Jelajah Merdeka Rakyat Negeri Melaka Malam ini!


23 November 2012

Jelajah Merdeka Rakyat MELAKA

Jelajah Merdeka Rakyat Melaka:

5.00 ptg:
Hi-Tea di Pekan Tiang Dua, Ayer Molek

7.00 mlm:
Solat & Tazkirah Maghrib di Surau Umri, Serkam Pantai

8.00 – 10.00 mlm:
Ceramah & Jamuan Makan Malam di Dewan Pay Fong, Jalan Kubu, Melaka

10.00 – 12.00 mlm:
Ceramah Perdana Merdeka Rakyat di Taman Muzafar Syah, Ayer Keroh

Barisan Penceramah:
i. YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim
ii. YB Lim Kit Siang
iii. YB Salehuddin Ayub
iv. Sdr Shamsul Iskandar Mohd Akin
v. Pimpinan-pimpinan Pakatan Rakyat


— Team Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia

Negeri Kaya, Rakyat Terus Ditindas dan Dizalimi – Ketua AMK


Dari KeadilanDaily

16 November 2012

Hasil negeri Sabah berbilion ringgit tapi rakyat terus ditindas

(Oleh Aliff Fikri)

KOTA BELUD 16 November: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) gesa rakyat Sabah melakukan perubahan supaya tidak terus ditindas Umno BN dan dapat menikmati kemudahan yang dinafi kerajaan.

Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, statistik menunjukkan Sabah memperoleh sumber pendapatan berbilion ringgit namun rakyat terus derita.

“Selagi tak berlakunya perubahan, selama itulah nasib rakyat Sabah tidak akan terbela.

“Kalau di Selangor, kita berjaya berikan pelbagai kemudahan contohnya seperti air percuma, tapi di Sabah usahkan air percuma, paip air pun tak ada, yang ada hanya tong air pemberian Umno, tapi tak guna sebab tak ada paip,” katanya depan penduduk Kampung Payas Payas, Kota Belut sempena Jelajah Kempen Sumpah Rakyat Tuntut Hak, semalam.

Shamsul berkata, kejayaan pentadbiran Pakatan Rakyat di Selangor perlu dijadikan inspirasi rakyat Sabah untuk keluar dari kepompong Umno BN dan turut serta melakukan perubahan pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

“Selangor diangkat sebagai negeri contoh bila kita (Pakatan) ambil alih, ini kerana jiwa kepimpinan kita yang mengutamakan soal kepentingan dan kebajikan rakyat.

“Ia terbukti sepanjang empat tahun ini, tidak pernah ada mana-mana pemimpin Pakatan yang terlibat dengan kes rasuah atau skandal penyelewengan.

“Ini beza kita dengan mereka (BN) yang lebih mengutamakan keuntungan peribadi berbanding hak rakyat,” katanya disambut tepukan gemuruh hampir 100 hadirin.

Turut hadir Timbalan Ketua AMK, Khairul Anuar Zainuddin; Naib Ketua AMK, Nazree Yunus; Timbalan Ketua Penerangan AMK, Rozan Azen Mat Rasip; Exco AMK Pusat, Ginie Lim; Ketua AMK Sabah, Mohd Serman Hassnar dan beberapa pimpinan lain.

Kempen tersebut dirasmikan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail Rabu lalu dan Sabah merupakan negeri pertama jelajah itu.

Tuntutan RM40 juta hak rakyat Sabah anjuran AMK ini akan menjelajah ke seluruh pelusuk Sabah bermula dari Tuaran dan berakhir di Labuan Isnin ini.

Ia merupakan skandal penyelewengan wang terbesar di negeri itu membabitkan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.


— Keadilandaily

Menang Pakatan, Musa Aman Akan Diheret Ke Mahkamah! – Ketua AMK


Dari KeadilanDaily

18 November 2012

Musa Aman diheret ke mahkamah apabila Sabah dimenangi Pakatan

(Aliff Fikri)

SABAH 18 Nov: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman akan diheret ke mahkamah atas pelbagai kesalahan penyelewengan sebaik saja Pakatan Rakyat diberi mandat mentadbir Sabah, kata Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat itu berkata, ia bukan mustahil kerana pernah berlaku terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamed Khir Toyo.

“Khir Toyo telah kita heret ke mahkamah walaupun hanya menjatuhi hukuman ringan iaitu penjara setahun tapi ia membuktikan penglibatannya dalam rasuah.

