Agensi di bawah Noh Omar zalimi peniaga!

Kenyataan Akhbar

Parti KeADILan Rakyat Selangor

27 Oktober 2011

Agensi di bawah Noh Omar zalimi peniaga!

KEADILAN Selangor merujuk kepada kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato Seri Noh Omar dalam maksud ‘ketirisan’ dan ‘hutang’ yang disiarkan akhbar hari ini. Jelas ia adalah satu respon mentaliti rendah dari seorang yang bergelar Menteri. Tiris dari segi maksud sudah tentulah berlaku kebocoran, tak kira kecil atau besar jumlahnya. Apakah bukan satu ‘ketirisan’ dalam pentadbiran Noh Omar apabila dengan nyata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menyegerakan untuk melaksana sebanyak 135 projek kepada 1,746 sub projek (rujuk m/s 20 Laporan Ketua Audit Negara) tetapi ‘berhutang’ pemberian insentif kepada petani kecil dan miskin? Kementerian ini menerima peruntukan sebanyak RM2.894 billion tetapi perbelanjaan pula adalah sebanyak RM2.906 billion. Maka terlebih ‘tiris’ oleh kementerian sebanyak RM11.94 juta. (Sumber: m/s 14 laporan Ketua Audit Negara) Kalaupun saya dituduh tidak mengetahui makna tiris dan hutang oleh Menteri terlibat, yang pasti saya mengetahui sedalamnya derita beban yang ditanggung oleh petani kecil disebabkan kelemahan pentadbiran Noh Omar yang lebih mementingkan pelaksanaan projek-projek yang sudah tentu menguntungkan kroni tetapi daleh dengan seribu satu alasan apabila melibatkan petani kecil.

Adakah ini halatuju baru kementerian yang cuba digarap oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani? Projek dahulu, Petani kemudian?

Sewajibnya insentif kepada petani ini ‘didahulukan’ berbanding pelaksanaan projek terpilih yang mana boleh dikaji keutamaannya. Unjuran oleh kementerian juga telah berbeza besar yang bermaksud kementerian sendiri gagal memberikan resional bajet pemberian insentif. Insentif kepada petani yang susah, kepada orang miskin boleh berhutang, boleh di tangguh, boleh di kurang tetapi projek kepada kroni jika perlu boleh pula di pohon bajet tambahan tanpa perlu menunggu bajet baru. Rang Undang Undang yang di tarik sebelah pagi, boleh pula diselitkan sebelah petang oleh rakan Menteri Noh Omar kerana di sana ada banyak peluang ‘ketirisan’ untuk terus merompak harta orang kampung. Inikah visi baru kerajaan BN dan kementerian Noh Omar? Jawaplah kepada Ketua Audit Negara dan rakyat, bukan kepada saya atau kepada KEADILAN Selangor!

KEADILAN Selangor kembali bertanyakan soalan pokok kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkaitan penggantungan tapak perniagaan di pasar tani Shah Alam baru baru ini. Jawapan balas beliau berhubung persoalan ini langsung tidak di sentuh, bahkan menyimpang jauh dari topik isu. Kenapa tidak mahu menjawap persoalan sebenar? Gentarkah dengan bukti nyata yang ada di tangan KEADILAN Selangor?

Soalan yang dikemukakan amat mudah; kenapa zalim sangat memberhentikan perniagaan ibu tunggal yang lemah dan mempunyai tanggungan tiga anak ini? Sebagai seorang Menteri yang berkuasa penuh pada agensi di bawah kementerian, seharusnya jawapan Menteri adalah jujur, ikhlas dan membantu menyelesaikan sengsara yang terpikul di bahu pengadu. Apa yang cuba dipesongkan oleh Noh Omar tidak lebih sebagai alasan untuk lari dari tanggungjawap menjawap persoalan pokok!

Saya tidak teruja dan tidak ‘terbakar dengan api provokasi‘ Noh Omar agar saya belajar semula kerana itu tidak membantu peniaga ini mendapat semula hak niaganya. Saranan itu tidak langsung mempercepatkan peniaga ini mencari rezeki semula bagi menyara dirinya sekeluarga.

