Rakyat Malaysia Antara Diserang Kapal Perang Israel

MALAYSIAKINI – Rakyat Malaysia yang menaiki sebuah daripada enam flotila bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza diserang kapal perang Israel mengakibatkan 16 orang terbunuh manakala puluhan lagi cedera.

Menurut The Star, rakyat Malaysia itu adalah krew televisyen dari Astro yang menaiki kapal dari Turki.

Sementara itu menurut AFP yang memetik laporan televisyen yang dimiliki Hamas, anggota komando Israel menyerbu sekurang-kurangnya sebuah kapal yang didakwa dipenuhi aktivis pro-Palestin yang berjuang untuk Gaza.

Televisyen Al-Aqsa Gaza, menunjukkan imej video komando Israel yang berpakaian serba hitam turun daripada helikopter dan bertempur dengan kumpulan aktivis, di mana beberapa yang cedera kelihatan terbaring di atas dek kapal itu.

Rangkaian televisyen berkenaan berkata, dua aktivis terbunuh manakala 50 yang lain cedera.

Tentera Israel enggan mengulas laporan itu dan penganjur konvoi bantuan berkata, mereka terputus hubungan dengan bot berkenaan.

Kapal itu membawa lebih 700 penumpang, iaitu peringkat terakhir misi berprofil tinggi bagi menghantar lebih 10,000 tan bekalan bangunan dan yang lain ke Gaza, di mana keadaan di situ lumpuh akibat sekatan Israel sejak 2007.

Pejabat Ketua AMK Malaysia

Protes Seluruh Negara Bantah Judi Esok

MALAYSIAKINI – PAS menganjurkan sekurang-kurangnya lima perhimpunan di pelbagai tempat di seluruh negara esok bagi membantah tindakan kerajaan meluluskan lesen judi sukan.

Protes yang digerakkan Dewan Pemudanya itu akan diadakan di Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu.

Daripada kelima-lima negeri itu, perhimpunan di Terangganu dijangka terbesar, melibatkan sekurang-kuranngnya 3,000 orang.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang (kanan) sendiri dijadual akan turut serta di perkarangan Masjid Pengedang Baru, Kuala Terengganu.

Bercakap kepada Malaysiakini, ahli jawatankuasa PAS Terengganu, Azman Shapawi Abdul Rani berkata pihaknya tidak memohon permit untuk perhimpunan itu kerana ia akan dibuat “secara aman di dalam perkarangan masjid”.

Menurutnya, demontrasi itu dijangka turut dihadiri kepimpinan Pemuda daripada parti lain dalam Pakatan Rakyat.

Sebelum ini, kerajaan secara rasmi dilaporkan memberi lesen judi semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 kepada Kumpulan BERJAYA.

Tindakan itu dibantah pelbagai pihak, khususnya termasuk pakatan pembangkang dan NGO Melayu-Islam di Malaysia.

Sementara itu, Di Perak, Naib Ketua Pemuda PAS negeri Salman Salleh berkata kira-kira 2,000 orang dijangka menghadiri demontrasi di Masjid Sultan Idris Shah II di Ipoh bagi membantah keputusan kerajaan itu.

Umno juga dijemput

“Semua pertubuhan termasuk Umno, Pemuda Pakatan Rakyat dan NGO dijemput bersama kita untuk menzahirkan bantahan pemberian lesen judi,” katanya.

Menurut Salman, demonstrasi itu akan diketuai oleh ketua Pemuda PAS negeri, Zawawi Hassan.

Di Negeri Sembilan, dijangka 1,500 orang akan menyertai demontrasi di Masjid Negeri Sembilan dekat Seremban selepas solat Jumaat.

Ketua Pemudanya Khairil Anwar Mohd Wafa berkata pihaknya turut menjemput pemimpin Pemuda Pakatan yang bukan Islam, termasuk Ketua Pemuda DAP Anthony Loke.

“Kita tidak pohon permit, kalau hendak tangkap, tangkaplah. Kita buat perhimpunan aman. Dulu masa (demonstrasi) membantah (firma perundin) Apco Worldwide tiada tangkapan pun,” kata Khairil Anwar.

Di Pulau Pinang pula ketua Pemuda PAS Mohd Yusni Mat Piah berkata pihaknya menganjurkan demontrasi esok di hadapan Masjid Permatang Gajus, Permatang Pauh selepas solat Jumaat.