“Musa Aman yang bolot hasil kekayaan bersama kroninya, Michael Chia juga akan kita heret,” katanya depan lebih 400 penduduk di kampung Sungai Pukul, Pulau Batik, Tawau.

Musa Aman sebelum ini didakwa terlibat membersihkan wang haram berjumlah US$90 juta bersamaan RM275 juta, selain dikait dengan skandal wang haram RM40 juta apabila Michael Chia ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Hong Kong (ICAC) di Lapangan Terbang Hong Kong.

Jelajah Tuntutan RM40 Juta Hak Rakyat Sabah kendalian AMK itu dijadual menjelajah ke seluruh pelusuk Negeri Di Bawah Bayu bermula dari Tuaran dan berakhir di Labuan pada 19 November ini.

Antara pimpinan muda yang ikut serta ialah Pengarah Strategi AMK, Ahmad Zaki Yamani; Naib Ketua AMK, Mohd Nazree Yunus; Timbalan Ketua Penerangan AMK, Rozan Azen Mat Rasip dan Exco AMK Pusat, Dr Natassia Sarah.

Shamsul bimbang rakyat Sabah akan terus menderita jika Umno BN terus dibiar berkuasa dan Musa Aman terus membolat kekayaan negeri.

“Ini hanya dapat diatasi jika Pakatan menang untuk angkat martabat rakyat dari terus dihina penyamun bernama Musa Aman,” katanya.


— Keadilandaily

Sudah 49 Tahun Bersama Malaysia, Tapi Masih Cerita Tentang Keperluan Asas – Timb. Ketua AMK


Dari KeadilanDaily

18 November 2012

49 tahun merdeka tapi Sabah masih cerita pasal tiang lampu

SABAH 18 Nov: Sekalipun merdeka sejak 49 tahun lalu tetapi Sabah masih berdepan masalah kekurangan intrastruktur asas, kata Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat, Khairul Anuar Zainuddin.

“Saya sedih. Hampir setengah abad merdeka tapi Sabah masih bercakap soal tiang lampu, jalan raya, air, tanah dan kemiskinan. Patutnya, kita bincangkan soal kualiti hidup.

“Inilah akibatnya apabila kerajaan Umno BN korup,” katanya depan 300 rakyat di Kampung Pelantong, Beluran semalam.

Beliau antara pimpinan yang menyertai Siri Jelajah Tuntutan RM40 Juta Hak Rakyat Sabah kendalian AMK ke seluruh pelusuk Sabah bermula dari Tuaran dan berakhir di Labuan pada 19 November ini.

Antara pimpinan AMK yang ikut serta ialah Ketuanya, Shamsul Iskandar Mat Akin; Pengarah Strategi AMK, Ahmad Zaki Yamani; Naib Ketua AMK, Mohd Nazree Yunus; Timbalan Ketua Penerangan AMK, Rozan Azen Mat Rasip dan Exco AMK Pusat, Dr Natassia Sarah.

Beliau turut menempelak kerajaan Umno BN yang gagal mengatasi kemiskinan rakyat.

“Statistik menunjukkan 40 peratus rakyat cuma berpendapatan bawah RM1,500 manakala di Sabah masih ada yang diberi gaji hari.

“Ini kerja gila, kerja zalim. Gaji dan sumber pendapatan isi rumah terlalu rendah sedangkan kos sara hidup makin naik,” katanya.


— Keadilandaily

Jelajah AMK di Sabah mulai 15 Nov Akan Dedah Skandal Musa Aman.


Dari KeadilanDaily

11 November 2012

AMK jelajah Sabah dedah skandal RM40 juta Musa Aman

PETALING JAYA 11 Nov: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) akan menjelajah seluruh Sabah bagi mendedahkan skandal RM40 juta yang dikaitkan dengan ketua menteri, Datuk Seri Musa Aman.

Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, jelajah ‘Kembalikan RM40 juta Hak Rakyat Sabah’ itu akan dilancar Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali di Sungai Sibuga dalam parlimen Libaran yang diwakili Musa, 15 November ini.

“Kami juga akan membuat laporan polis di setiap 22 kawasan Parlimen yang kami singgahi agar siasatan dijalankan dari mana datangnya RM40 juta ini,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan AMK di Ibu Pejabat KEADILAN petang tadi.