Saya dengan rendah dirinya menyatakan tidak keberatan untuk berlajar lagi kerana menuntut ilmu adalah wajib, bahkan belajar sehingga sampai ke liang lahad adalah disarankan dalam agama dengan mencadangkan agar Noh Omar juga kembali ke sekolah semula bagi belajar cara cara menjawap soalan. Soalan saya mudah, kenapa begitu kejam tindakan pada seorang ibu tunggal yang kebetulan tidak dapat hadir menyambut Menteri hingga perlu di tabur pasir ke periuk nasinya? Kenapa lakukan kezaliman ini? Apakah ibu tunggal ini orang kaya seperti Khir Toyo? Dan jika amat kaya seperti ADUN Sementa sekalipun, perlukah di sekat rezekinya hanya semata mata tidak dapat hadir program Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani? Jawap soalan ini Dato Seri!

KEADILAN Selangor ingin tegaskan, surat hitam putih dan tindakan ‘ala penguatkuasa Tunisia’ ini benar benar berlaku di bawah seorang Menteri bernama Noh Omar!

Cabaran KEADILAN Selangor kepada Noh Omar adalah, jika benar Menteri mendahulukan rakyat, beri semula tempat niaga pada ibu tunggal ini dalam tempoh 7 hari. Jika Menteri gagal selesaikan aduan peniaga ini dengan menarik balik penggantungan yang di buat maka adalah jelas, Noh Omar ‘kepala mahazalim’ yang mewakili UMNO BN adalah kelompok orang sombong, kejam dan tidak berhati perut pada rakyat. Rakyat seluruh negara wajar menolak kepimpinan mereka yang tidak berperikemanusiaan seperti ini.

Untuk kesekian kalinya, KEADILAN Selangor ingin sebutkan peniaga ini di gantung atas alasan tidak hadir program perjumpaan bersama Noh Omar pada 19 september 2011 yang lalu. Apakah wajar anak anak peniaga ini di biar menjadi mangsa kelaparan kerana tiada wang untuk berbelanja atas ketidakhadiran ibunya berbaris menyambut Noh Omar? Kesalahan ini pun belum tentu dapat dibuktikan tetapi hukuman telah dijalankan. Undang undang dan peraturan manakah yang agensi di bawah kawalan kementerian guna pakai? Kita bukan di negara Afrika atau Timur Tengah yang perlu zalim pada rakyat sendiri seperti ini. Atau apakah ilmu zionis ajaran APCO sudah meresap masuk dalam agensi kementerian hingga tindakan melampau ini di buat? KEADILAN Selangor mencabar Noh Omar menjawap dengan tepat isu ini dan memohon maaf kepada semua peniaga terlibat. Usah berdolak dalik lagi dengan mengalih perhatian pada perkara lain.

Sekali lagi KEADILAN Selangor tegaskan, Noh Omar MESTI memastikan agensi di bawah kementeriannya yang bernama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan atau FAMA memansuhkan penggantungan kepada peniaga pasar tani pada 16, 23, 30 Oktober dan 6 November 2011 dengan segera. Peniaga ini memerlukan tapak niaganya semula kerana itu sahaja punca pendapatannya. Kemana dia harus pergi jika tapak niaganya di gantung? Apakah Noh Omar mahu membiayai semua keperluan peniaga ini dan keluarganya? Noh Omar adalah orang yang bertanggungjawap jika berlaku sesuatu pada keluarga ini kerana surat penggantungan ini pasti di buat atas restu Menterinya.

KEADILAN Selangor menyeru rakyat seluruh negara melihat tingkah laku Timbalan Pengerusi UMNO dan Barisan Nasional Selangor yang bongkak dalam menunjukkan kekuasaannya. Inikah sikap seorang pemimpin yang kononnya bakal menjadi Menteri Besar Selangor?

Mari kita doakan bersama agar negeri ini tidak mempunyai seorangpun pemimpin yang bersikap sedemikian tidak kira dari Barisan Nasional mahu pun Pakatan Rakyat. Semoga kes ini membuka mata rakyat agar tidak sewenang wenangnya memberi kuasa kepada ‘Singa yang menjadi pengawal kambing’. Lagak mereka tidak ubah seperti samseng jalanan. Jika mereka di beri kuasa lagi pasti habis semua peniaga di gantung jika tidak mengikut kemahuan mereka. Apakah ini yang rakyat mahu? Jawapannya TIDAK pada UMNO BN! Ayuh, selamatkan Malaysia!

Shuhaimi Haji Shafiei
Ketua Penerangan KEADILAN Selangor /
Ahli Majlis Pimpinan Pusat /
ADUN Sri Muda

Felda Berisiko?

