6% cukai RM7,738

Band Batak @ RM5,000 + 6% cukai RM5,300

Minuman 5 gallons @ RM750 + 6% cukai RM795

Gubahan bunga @ RM30,000 + 6% cukai RM31,800

Ca pengendalian @ RM12,000 + 6% cukai RM12,720

JUMLAH RM79,053

4.Majlis tersebut menyajikan 47 juadah antarabangsa termasuklah daging panggang yang diimport dari New Zealand, makanan Jepun, makanan Barat dan lain-lain.

Oleh yang demikian, saya ingin mengajukan soalan-soalan berikut kepada Perdana Menteri jika beliau benar-benar telus dan ikhlas untuk menjadi teladan kepada seluruh rakyat Malaysia:

1.Bilakah beliau akan mengemukakan 8 bukti yang disyorkan KEADILAN agar nama beliau dapat dibersihkan?

2.Dalam masa lebih kurang satu bulan, Perdana Menteri membelanjakan setengah juta ringgit untuk dua majlis mewah di Sri Perdana. Jika beliau bertegas ini dibayar oleh beliau sendiri, bagaimanakah beliau mampu berbelanja sedemikian rupa sedangkan pendapatan Perdana Menteri tidaklah seberapa?

3.Jika perbelanjaan mewah ini ditanggung oleh rakan taulan yang memberi tajaan, siapakah mereka ini dan apakah bukti Perdana Menteri bahawa sumbangan kepada majlis peribadi tidak mempengaruhi apa-apa keputusan beliau selama ini?

4.Wajarkah Perdana Menteri berbelanja besar sebegini untuk majlis hari lahir beliau sedangkan beliau menyeru rakyat Malaysia mengamalkan sikap sederhana (wasatiyah) dan mengawal perbelanjaan dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini? Kos hampir RM800 setiap tetamu ini lebih mahal dari sumbangan BR1M sebanyak RM500 yang diberikan kepada rakyat.

Perdana Menteri boleh sahaja tidak mengendahkan soalan-soalan ini, tetapi dengan bertanyakan soalan sebeginilah rakyat dapat membongkar pelbagai penyelewengan yang berlaku di dalam pengurusan dana awam NFC sehinggakan Barisan Nasional terpaksa tunduk kepada tekanan rakyat.

Perdana Menteri membuat keputusan tidak menyambung tempoh perkhidmatan Dato’ Seri Shahrizat Jalil apabila persoalan moral bersabit integriti sebegini diajukan kepada Dato’ Seri Shahrizat Jalil.

Apabila soalan-soalan yang sama diajukan kepada beliau sekarang, wajarlah beliau juga membuat ‘pengorbanan’ seperti yang dilakukan oleh Dato’ Seri Shahrizat Jalil dengan menjawab satu persatu secara ikhlas dan telus, demi menjaga integriti kerajaan.


Mohd Rafizi Ramli
Pengarah Strategi KEADILAN

Ahli Parlimen BN Sabak Bernam Bersalah, Dihukum Penjara 6 Tahun dan Denda


Dari Malaysikini

1 Mac 2012

MP Sabak Bernam dihukum penjara 6 tahun, denda

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menjatuhkan hukuman enam tahun penjara dan denda RM400,000 terhadap anggota parlimen Sabak Bernam Abdul Rahman Bakri.

Wakil rakyat BN itu didapati bersalah atas lapan tuduhan berhubung kesalahan membuat tuntutan palsu berjumlah RM80,000.

Hakim Azhaniz Teh Azman menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM50,000 untuk setiap kesalahan.

NONEAbdul Rahman (foto) didapati bersalah melakukan perbuatan itu ketika menjadi ADUN Sungai Air Tawar, empat tahun lalu, lapor Bernama.

Abdul Rahman juga dihukum penjara setahun sekiranya gagal membayar denda bagi setiap pertuduhan yang dihadapinya mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama.

Hakim mengarahkan hukuman penjara itu berjalan serentak.

Abdul Rahman, 47, diperintah membela diri Jun tahun lepas atas tuduhan menggunakan dokumen peruntukan palsu iaitu Surat Adun mengandungi butiran bagi tuntutan program dan aktiviti yang tidak pernah dijalankan.