Perhimpunan aman tersebut dijangka seramai 1,000 penyokong Pemuda Pakatan, tambahnya.

Demonstrasi di 22 kawasan PAS

Di Selangor pula keadaan agak berbeza apabila tiada demonstrasi di peringkat negeri dianjurkan PAS.

Ketua Pemudanya Hasbullah Mohd Ridzwan berkata Pemuda PAS negeri telah mengarahkan 22 Pemuda kawasan mengadakan demontrasi itu sama ada esok atau Jumaat depan.

“Setakat ini Pemuda PAS kawasan Hulu Langat akan mengadakan demontrasi membantah keputusan kerajaan itu esok,” katanya.

Hasbullah berkata, dijangka kira-kira 200 orang bagi setiap kawasan akan hadir dalam demontrasi itu.

Menurut pemimpin negeri yang dihubungi, kesemua perhimpunan esok dijalankan tanpa memohon permit polis kerana “ia adalah satu perhimpunan aman”.

Difahamkan, pembangkang di negeri-negeri lain, Perlis, Kedah, Pahang dan beberapa kawasan di Selangor akan mengadakan demontrasi itu Jumaat hadapan.

Kemuncak kepada siri demonstrasi tersebut akan dilaporkan diadakan pada 3 Julai ini di Kuala Lumpur bagi menyerahkan memorandum bantahan mereka kepada Yang di-Pertuan Agong.

Pejabat Ketua AMK Malaysia

Perhimpunan Bantah Lesen Judi, Konsert Kecoh

MALAYSIAKINI – Kekecohan berlaku apabila pihak polis cuba menghentikan ucapan pemimpin Pemuda Pakatan Rakyat dan NGO yang membantah tindakan kerajaan mengeluarkan lesen judi pertaruhan bolasepak Piala dunia dan penganjuran konsert 12 jam yang membabitkan artis luar negara, Pitbull.

Mereka mengadakan bantahan tersebut sejurus selepas selesai solat Jumaat Masjid Jamek Kampung Baru pada kira-kira jam 2.10 petang.

Ia berlangsung di atas sebuah pentas dalam kawasan masjid tersebut.

Kejadian itu disaksikan oleh kira-kira 500 orang yang berada di situ, termasuk mereka yang sedang beredar selepas selesai solat Jumaat.

Mereka yang hadir di pentas tersebut ialah pemangku ketua PAS Wilayah Persekutuan (WP) Herman Shamsudeen dan setiausaha Pemuda PAS pusat, Kamaruzzaman Mohamad.

Yang lainnya ialah ketua Angkatan Muda (AMK) Selangor Khairul Annuar Ahmad Zainuddin, wakil Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Zambry Mat Isa, wakil Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Kelab Penyokong PAS dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Majlis itu bermula dengan ucapan Kamaruzzaman selama lima minit, membantah pengeluaran lesen judi pertaruhan tersebut serta penganjuran konsert berkenaan.

Selepas itu, tiba giliran Khairul Annuar pula berucap. Ketika beliau sedang berucap, anggota polis naik ke pentas untuk merampas pembesar suara.

Khairul Annuar bagaimanapun meneruskan ucapannya tanpa pembesar suara.

Pada masa yang sama, kelihatan Kamaruzzaman berunding dengan pegawai polis di belakang pentas.

K

amaruzzaman berkata, beliau meminta kepada polis supaya membenarkan mereka meneruskan majlis itu selama 10 minit.

Bagaimanapun, katanya, pihak polis hanya membenarkan mereka meneruskannya selama lima minit sahaja.

Pihak polis juga kemudiannya memulangkan pembesar suara yang dirampas sebelum ini.

Bagaimanapun, tidak sampai dua minit penceramah berikutnya berucap, anggota polis naik semula ke pentas untuk merampas pembesar suara tersebut.

Ketika itu berlaku insiden tolak menolak dan tarik menarik sehingga ada yang terjatuh dari pentas.

E

koran itu, kata Kamaruzzaman, beliau terpaksa berunding lagi sekali dengan polis supaya membenarkan mereka meneruskan bantahan tersebut.

Bagaimanapun, katanya, pihak polis mengarahkan beliau supaya meminta orang ramai beredar dari situ.

Ekoran itu, katanya, beliau terus meminta orang ramai beredar.

Difahamkan seorang pemuda ditahan ketika kekecohan berlaku di pentas tetapi kemudiannya dilepaskan.

