Khairy Bermatian Pertahan Apco Kerana Kawan Baik Omar Mustapha Ong?

Jamilah Kamarudin

KUALA LUMPUR 30 Mac – Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap dakwaan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang cuba menggaitkan beliau dengan pegawai tinggi Apco Worldwide sebagai satu usaha mengalihkan persoalan sebenar yang membabitkan keselamatan negara.

Sambil menyifatkan dakwaan Khairy sebagai sebagai tidak berasas, Anwar turut mempersoalkan tindakan Khairy yang cuba melarikan diri daripada berbincang perkara pokok berhubung Apco.

“Saya kenal Khairy, saya juga kenal Najib, saya kenal Muhyiddin, jadi isunya apa?

“Isunya sekarang Apco memainkan peranan dalam kerajaan Malaysia dan pimpinan kerajaan Malaysia. Soal saya hadir dalam persidangan dengan orang Israel sebanarnya ramai juga hadir dalam persidangan termasuk dengan tokoh ulama Sheikh Dr Yusuf al-Qaradhawi, begitu juga saya hadir dalam persidangan persatuan Hindu, Kristian dan sebagainya, itu bukan isu.

“Isunya sekarang Khairy cuba nak lari daripada isu penglibatan dia dan Omar Mustapha Ong  dengan syarikat Ethos yang boleh  menjejaskan keselamatan negara.

“Soal siapa kenal siapa tak penting kerana yang menjadi persoalan utamanya adalah menggunakan kepakaran Israel yang mendedahkan rahsia keselamatan dan strategi negara kepada bahaya.

“Tiada negara yang berbuat demikian melainkan anda sangat terdesak,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen tengahari tadi.

Khairy dan Omar Mustapha Ong dikatakan mempunyai hubungan persahabatan yang rapat.

Anwar turut mempersoalkan tindakan Khairy yang selama ini bertanggungjawab menjadi wakil ‘jurucakap’ mempertahankan tindakan bagi pihak Apco di Parlimen.

“Kenapa Khairy bertanggungjawab menjawab kepada pihak Apco. Ini sangat meragukan. Anda merujuk kepada soal keselamatan negara dan Perdana Menteri yang sepatutnya jawab isu ini. Khairy bukan sebahagian daripada kerajaan, dia hanya Ketua Pemuda Umno. Saya minta kerajaan beri penjelasan bukan dia, kenapa dia beriya sangat nak pertahankan Apco?,” katanya.

Beliau turut menyelar dakwaan fitnah Khairy yang mengatakan ini hanyalah cubaannya untuk mengalih pandangan rakyat kepada krisis parti KEADILAN yang kini dikatakan bermasalah.

“Bukan saya yang minta dan mengarahkan untuk membuka isu ini. Saya diarah oleh Speaker. Jika saya tolak untuk jawab saya akan didakwa. Ini bukan nak alih pandangan, ini helah kerajaan nak tekan saya tapi saya bangkit dan kemukakan fakta mengenai perisikan tentera Israel dalam seluruh jentera kita disini.

Mereka ingat saya tidak ada bahan tapi mereka silap besar,” katanya,” tegas Ketua Pembangkang itu.

Anwar juga menggesa supaya kerajaan segera membatalkan kontrak perkhidmatan Apco dan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat skandal yang disifatkan sebagai mencalar maruah negara dan mampu mengeruhkan hubungan dengan negara Islam lain.

“Pemimpin Pakatan Rakyat yang lain mencapai kata sepakat agar usul menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan dan kita akan kemukakan usul itu kemudian,” katanya.

Sumber: Suara-Keadilan

Pejabat Ketua Angkatan Muda Keadilan

Malaysia

Nik Abdul Aziz Dahului Senarai Penerima Darjah Kebesaran Kelantan

KOTA BAHARU 30 Mac – Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendahului senarai  639 penerima Anugerah Gelaran Kebesaran, darjah,bintang, pingat, surat kepujian dan Jaksa Pendamai oleh Pemangku Raja Kelantan,Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra, esok.

Nik Abdul Aziz menerima Anugerah Gelaran Kebesaran Datuk Bentara Setia yang membawa gelaran Datuk.

Tiga lagi yang turut menerima Anugerah Gelaran Kebesaran ialah Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria (Datuk Lela Negara), Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Che Yusoff (Datuk Bentara Luar) dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Aiseri Alias (Datuk Seri Setia Raja). Kesemua gelaran kebesaran itu membawa gelaran Datuk.

