Kita selalu berbangga bahawa kita ada kereta nasional. Tetapi adakah industri kereta mencapai tahap yang sepatutnya? Adakah industri kereta kita sama maju dengan Korea Selatan yang sama miskin dengan kita satu masa dahulu?
Kategori: Ekonomi
Ekonomi Malaysia vs Singapura
Ramai yang suka beri alasan jangan bandingkan kita dengan Singapura. Mereka negara kecil sebuah pulau sahaja. Tetapi apa salahnya kita berlapang dada kerana mereka jiran kita yang paling hampir. Berapa jauh sebenarnya mereka sudah meninggalkan kita?
Baguskah Prestasi Ekonomi Negara?
Benarkah Malaysia berada di landasan ekonomi yang betul? Adakah kita berkembang dengan kadar yang sepatutnya? Cuba kita bandingkan dengan Korea Selatan yang bermula pada tahap yang sama dengan kita.
Adakah Kerajaan Serius Menangani Kenaikan Harga Barang?
Saban hari rakyat makin dihimpit kenaikan harga barang. Namun apa respon kerajaan? Adakah mereka serius untuk menurunkan harga barang? Apa jawapan mereka terhadap soalan saya di Parlimen?
Sudah 49 Tahun Bersama Malaysia, Tapi Masih Cerita Tentang Keperluan Asas – Timb. Ketua AMK

Dari KeadilanDaily
18 November 2012
49 tahun merdeka tapi Sabah masih cerita pasal tiang lampu
“Saya sedih. Hampir setengah abad merdeka tapi Sabah masih bercakap soal tiang lampu, jalan raya, air, tanah dan kemiskinan. Patutnya, kita bincangkan soal kualiti hidup.
“Inilah akibatnya apabila kerajaan Umno BN korup,” katanya depan 300 rakyat di Kampung Pelantong, Beluran semalam.
Beliau antara pimpinan yang menyertai Siri Jelajah Tuntutan RM40 Juta Hak Rakyat Sabah kendalian AMK ke seluruh pelusuk Sabah bermula dari Tuaran dan berakhir di Labuan pada 19 November ini.
Antara pimpinan AMK yang ikut serta ialah Ketuanya, Shamsul Iskandar Mat Akin; Pengarah Strategi AMK, Ahmad Zaki Yamani; Naib Ketua AMK, Mohd Nazree Yunus; Timbalan Ketua Penerangan AMK, Rozan Azen Mat Rasip dan Exco AMK Pusat, Dr Natassia Sarah.
Beliau turut menempelak kerajaan Umno BN yang gagal mengatasi kemiskinan rakyat.
“Statistik menunjukkan 40 peratus rakyat cuma berpendapatan bawah RM1,500 manakala di Sabah masih ada yang diberi gaji hari.
“Ini kerja gila, kerja zalim. Gaji dan sumber pendapatan isi rumah terlalu rendah sedangkan kos sara hidup makin naik,” katanya.
— Keadilandaily

Nafi Sahaja Tidak Cukup

Kenyataan Media
Parti KeADILan Rakyat (PKR)
14 Mac 2012
Kenyataan Penafian Tidak Menjernihkan Pelbagai Persoalan Mengenai Integriti Dan Ketelusan Perdana Menteri
1.Sehingga sekarang, tidak ada sebarang maklumbalas dari Perdana Menteri mengenai 8 bukti yang sewajarnya diberikan kepada rakyat agar sebarang keraguan dapat dirungkai secepat mungkin, seperti yang disyorkan KEADILAN; dan
2.Perdana Menteri seolah-olah merasakan kenyataan penafian oleh pejabat beliau dan Shangrila Hotel sudah memadai untuk memadamkan isu ini.
Persoalan yang dibawa bukanlah semata-mata siapa yang menanggung kos majlis pertunangan tersebut, tetapi ketelusan dan operasi Pejabat Perdana Menteri yang sewajarnya mengasingkan di antara kepentingan peribadi dan tugasan umum. Perdana Menteri menjanjikan transformasi politik, ekonomi dan sosial sebagai jawapan kepada tuntutan rakyat agar rasuah dan salahguna kuasa pimpinan diperangi sehabis-habisnya; maka Perdana Menteri perlulah memberikan teladan yang baik bahawa segala urusan Pejabat Perdana Menteri bebas dari sebarang unsur salah guna kuasa dan pecah amanah.