Menurut Shamsul, jelajah selama 5 hari itu akan berakhir di Parlimen Labuan pada 19 November.

Turut hadir sidang media itu Naib Ketua AMK Khairul Anuar Ahmad Zainuddin, Ketua Penerangan AMK Lee Khai Loon, Ketua AMK Sabah Mohd Serman Hassnar dan pimpinan lain.

Shamsul berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Hong Kong (ICAC) ada menghubunginya dan memaklumkan kes itu selesai dengan alasan tiada kes.

“Sebagai pengadu dalam kes ini sejak 2009, saya tidak puas hati kerana terdapat percanggahan kenyataan di Malaysia mengenai kes ini di mana Datuk Seri Nazri Aziz kata ‘kes selesai kerana ICAC tidak teruskan dengan siasatan’

“Manakala ada pula yang kata ‘kes ini selesai kerana ia wang Umno, jadi mana satu (yang betul),” soalnya.

Katanya, beliau akan menulis surat rasmi kepada ICAC Hong Kong untuk mendapatkan penjelasan dan sudahpun melantik peguam untuk mengendalikannya.

Katanya, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Mohd Shukri Abdull 5 Oktober lalu turut menyatakan agensi itu memerlukan lebih banyak bukti mengenai skandal itu.

“Kenyataan ini juga membawa maksud kes ini belum ditutup dan masih disiasat. Sebab itu, kami berpegang pada kenyataan Shukri Abdull selain menuntut penjelasan dari ICAC,” tegasnya.


— Keadilandaily

Kematian Pegawai PTD: Kerajaan Wajar Jamin Keselamatan Pegawai – AMK


KENYATAAN MEDIA
UNTUK EDARAN SEGERA
ANGKATAN MUDA KEADILAN (AMK) MALAYSIA

17 SEPTEMBER 2012

KEMATIAN PEGAWAI PTD: KERAJAAN WAJAR BERTINDAK TEGAS MENJAMIN KESELAMATAN PEGAWAI SEMASA LATIHAN MODUL DIPLOMA PENGURUSAN AWAM (DPA)

Saya mewakili Angkatan Muda KEADILAN (AMK) merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Aldy Hasmi Abu Hassan, pegawai Perkhidmatan Tadbir & Diplomatik (PTD) yang telah meninggal dunia tatkala menjalani latihan ketenteraan di Kem Wataniah Force 136 di Pekan, Pahang petang semalam.

Difahamkan bahawa latihan ketenteraan wataniah kini merupakan sebahagian daripada modul kursus Diploma Pengurusan Awam (DPA) yang wajib dijalani oleh setiap pegawai PTD bagi tujuan latihan dan sebahagian daripada proses pengesahan dalam perkhidmatan awam.

Saya juga kesal dengan insiden ini memandangkan insiden sama pernah berlaku dua tahun lalu dan turut membabitkan kematian pegawai PTD yang sedang mengikuti kursus DPA iaitu Allahyarhamah Norhashimah Wahid yang maut ketika menjalani latihan ala-komando di Banting, Selangor.

Namun demikian, AMK mengalu-alukan dan menyambut baik langkah serta-merta Ketua Setiausaha Negara YBhg. Dato’ Sri Dr. Ali Hamsa yang telah mengarahkan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) menghentikan semua aktiviti lasak melibatkan kursus DPA.

Sehubungan dengan itu, saya juga menggesa supaya pihak kerajaan menjalankan siasatan menyeluruh dan mendedahkan hasil laporan siasatan berkaitan insiden ini serta menyatakan apakah kewajaran bagi seorang pegawai PTD dikehendaki menjalani latihan ketenteraan dan apakah keberkaitan latihan tersebut dengan bidang tugas sebagai seorang pegawai PTD?

Pegawai PTD dan seluruh anggota perkhidmatan awam merupakan aset penting dalam pentadbiran negara maka kerajaan seharusnya perlu bersikap tegas dalam menjamin keselamatan mereka tanpa mengira samada di premis kerja atau pun ketika sedang menjalani kursus dan program latihan.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Aldy Hasmi dan menempatkannya di kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah.