Pejabat Ketua AMK Malaysia

Abim Turut Bantah Lesen Pertaruhan Piala Dunia

MALAYSIAKINI – Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) membantah sekeras-kerasnya serta merasa amat kesal keputusan kerajaan memberi lesen pertaruhan perlawanan bolasepak Piala Dunia 2010.

“Abim menilai keputusan ini seakan tidak menghiraukan sensitiviti di kalangan masyarakat Islam di negara ini oleh pihak berkenaan serta dampak sosial yang diakibatkan dari keputusan tersebut,” kata timbalan presiden Abim, Amidi Abdul Manan.

Abim, tambahnya, berpendirian bahawa keputusan kerajaan mengeluarkan lesen pertaruhan itu langsung tidak mempunyai sebarang justifikasi yang munasabah.

Sebaliknya, tegas Amidi, ia hanya bersifat untuk meraih keuntungan material jangka pendek yang boleh memberikan kesan negatif ke atas masyarakat dan negara.

“Abim dengan ini menyeru kepada semua umat Islam untuk sama-sama membantah keputusan tersebut demi menjaga kesejahteraan setiap lapisan masyarakat di negara ini.

“Pihak Abim akan menggerakkan bantahan ini di seluruh negara bagi memastikan keputusan ini tidak dilaksanakan demi kesejahteraan semua pihak,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, kerajaan dilaporkan meneruskan keputusannya untuk mengeluarkan lesen judi semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 berlangsung awal bulan depan walaupun dibantah banyak pihak.

Dalam kenyataannya petang semalam, Kumpulan Berjaya mengesahkan mendapat lesen tersebut, sekaligus membolehkan pertaruhan secara sah dilakukan sebelum kejohanan berprestij itu bermula pada 11 Jun ini.

Menurut Amidi lagi, tidak ada agama di dunia ini yang membenarkan serta menghalalkan perjudian.

Amidi berkata, ia ekoran impak negatif sosialnya yang secara langsung akan menyebabkan kemusnahan moral individu, institusi keluarga dan masyarakat serta mencemar imej Malaysia yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi persekutuan.

‘Abim dengan ini menggesa dan bertegas agar kerajaan Malaysia menarik semula keputusan pemberian lesen pertaruhan ini demi menjaga kesejahteraan masyarakat dan negara,” tambahnya.

Pejabat Ketua AMK Malaysia

Siasat Pemilik Laman Sosial `Ayah Pin’

HARAKAHDAILY – KOTA BHARU, 10 Mei: Suruhanjaya Komunikasi dan Mulitmedia Malaysia (SKMM) diminta menyiasat pemilik sebenar laman sosial facebook ‘Ayah Pin’ kerana laporannya dibimbangi mempengeruhi masyarakat khususnya umat Islam.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi berkata laman sosial berkenaan dengan jelas begitu berani dan mempersendakan ajaran Islam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung perkembangan laman sosial itu yang kini semakin menjadi perhatian masyarakat.

“Kami dapati laman sosial Ayah Pin begitu berani serta turut memuatkan kenyataan ajaran Islam yang dipesongkan.

“Perkembangan ini amat membimbangkan kita khususnya pada golongan muda takut terpengaruh dengan ajaran itu,” ujarnya lagi.

Kata Nasrudin lagi, tindakan tegas terhadap pemilik tersebut seharusnya diambil oleh kerajaan khususnya di bawah suruhanjaya terbabit.

Beliau bagaimanapun bersyukur ekoran tindakan Dewan Pemuda PAS Pusat dan Dewan Pemuda PAS di beberapa buah negeri membuat laporan polis terhadap laman yang sama dimiliki ‘kafir bangga’ sehingga laman itu telah ditutup.

Untuk itu, ujarnya demi maruah Islam, laman-laman sosial yang menghina ajaran Islam seharusnya dihapuskan.

