Wong Ho Leng Isytihar Perang Basmi Kemiskinan

TVSELANGOR – Sejak dipilih wakil rakyat pada 1996, Wong Ho Leng mengisytiharkan perang terhadap kemiskinan dan penggangguran – dua isu utama yang membelit warga Sarawak.

Calon pilihan Pakatan Rakyat ini menjadikan kemelut kemiskinan rakyat kepentingannya, melalui siri-siri gesaan dan desakan terhadap kerajaan negeri dan pusat. 40 tahun telah berlalu, rakyat Sarawak masih melarat.

Program ekonomi dibawah Ketua Menteri Taib Mahmud gagal membuahkan hasil. Katanya, pada 2009, pendapatan Sarawak mencecah hampir RM3.726 bilion ringgit, tetapi 70 peratus daripada penduduk rumah panjang masih tidak mempunyai akses kepada air bersih, jalanraya dan tenaga elektrik.

“Jika kamu melawat Rassau, Bungan atau Panasu, kamu boleh nampak rumah-rumah panjang dan bumbung-bumbung mereka yang hampir roboh. Penduduk amat sudi menceritakan kepada kamu janji-janji yang menteri-menteri sebut dahulu. Mereka dijanjikan air, dijanjikan elektrik, dan hari ini, penduduk menjana elektrik sendiri, dan kutip air langit dari hujan,” kata calon Pakatan Rakyat Wong Ho Leng.

Kadar kemiskinan di Sarawak kekal pada paras membimbangkan. Jurang pendapatan amat parah, yang menurut Wong diburukkan lagi dengan barah rasuah. Dengan kadar pelaburan yang semakin corot, Sibu kini jatuh ketinggalan berbanding Kuching, Miri dan Bintulu.

“Saya ingin tanya, berapa ramai rakyat di Sibu yang sekaya calon BN? Di bandar Sibu, ramai yang tidak berpuas-hati dengan kerajaan BN. Tengok sahaja di kampung-kampung Melayu. Kehidupan mereka sukar, kerja juga tidak banyak. Belia Melayu, Cina dan Dayak berhijrah keluar ke Johor Bahru dan Singapura kerana tidak ada kerja disini. Dan kalaupun dapat kerja, gajinya murah,” keluh Wong.

Isu rakyat Sibu sebenarnya lebih parah dari isu kemiskinan. Prasarana yang lemah merencatkan pembangunan Sibu sebagai bandar strategik di Sungai Rajang.

“Tengok sahaja prasarana di Sibu. Keluar sahaja dari lapangan terbang, yang menanti kita adalah jalanraya yang berbukit dan berlopak. Bila hujan turun, ada sahaja kereta yang tergelincir,” kata Wong.

Sibu juga sering dilanda banjir, terutamanya di Jalan Hua Kiew di DUN Bukit Assek. Banjir menyebabkan ramai warga Sibu berhijrah ke bandar-bandar lain kerana kerajaan negeri tidak lagi mampu mengatasi masalah itu.

“Sibu seperti berada di dasar kuali. Jutaan ringgit disalur untuk tangani banjir, tetapi masih gagal. Satu-satunya cara adalah mendalamkan dasar sungai, tetapi BN berlepas tangan. Walhal DAP pernah menawarkan kerja pedalaman secara percuma, tetapi BN lebih rela tengok rakyat Sibu dilanda banjir,” kata Wong.

Pejabat Ketua AMK Malaysia

Isu Kalimah Allah: Calon BN Takut Umum Pendirian

TVSELANGOR – Calon BN Robert Lau tidak mungkin menjadi wakil rakyat yang berkesan kerana mengelak dari mengumumkan pendirian berhubung penggunaan kalimah Allah oleh masyarakat Kristian di Sarawak.

Calon Pakatan Rakyat, Wong Ho Leng mempersoalkan sikap takut dan berdiam diri Robert kerana isu penggunaan kalimah Allah memberi kesan kepada kehidupan beragama masyarakat Kristian di Sibu.

Kira-kira 53 peratus dari 54,695 pengundi berdaftar di Sibu beragama Kristian. Masyarakat Cina membentuk 67 peratus, Dayak 22 peratus dan Melayu-Melanau 10.5 peratus.

Semalam, Robert Lau berkata persoalan penggunaan kalimah Allah oleh masyarakat agama Samawi tidak boleh dijadikan isu, walaupun ia telah menyulitkan kehidupan beragama masyarakat bukan Islam di Sibu.