SHAMSUL ISKANDAR MOHD AKIN
Ketua
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia

Isu Bendera: Pandangan Peribadi Najwan – AMK


Dari Malaysiakini

3 September 2012

AMK: Sang Saka Malaya pandangan peribadi Najwan

 

Pemuda PKR (AMK) hari ini menegaskan tindakan seorang pemimpinnya memperkenalkan bendera “Sang Saka Malaya” tidak mempunyai sebarang kaitan dengan sayap kanan PKR itu.

Ketua Angkatan Muda PKR (AMK) Shamsul Iskandar Md Akin berkata, mereka tidak pernah membincangkan bendera rekaan timbalan ketua penerangannya Najwan Halimi itu.

Bahkan, kata Shamsul lagi, rekaan itu juga dikemukakan pada 2007 sebelum Najwan dilantik sebagai pemimpin AMK.

“Saya percaya rekaan itu merupakan pandangan beliau dan manifestasi beliau sebagai seorang anak muda yang memberikan satu penilaian sejarah.

“Saya percaya elemen merah dan putih menjadi satu asas kepada rekaan beliau. Cuma Utusan mengaitkan dengan pemimpin AMK.

“Oleh kerana beliau sekarang timbalan ketua penerangan AMK, apa yang dilakukannya pada 2007, saya fikir tidak ada masalah, dan tidak harus dikaitkan dengan pendirian sayap muda PKR,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.


— Malaysiakini

Greetz From TiadaOtak

Insiden Sabotaj Bas, Bertindak Segera! – AMK


Dari KeadilanDaily

2 September 2012

Sabotaj bas Merdeka Rakyat, AMK mahu ambil tindakan undang2

PULAU PINANG 2 Sept: Angkatan Muda Keadilan (AMK) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan Persekutuan berikutan gangguan program Merdeka Rakyat, kata Setiausahanya, Julailey Jemadi.

“Perlembagaan Persekutuan menjamin hak rakyat untuk berpersatuan, berhimpun dan menyampaikan maklumat. Malangnya program Merdeka Rakyat diganggu.

“Sepatutnya polis menjamin keselamatan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana beliau pemimpin negara. Di Eropah, Ketua Pembangkang setaraf Menteri. Di Malaysia keselamatan Ketua Pembangkang dan programnya diabai.

“Kita berbincang dengan peguam untuk ambil tindakan undang-undang jika polis terus abaikan aspek keselamatan dalam siri jelajah akan datang,” katanya kepada Keadilan Daily, hari ini.

Beliau merujuk insiden bas jelajah Merdeka Rakyat yang dibaling batu dan disimbah cat merah di Pasar Besar Siti Khadijah, awal pagi Sabtu, 1 September lalu.

Berikutan itu, satu siri laporan polis akan dibuat minggu ini di seluruh negara oleh kontinjen AMK setiap negeri.

Julailey juga membayangkan tindakan undang-undang itu dalam bentuk perintah mahkamah atau injunksi sebagai peringatan kepada polis untuk menghalang gangguan terhadap program Merdeka Rakyat.

“Statistik kononnya Malaysia negara ke-19 paling selamat di dunia sudah jadi bahan ketawa,” katanya menyelar reaksi pasif Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein berhubung isu itu.


— KeadilanDaily

Polis, SKMM Jangan ‘Double Standard’ – AMK


Dari Selangorku

27 Ogos 2012

FB Pemuda Umno Malaysia, AMK desak SKMM, Polis Tidak ‘Double Standard’

SHAH ALAM 27 OGOS : Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendesak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan bebas berhubung isu kewujudan Facebook ‘Pemuda Umno Malaysia’.

Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata ia perlu dilakukan secara bebas dan terperinci bukannya ‘double standard’ seperti sebelum ini, di mana jika perkara itu membabitkan pihak Pakatan Rakyat siasatan akan dilakukan segera.

Sebelum ini, laman sosial itu mengundang kontroversi apabila Pemuda Umno Pusat membuat laporan polis selepas terdapat sebaran mesej iaitu mengundi Pakatan Rakyat bermakna memberi sokongan kepada usaha menjadikan Kristian sebagai agama Persekutuan.

“Kedua-dua badan itu bukan sekadar perlu menyiasat sama ada akaun itu palsu atau tidak tetapi juga menyiasat sama ada ia sengaja dilakukan oleh pihak tertentu.

“Oleh kerana ia sudah menjadi suatu kesalahan jenayah yang berbau hasutan, maka perlu mereka mengambil tindakan tegas,” katanya ketika dihubungi.