Pejabat Ketua AMK Malaysia

‘Malaysia Bukan Masyarakat Judi’

MALAYSIAKINI – Kenyataan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Awang Adek Hussein bahawa kerajaan pusat mempertimbangkan untuk mengeluarkan lesen judi sempena Piala Dunia 2010 demi mengelakkan berleluasa kegiatan judi haram adalah satu kenyataan yang memalukan dan amat menyalahi cara fikir yang lurus. Saya ingin tegaskan hal ini berasaskan perkara berikut:

1. Dari segi Islam adalah menjadi asas bahawa ‘tindakan pemerintah terikat dengan maslahah’. Maslahah dalam konteks ini adalah kepentingan atau kebaikan rakyat dan negara itu sendiri. Ini seperti juga yang disebut oleh al-Imam al-Syafi’i r.h: “Kedudukan pemerintah di sisi rakyat bagaikan kedudukan penjaga anak yatim” (lihat: Al-Sayuti, al-Asybah wa al-Nazair). Apakah memberikan lesen judi itu memberikan kebaikan atau mempunyai kepentingan umum rakyat? Atau ia hanya kepentingan segelintir taukeh dan kaki judi semata?! Jika ia tidak memulangkan kepentingan umum atau kebaikan kepada rakyat maka itu bukan tindakan pemerintah yang bertanggungjawab.

2. Tidak dinafikan judi dan arak memang mempunyai keuntungan dan beberapa manfaat untuk pihak-pihak tertentu. Namun, ancaman dan bahayanya jauh lebih besar dibandingkan manfaat yang bakal diterima. Al-Quran menyebut: (maksud) “Mereka bertanya engkau (wahai Muhammad) tentang arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa (keburukan) yang besar dan manfaat kepada manusia. Namun dosa (keburukan) keduanya lebih besar dari manfaatnya” (Surah al-Baqarah ayat 219). Maka dengan itu, sekadar untuk digunakan cukai judi berkenaan untuk kegiatan sukan bukan satu alasan. Kerosakan judi lebih besar dari manfaat yang akan diterima. Membiayaan untuk membaikinya nanti jauh lebih tinggi.

3. Judi sama ada ‘dilesenkan’ atau tidak dilesen keburukannya sentiasa dominan. Ia menyebabkan pembaziran tanpa sebab, sikap bergantung nasib tanpa kewarasan, merosakkan keluarga, menimbulkan tabiat suka berhutang, membawa kepada kejatuhan ekonomi individu secara mengejut, ketagihan tabiat buruk tersebut yang luar biasa dan berbagai lagi keburukan yang lain. Akal waras manusia dari semua aliran agama dan masyarakat, bahkan yang tidak beragama pun tetap menyatakan judi selalu merosakkan masyarakat.

4. Jika pun judi itu untuk masyarakat bukan Islam, saya tetap katakan masyarakat Malaysia bukan masyarakat judi. Tiada ajaran mana-mana agama yang menggalakkan judi. Tiada siapa pun dalam mana-mana bangsa atau agama dalam negara ini sanggup untuk mendakwa ‘judi adalah budaya kami’, atau ‘kebanggaan hidup kami’. Jika ada, itu terkeluar dari norma kewarasan. Tiada isteri yang normal sukakan suaminya kaki judi. Maka, jangan kaitkan atau hidupkan budaya ini secara terbuka dalam masyarakat kita. Kaki judi sentiasa dipandang negatif dalam semua masyarakat yang rasional.

5. Judi akan menggalakkan tabiat berhutang dan pergaduhan. Sama ada diberi lesen atau tidak, tetap sama. Hutang along atau hutang bank, tetap bebanan hutang. Jika diberi lesen terbuka, yang tertutup tetap berjalan seperti biasa. Itu bukan alasan yang munasabah.

6. Peranan pemerintah adalah mencegah keburukan, bukan menaja atau bersaing dengan penjenayah. Cadangan tersebut hanya mengubah ‘tauke’ sahaja dari yang berlesen kepada yang tidak berlesen. Apakah nanti mungkin kita akan wujudkan tempat ‘hisap candu berlesen’ untuk mengelakkan penagih candu menghisapnya di tempat yang tidak berlesen? Jangan fikir lesen dan cukai keuntungan sahaja, kerajaan hendaklah berfikir kesan yang akan menimpa rakyat nanti!

7. Maka, saya sekali lagi membantah cadangan ini dan meminta semua rakyat Malaysia yang waras dan mempunyai nilai-nilai agama dan moral membantah cadangan ini!

Pejabat Ketua AMK Malaysia

Beza arahan dan pandangan peribadi

ZAID IBRAHIM – Sultan Selangor telah bertitah bahawa masjid tidak boleh digunakan untuk tujuan politik. Titah itu luas sekali skopnya. Saya yakin baginda berniat ikhlas dan jujur tetapi tafsiran titah itu mungkin diambil kesempatan oleh pihak-pihak tertentu.

