Pendedahan Deepak: AMK (@AngkatanMuda) Desak Siasatan Dari Polis


Dari Malaysiakini

19 Disember 2012

AMK buat laporan desak polis siasat pendedahan Deepak

Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini membuat laporan meminta polis menyiasat pendedahan ahli perniagaan Deepak Jaikishan berhubung penyediaan akuan bersumpah (SD) kedua penyiasat persendirian P Balasubramaniam.

Laporan itu dibuat oleh Ketua AMK Shamsul Iskandar Md Akin di ibupejabat polis Petaling Jaya pada jam 12.07 pagi ini.

NONELaporan itu dibuat berdasarkan pendedahan Deepak yang diterbitkan oleh portal Harakahdaily (edisi video) dan Keadilan Daily pada 12 Disember lalu.

Dalam laporan polis itu, Shamsul berkata, Deepak menceritakan latarbelakang penyediaan SD kedua itu secara terperinci yang didakwanya mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, isterinya Rosmah Mansor dan seorang peguam yang namanya tidak dinyatakan.

Dalam laporan polis itu juga, Shamsul juga berkata, Deepak mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lebih berminat untuk menutup kes tersebut selepas pendedahan SD itu.

Sehubungan itu, kata Shamsul, hal demikian menimbulkan persoalan antaranya apakah kepentingan Najib dan Rosmah yang didakwa memanggil Deepak – sepertimana yang didakwa oleh peniaga permaidani itu – pada hari Balasubramaniam mendedahkan SD pertamanya.

Sehubungan itu, Shamsul mendesak supaya siasatan kes pembunuhan wanita Mongolia itu dibuka semula.


— Malaysiakini

______________________________________________________________________


Dari KeadilanDaily

19 Disember 2012

Pendedahan Deepak: AMK lapor polis mahu Rosmah disiasat

(Oleh Aisha Geoffrey)

PETALING JAYA 19 Dis: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) hari ini membuat laporan polis terhadap isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berhubung pendedahan oleh ahli perniagaan, Deepak Jaikishan baru-baru ini.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya kira-kira 11.30 pagi tadi oleh Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin, ditemani Timbalannya, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin serta beberapa anggota.

Ia ekoran pendedahan Deepak 12 Disember lalu yang menceritakan secara teliti latar belakang akuan bersumpah kedua oleh penyiasat persendirian, P Balasubramaniam berkaitan siasatan terhadap pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shariibuu.

Deepak sebelum ini diketahui rapat dengan Rosmah yang disifatkan sebagai seorang kakak menyatakan, Datuk Seri Najib Razak turut terlibat dalam proses penyediaan akuan tersebut, dan ia adalah atas permintaan Rosmah.

Shamsul berkata, pendedahan itu menimbulkan beberapa soalan yang memerlukan siasatan polis.

“Apakah kepentingan Najib dan Rosmah dalam pembunuhan Altantuya sehingga mengarahkan Deepak agar memastikan pengeluaran akuan bersumpah kedua tersebut berlaku? Apakah penglibatan mereka?” soal Shamsul pada sidang media sebelum membuat laporan.

Menurut Deepak, Balasubramaniam menyatakan beliau dan keluarga diugut untuk membolehkannya membuat akuan bersumpah kedua tersebut.

“Sekiranya perkara ini benar, apakah peranan Najib, Rosmah dan adik Perdana Menteri, Nazim Razak dalam ugutan itu? Apa yang mereka mahu selindungi?” soal Shamsul lagi.

Sedangkan, Balasubramaniam turut menegaskan, hanya akuan bersumpah pertamanya yang sah.

Justeru katanya, ia turut menimbulkan persoalan apakah Najib tidak memberitahu perkara sebenar apabila beliau bersumpah tidak pernah bertemu Altantuya.

Siapa pula yang mengarahkan Altantuya dibunuh oleh pegawai Unit Tindakan Khas (UTK), Koperal Sirul Azhar Omara dan Cif Inspektor Azilah Hadri kerana ternyata mereka dijadikan ‘kambing hitam’, kata Shamsul.

“Deepak turut memberitahu, SPRM lebih berminat untuk menutup kes tersebut sebelum ini, Jadi apakah benar SPRM menutup siasatan kes tersebut?” sambungnya.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan, AMK akan melancarkan 50,000 keping poskad ‘Tanya Sama Rosmah’ di program Himpunan Suara Anak Muda dekat Dataran Anak Muda, Petaling Jaya Selatan, 9 malam esok.

“Kita akan edarkan poskad mengandungi tiga soalan yang hanya Rosmah mampu jawab. Poskad tersebut akan diedarkan ke seluruh negara dan dialamatkan kepada Rosmah.

“Rakyat di Sabah dan Sarawak pun berpeluang mendapat penjelasan dari isteri Perdana Menteri itu,” jelas Shamsul.