Tuntutan itu membabitkan pembelian hadiah, cendera mata dan jamuan Program Motivasi Pelajar Peringkat Dewan Undangan Negeri Sungai Air Tawar; Program Mesra Rakyat dan Hari Keluarga di Dewan Simpang 4 Bagan Nakhoda Omar (BNO); Program Forum Perdana Peringkat Mukim BNO; Program Mesra Rakyat dan Sambutan Maulud Nabi dan Program Mesra Rakyat Hari Keluarga Guru Kemas.

Semua tuntutan palsu itu membabitkan RM10,000 setiap satu.

Abdul Rahman didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Daerah Sabak Bernam antara 21 Jan dan 12 Feb, 2008.

Bagi setiap pertuduhan, beliau didakwa mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu di mahkamah sama, pembantu Abdul Rahman, Rosli Busro, 44, dikenakan hukuman sama iaitu penjara enam tahun dan denda RM400,000 kerana bersubahat dengannya untuk melakukan kesemua kesalahan itu.

Peguam Datuk Salehuddin Saidin yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon mahkamah supaya hukuman penjara dan denda ke atas anak guamnya ditangguhkan.

Azhaniz Teh kemudian membenarkan permohonan itu dan wang jaminan untuk Abdul Rahman semasa perbicaraan asal dinaikkan daripada RM30,000 kepada RM50,000 manakala Rosli dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM30,000.

Terdahulu dalam rayuan untuk mengurangkan hukuman, Salehuddin memohon mahkamah menggunakan budi bicara untuk menggunakan peruntukan Seksyen 294 Kanun Prosedur Jenayah ke atas anak guamnya atas alasan mereka tidak mempunyai niat langsung untuk menyeleweng peruntukan yang dituntut itu.

Salehuddin berkata mungkin terdapat kesilapan teknikal dalam cara kedua-dua tertuduh menuntut bayaran bagi program dan aktiviti berkenaan dari Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam.

Beliau berkata anak guamnya juga tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Ketua Unit Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abdul Razak Musa pula berkata mahkamah sepatutnya mengenakan hukuman setimpal ke atas kedua-dua tertuduh memandangkan kes yang dihadapi mereka melibatkan kepentingan awam.

Beliau berkata kedua-dua tertuduh menghasilkan resit palsu bagi tujuan membuat tuntutan bayaran bagi program yang tidak pernah dijalankan.

Seramai 39 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil memberikan keterangan sepanjang perbicaraan kes itu.


—Malaysiakini

Buka Pasaran di Singapura Tidak Masuk Akal – Keadilan


Dari: Malaysiakini

1 Mac 2012

NFC buka pasaran di S’pura ‘tak masuk akal’, kata PKR

Pengarah strategi PKR Rafizi Ramli hari ini membidas kenyataan “tidak masuk akal” oleh pengerusi National Feedlot Corporation (NFC) Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail berhubung tindakan syarikat berkenaan membuka pasaran di Singapura.

Rafizi berkata, NFC juga tidak berhak untuk bercakap mengenai pasaran baru di luar negara sedangkan pengeluaran daging oleh syarikat itu jauh meleset daripada sasaran.

“(Dr Mohamad Salleh) memberikan alasan bahawa pasaran Malaysia untuk membeli daging dari NFC terlalu kecil dan tidak dapat memenuhi pengeluaran NFC. Malah, beliau turut membayangkan hasrat NFC untuk membuka operasi di Indonesia dalam masa yang terdekat.

“Saya berasa kesal kerana alasan yang diberikan tidak dapat diterima akal oleh rakyat Malaysia. NFC sehingga sekarang masih gagal untuk mencapai sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan sebagai syarat untuk mendapatkan projek Pusat Fidlot Kebangsaan dan dana awam RM250 juta,” kata Rafizi dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau membuat perbandingan itu berdasarkan sasaran pengeluaran yang dinyatakan di laman web jabatan berkenaan.

Katanya, lagi pengeluaran syarikat tersebut pada 2010 hanya memenuhi 0.8 peratus daripada sasaran yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar pada 2009.

Kenyataan Rafizi itu timbul ekoran penjelasan dibuat Dr Mohamad Salleh berhubung dakwaan bahawa NFC memiliki satu pasaraya mewah di Singapura.

Dr Mohamad Salleh dilaporkan ini sebagai berkata, NFC membina pasaran di Singapura, dan juga di Indonesia, untuk menampung kemampuan pengeluaran dagingnya sebanyak 78,000 tan menjelang 2015.