Dari Merdeka Review

Oleh Neo Chee Hua

27 Oktober 2011

Pelaburan lebihi had: FELDA terdedah kepada risiko

Sejak dikuasai Perdana Menteri Najib Razak, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) mula terpesong dari objektif utamanya, iaitu bertunjangkan pembangunan tanah pertanian, dan pelaburan sebagai sampingannya – kepada sebuah agensi pelaburan kewangan.

Laporan Ketua Audit Negara 2010 mendapati bahawa dana daripada Akaun FELDA yang dilaburkan dalam pelaburan saham siar harga dan tidak siar harga telah melebihi had yang dibenarkan untuk tiga tahun berturut-turut, malah memperbarui rekod tertinggi dari tahun ke tahun.

Ketua Audit berpendapat, “Penggunaan dana akaun FELDA yang melebihi had telah mendedahkan dana tersebut kepada risiko pelaburan saham siar harga melebihi daripada yang telah diluluskan dalam Manual Dasar dan Strategi Pelaburan Kumpulan FELDA.  Ini boleh menjejaskan kemampuan kewangan dan memberi kesan kepada operasi serta aktiviti utama FELDA jika pelaburan yang dijalankan tidak dapat memberikan keuntungan yang dijangkakan.”

Pada masa yang sama, tindakan ini seolah-oleh memaksa peneroka FELDA untuk menanggung risiko pelaburan yang lebih tinggi, tanpa disedari peneroka FELDA.

FELDA ditubuhkan di bawah Ordinan Kemajuan Tanah 1956 pada 1 Julai 1956, dan telah dipinda kepada Akta Kemajuan Tanah 1956 (Akta 474) (Pindaan 1991).  Objektif penubuhan FELDA adalah untuk memajukan kawasan pertanian secara produktif, melaksanakan projek pembangunan tanah dan menggalakkan pertumbuhan serta meningkatkan taraf hidup masyarakat peneroka.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara, FELDA telah membuat pelaburan dalam pelbagai portfolio bagi mendapat pulangan yang optimum.  Sehingga tahun 2010, FELDA telah membuat pelaburan bernilai RM5.55 bilion termasuk pelaburan dalam saham siar harga berjumlah RM891.34 juta.

Malah, pihak Audit mendapati dana daripada Akaun FELDA yang dilaburkan dalam pelaburan saham siar harga dan tidak siar harga telah melebihi had yang dibenarkan iaitu 24% seperti yang ditetapkan dalam Manual Dasar dan Strategi Pelaburan FELDA.

Lebihi had untuk tiga tahun berturut-turut

“Pelaburan dalam saham siar harga dan tidak siar harga yang menggunakan dana Akaun FELDA pada tahun 2010 adalah sejumlah RM3.14 bilion atau 68.5%, tahun 2009 sejumlah RM2.28 bilion atau 70.7% dan tahun 2008 sejumlah RM713.20 juta atau 31.8%,” menurut Laporan Ketua Audit.

Apa yang perlu diambil perhatian adalah, lebihan pelaburan adalah sebanyak 44.5% bagi tahun 2010, 46.7% bagi tahun 2009 dan 7.8% bagi tahun 2008.

Menurut agihan sumber dana pelaburan portfolio, dana dalam akaun FELDA hanya dibenarkan untuk melabur di Ekuiti Tempatan (24%), Ekuiti Asing (10%), Bon Kerajaan, Bon Korporat dan Sekuriti Hutang Persendirian termasuk Bon Islamik (6%), selain Tunai, Pasaran Wang dan Deposit Amanah (60%).

Sehingga akhir tahun 2010, FELDA telah melabur sejumlah RM891.34 juta dalam saham siar harga.  Pelaburan yang dibuat daripada Akaun FELDA berjumlah RM355.42 juta atau 39.9% manakala sejumlah RM535.92 juta atau 60.1% daripada Akaun Peneroka.

Tiada pakar pelabur

Analisis Audit mendapati pelaburan saham siar harga FELDA berjumlah RM891.34 pada tahun 2010 meningkat sejumlah RM106.45 juta atau 13.6% berbanding sejumlah RM784.89 juta pada tahun 2009.  Nilai pasaran pelaburan saham siar harga pada tahun 2010 adalah RM4.43 bilion dengan keuntungan tidak nyata berjumlah RM3.54 bilion atau 397.1%.  FELDA telah memperoleh pendapatan dividen pada tahun 2010 berjumlah RM166.14 juta 18.6%, tahun 2009 berjumlah RM101.15 juta atau 12.9% dan RM138.62 juta atau 20% daripada jumlah pelaburan.