— KeadilanDaily

KEADILAN: Pemimpin Muda Sandaran Untuk Memenangi PRU 13


Dari The Malaysian Insider

16 Disember 2012

PKR sandarkan kepada pemimpin muda untuk memenangi PRU 13

PETALING JAYA, 17 Dis — Pemimpin muda akan disenaraikan sekurang-kurangnya 35 peratus daripada senarai calon PKR bagi pilihan raya umum (PRU) akan datang sebagai langkah agresif parti tersebut untuk mengalahkan Barisan Nasional (BN) dalam perlawanan penting merebut undi golongan muda, kata setiausaha agung Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Dengan PRU 13 perlu diadakan selewat-lewatnya Jun depan, tumpuan kepada demografi ini semakin meningkat, yang dikatakan berjumlah 60 peratus daripada 13 juta pengundi.

Dalam temuramah eksklusif bersama The Malaysian Insider, Saifuddin memberitahu parti tersebut mengiktiraf kepetingan undi golongan muda dan bakal meletakkan calon dari sektor tersebut paling ramai berbanding rakan Pakatan Rakyat (PR) PAS dan DAP dalam pilihan raya akan datang.

“Atas sebab yang paling mudah, satu sebabnya kerana 20 peratus daripada 12.9 juta pemilih yang akan mengundi pada pilihan raya kali ini adalah merupakan pengundi baru, first timer (pengundi kali pertama) yang pertama kali akan tengok kertas undi.

“Tapi kalau kita ambik cut-off 35 tahun ke bawah, peratusan tu jauh lebih besar, jadi yang boleh memahami citarasa anak muda, kehendak golongan muda, sudah tentulah parti Keadilan kena respon kepada perubahan ini,” kata Saifuddin.

Ahli parlimen Machang itu menjelaskan, PKR sudah mula membariskan kepimpinan muda sebagai calon pilihan raya semenjak pilihan raya 2008 lagi.

Ramai daripada kepimpinan muda ini sudah berada di arus perdana, tambah beliau.

“Misalnya, Nurul Izzah (Anwar), Yusmadi (Yusoff), Amiruddin Shari, Suhaimi (Shafie), Gan Pei Nei, Chang Lih Kang, Chan Ming Kai, S Kesavan, ini menyebut beberapa lama.

“Yang sedang menunggu giliran ini termasuklah saudara Rafizi (Ramli), Shamsul Iskandar dan ramai lagi,” tambah beliau.

Kata beliau PKR, adalah sebuah parti yang sangat akomodatif, menawarkan peluang sama rata kepada setiap segmen komuniti dan kumpulan umur yang ada dalam parti tersebut.

“Sama ada ianya NGO, student leader (pemimpin mahasiswa), pimpinan muda, profesional, pemimpin akar umbi, pesara kerajaan, ini semua selain daripada pemegang jawatan dalam parti, pilihan raya kali ini kami akan menampilkan calon-calon yang dianggap mewakili seluruh segmen masyarakat ini,” terang Saifuddin.

Selain diletakkan sebagai calon, PKR juga akan menggunakan anak-anak muda untuk menggepalai beberapa jentera parti tersebut untuk memenangi PRU 13 sepertimana dilakukan parti AK di Turki yang meletakkan anak-anak muda untuk mengetuai jentera strategik dan media baru untuk memantapkan lagi penguasaan di internet.

“Dan dalam engagement saya dengan mereka (parti AK) itu, saya dapati juga keadaan itu boleh kita apply (laksanakan) dalam konteks Malaysia kerana anak muda ini, dia tidak berminat lagi dengan media tradisi ini, bahkan media parti pun dia dah tak berapa minat dah.

Sebagai respon kepada ini, parti Keadilan juga merekrut aktivis anak muda khusus untuk menangani kempen media baru ini sahaja.

“Masih di bawah saudara Nik Nazmi (Nik Ahmad), tetapi rekrut baru yang kita buat termasuk saudara Praba Ganesan, Sim (Tze Tzin) dan ada lagi beberapa recruitment terus kepada pejabat Ketua Pembangkang.

“Beberapa aktivis mahasiswa yang diberikan tugas khusus untuk kendalikan ahl ehwal yang berkaitan dengan kempen parti dalam menggunakan instrumen media baru,” katanya.

Perlumbaan untuk golongan muda dan undi golongan pertengahan dijangka sengit diantara BN yang memerintah dan pembangkang persekutuan oleh kerana lebih 80 peratus daripada 29 juta penduduk Malaysia adalah 45 tahun dan ke bawah manakala sekurang-kurangnya separuh daripadanya berusia di bawah 25 tahun.

Datuk Seri Najib Razak mempersiapkan tenteranya dalam BN dan semasa perhimpunan agung Umno bulan lepas, perdana menteri menghantar satu mesej yang jelas kepada ahli-ahli parti untuk menangani demografi utama ini bagi menjamin penguasaan mereka ke atas Putrajaya.

Dalam ucapan perasmian beliau di perhimpunan itu, presiden Umno mengetuai beribu-ribu ahli berikrar untuk melakukan segala-galanya dengan kuasa yang mereka ada untuk memenangi hati dan minda rakyat Malaysia.

Beliau menegaskan bahawa pengundi hari ini adalah jauh lebih muda daripada sebelum ini, dan bijak “kerana dapat membezakan antara apa yang sebenar dan apa yang tidak”.