“Robert mengelakkan diri dari menjawab soalan apakah larangan menggunakan kalimah Allah telah mencabuli hak rakyat Sarawak khususnya dan Malaysia amnya untuk beragama, seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan untuk masyarakat bukan Islam,” kata Wong.

Masyarakat Kristian di Sarawak menggunakan kalimah Allah dalam upacara dan penerbitan mereka sejak zaman penjajahan.

Penggunaan kalimah Allah oleh masyarakat bukan Islam mncetuskan kontroversi selepas Kementerian Dalam Negeri menguatkuasakan keputusan Kabinet 1986 melarang bukan Islam dari menggunakan beberapa perkataan Arab oleh warta Katolik, The Herald.

Penerbit akhbar itu menang dalam kes mereka yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tahun lalu, tetapi berakhir dengan kontroversi apabila beberapa rumah ibadat diserang.

Ketika pimpinan Umno-BN mengecam penggunaan kalimah Allah oleh masyarakat bukan Islam, Pakatan Rakyat menunjukkan kematangan dengan menyeru kepada dialog antara cendekiawan agama.

Ketegangan agama berakhir apabila Mursyidul Am Pas Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden Pas Abdul Hadi Awang dan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Anwar Ibrahim mengepalai usaha kepada perbahasan dengan menemui ketua-ketua masyarakat Kristian.

“Jelas sekali, Robert mengelak dari menjawab soalan ini kerana beliau tunduk kepada tuan politiknya. Bagaimana mungkin orang seperti ini mampu membawa dan mempertahan hak rakyat Sibu?” kata Wong.

Pejabat Ketua AMK Malaysia

Wong Ho Leng Cabar Calon BN Buat Pendirian Isu Limbang, Blok L-M

TVSELANGOR – Calon BN dicabar mengumumkan pendirian berhubung isu perlucutan kedaulatan Malaysia keatas lapangan minyak di blok L dan M yang terletak di luar pesisiran pantai Sabah-Sarawak.

Wong Ho Leng berkata ada kemungkinan kedua-dua lapangan minyak itu adalah milik Sarawak.

“Saya cabar beliau untuk suarakan isu ini sebelum 16 Mei depan. Saya cabar beliau umumkan pendirian berhubung isu blok L dan M, isu Limbang dan isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan. Amat menyedihkan jika calon BN ini tidak mampu jawab kerana sehingga ke hari tiada seorang pun dari BN yang jawab dengan jelas,” katanya.

Lapangan minyak M dan L seluas kira-kira 6,000 kilometer persegi. Setiap lapangan ini mampu menghasilkan 250,000 hingga 300,000 tong setiap hari selama 15 hingga 20 tahun.

Hasil dari kedua-dua lapangan ini dianggarkan mencecah RM65.6 juta setiap hari.

Sebelum ini, Ketua Menteri Sabah Musa Aman secara rasmi mengumumkan lapangan L dan M bukan wilayah Sabah.

“Blok L dan M berkemungkinan besar bukan milik Sabah. Ketua Menteri Sabah Musa Aman mengumumkan perkara itu, maka tentu sekali lapangan minyak ini milik Sarawak. Tetapi BN serah harta negara ini pada Brunei. Amat tidak bertanggungjawab!” katanya.

“Tidak ada logik seandainya ia diserahkan sebagai ganti kepada Limbang kekal sebagai tanah Sarawak. Limbang dari dahulu lagi adalah wilayah Sarawak. Saya bantah apa sahaja usaha yang menjejaskan kedaulatan Malaysia. Bahkan saya sedia mati untuk tanahair,” tegasnya.

Wong Ho Leng berkata BN tidak mempunyai sebarang alasan untuk melucutkan kedaulatan Malaysia keatas lapangan minyak ini, yang sepatutnya digunakan untuk menampung kebajikan rakyat termiskin.

“Sarawak berada di tangga keempat yang termiskin di negara ini. Minyak disedut keluar dari bawah kaki rakyat Sarawak tetapi kita hanya dapat 5 peratus royalti sejak 1970an. Apakah ini adil untuk Sarawak? Masih ramai lagi yang miskin disini, dan kita berhak kepada sekurang-kurangnya 20 peratus royalti,” tegasnya.

Pejabat Ketua AMK Malaysia