12 Rakyat Malaysia Selamat, Kini Di Haifa

MALAYSIAKINI – Wisma Putra hari ini mengesahkan 12 rakyat Malaysia yang berada dalam kapal Mavi Marvara yang ditawan Israel semalam selamat tetapi kini ditahan di Haifa.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata usaha membawa pulang mereka itu sedang dilakukan dengan kerjasama beberapa negara seperti Turki, Jordan, Ireland dan Filipina.

Dua hari lalu, kapal Mavi Marmara – kapal utama flotila enam kapal yang ditugaskan menghantar bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza yang diserbu dan diserang oleh tentera rejim Israel.

Pada kejadian itu, sekurang-kurangnya 20 aktivis pro-Palestin dibunuh manakala puluhan yang lain cedera.

Rakyat Malaysia yang berada di kapal itu adalah sebahagian daripada 480 aktivis pro-Palestin yang ditawan komando Israel.

Mereka dalam misi yang dinamakan Lifeline4Gaza, yang mengambil bahagian dalam ‘Flotila Kebebasan’ bagi membawa bantuan kemanusiaan ke Semenajung Gaza.

Adalah dipercayai Lifeline bukan badan kemanusian tunggal dari Malaysia yang terbabit, kerana ada beberapa kumpulan yang bergerak secara berasingan dengan kapal yang lain.

Pejabat Ketua AMK Malaysia

Serang Flotila: Kedutaan AS Di Malaysia ‘Diserbu’

MALAYSIAKINI – Seperti di negara lain, rakyat Malaysia turut berdemonstrasi membantah serangan berdarah komando Israel kepada flotila bantuan pro-Palestin dengan ‘menyerbu’ bangunan kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur hari ini.

Pembangkang, NGO, pelajar mula kelihatan membanjiri bangunan itu sejak jam 10.30 pagi tadi secara berperingkat-peringkat bagi menyatakan perasaan marah mereka.

Dalam satu bantahan oleh kumpulan pembangkang tengah hari tadi, kira-kira 100 orang berkumpul di kedutaan itu di Jalan Tun Razak bagi menyerahkan memorandum bantahan mereka kepada kuasa dunia itu.

Demonstrasi yang diketuai Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar itu mulai riuh apabila wakil kumpulan itu tidak dibenarkan masuk ke dalam bangunan kedutaan untuk menyerahkan memorandum dua halaman itu.

Mereka membawa sepanduk dan melaungkan reaksi yang tidak puas hati terhadapat isu ini.

Kumpulan itu antaranya melaungkan slogan anti-Israel seperti “hancur Israel”, “jahanam Israel” “mampus Israel”.

Antara pemimpin pembangkan yang turut serta dalam perhimpunan tersebut Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa dan Naib Presiden PAS Salahudin Ayub dan pengarah stategi PKR Tian Chua.

Berucap ringkas di depan kedutaan itu, Mahfuz menyeru rakyat Malaysia terus membantu warga Palestin, dengan memutuskan segala perhubungan dengan Amerika Syarikat dan Israel.

Dua kumpulan bergerak berasingan

“Harapkan ini merupakan langkah awal (membantu Palestin),” kata Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena.

Turut berucap menyatakan perasaan tidak puas hati dalam perhimpunan itu Tian Chua, Nasharuddin dan beberapa pemimpin Pemuda PAS.

Sejam sebelum itu, perhimpunan oleh sekumpulan 200 aktivis NGO di tempat yang sama menyaksikan sedikit kekecohan ekoran tindakan seorang pesertanya yang cuba membunuh diri kerana tidak dapat mengawal perasaan.

Dalam demontrasi anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) itu, presidennya Datuk Ibrahim Ali turut menyerahkan memorandum bantahan mereka kepada pihak Amerika Syarikat yang dilihat sebagai sekutu rapat Israel.

Sementara itu, demonstari terbesar hari ini di kedutaan sekutu kuat Israel itu dianjurkan oleh NGO Lifeline4Gaza yang disertai 300 peserta.