Pengerusi BN juga memberi amaran kepada pemimpin-pemimpin parti secara tertutup agar tidak terlalu bergantung kepada pengundi luar bandar, pengundi etnik Melayu dan bergerak ke golongan pertengahan, memberi amaran mereka boleh mengulangi calon presiden Amerika Syarikat Mitt Romney jika mereka berhenti di atas kejayaan.

Beberapa hari kebelakangan ini, DAP sekutu PKR telah juga menghantar mesej yang sama kepada ahli-ahlinya.

Dalam artikel untuk The New York Times / International Herald Tribune Sabtu lepas, Najib menggesa negara-negara Islam agar memahami dengan baik kehendak golongan muda dengan cara mengambil tahu dan mengerti perubahan demografi dan teknologi yang menyelubungi dan menjejaskan kehidupan mereka.

Beliau berkata dunia Islam sedang mengalami “kebanjiran golongan muda”. Pada 2010, golongan di bawah umur 30 adalah kira-kira 60 peratus populasi di negara-negara yang majoriti penduduknya Islam kata Najib dalam artikel beliau bertajuk ‘The Challenge of Muslim Youth’ (Cabaran Belia Islam).

“Kebanjiran golongan belia telah memperkenalkan tenaga pendam kepada ekonomi dan masyarakat sesebuah negara. Jika dibiarkan, ia boleh menjadi tenaga penyahstabilan.”

Najib berkata dunia hari ini banyak berbeza daripada 21 tahun dahulu akibat daripada teknologi yang berkembang.

“Era maklumat mempunyai generasinya sendiri, golongan pengguna digital — mereka yang hanya bergantung kepada dunia siber untuk berhubung. Mereka mengharapkan maklumat adalah bebas, demokrasi menjadi responsif, komunikasi menjadi global. Mereka mahukan peranan aktif dalam ekonomi digital.

“Diperkasakan oleh teknologi, golongan muda boleh melahirkan kekecewaan mereka kepada audien global. Ini mempunyai implikasi besar: kemunculan kesedaran baru mengenai politik antarabangsa,” tulis Najib dalam artikel tersebut.


— The Malaysian Insider

Demo Baling 1974: Simbol kebangkitan rakyat


Oleh:
Mohd Saifullah Mohd Zulkifli

13 Disember 2012

Demo Baling 1974: Simbol kebangkitan rakyat

Sempena penganjuran Syarahan Demonstrasi Baling anjuran Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada 10 Disember lalu, saya ingin ungkapkan semula gelombang kebangkitan rakyat yang dipimpin oleh golongan tani dan mahasiswa.

Gerakan mahasiswa yang ditonjolkan oleh generasi 60-an dan 70-an merupakan satu gelombang yang lahir dari hati nurani generasi muda bagi memperjuangkan nasib rakyat dari ditekan oleh pemerintah.

Dalam melihat hal ini, saya suka merujuk kepada sebuah buku lama yang diterbitkan pada 1969 oleh Prof Faeur dari Universiti Toronto dalam bukunya The Conflict of Generation – The Character and Significant of the Student Movement, menyatakan bahawa protes dan bantahan yang ditunjukkan oleh mahasiswa adalah hasil daripada konflik antara generasi.

Konflik antara generasi baru dan generasi lama, disebabkan oleh kerosakan bermoral, peradaban yang rosak dan lapuk, penyalahgunaan kuasa, serta tidanakan tidak bertanggungjawab dan penindasan.

Konflik antara generasi yang dicetuskan oleh penindasan adalah faktor utama kebangkitan rakyat untuk nyatakan hak. Peranan mahasiswa dalam kebangkitan rakyat jelas terpancar, ditambahkan lagi puisi yang dinukilkan oleh Usman Awang pada 1967:

Dengan buku di tangan kau nyayikan lagu itu
Meresap pada jantung bangsa
Lagu daerah Teluk Gong

Dari ruang sudut pidato
Pecahlah kaca menara gading
Dengan berani berteriak
Untuk petani-petani yang tertindas

Lihat pancar mata ayah mu di desa
Lihat senyum ibu mu di kampung
Kebanggaan bahawa kau anak mereka

Sajak ini yang dinukilkan oleh Usman sebagai tanda hormat dan penghargaan beliau kepada mahasiswa yang pada ketika itu memperjuangkan isu Telok Gong.

Tragedi yang sama juga berulang lagi tujuh tahun selepas itu, yang mana selepas pilihan raya 1974 negara digemparkan dengan kenaikan harga barang dan kejatuhan ekonomi termasuklah kejatuhan harga getah.

Pada masa itu juga timbul laporan yang mendakwa rakyat Kedah mengalami kebuluran sehingga ada di kalangan masyarakat itu didakwa terpaksa makan sejenis ubi kayu gadum yang mengandungi racun.

Keadaan itu didakwa menyebabkan berlakunya kes kematian, yang dinafikan pihak kerajaan.