FELDA juga telah mengalami kerugian tidak nyata terkumpul yang berjumlah RM50.14 juta melibatkan 12 kaunter saham bagi tempoh 31 Disember 2008 hingga 30 November 2010.  Daripada kerugian tersebut, sebanyak empat kaunter saham iaitu Syarikat PK Resources Berhad, Takaful Malaysia Berhad, Telekom Malaysia Berhad dan Tradewinds Corporation Berhad telah mengalami kerugian berterusan sejak tahun 2008.

Bagaimanapun, lapan daripada 12 kaunter telah membayar dividen kepada FELDA berjumlah RM33.11 juta bagi tahun 2008 hingga 2010.

Sementara itu, Ketua Audit mengingatkan bahawa pengasingan tugas merupakan mekanisme kawalan dalaman yang penting bagi memastikan wujudnya kawalan dalam proses urus niaga saham.  Semakan Audit mendapati FELDA tidak mempunyai pengasingan tugas yang jelas bagi urus niaga saham selaras dengan amalan yang baik.

Selain itu, FELDA tidak mempunyai pegawai pelaburan atau pegawai penyelidik pelaburan yang mempunyai kepakaran dan kompetensi untuk membuat analisis prestasi pelaburan FELDA.  “Ini adalah penting bagi memastikan kajian dan pemantauan pelaburan dapat dibuat secara menyeluruh,” menurut Laporan Ketua Audit Negara 2010.

*Neo Chee Hua ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting dari teks asal yang disiarkan pada 25 Oktober 2011.

— Merdeka Review

Projek Lembu Kroni: Shahrizat Perlu Jawab Segera!

Kenyataan Media

25 Oktober 2011

NATIONAL FEEDLOT CORPORATION SDN BHD:
DATO’ SERI SHAHRIZAT JALIL PERLU BUAT KENYATAAN SEGERA

KEADILAN menyambut baik keputusan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) untuk memulakan siasatan ke atas National Feedlot Corporation Sdn Bhd yang dimiliki oleh suami dan anak-anak kepada Dato’ Seri Shahrizat Jalil, seorang menteri kanan dan Ketua Wanita Umno.

KEADILAN telah membawa isu ini ke perhatian rakyat sejak awal tahun 2010 lagi memandangkan kedudukan strategik projek seperti yang didakwa oleh kerajaan dan peruntukan besar yang terlibat.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-9, Pusat Feedlot Kebangsaan yang dimiliki dan dikendalikan oleh National Feedlot Corporation Sdn Bhd diberi status Projek Berimpak Tinggi dengan sasaran memenuhi 40% permintaan dan pengeluaran daging lembu untuk pasaran tempatan.

Pada hari Khamis, 20 Oktober 2011 satu pasukan peninjau KEADILAN yang diketuai oleh Saudara Mohd Rafizi Ramli (Pengarah Strategi) dan YB Aminuddin Harun (ADUN Sikamat) telah membuat kunjungan tidak rasmi ke Pusat Feedlot Kebangsaan seluas 5,000 ekar di Gemas untuk menentukan prestasi pencapaian pusat tersebut memenuhi sasaran yang ditetapkan.

Hasil dari temuramah dengan pekerja-pekerja, maklumat yang diperolehi adalah seperti berikut:

-Jumlah lembu yang dipelihari pada satu-satu masa: Sekitar 1,000 ekor

-Asal-usul lembu: Diimport dari luar negara

-Anggaran sembelihan setiap hari: Sekitar 20 ekor

-Pasaran: Hypermarket seperti Giant, Carrefour dan lain-lain

-Anggaran daging lembu yang dikeluarkan sehari (dikira): 3,000 kg

-Anggaran daging lembu yang dikeluarkan setahun (dikira): 900,000 kg atau 900 tan

Prestasi operasi ini perlu dibandingkan dengan sasaran yang ditetapkan memandangkan projek tersebut dikurniakan tanah kerajaan seluas 5,000 ekar di Gemas dan mendapat bantuan kewangan kerajaan berjumlah RM250 juta. Oleh itu, prestasi Pusat Feedlot Kebangsaan:

-Jumlah penggunaan daging lembu Malaysia[1] setahun: 162,357 tan

-% permintaan yang dicapai oleh Pusat Feedlot (dikira): 0.6%

-Sasaran % permintaan yang perlu dicapai ditetapkan RMK9: 40%

-Jumlah lembu yang perlu disembelih untuk mencapai sasaran: 1,500 ekor sehari

-Jumlah lembu yang kini disembelih: 20 ekor sehari

Kajian awal oleh KEADILAN ini jelas menunjukkan bahawa projek ini telah gagal walaupun menelan jumlah wang rakyat yang besar dan kurniaan tanah seluas 5,000 ekar. Malah, ada petani dan penternak kecil yang mempunyai operasi yang lebih besar dan berkesan walaupun tidak mendapat apa-apa bantuan kerajaan.