Ini adalah piawaian integriti baru yang dituntut rakyat Malaysia. Mungkin Perdana Menteri merasakan isu ini remeh, tetapi sikap Perdana Menteri menangani isu ini membayangkan sama ada beliau betul-betul ikhlas dalam menjalankan transformasi politik, ekonomi dan sosial negara.
Sebab itu KEADILAN berpendapat masih banyak persoalan yang belum dijawab dalam hal ini, terutamanya apabila dibandingkan dengan satu lagi majlis peribadi yang menggunapakai khidmat Shangrila Hotel.
Pada hari Ahad 24 Julai 2011, Perdana Menteri telah mengadakan satu jamuan meraikan hari lahir beliau di Sri Perdana. Banquet Event Order (BEO) majlis tersebut diedarkan bersama-sama dengan kenyataan akhbar ini.
Berdasarkan BEO tersebut, fakta-fakta berikut adalah tepat:
1.Tempahan turut dibuat oleh Pejabat Perdana Menteri, walaupun ia jelas adalah majlis peribadi Perdana Menteri;
2.Berbanding dengan majlis pertunangan anak beliau, majlis ini dengan jelas menyatakan bahawa ia majlis peribadi Perdana Menteri. Ini menimbulkan persoalan kenapa majlis pertunangan anak Perdana Menteri tidak dinyatakan secara jelas sebagai majlis peribadi, sebaliknya disebut sebagai “majlis Pejabat Perdana Menteri”?
3.Perdana Menteri membelanjakan sekitar RM79,053 untuk satu majlis meraikan hari lahir beliau; pecahannya seperti berikut:
Buffet untuk 100 tetamu @ RM207 setiap seorang RM20,700
Band Syed Sobri @ RM7,300 + 6% cukai RM7,738
Band Batak @ RM5,000 + 6% cukai RM5,300
Minuman 5 gallons @ RM750 + 6% cukai RM795
Gubahan bunga @ RM30,000 + 6% cukai RM31,800
Ca pengendalian @ RM12,000 + 6% cukai RM12,720
JUMLAH RM79,053
4.Majlis tersebut menyajikan 47 juadah antarabangsa termasuklah daging panggang yang diimport dari New Zealand, makanan Jepun, makanan Barat dan lain-lain.
Oleh yang demikian, saya ingin mengajukan soalan-soalan berikut kepada Perdana Menteri jika beliau benar-benar telus dan ikhlas untuk menjadi teladan kepada seluruh rakyat Malaysia:
1.Bilakah beliau akan mengemukakan 8 bukti yang disyorkan KEADILAN agar nama beliau dapat dibersihkan?
2.Dalam masa lebih kurang satu bulan, Perdana Menteri membelanjakan setengah juta ringgit untuk dua majlis mewah di Sri Perdana. Jika beliau bertegas ini dibayar oleh beliau sendiri, bagaimanakah beliau mampu berbelanja sedemikian rupa sedangkan pendapatan Perdana Menteri tidaklah seberapa?
3.Jika perbelanjaan mewah ini ditanggung oleh rakan taulan yang memberi tajaan, siapakah mereka ini dan apakah bukti Perdana Menteri bahawa sumbangan kepada majlis peribadi tidak mempengaruhi apa-apa keputusan beliau selama ini?
4.Wajarkah Perdana Menteri berbelanja besar sebegini untuk majlis hari lahir beliau sedangkan beliau menyeru rakyat Malaysia mengamalkan sikap sederhana (wasatiyah) dan mengawal perbelanjaan dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini? Kos hampir RM800 setiap tetamu ini lebih mahal dari sumbangan BR1M sebanyak RM500 yang diberikan kepada rakyat.
Perdana Menteri boleh sahaja tidak mengendahkan soalan-soalan ini, tetapi dengan bertanyakan soalan sebeginilah rakyat dapat membongkar pelbagai penyelewengan yang berlaku di dalam pengurusan dana awam NFC sehinggakan Barisan Nasional terpaksa tunduk kepada tekanan rakyat.
Perdana Menteri membuat keputusan tidak menyambung tempoh perkhidmatan Dato’ Seri Shahrizat Jalil apabila persoalan moral bersabit integriti sebegini diajukan kepada Dato’ Seri Shahrizat Jalil.
Apabila soalan-soalan yang sama diajukan kepada beliau sekarang, wajarlah beliau juga membuat ‘pengorbanan’ seperti yang dilakukan oleh Dato’ Seri Shahrizat Jalil dengan menjawab satu persatu secara ikhlas dan telus, demi menjaga integriti kerajaan.
