Rizab Antarabangsa Bank Negara Malaysia

Rizab Antarabangsa Bank Negara Malaysia pada

15 April 2011

Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia berjumlah RM369.9 bilion (bersamaan dengan USD122.2 bilion) pada 15 April 2011. Paras rizab ini memadai untuk membiayai 9.8 bulan import tertangguh dan ialah 4.7 kali hutang luar negeri jangka pendek.

Bank Negara Malaysia
22 April 2011

Kertas Putih: YBK Salah Guna Tanah Orang Miskin, Tidak Bayar Cukai

SHAH ALAM, 13 April – Laporan audit ke atas tanah milik Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK)  mendapati badan itu membangunkan  projek komersil atas  tanah untuk orang miskin, serta mencagarkan tanah-tanah lain kepada pihak ketiga serta tidak membayar cukai tanah.

Laporan itu juga mendapati bekas Adun Batang Kali, Datuk Zainal Abidin Sakom menjadi Pengerusi YBK sejak badan itu ditubuhkan pada 1990. Isteri beliau menjadi pemegang amanah YBK.

Zainal turut menjadi ahli Lembaga Pengarah Permodalan YBK Sdn Bhd selain mempunyai kepentingan dalam syarikat yang berurusan dengan YBK.

Lebih mengejutkan laporan itu mendedahkan juru audit kerajaan negeri tidak dapat menyiasat status projek tertentu di Hulu Selangor kerana fail-fail berkaitan sudah diambil terlebih dahulu oleh Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Semakan audit turut mendapati  :-

-16 lot tanah YBK digadaikan kepada individu dan syarikat untuk berjuta-juta ringgit. PYBK terlibat dalam lima cagaran itu, membabitkan RM102 juta.

-Cagaran itu menyebabkan tanah yang sepatutnya dibangunkan untuk membantu orang miskin beralih ke tangan pihak ketiga.

-YBK dan anak syarikatnya diberikan hampir 2,000 ekar tanah namun tidak membayar tunggakan cukai tanah RM7.36 juta kepada kerajaan negeri.

Dalam pada itu sumber-sumber memberitahu YBK menjalin kerjasama dengan tujuh syarikat termasuk empat anak syarikat  – PYBK Usahasama, PYBK Resort and Spa, Servecare dan Serendah Heights yang ditubuhkan dengan modal berbayar RM2 dan RM3.

-Zainal mempunyai saham dalam syarikat PYBK Usahasama, Prihatin Ehsan,PYBK Usahasama, Servecare dan Serendah Sdn Bhd yang menjalankan projek-projek YBK.

– Tanah untuk aktiviti membasmi kemiskinan disalah guna untuk projek komersil. Contohnya di Gombak, “Projek Penempatan Rakyat Termiskin” dibatalkan dan  tanah hampir sembilan ekar dibangunkan untuk tujuan komersil.

– Apabila pasukan audit dalaman cuba mendapatkan maklumat lanjut mengenai aset YBK di pejabat tanah hulu selangor, mereka diberitahu fail berkaitan sudah tiada lagi dalam simpan.

Pegawai pejabat berkenaan melaporkan bahawa fail-fail berhubung urusan tanah YBK telah diambil oleh pasukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dikatakan juga sedang menyiasat kes yang sama.

Dalam pada itu sumber-sumber kerajaan negeri memberitahu Akaun  YBK tidak telus dan tersasar daripada pelembagaan badan itu.

– Contohnya, undang-undang tubuh YBK mensyaratkan badan itu harus membelanjakan 70 peratus pendapatan untuk melaksanakan projek membantu orang miskin, tetapi ini tidak dilakukan.

– Pada 1996, hanya 15 peratus daripada pendapatan RM23juta dibelanjakan untuk projek.

– Pada tahun 2007, YBK mempunyai aset atau harta bernilai RM20 juta. Ini juga tidak dimanfaatkan mengikut garis panduan YBK untuk membantu golongan miskin.

Laporan audit juga mendapati  Penyata Kewangan 2008 yang disiarkan dalam laman YBK tidak telus, tidak mempunyai pecahan atau nota terperinci sebagaimana seharusnya.