Shamsul menambah, hal terbabit adalah satu perkara yang dijangkakan akan berlaku selepas pindaan Seksyen 114 A Akta Keterangan 1950.

“Sebab itu kita menentang akta itu dari awal lagi, bagaimanapun Ahli-ahli Parlimen daripada Umno-BN bersungguh-sungguh untuk melaksanakan undang-undang ini tanpa memikirkan kesan yang akan berlaku.

“Jelas sekarang mangsa pertama ialah Pemuda Umno sendiri dan perkara yang agak malang apabila SKMM dan polis tidak menyiasat perkara ini.

“Saya berharap polis tidak ‘double standard’ dan menyiasat perkara ini dengan sebetulnya jika benar Pemuda Umno tidak bersalah dan tidak tahu menahu tentang kewujudan akaun ini,” katanya.


— Selangorku

Eidul Fitri Memaknai Upaya Pembersihan


Kenyataan
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia

18 Ogos 2012

Eidul Fitri Memaknai Upaya Pembersihan

Allahu akbar! Allahu akbar! Allahu akbar! Walillah il-hamd!

Segala puji bagi Allah SWT, setelah sebulan mendidik jiwa di dalam Madrasah Ramadhan, ummat Islam dianugerahkan dengan satu hari perayaan yang dikenali dengan Eidul Fitri. Ianya bukan sekadar perayaan tetapi membawa maksud kembali kepada Fitrah.

Fitrah memberi makna bahawa manusia kembali kepada kejadian asal sebagaimana yang diungkapkan di dalam maksud hadith “Setiap orang bayi dilahirkan dalam keadaan fitrah yang suci bersih; maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikan dia yahudi…(Dan seterusnya)”.

Sambutan Eidul Fitri 1433 Hijrah menyaksikan disambut dalam keadaan negara turut meraikan Ulang Tahun Kemerdekaan yang ke-55. Pastinya dalam usia 55 tahun, Malaysia seharusnya sudah bebas sepenuhnya daripada cengkaman kezaliman dan penindasan dalam apa jua perspektif.

Justeru, Angkatan Muda Keadilan Malaysia dan Keadilan Negeri Melaka mengambil peluang Eidul Fitri kali ini untuk mengajak generasi muda Muslim di Malaysia/Melaka untuk kembali kepada sifat-sifat fitrah manusia yang bersih, tidak rasuah, tidak menyalahgunakan kuasa, benci kepada kezaliman sesama insan dan yang paling utama ialah melakukan islah, perubahan agar keadilan dapat ditegakkan di dalam sistem kehidupan. Dengan hanya kembali kepada fitrah inilah, realiti kemerdekaan dan pembebasan – dari aspek jiwa mahupun nusa – akan dapat diletakkan kembali pada landasannya.

Dalam keadaan kita menyambut hari kemenangan di Eidulfitri mulia ini, usahlah kita lupa akan penderitaan saudara seagama di Myanmar yang sedang berhadapan dengan krisis yang mengorbankan nyawa. AMK melalui insiatif kecil telahpun mengemukakan isu ini kepada perhatian Setiausaha Agung ASEAN, Dr Surin Pitsuwan. Harapan besar harus kita sandarkan pada doa kita pada Allah SWT, agar keadilan dikembalikan kepada etnik Rohingya.

Jangan juga dilupa rakan taulan, sahabat handai dan para reformis yang berkorban keringat dan air mata dalam menegakkan keadilan di negara kita. Jasa-jasa mereka perlu kita kenang, tanpa mereka perjuangan menegakkan keadilan ini mungkin tidak berada di posisi ini hari ini.

Akhir kalam, saya mewakili warga kepimpinan dan keluarga besar Angkatan Muda Keadilan Malaysia dan Majlis Pimpinan Negeri Keadilan Melaka menyusun jari sepuluh memohon maaf zahir dan batin jika ada khilaf kepada seluruh rakyat Malaysia amnya. Mudahan-mudahan Syawal kali ini membawa sinar kebahagiaan di samping keluarga tersayang.

Marilah kita berdu’a agar Malaysia dianugerahkan oleh Allah SWT kerajaan yang baik dan kemudiannya mendapat keampunan serta keberkatan.

Salam Eidul Fitri, maaf zahir dan bathin.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia
Merangkap,
Pengerusi
Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Melaka