Lifeline4Gaza merupakan NGO yang menyelaraskan bantuan kemanusian daripada Malaysia ke Palestin.

Kedua-duanya perhimpunan itu berlaku serentak di tempat yang sama tetapi mereka kelihatan bergerak dalam kumpulan yang berbeza.

Dalam perhimpunan Lifeline4Gaza, pengarah Muslimrelief Zulkifli Mohd Nani yang mengetuai kumpulan itu menyeru semua rakyat Malaysia terus berdemonstrasi membantah tindakan ganas tentera Israel semalam.

Katanya, pada Jumaat ini mereka akan sekali lagi berkumpul di tempat itu bagi menyatakan bantahan mereka.

Pejabat Ketua AMK Malaysia

Rakyat Malaysia Antara Diserang Kapal Perang Israel

MALAYSIAKINI – Rakyat Malaysia yang menaiki sebuah daripada enam flotila bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza diserang kapal perang Israel mengakibatkan 16 orang terbunuh manakala puluhan lagi cedera.

Menurut The Star, rakyat Malaysia itu adalah krew televisyen dari Astro yang menaiki kapal dari Turki.

Sementara itu menurut AFP yang memetik laporan televisyen yang dimiliki Hamas, anggota komando Israel menyerbu sekurang-kurangnya sebuah kapal yang didakwa dipenuhi aktivis pro-Palestin yang berjuang untuk Gaza.

Televisyen Al-Aqsa Gaza, menunjukkan imej video komando Israel yang berpakaian serba hitam turun daripada helikopter dan bertempur dengan kumpulan aktivis, di mana beberapa yang cedera kelihatan terbaring di atas dek kapal itu.

Rangkaian televisyen berkenaan berkata, dua aktivis terbunuh manakala 50 yang lain cedera.

Tentera Israel enggan mengulas laporan itu dan penganjur konvoi bantuan berkata, mereka terputus hubungan dengan bot berkenaan.

Kapal itu membawa lebih 700 penumpang, iaitu peringkat terakhir misi berprofil tinggi bagi menghantar lebih 10,000 tan bekalan bangunan dan yang lain ke Gaza, di mana keadaan di situ lumpuh akibat sekatan Israel sejak 2007.

Pejabat Ketua AMK Malaysia

AMK Bidas SPR Melengahkan Pendaftaran Pengundi Baru

TVSELANGOR – Untuk sekian kali, Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengulangi kecaman mereka terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dilihat melengah-lengahkan proses pendaftaran pengundi baru.

Tindakan SPR ini sukar diterima berikutan pilihan raya umum ke-13 digembar-gembur banyak pihak, bakal berlangsung seawal tahun depan.

Ini menimbulkan kesangsian kerana SPR seolah-olah ia disengajakan berikutan pengundi baru terdiri dari golongan muda yang cenderung menyokong Parti Keadilan Rakyat.

SPR baru-baru ini mengakui seramai 4.5 juta pengundi baru yang memenuhi syarat, tidak mendaftar sebagai pemilih.

Bercakap pada sidang media Kongres PKR ke-6, Ketua AMK Pusat, Shamsul Iskandar menyifatkan SPR mengambil sikap sambil lewa dalam proses pendaftaran pengundi baru.

“Kita mengambil keputusan untuk melaporkan dan memaklumkan tentang kepincangan yang berlaku dalam SPR,tindakan-tindakan SPR yang lewat kebelekangan ini menunjukan mereka dengan sengaja seolah-olah melengah-lengahkan pendaftaran

pengundi baru,” kata Shamsul.

Shamsul mendesak SPR segera menyelesaikan masalah teknikal yang dihadapi mereka, malah turut melontar cadangan tetapi dipandang sepi oleh suruhanjaya itu.

Katanya, AMK pada kongres ini turut meluluskan usul meminta pengerusi SPR meletak jawatan jika tidak berupaya menunaikan tanggungjawab mereka.