Kerajaan negeri Selangor mengarahkan siasatan audit ini diadakan selepas YBK enggan bersikap telus dan menolak keperluan Menteri Besar dan barisan exco mengambil peranan langsung dalam menguruskan YBK.

Ini untuk memastikan segala sumbangan kerajaan negeri di manfaatkan sepenuhnya untuk golongan miskin dan tidak dibolot oleh pemimpin tertentu.

Khalid berkata kerajaan negeri akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk mengkaji laporan audit berkenaan dan mengatur langkah untuk memastikan tidak ada lagi penyelewengan atas tanah-tanah yang disumbangkan kepada yayasan tertentu untuk tujuan amal.

Sumber: TvSelangor

Pejabat Ketua Angkatan Muda Keadilan

Malaysia

Siapa untung di sebalik penyahsenaraian AAAN, Astro

KUALA LUMPUR, 19 Mac: Usaha menjadikan Astro All Asia Network Plc (AAAN), pengendali tunggal penyiaran televisyen langganan Malaysia sebagai sebuah syarikat persendirian dengan tawaran harga RM4.30 sesaham atau atau RM 8.5 bilion bagi keseluruhan kepentingan dipersoalkan.

Bagi Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar (gambar), AAAN perlu menjelaskan motif di sebalik transisi tersebut.

“Sekian lama disenaraikan dalam Bursa Saham Malaysia, mengapakah baru sekarang Datuk Badri Masri (Pengerusi dan Pengarah Bukan Eksekutif AAAN) mahu melakukan transisi penyahsenaraian ini,” soal beliau.

“Adakah (transisi penyahsenaraian) ini dibuat setelah AAAN puas mengaut keuntungan ketika menjadi syarikat penyiaran yang diberi lesen tunggal oleh kerajaan (iaitu) setelah diberi monopoli oleh kerajaan Barisan Nasional.”

Beliau berkata, dengan mengeluarkan kepentingan AAAN dari Bursa Saham Malaysia (BSM), membolehkan beberapa pemegang syer utama dalam syarikat penyiaran langganan nasional itu mengaut kepentingan berganda.

“Kalau disenaraikan dalam Bursa Saham (Malaysia), kepentingan dan keuntungan itu boleh dikongsi oleh banyak pihak, kalau keluar (dari) BSM, beberapa pemain, yakni pemegang syer yang boleh menggandakan kekayaan,” jelasnya yang juga Naib Presiden PAS.

Dalam pada itu, walaupun ada beberapa pihak mendakwa, transisi penyahneraian itu disebabkan AAAN tidak yakin dengan prestasi pentadbiran ekonomi kerajaan, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Mahfuz secara peribadi tidak menganggap demikian.

Menurut Mahfuz, transisi penyahsenarian ini turut membabitkan nasihat secara langsung adik kepada Najib sendiri, iaitu Datuk Seri Nazir Tun Razak.

Selaku Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB Group Holding Berhad, Mahfuz berkata, Nazir tentu mempunyai sebab-musabab yang kuat sebelum membuat pengumuman tawaran pengambilalihan dalam dagangan saham-saham AAAN tersebut.

Selain Nazir, Mahfuz berkata, Ananda Krishnan, pemilik syarikat telekomunikasi persendirian Maxis terbabit dalam menjadikan AAAN sebagai syarikat persendirian sekarang.

“Seperti transisi penyahsenaraian Maxis (pada tahun) 2007 lalu, mula-mula Ananda menggunakan lesen penyiaran Astro ini sebagai langkah pertama beliau di dalam industri ini.

“Dari Malaysia, beliau kemudiannya membuka penyiaran yang sama di beberapa negara jiran seperti Indonesia,  juga Astrolia.”

Kata beliau lagi, Astro dijadikan batu loncatan untuk beliau berkembang maju dalam bidang tersebut.

Dengan erti kata lain, kata Mahfuz, lesen Astro adalah pemangkin kepada Ananda dalam meneroka pasaran antarabangsa.