Penyelidikan KEADILAN juga menunjukkan bahawa sehingga kini, komponen-komponen operasi yang lain yang diamanahkan kepada syarikat milik suami dan anak-anak Dato’ Seri Shahrizat Jalil masih belum dilaksanakan walaupun mendapat peruntukan besar. Selain dari aktiviti mengimport lembu, syarikat ini juga dilantik oleh kerajaan untuk:

-Membangunkan penternak kecil melalui konsep “penternakan satelit” untuk menggandakan pengeluaran lembu
-Membangunkan makanan lembu berkualiti
-Membangunkan baja dari operasi penternakan lembu

KEADILAN berpendapat bahawa isu ini perlu diberi perhatian serius kerana ia salah satu contoh utama bagaimana penyelewengan wang rakyat akibat ketirisan mempunyai kesan mendalam kepada kenaikan harga barang yang menekan rakyat.

Projek ini dilancarkan oleh kerajaan bertujuan untuk mengurangkan import makanan yang memainkan peranan utama kepada kenaikan harga barang makanan yang terpaksa ditanggung rakyat. Walau bagaimana pun, sebahagian besar dari peruntukan kepada projek-projek pertanian dan makanan untuk mengurangkan pergantungan kepada import tidak sampai dan diselewengkan sehingga mengakibatkan import makanan mencecah RM30 bilion setahun sehingga akhir 2010.

Dato’ Seri Shahrizat Jalil sebagai menteri yang berkepentingan dalam projek ini dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai bekas Menteri Pertanian dan Agro Industri yang terlibat menganugerahkan projek ini kepada rakan menteri beliau tidak boleh lagi terus berdiam diri. Rakyat memerlukan penjelasan segera mengenai kegagalan projek nasional yang menelan belanja besar ini.

Sekiranya kedua-dua mereka masih berdiam diri sehingga Isnin minggu depan, KEADILAN dan Wanita KEADILAN akan menganjurkan satu lawatan menjejaki lembu ke Pusat Feedlot Kebangsaan di Gemas untuk mendedahkan perkara ini dengan luas kepada rakyat.

YB ZURAIDA KAMARUDDIN, KETUA WANITA KEADILAN/AHLI PARLIMEN AMPANG
RAFIZI RAMLI, PENGARAH STRATEGI KEADILAN
YB AMINUDDIN HARUN, ADUN SIKAMAT, SEREMBAN

25 OKTOBER 2011

PR Perintah, GST Batal

Dari HarakahDaily

23 Oktober 2011

Pakatan batal GST jika memerintah

PERMATANG PAUH, 23 Okt: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan tetap dibatalkan sekiranya Pakatan Rakyat berjaya memerintah negara kerana ia membebankan rakyat.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis ramah mesra ‘Sepetang Bersama Masyarakat’ di Dewan Orang Ramai Batu 5, Permatang Janggus, Permatang Pauh, kelmarin.

Menurut beliau lagi, GST adalah satu bentuk paksaan yang dikenakan oleh pemerintah kepada rakyat yang sedang menghadapi masalah bebanan dengan kenaikan harga barangan.

“Sekiranya cukai ini dikenakan kepada rakyat, ia bukan saja membebankan mereka, tetapi menjadikan rakyat terpaksa tunduk kepada hasrat kerajaan untuk menekan dan menzalimi secara hormat.

“Oleh itu, seandainya PR berjaya memenangi kerusi pilihan raya umum yang akan datang, kita berjanji akan membatalkan GST yang tidak memberi manfaat kepada rakyat, khususnya golongan yang berpendapatan rendah,” ujarnya yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh.

Anwar yang juga merupakan Ahli Parlimen Permatang Pauh, turut menyelar kepimpinan Datuk Seri Najib kerana mempermainkan rakyat apabila menangguhkan GST sehingga selepas pilihan raya yang akan datang.