—Malaysiakini

Bagaimana Wang KWSP Milik Rakyat Diselewang kerajaan Umno BN?


Sumber: Suara Keadilan

1 Mac 2012

Pengenalan KWSP:

KWSP adalah agensi kerajaan Malaysia di bawah Kemeterian Kewangan.

Ditubuh secara rasmi di bawah enakmen Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991 (Akta 452)

Berfungsi menguruskan:
i) pelan simpanan wajib
ii) pelan pesaraan untuk mereka yang bekerja di Malaysia.

Keahlian adalah wajib bagi warganegara Malaysia atau bukan warganegara yang merupakan penduduk tetap.

Sehingga akhir tahun 2010, KWSP tersenarai sebagai antara 10 pengurusan dana pencen terbesar di dunia dengan aset sebanyak USD 145.57 billion

Antara penyelewengan wang KWSP oleh kerajaan Umno BN:

2012:

RM 1.5 billion wang KWSP biayai peminjam bermasalah:

-Kerajaan menggunakan RM 1.5 billion daripada dana KWSP untuk membantu peminjam bermasalah yang ingin memeiliki rumah kos rendah di WP Kuala Lumpur
-Kerajaan dilaporkan meminjam wang dari KWSP pada kadar 5.5% dan mengenakan bunga sebanyak 6.5% kepada yang ingin meminjam daripada kerajaan.
-Ia dikritik ramai pertama kerana langkah itu menambah jumlah hutang kerajaan Umno BN yang sedia ada.
-Kerajaan Umno BN juga dikritik kerana mengenakan caj sebanyak 1% kepada mereka yang meminjam
-Naib Presiden KEADILAN, YB Nurul Izzah, MP Petaling Jaya Utara, YB Tony Pua mencadangkan agar Bank Rakyat dan Malaysia Building Society Bhd mengambil alih tanggungjawab itu.

2011:

KWSP pemberi pinjama terbesaar kepada Kerajaan Persekutuan Umno BN:

-menurut statistik Anggaran Pembelanjaan Persekutuan 2011, KWSP adalah peminjam terbesar kepada Kerajaan Persekutuan apabila meminjamkan RM 56.59 billion kepada Kerajaan Persekutuan Umno BN dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC)
-Badan-badan ini pula masih lagi berhutang sebanyak RM 48.36 billion KWSP
-Pada masa sama, KWSP juga melabur RM93.11 billion keatas bon kerajaan Umno BN.
-Jumlah kedua-dua angka ini meliputi 40% dariada dana yang ada dalam KWSP
-Atau dengan bahasa mudah, KWSP menggunakan 40% WANG RAKYAT MALAYSIA untuk dipinjamkan pada kerajaan Umno BN.

2011:

RM 50 billion dipinjamkan KWSP tanpa sebaarang jaminan:

-Laporan Ketua Audit Negara 2011 mendedahkan KWSP meminjamkan RM 55.1 billion kepada 13 syarikat berkatian kerajaan (GLC) dan hanya 1 daripada 13 pinjaman itu mendapat jaminan kerajaan.
-Banyak pihak berpendapat pemberian pinjaman secara tidak berhemah itu menjadi punca pencarum KWSP menerima dividen yang agak rendah saban tahun.
-Pada 2011, KWSP mengumpul dana sejumlah RM 450.26 billion namun dividen yang diterima pencarum hanyalah 5% pada 2010.
-Sepatutna pengurusan dana sebesar itu boleh memberikan dividen lebih baik sebagaimana PNB yang berjaya memberi sekitar 7-8% setahun

2010:

KWSP meminjamkan RM 3 billion kepada Felda:

-Pada tahun 2010, KWSP meminjamkan RM 3 billion kepada Felda untuk melancarkan ‘Felda Global Venture’.
Sebelum ini Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan membuat pengakuan di dalam Dewan Rakyat bahawa rizab tunai Felda menjunam daripada RM 4.08 billion pada tahun 2044 kepada hanya RM 1.35 billion pada tahun 2009.

2002:

Kegagalan Skim Pengeluaran Pembelian Komputer KWSP:

-Pada tahun 2002, KWSP menggantung Skim Pengeluaran Pembelian Komputer (SPPK) selepas ia berjalan selama lebih lima bulan.
-Ia dibuat kerana KWSP mendapati kebanyakan mereka yang mengeluarkan duit untuk membeli komputer daripada skim itu menyalahgunakan dengan tidak membeli komputer.