Menyokong cadangan pendaftaran automatik pengundi baru apabila berusia 21 tahun, Iskandar kesal kerana masalah ini menjejaskan usaha AMK untuk mendaftar pengundi baru.

“Antaranya masalah ialah borang daftar pengundi muda ini sudah habis dan borang untuk mengundi tidak cukup, masalah penolong pendaftar sehingga kini sukar untuk meluluskan,walhal setiap parti dibenarkan untuk melantik 2 orang penolong pendaftar yang untuk mewakili parti,” tegas Shamsul.

Dalam pada itu, Adun Rawang Gan Pei Nie mengesyaki kelengahan SPR bukan disebabkan masalah teknikal.

“Sebenarnya ini adalah masalah teknikal yang kecil dan kita yakin kita boleh atasi tetapi Nampak sekarang SPR sengaja melambat-lambatkan semua proses ini dan menyusahkan siapa yang ingin melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia untuk mengundi wakil rakyat yang mereka mahukan.tetapi kita mahu SPR jawab dalam masa seminggu mengapa semua ini berlaku,” kata Gan.

Pejabat Ketua AMK Malaysia

Majlis Tempatan Selangor Haramkan Pertaruhan Sukan

MALAYSIAKINI – Beberapa majlis tempatan di Selangor akan bertindak membekukan lesen premis pertaruhan yang menawarkan judi sukan.

Bermula dengan Majlis Badaraya Petaling Jaya pada Selasa lalu, gerakan berkenaan menjalar ke Selayang, semalam dan hari ini Ampang Jaya pula mengambil tindakan yang sama.

Bercakap pada sidang media selepas mesyuarat majlis berkenaan, ahli majlis, Latheefa Koya berkata mereka bertindak mengikut Seksyen 101, Akta Kerajaan Tempatan yang meliputi isu berhubung kesihatan, keselamatan dan keselesaan.

Latheefa, yang juga ketua penerangan PKR berkata judi sukan memudaratkan kesihatan mental dan menjadikan sukan sebagai aktiviti yang tidak menyihatkan.

Menurut ahli majlis Selayang, Lee Khai Loon, mereka boleh menghalang aktiviti perjudian dengan mengawal pengeluaran lesen premis perniagaan, yang mensyaratkan jenis perniagaan yang mereka jalankan.

“Premis perjudian seperti Sports Toto menyenaraikan loteri sebagai item perniagaan mereka, justeru, pertaruhan sukan bukan dalam senarai itu.

“Untuk menyenaraikan pertaruhan sukan sebagai antara item perniagaan, pengendali perlu membuat permohonan kepada majlis tempatan dan pendirian kami adalah untuk menolak permohonan seumpama itu,” katanya sambil menambah keputusan mereka adalah sebulat suara.

Malah menurut Khai Loon, yang juga adalah ketua penerangan Pemuda PKR, pihak majlis tempatan tidak akan teragak-agak menutup premis yang menawarkan judi sukan.

“Kita mempunyai 24 ahli majlis dan dengan bantuan orang ramai yang juga akan menjadi mata dan telinga untuk Majlis Perbandaran Selayang,” katanya.

Pejabat Ketua AMK Malaysia

Rayuan Anwar Ditolak, Liwat II Akan Diteruskan

MALAYSIAKINI – Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menangguh perbicaraan kes liwat beliau sementara menunggu keputusan rayuan untuk mendapatkan kenyataan saksi utama yang juga pengadu kes berkenaan, Saiful Bukhari Azlan.

Berikutan keputusan hari ini, perbicaraan kes liwat ketua pembangkang itu akan pada 31 Mei ini.

Hakim Sulong Matjeraie, yang mengetuai panel tiga hakim berkata keputusan yang dibuat oleh hakim mahkamah tinggi adalah sah.

“Adalah tidak betul bagi menangguhkan perbicaraan sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan.

“Jika rayuan itu dibenarkan, hakim perbicaraan boleh memanggil semula saksi (Saiful) pada bila-bila masa perbicaraan sebelum keputusan dibuat. Dia masih boleh disoal-balas.