Katanya, apabila cukai yang hendak dikenakan ditangguhkan sebelum pilihan raya, adalah tidak mustahil ianya akan dilaksanakan selepas ini.

“Ini membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ada tidak prihatin terhadap keperluan rakyat, sebaliknya memberi prioriti terhadap keperluan mereka bagi memeras dan mencekik darah rakyat,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, beliau juga membidas BN yang cuba mempolitikkan isu berkaitan pelajar sekolah yang didakwa terlibat dalam kes serangan seksual dikaitkan dengan anak Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Jelasnya lagi, cara politik yang dimainkan bukan saja mempamerkan kedangkalan modal oleh BN, sebaliknya memperlihatkan bahawa parti tersebut senantiasa menjadikan kelucahan sebagai modal politik terdesak.

“Adalah sesuatu yang merbahaya sekiranya, BN terus diberi mandat untuk menerajui kepimpinan dalam negara apabila mereka tidak dapat menjustifikasikan mana yang baik dan mana yang buruk untuk dipolitikkan,” tambahnya lagi.

—HarakahDaily

Anwar: Apa kaitan HIMPUN, petani miskin, anak menteri?

Dari Malaysiakini

24 Oktober 2011

Anwar: Apa kaitan HIMPUN, petani miskin, anak menteri?

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bagaimana wang RM250 juta yang diperuntukan untuk menolong peladang, petani dan nelayan telah disalurkan kepada anak seorang menteri.

NONEKatanya, anak lelaki menteri yang berusia 21 tahun itu langsung tidak mempunyai sebarang rekod ataupun pengalaman dalam bidang pertanian.

“Dasar pelaksanaannya RM250 juta diberi kepada anak seorang menteri, umurnya 21 tahun. Tidak adapa apa rekod apa-apa sekalipun. Patut diberikan keseluruhan (dana itu) kepada petani dan nelayan miskin. Sampai hari ini belum ada jawapan,” katanya pada satu sessi dialog bersama graduan muda di Petaling Jaya, semalam.

Menurut Anwar, perkara itu telah dibawa oleh Pakatan Rakyat ke Dewan Rakyat tetapi hingga sekarang, masih tiada penjelasan daripada kerajaan BN.

NONEPada Bajet 2012, Najib telah mengumumkan peruntukan dana RM1.2 bilion bagi Tabung Pertanian yang bertujuan membantu peladang, petani dan nelayan di negara ini.

Anwar berkata pada dasarnya, perancangan kerajaan itu nampaknya murni tetapi ia sebenarnya diselubungi pelbagai penyelewengan bagi kepentingan politik BN, khususnya Umno.

Sudah salah

“Bolehkah kita terima ini. Secara moral ini sudah salah dan kalau ikut peraturannya sudah (jelas) ini amalan rasuah atau pecah amanah (CBT). Di Malaysia tidak ada jawapan (diberikan). Katalah banyak manapun, tidak akan dilaporkan di media arus perdana,” kata Anwar.

china chinese farmer farming 061008 02Ketua umum PKR itu juga membidas tindakan kerajaan berhubung sebuah agensi yang sepatutnya menolong petani dan nelayan miskin akhirnya dijadikan alat untuk meraih keuntungan beberapa individu.

“Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) diswastakan (menjadi Bernas). Kaut untung besar, daripada siapa, penanam padi. Siapa penanam padi? 95 peratus orang Melayu miskin,” katanya.

Menurut beliau, selepas keuntungan besar, syarikat itu kemudiannya dijual kepada seorang tokoh korporat yang rapat dengan Umno dengan beberapa individu tertentu meraihRM30 juta hingga RM40 juta setiap seorang daripada hasil penat lelah petani dan nelayan.

riceBernas diberi tempoh pengedaran beras selama 10 tahun hingga tahun 2021.

Menurut Anwar, berdepan dengan masalah dan juga kesilapan yang dilakukan oleh pimpinan Melayu Umno sendiri, pentadbiran Najib cuba meletakkan kesalahan di pihak lain.

“Sekarang ini oleh kerana dikatakan orang Cina ini banyak menyokong Pakatan Rakyat, India ini sekarang adalah berubah-ubah sikit, tumpuan adalah (masyarakat) Melayu.