1996:

Pinjaman RM 500 juta kepada TimeDotCom:

-Pada tahun 1996, Menteri Kewangan pada masa itu, Tun Daim Zainuddin mengaku bahawa KWSP memberikan pinjama sebanyak RM 500 juta kepada TimedotCom.
-TimedotCom adalah syarikat milik Tan Sri Halim Saad, tokoh korporat Melayu segera yang dilihat ramai sebagai rapat dengan mantan Perdana Menteri, Tun Dr mahathir sewaktu pentadbirannya.


— Team Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK) Malaysia

Sila Beri Kuasa Pendakwaan Pada SPRM – AMK


Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

29 Februari 2012

Beri Kuasa Pendakwaan Kepada SPRM

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) ingin memberikan pandangan mengenai beberapa isu bersabit bidang kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak pada Program Pegawai Integriti Bertauliah di Putrajaya 27 Februari 2012 yang lepas.

Pertama, merujuk kepada kenyataan Dato’ Sri Najib bahawa lebih kuasa akan diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika BN menang majoriti dua-pertiga dalam PRU-13. AMK mempersoalkan komitmen ini yang kelihatan sangat meragukan.

AMK sendiri sebelum ini, secara konsisten melakukan puluhan laporan kepada SPRM melibatkan pelbagai salah laku dan penyelewengan kuasa yang melibatkan politikus Umno-BN. Tetapi, tidak ada satu pun laporan beserta bukti kukuh yang dikemukakan oleh pihak AMK, diambil serius oleh pihak SPRM. Ini senario yang berlaku dalam keadaan Umno-BN sendiri sedang memerintah Malaysia dengan majoriti mudah di Parlimen. Justeru rakyat boleh membayangkan, sekiranya majoriti dua-pertiga diberikan kepada Umno-BN, apakah yang bakal terhasil?

Terbaharu, sekiranya benar agenda pembanterasan rasuah menjadi komitmen terpenting kerajaan, maka seharusnya dalam kes Pusat Fidlot Nasional (NFC), tindakan pendakwaan boleh diambil pada kadar segera dengan informasi yang dikira sangat mencukupi untuk menghadapkan pihak-pihak berkenaan ke muka pengadilan. Tetapi sehingga ke hari ini, tiada apa yang boleh dilihat. Malah Dato’ Sri Najib sendiri mempertahankan kredibiliti Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil yang terlibat secara tidak langsung dalam skandal NFC ini.

Komitmen Dato’ Sri Najib ini, sebenarnya memberikan satu petanda jelas, bahawa SPRM akan menjadi lebih mandul sekiranya BN terus diberikan mandat memerintah negara, baik melalui majoriti mudah mahupun majoriti selesa.

Kedua, mengenai persetujuan kerajaan agar SPRM mempunyai akses penuh kepada dokumen-dokumen pengisytiharan harta mana-mana anggota pentadbiran.

AMK secara prinsipnya menyambut baik pelaksanaan ini. Walaubagaimanapun, yang menimbulkan persoalan besar di sini ialah mengenai ketelusan pelaksanaan dan kuasa pendakwaan.

Dalam aspek ketelusan pelaksanaan, mengapakah tidak ada usaha oleh kerajaan untuk mencontohi Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang yang membuka akses pengisytiharan harta kepada awam, berbanding hanya menspesifikkan kepada SPRM semata-mata. AMK meragui hal ini kerana, laporan yang mempunyai bukti sahih pun tidak mendapat perhatian SPRM, inikan pula SPRM akan sanggup bertindak ke atas satu dokumen yang tidak diklasifikasikan sebagai dokumen awam dan terbuka.

Mungkin dalam hal ini, AMK tegas berpendapat, Dato’ Sri Najib wajar memulakan langkah untuk mengisytiharkan harta kepada khalayak terlebih dahulu, agar mudah menjadi ikut bagi anggota-anggota pentadbiran lainnya.

Dalam konteks kuasa pendakwaan, AMK berpandangan ia tidak seharusnya khusus kepada Peguam Negara semata-mata, sebaliknya, pindaan Rang Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2008 perlu dipinda agar kuasa pendakwaan diberikan sepenuhnya oleh SPRM. AMK yakin dan percaya, sekiranya ini dicadangkan, Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat akan menyatakan pendirian bersetuju dengan pindaan ini demi memastikan agenda membanteras rasuah dapat dilaksanakan dengan telus.