Seramai 70 yang lain akan turut menerima darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk. Mereka ialah isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi yang menerima  Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SPMK).

Tengku Sri Jaya Raja, Datuk Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz pula penerima tunggal Ahli Yang  Pertama (Seri Paduka) bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SPMK).

Lima penerima Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia  (SJMK) ialah Datuk Tengku Salwani Almarhum Sultan Yahya Petra, Datuk Tengku Rozan Almarhum Sultan Yahya Petra,  Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, Kapten Datuk Tengku Ahmad Farizanudean Datuk Khairi dan Datuk  Tan Kok Hwa.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan pula penerima tunggal Ahli Yang Kehormat Yang  Pertama (Seri Paduka) bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SJMK).

Peguam Datuk Sukri Mohamed dan Pengelola Istana Diraja Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad pula menerima  Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (SPSK) manakala dua lagi  menerima Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota   Kelantan Yang Amat Terbilang (SPSK) iaitu Ketua Polis Kelantan Datuk Abdul Rahim Hanafi dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan adalah penerima tunggal Darjah Pahlawan Yang Amat Gagah  Perkasa (PYGP).

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Aiseri Alias berkata sebanyak 84 penerima akan menerima darjah dan pingat kebesaran pada majlis yang akan berlangsung di Istana Balai Besar esok manakala majlis penganugerahan bagi penerima lain akan diadakan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Beliau berkata pengurniaan darjah kebesaran itu tidak mempunyai kaitan dengan sambutan Hari Keputeraan Sultan Kelantan seperti kelaziman kerana sambutan itu pada kali ini hanya membabitkan majlis tahlil di semua masjid sahaja.

“Pemangku Raja Kelantan pada bila-bila masa berhak mengurniakan darjah kebesaran ini yang kebetulan  berlangsung pada hari esok,” katanya.

Esok dan lusa adalah cuti umum di Kelantan sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan Ke-60.

-Bernama

Sumber: Suara-Keadilan

Pejabat Ketua Angkatan Muda Keadilan

Malaysia

Faham Erti Keadilan Baru Cakap Soal Melayu

BATU KURAU 28 Mac – Ketua Umum KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihati umat Islam supaya memahami prinsip asas ajaran Islam iaitu keadilan sosial sebelum mempersoalkan isu lain.

Beliau berkata adalah penting masyarakat islam memahami tujuan utama disebalik hukum syariah supaya tidak terjerumus kepada kezaliman dan tindakan yang merugikan umat.

“Kita jangan tergolong dalam manusia yang berbicara mengenai kebaikan tetapi tidak pertahankan kebaikan. Oleh sebab itu kita mesti faham dalam kehidupan kita samada perjuangan kita baik dalam keluarga, masyarakat, politik, ekonomi atau sosial tidak lari daripada dasar akidah.

“Keyakinan kita kepada Islam mesti mencernakan akhlak yang baik kalau kita kata kita beriman. Akhlak yang baik itu pula melahirkan sahsiah, keperibadian yang baik dan sahsiah yang baik itu melahirkan roh perjuangan yang betul,” kata Anwar pada majlis tazkirah di Masjid Kampung Jelai di Batu Kurau, Perak semalam.

Dalam tazkirah selama kira-kira 30 minit itu Anwar menerangkan silap faham mengenai prinsip keadilan yang diwakili Islam akan menyebabkan orang Islam melakukan perbuatan yang bertentangan dengan ajaran agama yang suci.

“Oleh sebab itu kita mendengar sesetengah pihak berkata mereka mahu menegakkan Islam tetapi pada masa yang sama membenarkan tindakan keluarga pemimpin negara membeli kilang arak terbesar, San Miguel di Filipina.

“Justeru itu istiqamah itu yang penting dan juga tarbiyah, sebab itu kita lihat ‘katak’ lompat sebab tarbiyah kurang dan keadaan ini harus kita perbaiki. Bila kita cakap pasal Islam mesti pada zahir iaitu akhlak, tidak semesti pada janggut dan kopiah sahaja.

“Maka yang paling penting ialah paksi, asas kena jelas dan soal Melayu, Islam, kenegaraan masuk dalam kategori kedua. Kalau kita lihat ayat-ayat Al Quran awal yang diturunkan sebelum hijrah dan  sebelum Nabi SAW berjuang seperti Surah Al Muzammil, ajarannya ialah kita mesti tunduk kepada kebesaran Allah SWT. Kalau tidak kita akan tunduk kepada kebesaran projek, kebesaran tender, JKKK, pangkat atau wang ringgit. Oleh itu kalau kita balik kepada pangkal atau fundamental ini, bila kita bicara pasal politik, ekonomi, sosial ia tidak akan lari daripada prinsip keadilan,” kata Ketua Pembangkang kepada jemaah yang hadir.