Susulan daripada itu, Malaysia menyaksikan kebangkitan besar-besaran mahasiswa pascamerdeka menyatakan pandangan dan bantahan ke atas apa yang telah berlaku. Dalam sejarah gerakan mahasiswa, ini adalah merupakan gerakan terbesar yang pernah dicatatkan, dengan melibatkan hampir 10,000 orang mahasiswa.

Hampir 2,000 orang mahasiswa ditangkap, dan tempoh penahanan ke atas sejumlah siswa bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) merupakan antara yang paling lama pernah dikenakan kepada golongan itu.

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu adalah presiden ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) telah ditahan selama dua tahun di bawah ISA dan Dr Syed Husin Ali selaku pensyarah Universiti Malaya yang ditahan di bawah ISA selama enam tahun.

Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) telah dirangka lebih awal iaitu pada 1971, tetapi peruntukan undang-undang dalam akta tersebut dikatakan tidak cukup ketat bagi mengekang gerakan mahasiswa pada ketika itu.

Demonstrasi Baling adalah merupakan alasan oleh pihak kerajaan untuk meminda akta tersebut pada 1975. Pada ketika ini, segala pertubuhan mahasiswa adalah berdaftar di bawah universiti dengan meletakkan kuasa mutlak kepada naib canselor dan menteri yang dipertanggungjawabkan.

Mahasiswa dilarang sama sekali untuk terlibat dengan politik dan pertubuhan luar. Ini adalah merupakan satu tragedi hitam dalam sejarah mahasiswa.

Saya juga ingin memetik beberapa catatan yang diterbitkan dalam Makalah Ar-Risalah 1975:

“Perhimpunan pelajar-pelajar tersebut telah disuraikan oleh FRU dengan tembakan gas pemedih mata. Pelajar-pelajar telah melarikan diri ke Masjid Negara tetapi FRU terus mengejar mereka. FRU telah mengepung 8,000 pelajar yang sedang berlindung di masjid serta melepaskan tembakan-tembakan gas pemedih mata kearahnya. Ketika berada di dalam masjid pelajar-pelajar tersebut telah melaung-laungkan kalimat ‘Allahuakbar’ dan beberapa kali mereka setelah mengalunkan azan. Sementara menunggu ketibaan waktu zohor mereka telah berzikir beramai-ramai selama kira-kira 20 minit. Setelah masuk waktu mereka telah menunaikan fardu Zohor secara berjemaah.

“Pihak FRU terus berusaha untuk memberkas pelajar-pelajar dan dalam operasi tersebut beberapa orang pelajar telah cedera. Akhirnya pihak FRU telah menangkap seramai 1,128 orang pelajar, termasuk 80 orang, pelajar wanita dan membawa mereka ke balai-balai polis Sentul, Brickfields dan Jalan Bandar. Pada sebelah malamnya mereka telah ditempatkan di Polis Depot Jalan Gurney. Pelajar-pelajar yang ditahan hanya diberi makan selepas 11.00 malam.

“Ketika berada dalam tahanan pelajar pelajar tersebut dikatakan telah azan pada tiap-tiap kali masuk waktu dan menunaikan sembahyang dengan berjemaah secara bergilir-gilir. Kesemua pelajar-pelajar yang ditahan telah dihadapkan ke mahkamah pada keesokan harinya. Kesemuanya telah tidak mengaku salah. Mereka telah dibebaskan dengan dibenarkan menjamin diri sendiri sebanyak antara $200.00 hingga $300.00 seorang. Mereka akan dibicarakan antara Februari hingga April tahun 1975. Tangkapan tersebut telah tidak dapat menahan pelajar-pelajar dari terus berdemonsttasi meskipun hanya terbatas di kampus-kampus sahaja, kerana dikawal ketat oleh FRU. Demo dalam kampus itu berjalan beberapa hari. Tindakan lanjut yang diambil oleh pemerintah ialah gerakan menangkap pemimpin-pemimpin pelajar, pensyarah-pensyarah dan pemimpin-pemimpin belia.

“Polis telah memasuki kampus Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan (Malaysia) pada pada 2.00 pagi hari Ahad 8hb Disember 1974. Polis telah menggeledah bilik-bilik asrama, pejabat-pejabat dan lain-lain bangunan universiti untuk mencari dan menangkap mahasiswa di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.”

Pengajaran besar yang harus diambil daripada Demonstrasi Baling selain daripada keberanian mahasiswa menjadi jurubicara rakyat adalah iktibar kepada isu yang diperjuangkan mahasiswa ketika itu tidak bersifat mementingkan diri yang berlegar di sekitar isu dalaman dan isu yang remeh temeh. Tuntutan yang dikemukakan adalah bersifat nasional menunjukkan kematangan mahasiswa di dalam berfikir.

Menghayati sejarah bererti bukan disimpan di dalam peti muzium untuk kenang-kenangan, tetapi sejarah adalah coretan pengalaman untuk membina sesuatu yang lebih baik pada masa akan datang. Mahasiswa seharusnya berasa jelek dengan perkataan “senyap”, atau bersikap apologetik dengan berdiam diri dan berpeluk tubuh melihat kecelakaan berlaku kepada rakyat.