“Sekarang, apabila sudah menikmati pulangan yang baik daripada AAAN, AAAN pula hendak dijadikan syarikat persendirian,” beliau menambah.

Sehubungan itu, beliau mempersoal tentang hak Malaysia sendiri dalam memperkukuh AAAN sehingga tahap sekarang.

“Adakah ini adil untuk Malaysia,” soal Mahfuz.

“Malaysia yang memberikan landasan ini, adakah tindakan ini ibarat kacang lupakan kulit.”

Sekiranya tindakan penyahsenaraian tersebut sebagai langkah korporat, menurut Mahfuz, kerajaan Malaysia juga boleh mengambil inisiatif lanjutan demi memecah monopoli AAAN dan Astro dalam industri penyiaran berbayar domestik dan global.

“Kalau begini, kerajaan Malaysia patut membuka syarikat ini kepada syarikat-syarikat lain, tidak perlu membiarkan Astro memonopoli penyiaran langganan domestik lagi,” tegas beliau.

Demi memulihara hak tanah air secara korporat, Mahfuz bercadang mengetengahkan isu penyahsenaraian AAAN dari BSM tersebut ke Dewan Rakyat dalam masa terdekat.

“Insya Allah saya akan bertanya sendiri isu penyahsenaraian ini kepada (Datuk Seri Utama) Dr. Rais Yatim (Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan) di Dewan Rakyat kelak,” jelasnya.

Di Dewan Rakyat, beliau juga menasihatkan kerajaan supaya membuka lesen-lesen penyiaran langganan yang baru demi memecah monopoli AAAN dan Astro, selain melebarkan industri penyiaran langganan sebagai sumber ekonomi negara.

Dari segi yang lain, beliau turut mempersoal penyahsenaraian AAAN tersebut kerana menganggap usaha itu seolah-olah mengulangi sejarah penyahsenaraian Maxis di BSM pada 2007 yang lalu.

“Dulu pun Ananda tarik diri (Maxis) dari BSM, kemudian senaraikan semula Maxis dengan hanya syarikat operasi Maxis sahaja dalam BSM.”

“Selepas syarikat Maxis yang beroperasi (di) luar seperti di Indonesia tidak lagi disenaraikan dalam BSM, adakah ini langkah yang sama yang hendak dilakukan ke atas AAAN?” soal beliau.

Kelmarin, dilaporkan Nazir turut berkata, Astro Holdings tidak berhasrat untuk mengekalkan status penyenaraian AAAN dan penyahsenaraian mungkin akan berlaku pada pertengahan  Jun tahun ini.

Tambah Nazir lagi, Astro Holdings turut berkeyakinan bahawa langkah transisi penyahsenaraian itu mampu meningkatkan pertumbuhan domestik dan antarabangsa AAAN.

Dalam pada itu, CIMB Investment Bank Berhad dilantik sebagai penasihat Astro Holdings untuk tawaran perdangan penyahsenaraian tersebut, manakala AAAN menerima konsultansi dari Kadir Andri & Partners, RHB Investment Bank Berhad dan UBS Securities Malaysia Sendirian Berhad.

Sumber: Harakahdaily

Pejabat Ketua Angkatan Muda Keadilan

Malaysia

Golongan Peniaga Tolak GST, Bukti Rakyat Terbeban

SHAH ALAM 12 Mac – Keputusan kerajaan melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bukan sahaja ditolak oleh rakyat yang kebanyakan merupakan kelas pekerja tetapi juga tidak disokong oleh golongan peniaga sendiri.

Ini kerana kerajaan sehingga hari ini masih gagal memberikan sebarang penjelasan meyakinkan mengenai pelaksanaan cukai itu yang dianggap hanya akan membebankan dan merugikan rakyat keseluruhan.

Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Selangor Syed Shahir Syed Mohamud berkata demikian ketika mengulas kenyataan Persekutuan Pekilang Malaysia yang meminta kerajaan menangguhkan pelaksanaan cukai tersebut.

“Samada golongan peniaga atau pekerja sendiri tidak setuju dengan perlaksanaan GST. Siapa yang suka membayar cukai. Persoalannya ialah apa manfaat kepada golongan yang berpendapatan rendah dengan pelaksanaan cukai seperti ini,” ujarnya.