Begitu juga dalam isu membantu orang Melayu, prinsip keadilan itu juga jangan dilupakan ujar beliau.

“Kita nak tolong Melayu tetapi apakah tolong Melayu itu dengan cara memperkayakan dua tiga kerat orang sahaja dan biarkan rakyat Melayu terbanyak yang bawah merempat? Adakah adil jika kita mentadbir negara kemudian itu kita ambil kesempatan untuk jadikan keluarga kaya raya. Kita kata kita mahu orang patuh pada Islam, siapa minum bir kena rotan dan Islam jelas dalam perkara ini tetapi bila ada pembesar, pemimpin parti, keluarga mereka beli syarikat arak terbesar di Filipina semua orang diam. Kenapa bila kena orang besar kita diam tetapi bila perkara sama dilakukan orang kampung, orang biasa kita tangkap, kita hukum.

“Islam tidak kata kalau orang bawah curi potong tangan tapi orang besar ambil RM540 juta komisyen beli kapal selam, dia selamat tak kena hukum, bila RM50 dikatakan rasuah tetapi RM540 juta komisyen kapal selam dikatakan komisyen, apabila perbezaan ini berlaku ini bermakna tidak tertanam roh perjuangan dalam diri.

“Kita juga bagaimana perlaksanaannya bila mereka kata nak tolong Melayu tapi bila tengok senarai Melayu yang paling kaya hanya adik Perdana Menteri, anak Perdana Menteri, yang kita ni apa, hamba abdi, kuli kelas tiga? Kalau kekayaan itu melimpah hanya kepada dua tiga kerat orang sahaja dan yang lain tengok saja ini tidak adil.

Anwar juga menyentuh mengenai erti pergorbanan dalam perjuangan menuntut keadilan dan kebenaran sambil tanggungjawab pemimpin bukan untuk mencari habuab diri sendiri.

“Tanggungjawab bukanlah keistimewaan. Bila jadi pemimpin nak kontrak, berebut habuan, kalau ini terjadi maka hilang roh perjuangan. Kita tak boleh berjuang dapat habuan dulu baru tanggungjawab.

“Kita nak Melayu macam mana jadi pemimpin? Kita mahu Melayu yang ikut amanah dan bertanggungjawab dan bukannya Melayu yang guna Melayu lain untuk kayakan diri sendiri dan keluarga,” tegas Anwar lagi.

Sumber: Suara-Keadilan

Pejabat Ketua Angkatan Muda Keadilan

Malaysia

Bebaskan Malaysia Daripada Kezaliman Umno-BN

TAIPING 28 Mac – Malaysia kini terbahagi kepada dua – satu Malaysia untuk Perdana Menteri dan isteri beliau sementara satu lagi untuk rakyat bawahan.

Gejala ini menurut Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membawa kepada satu keadaan di mana golongan elit pemerintah bebas melakukan apa sahaja termasuk merampas harta rakyat tanpa disabitkan dengan undang-undang negara manakala golongan rakyat biasa ditindas dan dikenakan hukum walaupun untuk kesalahan yang kecil.

“Umno bercakap pasal Melayu dan mempertahankan Islam tapi ahli keluarga pemimpin Umno, Mirzan anak Dr Mahatir bukan setakat botol arak, kilang arak terbesar di Filipina, San Miguel, dibeli tetapi di mana ustaz Umno saya nak tanya. Kenapa senyap?

“Tetapi apabila tiga gadis Melayu minum arak mereka disebat, dikenakan tindakan. Kalau nak laksanakan hukum syariah tidak ada diskriminasi, ini kalau puak kaya Umno minum arak sampai muntah kedarah, beli kilang arak tidak apa, rakyat biasa miskin buat salah sikit hukum, kenakan tindakan undang-undang. Hukum apa ini? Sebab itu saya katakan ada dua Malaysia – satu untuk Najib dan Rosmah dan satu lagi Malaysia untuk rakyat miskin yang boleh dipijak, ditindas.