Mohd Rafizi Ramli
Pengarah Strategi KEADILAN
Buka Pasaran di Singapura Tidak Masuk Akal – Keadilan

Dari: Malaysiakini
1 Mac 2012
NFC buka pasaran di S’pura ‘tak masuk akal’, kata PKR
Rafizi berkata, NFC juga tidak berhak untuk bercakap mengenai pasaran baru di luar negara sedangkan pengeluaran daging oleh syarikat itu jauh meleset daripada sasaran.
“(Dr Mohamad Salleh) memberikan alasan bahawa pasaran Malaysia untuk membeli daging dari NFC terlalu kecil dan tidak dapat memenuhi pengeluaran NFC. Malah, beliau turut membayangkan hasrat NFC untuk membuka operasi di Indonesia dalam masa yang terdekat.
“Saya berasa kesal kerana alasan yang diberikan tidak dapat diterima akal oleh rakyat Malaysia. NFC sehingga sekarang masih gagal untuk mencapai sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan sebagai syarat untuk mendapatkan projek Pusat Fidlot Kebangsaan dan dana awam RM250 juta,” kata Rafizi dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau membuat perbandingan itu berdasarkan sasaran pengeluaran yang dinyatakan di laman web jabatan berkenaan.
Katanya, lagi pengeluaran syarikat tersebut pada 2010 hanya memenuhi 0.8 peratus daripada sasaran yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar pada 2009.
Kenyataan Rafizi itu timbul ekoran penjelasan dibuat Dr Mohamad Salleh berhubung dakwaan bahawa NFC memiliki satu pasaraya mewah di Singapura.
Dr Mohamad Salleh dilaporkan ini sebagai berkata, NFC membina pasaran di Singapura, dan juga di Indonesia, untuk menampung kemampuan pengeluaran dagingnya sebanyak 78,000 tan menjelang 2015.
—Malaysiakini
Bagaimana Wang KWSP Milik Rakyat Diselewang kerajaan Umno BN?

Sumber: Suara Keadilan
1 Mac 2012
Pengenalan KWSP:
Ditubuh secara rasmi di bawah enakmen Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991 (Akta 452)
Berfungsi menguruskan:
i) pelan simpanan wajib
ii) pelan pesaraan untuk mereka yang bekerja di Malaysia.
Keahlian adalah wajib bagi warganegara Malaysia atau bukan warganegara yang merupakan penduduk tetap.
Sehingga akhir tahun 2010, KWSP tersenarai sebagai antara 10 pengurusan dana pencen terbesar di dunia dengan aset sebanyak USD 145.57 billion
Antara penyelewengan wang KWSP oleh kerajaan Umno BN:
2012:
RM 1.5 billion wang KWSP biayai peminjam bermasalah:
-Kerajaan menggunakan RM 1.5 billion daripada dana KWSP untuk membantu peminjam bermasalah yang ingin memeiliki rumah kos rendah di WP Kuala Lumpur
-Kerajaan dilaporkan meminjam wang dari KWSP pada kadar 5.5% dan mengenakan bunga sebanyak 6.5% kepada yang ingin meminjam daripada kerajaan.
-Ia dikritik ramai pertama kerana langkah itu menambah jumlah hutang kerajaan Umno BN yang sedia ada.
-Kerajaan Umno BN juga dikritik kerana mengenakan caj sebanyak 1% kepada mereka yang meminjam
-Naib Presiden KEADILAN, YB Nurul Izzah, MP Petaling Jaya Utara, YB Tony Pua mencadangkan agar Bank Rakyat dan Malaysia Building Society Bhd mengambil alih tanggungjawab itu.
2011:
KWSP pemberi pinjama terbesaar kepada Kerajaan Persekutuan Umno BN:
-menurut statistik Anggaran Pembelanjaan Persekutuan 2011, KWSP adalah peminjam terbesar kepada Kerajaan Persekutuan apabila meminjamkan RM 56.59 billion kepada Kerajaan Persekutuan Umno BN dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC)
-Badan-badan ini pula masih lagi berhutang sebanyak RM 48.36 billion KWSP
-Pada masa sama, KWSP juga melabur RM93.11 billion keatas bon kerajaan Umno BN.
-Jumlah kedua-dua angka ini meliputi 40% dariada dana yang ada dalam KWSP
-Atau dengan bahasa mudah, KWSP menggunakan 40% WANG RAKYAT MALAYSIA untuk dipinjamkan pada kerajaan Umno BN.