Mahasiswa adalah kelompok terdidik dalam masyarakat punya idealisme dan aktivisme yang tinggi untuk menyatakan hati nurani majoriti yang ditindas dan dizalimi. Kronisme dan pembaziran wang ringgit negara untuk segolongan kecil dalam masyarakat tidak boleh ditolensi lagi.

Dalam aspek ini saya amat bersetuju dengan apa yang diungkapkan oleh Prof Diraja Ungku Aziz, kepimpinan akan lahir daripada mahasiswa yang terpelajar dan mencabar walaupun beliau sendiri terlibat dalam mengekang mahasiswa dalam peristiwa 3 Disember 1974.

Diakhir tulisan saya, saya ingin meninggalkan persoalan apakah yang bakal kita lakukan apabila harga barangan dan bebanan sara hidup yang makin tinggi?


Mohd Saifullah Mohd Zulkifli
Pengarah Biro Mahasiswa
Angkatan Muda KEADILAN (AMK ) Malaysia

Anwar Ibrahim Lambang Perpaduan dan Pemacu Perubahan Rakyat – Dr Syed Husin Ali


Dari Selangorku

11 Disember 2012

Anwar Lambang Gerakan Perpaduan dan Perubahan Rakyat

PETALING JAYA, 11 DIS : Senator Dr Syed Husin Ali menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai lambang gerakan bagi perpaduan dan pemacu perubahan rakyat di negara ini.

Ini kerana menurutnya, Anwar yang juga Ketua Umum PKR merupakan medium utama dalam menyuara dan membawa kehendak rakyat yang inginkan perubahan dari sudut politik, ekonomi dan sosial di Malaysia.

Beliau berkata, penerimaan rakyat terhadap Anwar sebagai ikon perubahan mencetuskan kebimbangan di kalangan pemimpin Umno-BN.

“Dalam kehendak untuk perubahan ini, kita bernasib baik kerana mempunyai seorang pemimpin yang amat dikagumi. Rakyat terimanya sebagai lambang dan kerana itu Umno-BN terlalu takut untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

“Dalam membicarakan soal peristiwa di Baling, Kedah pada tahun 1974, kita mempunyai lambang yang merupakan pimpinan di mana beliau (Anwar) mengalami kezaliman yang dikenakan ke atas pejuang Baling,” katanya semasa syarahan signifikan memperingati demonstrasi Baling di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di sini malam tadi.

Syarahan itu merupakan anjuran Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan dihadiri aktivis antaranya Prof Gurdial Singh, Kamarazaman Yaakob dan Syed Hamid Ali.

Dalam pada itu, Syed Husin turut menyeru rakyat supaya bersatu-padu dalam memacu perubahan dari sudut pemerintahan setelah lebih 50 tahun ditadbir oleh Umno-BN.

Beliau berkata, soal perpaduan itu bukan hanya melibatkan golongan tertentu, sebaliknya perlu disertai oleh semua pihak tanpa mengira kedudukan, bangsa dan agama.

“Taraf kemiskinan tidak berubah walaupun sudah lebih 50 tahun dan dalam tempoh sama kerajaan juga tidak berubah. Kita perlu ubah dan dalam keadaan sekarang rakyat mahu perubahan.

“Pihak pemerintah takut akan perpaduan dan perubahan. Soal perpaduan bukan Umno dengan PAS, bukan dengan orang Melayu sahaja, kalau nak perpaduan yang sebenarnya perlu libatkan semua rakyat daripada semua golongan,” katanya lagi.


— Selangorku

Peristiwa Baling 1974: Kebangkitan Rakyat Yang Dizalimi Umno BN


Dari KeadilanDaily

11 Disember 2012

Melayu diseru jadikan demonstrasi Baling iktibar kezaliman Umno BN

KUALA LUMPUR 11 Dis: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu orang Melayu mengambil iktibar peristiwa demonstrasi Baling akibat penindasan oleh pemerintahan kerajaan Umno BN.

Beliau berkata, ia perlu dijadikan pengajaran bahawa rakyat yang miskin dan terpinggir turut mampu bangkit melawan sistem yang tidak adil.

“Orang andaikan perubahan hanya akan berlaku dengan kesedaran orang bandar yang terdidik. Saya tidak setuju…Ia secara tidak langsung adalah serpihan dari pemikiran yang memperkecilkan (orang lain).

“Baling adalah antara daerah terpencil, masyarakatnya paling terpinggir (dan) tahap pendidikannya terendah…Tetapi mampu bangkit suarakan pandangan bahawa sistem yang ada itu bobrok kerana tidak dapat pertahankan hak dan keadilan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan utama dalam program ‘Syarahan Baling: Memperingati Demonstrasi Baling 1974 dan Sambutan Hari Hak Asasi Manusia’ di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya malam tadi.

Ketua Pembangkang berkata, orang Melayu harus diyakinkan bahawa nasib dan kedudukan mereka akan lebih terjamin bersama Pakatan Rakyat.

“Ada yang kata orang Melayu sekarang rasa tergugat. Sebab itu masalah kemiskinan diremehkan, masalah penipuan diketepikan, masalah rasuah tidak diambil berat. Mereka takut tanpa Umno, nasib orang Melayu tidak terbela.