“Kes qazaf begitu juga, sanggup ustaz Umno nak lawan supaya kes qazaf ini tidak di bawa ke mahkamah syariah. Islam jenis apa yang mereka perjuangkan? Malah fatwa Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradawi pun puak-puak ni nak lawan dan perlecehkan, mereka ini memang sejahil-jahil manusia,” kata Anwar semasa pelancaran program Gempita Perak Ke Putrajaya di Simpang, Taiping semalam.

Tambah Anwar Perak di bawah pentadbiran Menteri Besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Nizar Jamaluddin telah membawa banyak perubahan serta membela nasib rakyat miskin tetapi telah disabotaj oleh Umno da Barisan Nasional.

“Di Parlimen saya nyatakan senarai tanah yang diluluskan kepada pekebun Cina dan juga Melayu dan India. Adalah fakta ini dilaporkan oleh akhbar seperti Utusan? Mereka tuduh saya ejen Cina dan kita dengan cakap DAP di Perak tetapi mereka tidak laporkan kita beri tanah kepada Cina miskin tetapi kita juga beri tanah lebih banyak kepada Melayu miskin.

“Umno beri gunung di Genting kepada tauke judi nombor satu, Lim Goh Tong, kenapa tidak bersuara? Lepas itu beri Bukit Tinggi kepada tauke judi nombor dua pula, Vincent Tan, ustaz, pemimpin Umno tak bising pun, pulau diberi kepada jurtwan Cina, Francis Yeoh, kenapa Umno senyap. Mereka ini bukan Cina ka?

“Umno kata dia pejuang Melayu tapi Melayu jenis apa? Hanya untuk kroni dan kauk keluarga mereka. Keluar senarai Melayu terkaya di Malaysia, kita tengok yang tersenarai Syed Mokhtar, seorang kroni Umno, lepas tu nama Nazir, adik Perdana Menteri dan juga Mokhzani anak Dr Mahathir. Ada kita lihat nama orang Melayu biasa dalam senarai tersebut? Semuanya anak beranak pemimpin dan kroni Umno.

“Begitu juga dengan Ketua Pemuda Umno, berapi-api kata pejuang Melayu dan tuduh kita dengan bermacam-macam fitnah tapi umur baru 30 tahun sudah ada beratus-ratus juta. Mana dapat semua wang itu?,” kata Anwar kepada lebih 300 penyokong.

Anwar yang dalam lawatan sehari ke Perak juga mengambil kesempatan membidas beberapa Ahli Parlimen yang melompat parti dan menjadi anggota Bebas yang dianggap beliau telah mengkhianati kepercayaan dan amanat rakyat.

“Bagaimana mereka tergamak mengkhianati amanat rakyat. Rakyat menyokong mereka dengan keringat dan airmata kerana yakin mereka akan membawa perubahan di bawah Pakatan Rakyat. Disebabkan oleh tekanan dan pujuk rayu Umno dan BN mereka sanggup tinggalkan perjuangan dan bersama-sama bersekongkol dengan pihak yang zalim dan perasuah. Macam mana mereka boleh tunjukkan muka mereka kepada rakyat?

Ketua Pembangkang berkata atas alasan yang beliau sebutkan perlunya Malaysia dan rakyat negara ini diselamatkan daripada terus berada di bawah cengkaman umno-BN.

“Negara kita tidak lagi selamat. Baru-baru ini Menteri Pertahanan Zahid Hamidi kata ada kakitangan kementerian beliau terlibat jual rahsia keselamatan negara tapi tidak mengapa mereka bukan pengkhianat sebab sudah dipulihkan. Begitu juga beli kapal selam ambil komisyen RM540 juta akhirnya kapal selam tak boleh menyelam, beli jet Sukhoi komisyen RM400 juta, beli jet F5-E enjin boleh hilang. Umno tidak lagi boleh menjaga keselamatan negara kerana terlalu banyak rasuah dan penyelewengan sebab itu mereka serang saya tidak henti-henti kerana saya dedahkan segala keburukan mereka kepada rakyat,” kata Anwar lagi.

Sebelum itu Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Perak, Mustafa Kamil Ayub dalam ucapan beliau menaruh keyakinan perjalanan Pakatan Rakyat ke Putrajaya semakin hampir mencapai kejayaan.

“Misi kita ke Putrajaya adalah ‘unstoppable’, tidak boleh dihalang atau disekat lagi. Ini diyakinkan dengan kenyataan bahawa 49.7 peratus pengundi Malaysia telah memilih Pakatan Rakyat pada PRU 2008. Kita harap bermula di Perak kita akan ambil kembali Perak pada pilihan raya akan datang dengan kemenangan lebih besar dan begitu juga dengan kerajaan pusat,” kata beliau.