2011:
RM 50 billion dipinjamkan KWSP tanpa sebaarang jaminan:
-Laporan Ketua Audit Negara 2011 mendedahkan KWSP meminjamkan RM 55.1 billion kepada 13 syarikat berkatian kerajaan (GLC) dan hanya 1 daripada 13 pinjaman itu mendapat jaminan kerajaan.
-Banyak pihak berpendapat pemberian pinjaman secara tidak berhemah itu menjadi punca pencarum KWSP menerima dividen yang agak rendah saban tahun.
-Pada 2011, KWSP mengumpul dana sejumlah RM 450.26 billion namun dividen yang diterima pencarum hanyalah 5% pada 2010.
-Sepatutna pengurusan dana sebesar itu boleh memberikan dividen lebih baik sebagaimana PNB yang berjaya memberi sekitar 7-8% setahun
2010:
KWSP meminjamkan RM 3 billion kepada Felda:
-Pada tahun 2010, KWSP meminjamkan RM 3 billion kepada Felda untuk melancarkan ‘Felda Global Venture’.
Sebelum ini Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan membuat pengakuan di dalam Dewan Rakyat bahawa rizab tunai Felda menjunam daripada RM 4.08 billion pada tahun 2044 kepada hanya RM 1.35 billion pada tahun 2009.
2002:
Kegagalan Skim Pengeluaran Pembelian Komputer KWSP:
-Pada tahun 2002, KWSP menggantung Skim Pengeluaran Pembelian Komputer (SPPK) selepas ia berjalan selama lebih lima bulan.
-Ia dibuat kerana KWSP mendapati kebanyakan mereka yang mengeluarkan duit untuk membeli komputer daripada skim itu menyalahgunakan dengan tidak membeli komputer.
1996:
Pinjaman RM 500 juta kepada TimeDotCom:
-Pada tahun 1996, Menteri Kewangan pada masa itu, Tun Daim Zainuddin mengaku bahawa KWSP memberikan pinjama sebanyak RM 500 juta kepada TimedotCom.
-TimedotCom adalah syarikat milik Tan Sri Halim Saad, tokoh korporat Melayu segera yang dilihat ramai sebagai rapat dengan mantan Perdana Menteri, Tun Dr mahathir sewaktu pentadbirannya.
— Team Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK) Malaysia
GE13: Do or Die

Dari: Malaysiakini
11 Januari 2012
Tumbangkan BN atau negara muflis, kata DAP
Malaysia akan muflis menjelang 2019 dengan hutang negara dijangka melonjak sehingga mencapai RM1,300 bilion jika Umno-BN masih mengekalkan pengurusan perbelanjaan dan pinjaman yang tidak bertanggungjawab, kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Sehubungan itu, Lim yang juga setiausaha agung DAP berkata, adalah jelas bagi menyelamatkan negara dari menjadi muflis, rakyat perlu menukar kerajaan pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.
“Pengesahan dari MIER bahawa Malaysia akan bankrap menjelang 2019 dengan nisbah hutang kepada KDNK 100%, menunjukkan keperluan untuk menukar kerajaan dalam pilihan raya Umum akan datang supaya PR boleh menyelamatkan negara daripada kemuflisan,” kata Lim dalam satu kenyataan media.
Beliau mengulas kenyataan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) yang mendedahkan nisbah hutang kerajaan persekutuan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat setiap tahun sehingga 2012.
Menurut Felo MIER, Mohd Ariff Abdul Kareem, sekiranya kerajaan terus meminjam seperti sekarang, nisbah hutang kepada KNDK negara akan mencapai 100 peratus ataupun menyamai KDNK menjelang tahun 2019.
Hutang kerajaan persekutuan pula dilaporkan telah meningkat sebanyak 71 peratus dalam tempoh empat tahun kepada RM456 bilion pada akhir 2011 daripada RM266 bilion pada akhir 2007.
Lebih menrunsingkan kata Lim, kadar pinjaman negara adalah jauh lebih tinggi daripada kadar pertumbuhan ekonomi.
“Ini amat berbahaya, dan lebih teruk lagi jika ditambah dengan data Laporan Tahunan Bank Negara 2010 yang mendedahkan bahawa hutang isi rumah Malaysia pada akhir 2010 berada di tahap RM581 bilion atau pun 76 peratus daripada KDNK, lantas menjadikan Malaysia sebagai negara dengan hutang isi rumah yang tertinggi di Asia selepas Korea Selatan.