“Malangnya, kita tidak boleh memenuhi permintaan penangguhan itu dan permohonan dengan ini ditolak,” katanya.

Sebelum itu, pagi tadi, Hakim Mahkamah Rayuan, Md Apandi Ali melucutkan dirinya sendiri daripada mendengar rayuan daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan permohonan daripada peguam Karpal Singh.

Mahkamah rayuan sebelum ini dianggotai oleh tiga panel membabitkan hakim – Sulong Matjeraie, Ramly Ali dan Md Apandi.

Karpal membantah kehadiran Md Apandi sebagai seorang daripada anggota panel itu kerana beliau adalah bekas ahli Umno dan terbabit dalam beberapa kes petisyen pilihan raya.

Md Apandi juga adalah bekas bendahari dan juga penasihat undang-undang Umno Kelantan.

Menurut Karpal, permohonan berkenaan dibuat bagi mengelakkan persepsi bahawa keputusan akan berat sebelah terhadap ketua pembangkang itu.

Permohonan itu dikemukakan kepada Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Md Sheriff di kamarnya.

Selepas berehat, hakim Sulong memberitahu mahkamah bahawa Md Apandi secara suka-rela mengundurkan diri dan tempatnya digantikan oleh hakim Zaharah Ibrahim.

Panel berkenaan adalah bagi mendengar permohonan Anwar supaya pihak pembelaan dibekalkan dengan kenyataan saksi utama Mohd Saiful Bukhari Azlan yang juga pengadu dalam kes liwat berkenaan.

Pejabat Ketua AMK Malaysia

‘Pornthip Penipu’: Nazri Bebas Hina Mahkamah

MALAYSIAKINI – Mahkamah Koroner Shah Alam hari ini menolak permohonan keluarga mendiang Teoh Beng Hock yang memfailkan notis usul menghina mahkamah terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Menurut koroner, Azmil Muntapha Abas (kiri, bertali leher) kenyataan yang dibuat oleh Nazri itu adalah “pandangan peribadinya”.

Beliau turut berpendapat, tiada bukti menunjukkan bahawa kenyataan itu bertujuan untuk campur tangan dalam prosiding inkues menyiasat punca kematian Beng Hock

Keputusan itu berikutan komen Nazri yang dilaporkan oleh Malaysiakini pada bulan lalu, di mana beliau melabelkan pakar patologi Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand yang dibawa oleh kerajaan negeri Selangor itu sebagai “penipu”.

Ia berhubung penjelasan Pornthip mengenai keenggannya untuk ke Kuala Lumpur menyambung memberi keterangan kerana bimbangkan keselamatannya.

Pada 11 April lalu, Pornthip memberitahu Malaysiakini bahawa beliau telah “dinasihatkan” oleh pegawai-pegawai tinggi Jabatan Kehakiman Thailand – tempat beliau bertugas sebagai ketua pengarah Institut Sains Forensik Pusat – supaya jangan ke Malaysia untuk menghadiri inkues tersebut.

Beliau berkata, kementerian kehakiman telah menerima maklumat daripada kementerian luar Thailand bahawa beliau mungkin menghadapi masalah jika ke Malaysia, termasuk kemungkinan dihalang memasuki negara ini.

Menurutnya, kementerian luar Thailand telah menarima “isyarat” dari kerajaan Malaysia melalui “saluran tidak rasmi” bahawa kehadiran beliau dalam inkues tersebut, adalah tidak disenangi.

Berikutan itu, peguam Karpal Singh memfailkan permohonan itu bagi pihak abang Teoh, Meng Kee – bagi memenjarakan Nazri kerana kenyataannya yang mendakwa pakar patologi dari Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand sebagai “penipu”.

Usul itu difailkan melalui firma guaman Karpal Singh & Co di pejabat pendaftar Mahkamah Majistret Shah Alam dan dibuat mengikut Perkara 26 Akta Mahkamah-mahkamah Rendah 1948.