Titah itu perlu diambil kira dalam konteks Perlembagaan Persekutuan dan kuasa-kuasa raja. Contohnya, apakah doa yang disambut oleh semua mukmin supaya “raja kita sanjung dan dipanjangkan umur” itu sebenarnya tidak bersifat politik? Kadang-kadang kita dengar dalam khutbah rasmi solat Jumaat yang memuji-muji kerajaan Barisan Nasional. Apakah itu bukan politik?

Titah itu adalah pendapat peribadi baginda. Ia bukan arahan, perintah atau “decree”. Dalam sistem Raja Berpelembagaan, sultan tidak boleh mengeluarkan arahan atau perintah seperti zaman raja-raja Melaka dahulu. Menurut Perlembagaan, apa-apa kehendak baginda mestilah disalurkan melalui Majlis Agama Negeri yang bermesuayarat dan keputusan mesyuarat itu akan diwartakan atau dijadikan “gazette” tentang apa-apa peraturan yang dikira perlu seperti mengeluarkan fatwa yang sah dan sebagainya. Pendapat sultan hanyalah pandangan peribadi. Sekurang-kurangnya ia boleh dianggap sebagai nasihat yang baik – untuk semua pihak, bukan bagi mana-mana individu atau kumpulan sahaja.

Jadi tak timbul soal Tok Guru Nik Aziz melanggar arahan Sultan Selangor seperti yang didakwa oleh Perdana Menteri Najib Razak. Tok Guru dan ramai lagi orang Islam yang tak sependapat dengan pendirian peribadi Sultan Selangor. Pada zaman sekarang dan mengikut Perlembagaan, tak sependapat hanya bererti berbeza pandangan. Ia bukan satu kesalahan. Ia juga bukan perbuatan menghina.

Lainlah pula bila Sultan Pahang menitahkan supaya Kartika Sari Dewi tidak perlu dirotan; ia adalah keputusan yang sah kerana baginda ada kuasa di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri untuk berbuat demikian. Itu pun ramai yang membantah dan melenting, malah ada yang mengkritik keputusan Sultan Pahang, termasuk dari Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

Jadi mengapa Najib tidak membela Sultan Pahang atas keputusan baginda yang sah dari segi undang-undang tetapi hanya mahu membela Sultan Selangor walaupun itu hanya pendapat peribadi?

Sebabnya, politiklah. Bila Sultan melakukan sesuatu yang nampak menguntungkan UMNO, maka mesti Najib bela. Sepatutnya Perdana Menteri mesti faham perbezaan antara perintah dan arahan, dengan pendapat dan pandangan peribadi, dalam konteks Perlembagaan Persekutuan. Barulah rakyat terutamanya orang Islam tidak mudah dipesongkan dengan dakyah politik.

Pejabat Ketua AMK Malaysia

Usah Bersekongkol Dengan Negara Barat Hingga Pinggir Negara Islam

TVSELANGOR – KLANG 27 APR: Kerajaan Selangor berharap Malaysia tidak bersekongkol dengan negara Barat hingga meminggirkan negara Islam lain semata-mata pemimpin mahu emmpertahan kuasa politik melalui sokong kuasa dari luar.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata demikian hari ini ketika merasmikan majlis tilawah al-Quran peringkat Selangor bagi tahun hijrah 1431.

Dalam ucapannya, beliau berkata kerajaan negeri mengambil berat terhadap pembinaan warga negeri yang cergas jasmani dan rohani, sekali gus menghindar perbuatan keji dalam masyarakat.

“Misalnya, salah guna kuasa, rasuah, berjudi, membeli nombor ekor, berzina, buang bayi dan banyak lagi perbuatan terkutuk” kata Khalid.

Selain itu, Khalid juga berharap tiada mana-mana umat Islam yang cuba menidakkan kebenaran ayat-ayat al-Quran kerana ia membawa kerugian.

“Setiap umat Islam mesti yakin dengan peringatan Allah yang terkandung dalam al-Quran supaya kekuatan lahiriah dan batiniah dapat memandu kita menjadi warga cemerlang dalam semua bidang,” katanya.

Majlis berkenaan berlangsung di Masjid As-Syarif, Meru Klang bersempena Tilawah al-quran selama empat hari sehingga 30 April ini.

Pejabat Ketua Angkatan Muda Keadilan

Malaysia

Cakap Berbelit Serlahkan Sifat Munafik Zulkifli Noordin

KUALA LUMPUR 8 Apr – Angkatan Muda KEADILAN Malaysia menganggap kenyataan berbelit Ahli Parlimen Bebas Kulim-Bandar Baharu berhubung dakwaan pembbaitan pihak ketiga dalam kes pembunuhan Altantuya Shaaribuu menyerlahkan sifat munafik Zulkifli Noodin.