“Kita harus terangkan (bahawa) kemiskinan (dan) kesusahan mereka serta kezaliman ini adalah kerana dasar yang diteruskan Umno BN,” katanya depan lebih 300 hadirin.

Beliau menyarankan program seperti ini perlu terus diadakan dengan lebih mendalam seperti kupasan dasar pertanian dan ekonomi ketika demonstrasi Baling dahulu.

Program anjuran Angkatan Muda KEADILAN (AMK) ini bertujuan menyorot kembali peristiwa bersejarah kebangkitan rakyat bersama mahasiswa menentang dasar pemerintah yang gagal membela nasib mereka.

Demonstrasi pada Disember 1974 itu tercetus akibat masalah kemiskinan para penoreh getah di Baling serta kawasan sekitarnya semakin memuncak sehingga ada yang mati kelaparan.

Ekoran itu, pemimpin mahasiswa yang terlibat, antaranya Anwar (Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia), Syed Husin Ali (pensyarah Universiti Malaya) dan Kamaruzaman Yaakob (Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya) ditangkap dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Terdahulu, acara dimulakan dengan forum bersama peserta demonstrasi Baling dibarisi ahli panel Kamaruzaman Yaakob, Ketua Cabang KEADILAN Batu Pahat, Syed Hamid Ali dan pensyarah Undang-undang UM, Professor Gurdial Singh.

Turut berucap, Syed Husin yang juga mantan Timbalan Presiden KEADILAN, serta deklamasi sajak oleh penyair Benz Ali dan persembahan Nik Jidan.


— KeadilanDaily

Peristiwa Baling 1974 Jadi Contoh Kebangkitan Rakyat Tuntut Keadilan


Dari Selangorku

11 Disember 2012

Peristiwa Baling Jadi Contoh Kebangkitan Rakyat

PETALING JAYA, 11 DIS : Peristiwa Baling, Kedah pada tahun 1974 yang menunjukkan kebangkitan rakyat dalam menuntut keadilan harus dihayati dan dijadikan iktibar oleh semua masyarakat, kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, walaupun peristiwa Baling merupakan suatu sejarah terpencil, namun ia mampu membangkitkan suara dan pandangan rakyat bahawa sistem pimpinan kerajaan pada ketika itu adalah ‘rosak’.

“Upacara memperingati peristiwa Baling harus dijadikan acara tahunan yang perlu disebarluaskan supaya anak muda tahu apa yang berlaku dari kebangkitan rakyat era 70 an.

“Jangan kita andaikan kelompok paling miskin itu tidak ikuti perkembangan semasa. Peristiwa Baling harus mengajar bukan sahaja pengalaman sejarah, tetapi mengajar orang bandar bahawa rakyat di desa boleh beri pimpinan,” katanya semasa menyampaikan syarahan memperingati Demonstrasi Baling di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di sini semalam.

Hadir sama, Senator Dr Syed Husin Ali, aktivis Prof Gurdial Singh, bekas Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya, Kamarazaman Yaakob, Syed Hamid Ali dan Ketua AMK Pusat, Shamsul Iskandar Md Akin.

Pada 1974, Anwar melancarkan demonstrasi besar-besaran apabila ada laporan media yang menyatakan bahawa penduduk di Baling mati kerana kelaparan akibat kemiskinan.

Hasil demonstrasi tersebut, beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalan Negeri (ISA) selama 22 bulan.

Bagaimanapun kesan daripada itu, Kerajaan Umno-BN secara sembunyi terpaksa mengambil tindakan proaktif untuk membangunkan masyarakat luar bandar.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa soal kepedulian rakyat harus diutamakan dan tidak boleh ditolak ansur.

Menurutnya, seseorang pemerintah itu perlu menegakkan keadilan yang saksama untuk rakyat bagi mengurangkan amalan ‘kronisme’ yang diamalkan Kerajaan Umno-BN sekarang.

“Memacu pembangunan itu adalah suatu kemestian, namun kita tidak boleh izinkan kelompok kecil memunggah kekayaan seperti yang berlaku sekarang. Kita tidak boleh izinkan penyelewengan dan rasuah,” katanya lagi.


— Selangorku

10,000 hadiri Himpunan Kebangkitan Rakyat Melaka


Dari Harakah Daily

9 Disember 2012

10,000 hadiri Himpunan Kebangkitan Rakyat Melaka

Program semalam bermula pada jam 4.00 petang dengan konvoi motosikal dan kereta yang telah mendapat sambutan luar dugaan.

Antara pimpinan tertinggi PR Pusat ialah Timbalan Presiden PAS, Muhammad Sabu; Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw.

Pimpinan PR negeri yang hadir ialah Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Adly Zahari; Pengerusi PKR Negeri Melaka, Shamsul Iskandar Mat Akin dan Pengerusi DAP Negeri Melaka, Goh Leong San.

Turut hadir wakil-wakil NGO seperti HIshamuddin Rais mewakili Bersih; Singham dari Tindak; Salmi Ibrahim (Royalti Terengganu); Salmi Ibrahim (Royalti Terengganu); Andasura Rabu (Stop Lynas) dan Lee Chee Chern (Himpunan Hijau). Turut hadir bekas Menteri Penerangan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir. Kesemua pimpinan parti dan wakil-wakil NGO serta Kadir telah berucap malam tadi.