“Tambahan pula, nisbah bayaran hutang isi rumah Malaysia berada di tahap 47.8 peratus pada tahun 2010, atau dalam erti kata lain, setengah daripada pendapatan isi rumah digunakan untuk pembayaran hutang,” kata Lim.
Menurutnya, rakyat Malaysia bukan sahaja dibebani hutang piutang, tetapi kos barang-barang harian juga sedang melambung sementara pendapatan dan gaji tidak meningkat.
Selain harga susu bayi yang dilaporkan naik sehingga 50 peratus, beliau memberi contoh antara kos barangan harian turut meningkat.
- Gula: RM1.45/kg (Jan 2010) kepada RM2.30 (Mei 2011) – 58 peratus dalam 18 bulan.
- Telur: Gred B RM9/30biji (Sep 2010) kepada RM10/30biji (sekarang).
- Tarif elektrik: Kenaikan purata 7.12 peratus pada bulan Jun 2011.
- Teh tarik dan kopi susu: Kenaikan RM0.10 hingga RM0.20 (9.1 peratus hingga 18.2 peratus).
- Roti: Kenaikan 5-14 peratus (2011).
Cukai perkhidmatan: Kenaikan 1 peratus (cukai tambahan RM720 juta untuk kerajaan persekutuan).
- Bawang: Kenaikan 17 peratus (Dis 2010).
Selain yang disenaraikan, katanya, makanan kegemaran ramai seperti roti canai, char koay teow dan nasi kandar makin kecil bahagiannya walaupun harga tetap sama.
Justeru, menurut beliau, rakyat yang inginkan kehidupan lebih baik untuk hari ini dan generasi depan perlu memilih sama ada sebuah kerajaan yang boros atau kerajaan yang berhemat dan telus mengutamakan kepentingan rakyat.
—Malaysiakini
Tawaran Jingga Untuk Rakyat Malaysia! – Pakatan Rakyat

Dari: Keadilan Daily
11 Januari 2012
Tawaran Jingga untuk rakyat 14 Januari ini
PETALING JAYA 11 Jan: Manifesto Pakatan Rakyat untuk Pilihan Raya Umum ke-13 akan dikemukakan pada konvensyen Pakatan Rakyat yang bakal diadakan di Alor Setar, Kedah 14 Januari ini.
Ahli parlimen Pakatan Rakyat di sidang media hari ini mendedahkan bahawa manifesto berkenaan akan dibentangkan melalui beberapa kertas kerja yang memfokuskan isu rakyat.
“Konvesyen ini adalah konvesyen yang penting dalam memberitahu rakyat tentang tawaran pakatan melalui Tawaran Jingga yang akan dilancar dalam manifesto,” kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.
Antara kertas kerja yang akan dibentangkan ialah mengenai pembaharuan memulihkan perkhidmatan awam oleh exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa dan isu ‘Federalisme’, oleh Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke.
Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim pula akan menyampaikan kertas kerja mengenai anti-monopoli dan Pengerusi Biro Felda Kebangsaan KEADILAN, Suhaimi Said akan membentangkan kertas kerja tentang reformasi Felda.
Menurut Mahfuz, dengan tema ‘Bersihkan Malaysia’, konvensyen kali ini lebih memfokuskan gerak kerja dan strategi bersama tiga parti dalam persediaan pilihan raya umum akan datang
“Konvensyen ini akan memberikan rakyat Malaysia gambaran bagaimana Pakatan bertujuan untuk menyelesaikan isu-isu dalam negara untuk mewujudkan sebuah negara Malaysia yang dimiliki oleh semua rakyat Malaysia, iaitu satu keluarga yang berbilang kaum,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.
Manakala Naib Presiden KEADILAN, N.Surendran berkata Konvensyen ini akan mengumpulkan dan menampil pelbagai pendapat terutamanya dari badan NGO dan Mahasiswa.
“Ini merupakan satu tempat di mana kelompok-kelompok yang datang dari badan bebas serta mahasiswa untuk menyuarakan pendapat mereka,” kata beliau.
Menurut Ketua Pemuda Dap, Anthony Loke Siew pula, Pakatan akan bekerja keras mengatur strategi bersama dalam konvesyen ini untuk persediaan pilihanraya.
“Kita akan lebih kuat dan mengaturkan lebih strategi. Tawaran jingga ini banyak memfokuskan kepada isu-isu masalah rakyat seperti Felda, monopoli, penjawat awam dan sebagainya.
“Ini akan memberi rakyat apa yang kita mampu tawarkan untuk rakyat dalam menawan Putrajaya,” atanya pada wartawan.
—Keadilan Daily