“(Jadi kata mereka) kita perhimpunkan Melayu kerana ancaman Kristian. Kerana Umno sahaja akan menyelamat Melayu, kalau tidak (kerana) Umno habislah Melayu di negara ini, habislah biasisawa untuk anak-anak Melayu, habislah saham-saham Melayu, kata mereka,” kata Anwar dalam nada menyindir.

Orang miskin

Beliau dipercayai merujuk Himpunan Sejuta Umat (HIMPUN) yang bertujuan mempertahankan akidah umat Islam yang berlangsung Sabtu lalu.

himpun rally hasan ali speaking 2Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga semalam memuji penganjur semalam yang dikatakan merupakan contoh penganjuran perhimpunan secara aman seperti yang dihasratkan kerajaan.

Katanya, perhimpunan anti murtad itu cukup berbeza dengan BERSIH 2.0 yang menuntut pembaharuan dalam sistem pilihan raya di negara ini pada 9 Julai sehingga lebih seribu perserta ditangkap dan dikenakan pelbagai dakwaan.

Bagi Anwar, tindakan itu hanya bertujuan melalaikan orang Melayu daripada ancaman sebenar yang dihadapi negara hari ini.

“Tapi kita tengok dasar. Yang Melayu apa, baru laksana, suku bilion (diberikan) kepada anak menteri. Baki belum tentu dapat pada orang miskin,” katanya lagi.

—Malaysiakini

Laporan Ketua Audit Lewat: Pakatan Tubuh Jawatankuasa Untuk Meneliti

Dari KeadilanDaily

Oleh: Sidiqin Omar dan Nabihah Hamid

19 OKTOBER 2011

Pakatan tubuh jawatankuasa teliti Laporan Ketua Audit Negara

KUALA LUMPUR 19 Okt : Pakatan Rakyat menubuhkan satu jawatankuasa bagi mengkaji kandungan Laporan Ketua Audit Negara yang lewat hampir dua minggu dari tarikh pembentangan Belanjawan 2012.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail berkata, jawatankuasa terdiri dari lima ahli parlimen Pakatan Rakyat itu juga akan mengkaji punca mengapa laporan itu lewat dikeluarkan.

“Buat pertama kali kita tubuhkan jawatankuasa bagi mengkaji segala aspek dalam laporan audit yang sudah hampir dua minggu lewat daripada waktu sepatutnya ia dikeluarkan.

“Jawatankuasa ini bukan sahaja untuk mengkaji isi kandungan semata-mata, tapi kita nak kemukakan pandangan kita sebagai satu pandangan daripada pembangkang untuk lihat kenapa berlaku kelewatan yang sangat ketara ini,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Azan menambah, jawatankuasa itu akan turut mengkaji dan membandingkan Laporan Audit Negara dengan laporan lain termasuk laporan Bank Negara Malaysia (BNM) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Kita akan maklumkan penemuan daripada jawatankuasa ini walaupun penemuan itu baik kepada kerajaan atau sebaliknya, kita akan maklumkan,” katanya yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Sementara itu, Ahli parlimen Pakatan Rakyat yang lain turut menuntut penjelasan sama ada ketua audit negara ditekan untuk menyunting laporan tahunannya.

Menyelar kelewatan penyerahan laporan itu, ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua bertanya sama ada kerajaan takut akan hasil laporan berkenaan.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub (Kubang Kerian) juga mempersoalkan kelewatan itu dan mahukan penjelasan Timbalan Speaker Ronald Kiandee.

Salahuddin berkata, sejak minggu lalu pihaknya sudah bertanya tentang alasan di sebalik kelewatan itu.

Isnin lalu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan laporan audit yang cuba disorokkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang juga Menteri Kewangan.

Dewan Rakyat membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Belanjawan 2012 selama dua minggu tanpa merujuk kepada Laporan Audit Negara.

Hanya pada 18 Oktober lalu, satu sumber dari Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) memaklumkan laporan itu akan dibentang pada minggu hadapan.

—KeadilanDaily

[Ads]Pizza Baru di Pizza Hut: [Klik Sini]
[Ads]Jom join Churp Churp: [Klik Sini]
[Ads]SPM Tutor TV: [Klik Sini]

Anwar Sambut Tawaran Debat Belanjawan 2012

Dari KeadilanDaily

Oleh : Nabihah Hamid

19 OKTOBER 2011

Anwar sambut baik tawaran anjuran debat dengan Najib

KUALA LUMPUR 19 Okt: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik tawaran mana-mana Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang ingin menganjurkan debat terbuka antara beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Anwar, ia perlu disegerakan sebelum perbahasan Belanjawan 2012 di Dewan Rakyat, berakhir bagi penggal ini.