Program tersebut juga turut dimeriahkan dengan persembahan penyanyi Blues Gang, Ito yang menyampaikan 3 buah lagu.

Turun 12 Januari

Mohammad Sabu dalam ucapannya menyeru seluruh rakyat Malaysia khususnya Melaka supaya turun beramai-ramai ke Kuala Lumpur pada 12 Januari 2013 bagi menyatakan bantahan rakyat terhadap sistem pilihanraya yang tidak adil.

“Sudah tiga kali kita mengadakan Himpunan Bersih, tetapi kerajaan dan SPR terus membutakan mata dan memekakkan telinga tidak menghiraukan tuntutan Bersih dan rakyat Malaysia”.

“Kali ini pada 12 Januari 2013 kita akan turun ke Kuala Lumpur untuk sama-sama hadir pada program Himpunan Sejuta rakyat, kalau mereka degil lagi kita sepak mereka” tegas Muhammad dengan serius sambil menyepak angin.

Azmin dalam ucapan penuh semangatnya menjelaskan kepada rakyat bahawa kedudukan ekonomi negara berada dalam keadaan parah di mana hutang negara sudah meningkat lebih RM500 bilion dan ianya sudah sampai tahap kronik.

“Adakah kita semua ingin melihat negara kita menjadi Greece yang bangkrap kerana Menteri Kewangan yang sangat ‘cekap’ sehingga negara hampir muflis”

“Semasa Anwar menjadi Menteri Kewangan pertumbuhan ekonomi negara kita sebagai contoh tahun1994 ialah 9.2 %, 1995 (9.8) dan 1996 (10 %) berbanding Najib yang pencapaiannya 2009 ialah -1.5 %, 2010 (7.2%) dan 2011 (5.1 %) sahaja.. Jadi siapa sebenarnya yang bijak menguruskan kewangan negara Anwar atau Najib” tanya Azmin.

Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw menegaskan bahawa sudah sampai masanya rakyat negeri Melaka menukar kerajaan negeri dan kerajaan pusat yang dilihat gagal memberikan kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

“Ketua Menteri Melaka menganjurkan kenduri kahwin anaknya hingga membelanjakan kira-kira RM1juta, ini duit siapa, sedangkan hutang negeri Melaka sudah hampir RM900 juta, tetapi Melaka hanya bayar hutang kepada pusat hanya RM180,000 tahun lepas”.

“Manakala kerajaan pusat menzalimi rakyat dengan AES dan pelbagai lagi, mereka mencuri duit rakyat dengan dasar yang benar-benar zalim dan menyiksa rakyat” tegas beliau.

Sebelum ini tapak program terpaksa diubah dua kali akibat tuan tanah yang disewa tidak berani membenarkan tanahnya digunakan untuk program tersebut walaupun sudah bersetuju di peringkat awalnya kerana ugutan demi ugutan pihak yang berlagak samseng.


— HarakahDaily

Kenyataan berkaitan insiden berdarah di Gombak 4 Disember 2012

Semalam 4 Disember 2012, Ceramah Merdeka Rakyat oleh YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim diganggu lagi. Kali ini selain daripada serangan batu, tong sampah dan peralatan lain, kita dikejutkan oleh tikaman pisau yang disyaki dilakukan oleh salah seorang anggota Pemuda UMNO.

Angkatan Muda Keadilan (AMK) tegaskan bahawa ini merupakan tindakan bacul dan ala pengganas. Di dalam tweet Ketua AMK malam tadi, YB Khairy selaku Ketua Pemuda UMNO telah didesak untuk menjelaskan insiden berdarah ini. Apakah Makmal Pemuda BN mencadangkan kegiatan keganasan dilakukan di semua ceramah yang membabitkan Pakatan Rakyat khususnya Dato’ Seri Anwar Ibrahim ?

AMK juga difahamkan tindakan ganas semalam didalangi oleh Megat Dzulkarnain, Ketua Pemuda UMNO Gombak. Sekiranya ini benar kami menggesa pihak Polis Diraja Malaysia untuk segera menahan beliau dan “pengganas-pengganas” pemuda UMNO lain yang terlibat.

Pada hemat AMK, ini memberi petunjuk jelas bahawa dakwaan UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO tempohari yang kononnya negara akan huru-hara andai Pakatan Rakyat memerintah adalah benar, kerana huru-hara itu akan dilancarkan oleh UMNO akibat tidak boleh menerima keputusan rakyat.

Kepentingan negara tentunya lebih tinggi daripada kepentingan parti !

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua AMK

Anwar Calon Terbaik Untuk PM Jika Pakatan Menang – AMK


Dari Sinar Harian

26 November 2012

Jawatan PM: Pemuda PKR tetap anggap Anwar calon terbaik

REMBAU – Angkatan Muda Keadilan (AMK) masih berpegang teguh dengan pendirian mereka iaitu calon terbaik untuk diangkat menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat (PR) berjaya membentuk Kerajaan Pusat nanti ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang lebih layak menjadi Perdana Menteri berbanding Anwar adalah berikutan kebimbangannya terhadap pengaruh Ketua Pembangkang itu.