Tuntasnya, AMK melihat usaha membanteras rasuah di Malaysia harus mempunyai political will yang utuh dan nyata demi kemaslahatan rakyat Malaysia seluruhnya. Dan AMK percaya, dengan komitmen yang jelas, SPRM mampu memainkan peranan yang baik SEKIRANYA Umno-BN berjaya ditumbangkan dalam PRU-13 yang akan datang.


Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK) Malaysia

BN Sudah Mula Beli Undi


Dari Harakahdaily

Oleh: Subky Latif

26 Februari 2012

Beli undi sudah bermula

DI BAWAH Perdana-Perdana Menteri yang lalu membeli undi yakni rasuah politik berlaku semasa kempen pilihan raya, sesudah penamaan calon.

Yang turun membeli undi itu ialah penyokong-penyokong kuat calon.

Banyak mana pengundi dibayar bergantung kepada budi bicara kaki beli undi itu sendiri. Yang diberi lazimnya tidak sebesar yang diperuntukkan parti dan calon.

Kalau yang peruntukkan itu RM40, biasanya RM25 atau RM30 saja yang diberi. Lebihnya masuk poket tukang beli undi.

Baik ia diberi berterangan mahu pun secara sulit, ia dibuat di luar urusan kerajaan. Pandai-pandailah Perdana Menteri mencari duit yang hendak diagih itu.

Tetapi PRU yang hendak diadakan di bawah Perdana Menteri Najib ini, pembelian undi sudah dimulakan lama sebelum pembubaran Parlimen dan DUN-DUN. Dari duit kerajaan. Dimasukkan dalam bajet negara.

Atas nama membantu ketua keluarga yang berpendapatan kurang dari RM3,000 sebulan diberi RM500 seorang. Setakat ini untuk sekali ini saja.

Tahun akan datang, tidak diketahui, kerana Perdana Menteri Najib pun tidak tahu dia jadi Perdana Menetri lagi atau tidak selepas pilihan ini jika pilihan raya diadakan tahun ini.

Kalau PRU13 diadakan tahun 2013, mungkin bajetnya akan memperuntukkannya sekali lagi.

Beli undi dulu dibuat terhadap pengundi yang berdaftar saja. Orang yang ada dalam daftar pengundi saja yang didatangi kaki beli undi tidak kira pendapatan bulanan kurang dari yang sepatutnya atau tidak.

Bagi pengundi yang berduit, jika ditawarkan sikit, duit mereka banyak. Tak padan dengan duit yang banyak itu. Maka harganya sesuai dengan keadaannya.

Tetapi Perdana Menteri Najib ini cerdik orang. Dr. Mahathir dulu dikira cukup cerdik orangnya. Najib lebih cerdik.

Beli undi dengan tidak disedari termasuk dalam peruntukan kerajaan, dikira halal, dilaksanakan sebelum pembubaran Parlimen.

Secara rasmi pembayaran itu diadakan dalam majlis rasmi oleh orang-orang penting parti yang diadakan atas nama kerajaan.

Ia ada borang. Tentulah borang yang disediakan oleh kerajaan. Tetapi borang itu payah didapati dari jabatan kerajaan. Ia lebih senang didapati dari orang UMNO. Merekalah yang mengadihkannya.

Apabila orang UMNO yang mengedarkan borang, orang bukan UMNO kena jumpa ejen-ejen UMNO untuk mendapatkannya. Mana yang marahkan borang itu mudah didapati dari UMNO, tak mahu pergi minta borang itu. Tak dapatlah mereka.

Tetapi ramai juga yang tak sukakan UMNO itu hadir ke majlis penyampaian duit itu. Mereka terpaksalah mendengar kempen mengapa mereka mesti mengundi calon BN. Bukan sekadar membodek BN dan Perdana Menteri, kempen mestilah memburukkan lawan. Habis pembangkang digodam semahu-mahunya.

Kempen penyokong kerajaan biasanya tiada yang hendak mendengar. Kerana majlis itu hendak menyampai 500 ringgit kepada orang yang berpendapatan kurang dari RM3,000 sebulan penuhlah majlis itu. Bila mereka balik, mereka bercerita, di samping mengambil duit, mereka mendengar kempen UMNO.