“Saya menyambut baik, mana-mana badan NGO yang ingin menganjurkan perdebatan tersebut. Saya harap disegerakan sebelum tamat perbahasan Belanjawan ini,” kata Anwar pada sidang media di Parlimen.

Hari ini, sebuah Akademi Penulisan yang dinamakan Akademi Pak Sako, bersedia menjadi penganjur debat antara kedua tokoh itu membincangkan soal ekonomi dan Belanjawan 2012.

Jurucakap Akademi Pak Sako, Hilman Idham berkata, debat itu juga membolehkan rakyat menilai belanjawan yang dibentangkan Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.

Minggu lalu, Anwar mencabar Perdana Menteri yang juga menteri kewangan supaya berdebat secara terbuka berhubung kedudukan ekonomi dan Belanjawan 2012 yang dibentangkan, 7 Oktober lalu.

Belanjawan berjumlah RM232 bilion itu menerima kritikan hebat, berikutan pendapatan negara pada masa ini tidak dapat menampung hutang kerajaan yang mencecah RM437 bilion.

Pakatan Rakyat juga percaya berdasarkan realiti ekonomi, sasaran pertumbuhan 5 peratus hingga 6 peratus yang disasar Najib juga sukar untuk dicapai.

Pada masa yang sama, keupayaan kerajaan mengeluarkan terbitan bon dan instrumen hutang baru dalam tahun 2012 pula terbatas disebabkan had keberhutangan negara (debt ceiling) kepada 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar.

Enggan menerima hakikat itu, Najib sebaliknya menyelar Belanjawan Pakatan Rakyat dengan menyifatkannya gagal memahami kehendak rakyat keseluruhan, meskipun belanjawan sebanyak RM220 bilion yang ditawarkan berupaya mengekang defisit negara pada kadar 4.4 peratus daripada KDNK.

Belanjawan Pakatan mampu menjimatkan RM14 bilion berbanding perbelanjaan kerajaan Barisan Nasional iaitu pada kadar defisit 6 peratus daripada KDNK, dengan rakyat mendapat 20 peratus nilai tambah.

Sebelum ini, Najib enggan menerima pelawaan debat Anwar bagi menjawab kritikan beliau terhadap Buku Jingga, satu dokumen bersama Pakatan Rakyat yang menawarkan faedah ekonomi kepada rakyat terbanyak.

—KeadilanDaily

[Ads]Pizza Baru di Pizza Hut: [Klik Sini]
[Ads]Jom join Churp Churp: [Klik Sini]
[Ads]SPM Tutor TV: [Klik Sini]

Belanjawan 2012: Anwar vs Najib – Akademi Pak Sako

KENYATAAN MEDIA

AKADEMI PAK SAKO

19 OKTOBER 2011

DEBAT BELANJAWAN 2012 ANJURAN AKADEMI PAK SAKO

Pada tahun ini, Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat telah melancarkan belanjawan masing-masing. Ini merupakan suatu perkembangan sihat kerana rakyat Malaysia berpeluang untuk menilai belanjawan manakah yang lebih bermanfaat dan berupaya untuk melonjak kembali ekonomi negara yang kini semakin suram.

Sehubungan dengan itu, Akademi Pak Sako berpendirian bahawa perdebatan berkaitan belanjawan sewajarnya berlangsung dalam keadaan yang sihat, terbuka dan kondusif. Perdebatan seperti ini akan memberi ruang yang adil kepada rakyat untuk menilai secara rasional dasar-dasar yang digarap demi kepentingan mereka.

Justeru Akademi Pak Sako bersedia untuk menjadi penganjur kepada Debat Belanjawan Negara 2012; di antara YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak dan YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Kami akan menghantar undangan kepada YAB Perdana Menteri dan YB Ketua Pembangkang Dewan Rakyat pada hari Jumaat, 21 Oktober 2011. Debat ini akan dianjurkan pada hari Khamis, 3 November 2011 jam 9.00 malam di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Kami berharap kedua-dua tokoh ini bersedia untuk menerima undangan debat daripada pihak kami. Semoga debat ini berlangsung dengan baik dan berhemah demi manfaat dan kesejahteraan rakyat.

Sekian, terima kasih.

HILMAN IDHAM
Jurucakap
AKADEMI PAK SAKO