Menurutnya, Anwar merupakan calon terbaik berdasarkan kepada dua faktor iaitu kepimpinannya diterima dalam PR sehingga diangkat menjadi Ketua Pembangkang dan kedua, pengalaman Anwar yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri satu ketika dahulu.

“Anwar merupakan aset terbaik dalam pengurusan pentadbiran negara dan kenyataan Dr Mahathir hanyalah disebabkan beliau bimbang kerana Anwar mengetahui banyak perkara berkaitan dirinya dan keluarga.

“Malah, kita fikir Dr Mahathir lebih rela Pengerusi DAP, Karpal Singh menjadi Perdana Menteri kerana bimbang dengan kelebihan yang ada pada Anwar,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui sempena Majlis Sambutan Deepavali Peringkat Nasional di Taman Koperasi KSNS Pedas dekat sini, kelmarin.

Turut hadir, Ketua AMK Negeri Sembilan, Nazree Yunus.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Shamsul berkata, berdasarkan penyelidikan Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU), sebanyak 80 peratus daripada 523 sekolah Tamil di negara ini didapati masih lagi tidak mempunyai tempat latihan dan padang bagi membantu perkembangan pendidikan mereka.

“Malah, 99 peratus sekolah Tamil tidak menawarkan perkhidmatan prasekolah sehingga menyebabkan masyarakat India khususnya yang tinggal di kawasan yang jauh terus tercicir dalam pendidikan.

“Jika PR berjaya membentuk Kerajaan Pusat dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang, kita bagi jaminan tidak ada diskriminasi dalam pendidikan,” katanya.


— Sinar Harian

SPRM, Sila Siasat Umno, MCA dan MIC Sapu Tanah Rakyat Selangor – AMK


Kenyataan Media Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia

22 November 2012

AMK desak SPRM siasat skandal Umno, MCA & MIC ‘sapu’ tanah rakyat S’ngor

Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN Malaysia (AMK), Lee Khai Loon mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar menyiasat segera skandal pemberian 24 bidang tanah komersial yang bernilai tinggi kepada parti-parti Barisan Nasional pada harga RM1 sekaki persegi sahaja.

SPRM diminta untuk menyiasat segera ke atas pemimpin Barisan Nasional dan kerajaan Umno BN yang jelas menyalahguna kuasa serta terlibat dalam konflik kepentingan (conflict of interest). Kesemua 24 bidang tanah yang dimiliki rakyat perlu dikembalikan kepada kerajaan negeri Selangor.

AMK ingin memuji keberanian YB Ng Suee Lim, Adun Sekinchan yang membongkarkan skandal rasuah dan salahguna kuasa yang berlaku semasa pemerintahan Umno BN di bawah bekas Menteri Besar Khir Toyo. Dalam tempoh tahun 1999 hingga 2008, kerajaan Umno BN telah menjual tanah komersial yang bernilai tinggi kepada parti Umno, MCA, MIC dan Gerakan.

Tanpa rasa malu dan segan, terdapat sekeping tanah yang diberi hakmilik atas nama individu Dato Seri Samy Velu dan Dato S Subramaniam. Kedua-dua individu tersebut adalah pemimpin MIC pada masa itu yang jelas bahawa terbuktinya budaya rasuah dan salahguna kuasa di dalam Umno BN secara terang-terang.

Kewibawaan SPRM sekali lagi tercabar dengan skandal yang berlaku. Sebenarnya, rakyat berharap SPRM akan bertindak dengan professional dan tidak berpihak kepada mana-mana parti dalam penyiasatan skandal tersebut serta mendakwa semua yang terlibat. SPRM peru bertindak tegas agar pemindahan manfaat di kalangan Umno BN agar skandal tersebut tidak akan berulang dan sekaligus mengembalikan kredibiliti SPRM sendiri.

AMK berpendapat bahawa kesemua maklumat yang dibentangkan oleh Adun Sekinchan sangat mencukupi untuk SPRM mengambil tindakan. AMK yakin Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor tidak akan bertolak ansur serta memberi kerjasama yang sepenuhnya kepada SPRM dalam proses siasatan tersebut agar 24 bidang tanah tersebut dapat dikembalikan dengan kadar yang segera.

Sejak Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri, indeks rasuah negara kita tidak diperbaiki malah bertambah teruk sehingga membimbangkan. Oleh itu, AMK mendesak Najib Razak yang merangkap Presiden UMNO/BN, memohon maaf kepada semua rakyat atas skandal tanah tersebut.

Sementara itu, demi kepimpinan melalui teladan serta iltizam politik banteras rasuah, Najib Razak perlu memperbetulkan masalah tersebut dengan mengarahkan Umno, MCA, MIC dan Gerakan agar mengembalikan kesemua 24 bidang tanah tersebut kepada Kerajaan Negeri Selangor.


Lee Khai Loon
Ketua Penerangan AMK