Saya singgah minum kopi di gerai di Hutan Melintang. Orang di situ memberitahu, Menteri Zahid sendiri menyampaikan duit itu. Ramai orang datang. Khemah majlis itu saja RM70,000.

Kata mereka Zahid tidak mengata apa-apa pada pembangkang. Diberitahunya, terserah kepada semua parti apa mereka nak masuk. Mereka bebas. Cuma dalam pilihanraya undi beri kepadanya dan dua lagi calon BN bagi dua DUN di kawasan Bagan Datoh.

Saya kata pada mereka, Zahid cerdik macam Perdana Menterinya juga.

Tok Guru Mursyidul Am tidak kata banyak tentang duit itu. Beliau suruh sekalian ambil duit itu, undi jangan bagi pada mereka.

Apa pun ia boleh dikatakan satu pembelian undi berterangan dibuat lebih awal. Ia satu permulaan. Ia dikira halal dan berterangan. Mungkin ia seperti deposit dulu. Bila bubar Parlimen nanti ada lain pula.

Apa lagilah selepas penamaan calon dan menjelang hari mengundi. Ia seperti duit durian runtuh atau untung jerung bila kapal pecah.


—Harakahdaily

Umno Bertindak Ganas Pada Nurul Izzah


Dari MPP

27 Februari 2012

Nurul Izzah hampir kena tumbuk di Felda

Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar nyaris menjadi mangsa keganasan Umno.

“Budak-budak muda cuba pukul Nurul Izzah di ceramah kami di Felda Lepah Hilir. Saya dan Nurul Izzah diiringi polis keluar untuk elak samseng Umno,” katanya.

Menulis di twitter kira-kira jam 11 malam, Nik Nazmi menyifatkan keganasan samseng yang menghalang ceramah Pakatan membuktikan felda bukan lagi kubu kuat Umno BN.

Dalam reaksi awal, Nurul Izzah menyatakan syukur kerana selamat tetapi tidak gentar dengan kejadian itu, sekalipun berdepan gelagat liar samseng berkenaan.

“Bersyukur pulang dgn selamat. Moga teman-teman di Felda Lepar Hilir juga bertahan dan bersemangat walaupun samseng-samseng Umno berlagak liar, ugut fizikal.

“Tangan (penumbuk) hanya beberapa inci dari (wajah) saya ,” katanya di twitter jam 1 pagi ini.
Sehubungan itu, Nik Nazmi dan Nurul Izzah akan membuat laporan di balai polis Merchant Square berdekatan ibu pejabat KEADILAN jam 3 petang nanti.

Mengulas kejadian itu, Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat, Shamsul Iskandar Mat Akin melabel insiden itu sebagai budaya gangsterisme Umno.

Petang tadi, sekumpulan samseng Umno menaiki pentas acara Himpunan Hijau di Pulau Pinang dan menghambur kata-kata kesat terhadap ketua menteri, Lim Guan Eng.

Minggu lalu, kereta Datuk Seri Anwar Ibrahim dibaling batu dalam ceramah di parlimen Sembrong, menyebabkan cerminnya retak manakala bahagian sisi kenderaan kemek.

Ketua AMK Johor, Mohd Nazri Ismail cedera ketika cuba menghalang samseng upahan Umno dari menghampiri Ketua Pembangkang.


http://mediapermatangpauh.blogspot.com/

Sila Pertimbang Tuntutan CUEPACS dan PR – KEADILAN


Kenyataan Media
YB Nurul Izzah Anwar

23 Februari 2012

KEADILAN GESA KERAJAAN PERTIMBANG TUNTUTAN CUEPACS DAN PAKATAN RAKYAT

Parti Keadilan Rakyat terbuka dengan tuntutan terbaru CUEPACS agar kerajaan memberi kenaikan gaji antara RM700 hingga RM2500 untuk pekerja-pekerja di dalam perkhidmatan awam gred 1 hingga gred 54 menerusi skim yang sedia ada sebelum melaksanakan sebarang pembaharuan menerusi Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Di dalam Belanjawan Alternatif Pakatan Rakyat 2012 yang dibentangkan sebelum Bajet 2012 Kerajaan Persekutuan, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi komitmen bahawa sekiranya Pakatan Rakyat memegang tampuk kerajaan pusat, gaji minima pada kadar RM1,100 akan dikuatkuasakan buat penjawat awam. Ini akan memberi manfaat kepada kira-kira 300,000 penjawat awam yang masih menerima gaji di bawah kadar tersebut di bawah skim saraan sedia ada.