Demikian menurut kenyataan AMK yang dikeluarkan hari ini yang mengulas beberapa siri ‘pendedahan’ yang sedang ligat diputar belit oleh media berikutan kenyataan Zulkifli.

AMK berkata media pro-BN seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian giat menyiarkan pendedahan Ahli Parlimen Bebas Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim bahawa beliau dimaklumkan oleh Zulkifli bahawa pihak ketiga yang beliau maksudkan ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Zulkifli pada 23 Mac 2010 yang lepas mendedahkan di Dewan Rakyat bahawa beliau ditawarkan ganjaran yang disifatkannya boleh menggoyah iman untuk mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor oleh ‘pihak ketiga’ yang tidak didedahkan.

“Walaupun begitu, ia sama sekali berbeza dengan apa yang diceritakan oleh Zulkifli melalui wawancara Suara Keadilan bertarikh Julai 2007 di mana tatkala beliau ditanya apakah faktor beliau menarik diri daripada menjadi peguam Azilah Hadri, alasan yang diberikan adalah disebabkan oleh tindakan Azilah yang mahu mengubah strategi pembelaan di saat akhir meskipun sebanyak 12 sesi konsultansi diadakan di antara beliau dan Azilah. Strategi Azilah, disifatkan Zulkifli, merosakkan strategi pembelaan yang dirancang lebih awal yang hanya memberi kelebihan dan perlindungan kepada ‘pihak ketiga’.

“Sebagai peguam, Zulkifli sewajarnya tahu akan etika guaman yang tidak membenarkan sebarang kenyataan subjudis yang boleh mengganggu perjalanan mahkamah, dalam keadaan rayuan bagi kedua tertuduh bagi kes ini masih berjalan. Tindakan ini jelas satu penghinaan kepada mahkamah umumnya,” kata Ketua AMK dalam kenyataan tersebut.

AMK menimbulkan persoalan mengapa Zulkifli acapkali memberikan kenyataan yang samar dan meragukan?

“Sewajarnya sebagai seorang Muslim yang bertanggungjawab, beliau harus mendedahkan siapa pihak ketiga yang dimaksudkan sedari awal lagi, bukannya mewujudkan dua versi cerita yang berbeza mengikut iktikad politik beliau.

“Sekiranya benar Zulkifli seorang yang benar-benar Muslim yang taat pada agama, mengapa Zulkifli masih taat dan wala’ kepada seorang pemimpin yang kononnya tergamak memfitnah orang lain dan berusaha memalitkan orang tersebut dalam kes pembunuhan Altantuya ini?

“Adalah sesuatu yang memelikkan apabila Zulkifli, yang acapkali menggambarkan beliau sebagai “Muslim First” gagal memperlihatkan kemusliman beliau dalam berhadapan dengan kes Altantuya. Malah, sikap berdolak dalik dan menimbulkan keraguan seumpama ini hanya merupakan sebahagian daripada sikap syaitan yang acapkali dijelaskan di dalam Al-Quran, khususnya seperti yang diungkapkan di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 14-16. Zulkifli tidak pernah mendedahkan sebarang nama pun, baik dalam cerita ‘pihak ketiga’ ini termasuklah seloka,” tegas beliau lagi.

Tambah AMK memperlihatkan diri sebagai Muslim yang baik tidak terhad dengan berketayap ataupun memberi khutbah di merata tempat, sebaliknya keazaman untuk mempertahankan kebenaran meskipun pahit adalah sesuatu yang patut dijunjung oleh individu seperti Zulkifli.

Memutar belit cerita dan menimbulkan keraguan yang tidak munasabah adalah hanya satu unsur munafik yang menghampiri sikap syaitan.

“AMK menyimpulkan bahawa, Zulkifli harus berhenti daripada meneruskan sikap berdolak-dalik seumpama ini. Jangan cemarkan imej Islamik yang dibawa beliau ke sana sini kerana ianya hanya menghampiri sikap syaitan yang sesat lagi menyesatkan umat manusia seluruhnya,” kata beliau lagi.

Shamsul Iskandar Mohd Akin

Ketua Angkatan Muda Keadilan

Malaysia

Sumber: Suara-Keadilan