Beliau yang juga Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkata kerajaan gagal untuk meyakinkan rakyat bagaimana keuntungan dari cukai tersebut akan diagihkan kepada rakyat seperti mana janji kerajaan untuk memperbaiki mutu pengangkutan awam ketika menarik balik subsidi minyak beberapa tahun lalu.

“Kerajaan dikatakan memperuntukkan RM4 bilion untuk memperbaiki mutu pengangkutan awam tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Sistem pengangkutan awam di negara ini masih teruk dan kesesakan jalan raya terlalu padat. Bagaimana pelaksanaan GST ini juga boleh menguntungkan rakyat,” jelas beliau.

Sementara itu Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata kenyataan FMM itu selari dengan keputusan yang dibuat Pakatan Rakyat yang meminta kerajaan menangguhkan bacaan kali kedua Rang undang-Undang GST di Parlimen pada sesi bermula Mac ini.

Menurut Naib Presiden PAS itu penangguhan itu penting bagi membolehkan rang undang-undang itu ditarik balik.

Sumber: Suara-Keadilan

Pejabat Ketua Angkatan Muda Keadilan
Malaysia

MEB Ciplak Agenda Ekonomi Baru KEADILAN

SHAH ALAM 12 Mac – Setiausaha Agung KEADILAN Saifuddin Nasution Ismail berkata Model Ekonomi Baru yang akan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak secara berperingkat, dibuat secara tergesa-gesa dan menggambarkan bahawa kerajaan tidak bersedia untuk menghasilkan satu model ekonomi yang komprehensif dan lengkap.

“Dalam sejarah negara setiap dasar yang dikemukakan kerajaan tidak dilakukan secara berperingkat seperti Dasar Pembangunan Nasional yang menggantikan Dasar Ekonomi Baru yang diumumkan dengan penuh yakin hasil kajian dan penelitian yang begitu rapi,” ujarnya.

Menurut Saifuddin penangguhan dua kali MEB menunjukkan kerajaan pimpinan Najib terpaksa akur dan mengambil kira desakan pihak tertentu yang mahukan dasar itu menyerap semangat Dasar Ekonomi Baru – yang kemudiannya disalahguna untuk kepentingan politik Umno.

“Hal ini berlaku kerana tekanan dari kumpulan “ultra Malay” yang mewakili kelompok tertentu yang mahu mengheret Najib untuk membawa dasar itu ke belakang semula,” kata beliau.

Malah kata Ahli Parlimen Machang itu lagi, MEB sekadar meniru idea yang pernah dilontarkan Ketua Umum KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengemukakan cadangan Agenda Ekonomi Baru pada 2008.

“Agenda Ekonomi baru yang dirangka oleh pemikiran Datuk Seri Anwar bagi merungkai DEB berjaya mengubah trend sokongan pengundi pada pilihan raya yang lalu. Najib terdesak sehingga terpaksa mengikuti jejak langkah Anwar dengan memperkenalkan MEB,” jelas Saifuddin.

Perdana Menteri dilaporkan akan mengumumkan MEB peringkat pertama pada 30 Mac ini manakala peringkat kedua akan diumumkan semasa pembentangan Rancangan Malaysia ke-sepuluh (RMK10).

Pakatan Rakyat mahu kerajaan mengeluarkan draf mengenai MEB lebih awal untuk tatapan umum sebelum pelan transformasi ekonomi itu menguntungkan pihak berkepentingan dalam Umno.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang mendesak jemaah menteri supaya mendedahkan dokumen itu dan rakyat dipelawa memberi pandangan mereka.

Majlis Perundingan NGO Melayu (MPM), yang dipimpin Ahli Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali sebelum ini secara terbuka menentang dasar liberasi kerajaan dan menuntut beberapa keistimewaan seperti yang diperuntukkan di bawah DEB dikekalkan dalam MEB.

Sumber: Suara-Keadilan

Pejabat Ketua Angkatan Muda Keadilan
Malaysia