Pakatan Rakyat juga komited untuk menyelaraskan tangga gaji perkhidmatan awam secara lebih saksama berikutan pengenalan gaji minima tersebut, selain insentif khas RM500 sebulan bagi setiap guru sebagaimana dijanjikan di dalam Buku Jingga.

Ini berbeza dengan syor awal SBPA yang dibentangkan kerajaan di mana seorang penjawat tertinggi kerajaan di dalam kategori Premier akan menerima sehingga RM80,000 sebulan sedangkan kenaikan pemandu serendah RM1.70 sebulan.

Mengikut maklumat dari laporan 2006 United Nations (UN) Public Administration Network Public Service, Malaysia mempunyai nisbah jurang gaji antara yang tertinggi dan terendah yang paling tinggi berbanding negara-negara jiran, iaitu sekitar 19.5:1. Ini bermakna gaji penjawat tertinggi adalah 19.5 kali lebih tinggi dari gaji pegawai kerajaan yang terendah. Oleh itu, KEADILAN menyeru agar jurang nisbah gaji di antara yang tertinggi dan terendah dirapatkan, dan bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak untuk merealisasikan visi ini.

KEADILAN turut menyarankan agar semakan gaji dimandatkan supaya dibuat setiap 5 tahun, agar kenaikan yang selaras dengan inflasi akan dapat dilaksana dengan lebih mudah dan adil.

Justeru KEADILAN menggesa Perdana Menteri untuk mengkaji syor terbaru yang dibentangkan CUEPACS serta saranan Pakatan Rakyat sebelum ini demi membela nasib penjawat awam.


NURUL IZZAH ANWAR
NAIB PRESIDEN PARTI KEADILAN RAKYAT

Penyenaraian FGVH bahaya kepada peneroka – Ku Li


Dari Harakahdaily

22 Februari 2012

Penyenaraian FGVH bahaya kepada peneroka – Ku Li

KUALA LUMPUR, 22 Feb: Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah berpendapat usaha kerajaan untuk menyenaraikan Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH) ke Bursa Malaysia sesuatu yang bahaya kepada masa depan peneroka.

Ahli Parlimen Gua Musang itu yang ditemui Harakahdaily semalam berkata, beliau diberitahu banyak pihak bahawa apabila disenaraikan, bererti pemilikan harta khususnya tanah peneroka akan terdedah kepada pasaran terbuka.

Apabila terdedah di pasaran terbuka katanya, sesiapa sahaja termasuk pihak asing boleh datang untuk membeli saham tersebut dengan berapa harga sekalipun sekiranya mereka mampu.

Ianya akan menyebabkan peneroka bakal berdepan resiko kehilangan aset tanah-tanah mereka sekiranya pemegang saham menjual pegangan mereka.

“Kalau harga melonjak naik, pemegang saham nak rasa keuntungan, sudah tentu dia akan jual (kepada pihak lain)… bodoh la kalau tak jual untuk ambik kesempatan keuntungan.

“Akhirnya tanah yang kita miliki dahulu sudah hilang kerana orang lain sudah memiliki saham yang mempunyai hak ke atas tanah milik kita dahulu. Itu suatu yang bahaya!,” katanya yang lebih mesra dengan panggilan Ku Li.

Difahamkan, menurut pelan penyenaraian yang dijadual Mei ini, sebanyak 360,000 hektar tanah Felda Palantation dipajak kepada FGVH selama 99 tahun.

Selain kebimbangan hilang hak milik tanah, turut difahamkan Felda juga dijangka akan mengalami defisit tahunan sebanyak RM1.5 bilion apabila menyerahkan tanah kepada FGVH.

Malah, mengulas lanjut, Ku Li yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, jika nasib mereka tidak baik, peneroka mungkin akan diusir dari tanah yang mereka diami dan usahakan selama ini.

“Ini mati hidup peneroka ke atas tanah yang mereka telah usahakan selama ini. Kalau tanah itu dijual oleh kerana saham dijual, maka kita tak ada lagi hubungan dengan tanah itu malah tak ada hak pun nak duduk di situ.

“Saya tak tahu kerajaan ada cara lain untuk menjamin hak peneroka supaya kekal, tetapi saya tak nampak,” katanya yang juga presiden NGO Amanah.


—Harakahdaily