Sumber: Suara-Keadilan

Pejabat Ketua Angkatan Muda Keadilan

Malaysia

Pemuda PAS Bantah Kartun Sweden Hina Nabi

Oleh Faizal Ezzany

KUALA LUMPUR 26 Mac – Dewan Pemuda PAS Pusat hari ini mengadakan demonstrasi aman di Kedutaan Sweden bagi membantah tindakan tiga akhbar di negara itu yang telah menghina Nabi Muhammad SAW.

Lebih 1,000 umat Islam berkumpul bersebelahan bangunan Tabung Haji di Jalan Tun Razak selepas menunaikan solat Jumaatsebelum berarak ke kedutaan tersebut kira-kira 500 meter sahaja daripada tempat tersebut.

Demonstrasi diketuai Ketua Pemuda PAS Pusat Nasrudin Hassan Al Tantawi, Naib Ketua Pemuda PAS Pusat Ahmad Sabki Yusof dan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Jais Abdul Karim.

Setibanya kumpulan itu ke kedutaan Sweden di Plaza OSK, Jalan Ampang kira-kira jam 2.15 petang, Nasrudin, Sabki dan Jais kelihatan naik ke pejabat kedutaan tersebut di tingkat 8 untuk menyerahkan memorandum bantahan mereka.

Memorandum dua halaman itu ditandatangani 19 NGO Islam, antara lain menuntut kerajaan Sweden mengambil tindakan tegas terhadap tiga akhbar terbabit yang telah menimbulkan kemarahan umat Islam seluruh dunia.

Nasrudin menegaskan penghinaan tersebut tidak boleh diterima kerana mencabul kesucian agama.

“Sebelum ini beberapa karikatur Rasulullah telah dikeluarkan oleh akhbar Denmark dan kini pula di akhbar Sweden. Penghinaan seperti ini tidak boleh dipandang ringan oleh umat Islam bahkan ‘non-Muslim’, justeru itu ia satu pencabulan terhadap kesucian agama,” tegas beliau.

Selain tindakan menyiarkan karikatur menghina Nabi Muhammad Pemuda PAS juga mengecam tindakan Israel untuk membina kuil di atas tapak Masjid Al-Aqsa.

“Pemuda PAS juga memandang serius isu yang sedang berlaku di Baitulmuqaddis pada ketika ini. Berikutan tindakan pembinaan Kuil Al-Kharab di sebelah Barat Masjid Al-Aqsa yang mencemari kota suci umat Islam.

“Pihak penjajah Zionis juga telah mengumumkan pembukaan kuil tersebut sebagai langkah permulaan untuk membina kuil Haikal Sulaiman di atas tapak Masjid Al-Aqsa yang akan diruntuhkan kelak.

“Umat Islam seluruh dunia diseru agar mempertahankan kesucian Masjid Al-Aqsa yang menjadi Kiblat pertama umat Islam dan bumi Israk Mikraj Rasulullah SAW,” kata Nasrudin lagi.

Kumpulan tersebut berarak sambil membawa kain rentang dan poster bertulis “Kami Kasih Nabi”, “Jangan Hina Nabi Muhammad” dan “Kami Berjuang Untuk Nabi Kami” sambil  bertakbir dan berselawat, mereka melaungkan slogan anti-Sweden seperti “Biadap Sweden” dan “Jahanam Sweden”.

Kumpulan penunjuk perasaan itu juga membakar bendera Sweden kira-kira jam 3.00 petang.

Sebelum ini dilaporkan lakaran karikatur yang menggambarkan kepala Nabi Muhammad pada badan anjing – karya pelukis Sweden Lars Vilks dikemukakan sebagai bahan pameran di sebuah pusat warisan budaya Sweden. Bagaimanapun, lakaran itu ditolak atas sebab-sebab keselamatan.

Namun, sebuah akhbar Sweden kemudian menyiarkannya bersama tulisan editorial yang mempertahankan kebebasan bersuara. Tiga lagi akhbar Sweden kemudiannya turut menyiarkan semula karikatur itu.

Kira-kira 40 anggota polis , termasuk Unit Simpanan Persekutuan (FRU) mengawal sekitar kawasan tersebut. Tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku dilaporkan.

Sumber: Suara-Keadilan

Pejabat Ketua Angkatan Muda Keadilan

Malaysia