Pejabat Ketua AMK Malaysia

Enjin F-5E: Saman 5 Pegawai Dipecat TUDM Ditolak

MALAYSIAKINI – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak saman yang dikemukakan lima bekas pegawai kanan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dipecat selepas kehilangan dua enjin jet F-5E TUDM pada 2007.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datin Zabariah Mohd Yusof, membuat keputusan itu di dalam kamar selepas membenarkan permohonan kerajaan, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin, dan Majlis Angkatan Tentera Malaysia, yang dinamakan sebagai defendan, membatalkan saman itu.

Terdahulu, beliau mendengar hujah peguam Mohd Syahril Daud yang mewakili kelima-lima bekas pegawai kanan berkenaan dan Peguam Kanan Persekutuan Aida Adha yang mewakili defendan.

Mohd Syahril memberitahu pemberita, mahkamah juga memerintahkan kelima-lima bekas pegawai kanan itu membayar RM7,000 sebagai kos undang-undang kepada para defendan.

Katanya, mahkamah bersetuju dengan hujah defendan bahawa pemecatan perkhidmatan kelima-lima mereka dibuat mengikut peruntukan statutori Perkara 77, Akta Angkatan Tentera, dan mereka tertakluk di bawah undang-undang awam.

“Mahkamah juga memutuskan permohonan untuk mencabar keputusan itu hanya boleh dibuat melalui semakan kehakiman dan bukannya melalui saman pemula,” katanya.

Mohd Syahril berkata, mahkamah juga memutuskan saman itu tidak boleh diteruskan mengikut undang-undang kerana ia pelanggaran kepada proses mahkamah dan adalah remeh dan membazirkan masa sahaja.

Katanya, beliau akan mendapatkan arahan daripada anak guamnya sama ada akan mengemukakan rayuan atau tidak.

Lima bekas pegawai kanan itu ialah Brig Jen Abdul Hadi Abdul Khatab, Mejar Rusli Ibrahim, Mejar Noor Zeelan Draman, Lt Kol Mohamed Ariff Mohd Daud dan Kol Mohamad Sani Sumarnak. Mereka memfailkan saman pemula pada 7 Januari lalu.

Mereka berkata, mereka telah dipecat dan dilucutkan pentauliahan pada Jun 2008 kerana kesalahan tatatertib semasa penyiasatan kehilangan enjin jet berkenaan.

Mereka mendakwa akibatnya, mereka telah diaibkan kerana seolah-olah mereka telah menipu kerajaan, mengakibatkan angkatan tentera dan kerajaan mengalami kerugian kewangan yang besar, berkomplot dengan kontraktor untuk menipu kerajaan dan sebagai pegawai kanan tentera yang tidak amanah.

Mereka juga tidak dibenarkan menggunakan pangkat masing-masing selepas mereka dipecat daripada perkhidmatan.

Masing-masing memohon diisytiharkan pemecatan mereka daripada perkhidmatan dan pelucutan pentauliahan mereka adalah menyalahi undang-undang, cacat dan batal kerana defendan tidak menyatakan secara spesifik kesalahan tatatertib yang mereka didakwa telah lakukan.

Mereka juga mahu dibayar semua gaji, elaun dan faedah yang mereka berhak dari Jun 2008 sehingga mereka mencapai umur bersara penuh selain daripada ganti rugi antara RM1 juta hingga RM5 juta.

– Bernama

Pejabat Ketua AMK Malaysia

Keluarga Saksi Buat Laporan ‘Cubaan Bunuh’

MALAYSIAKINI – Keluarga saksi utama kes pelajar 14 tahun yang mati ditembak polis, Aminulrasyid Amzah – Azamuddin Omar membuat laporan polis mengenai apa yang didakwa mereka sebagai percubaan membunuh ke atasnya.

Laporan itu dibuat di ibu pejabat polis daerah Shah Alam pada jam 2.12 petang hari ini oleh abangnya, Mohd Hafizzuddin Omar.

Azammuddin (pertama dari kanan) adalah penumang di bahagian depan ketika kereta yang dipandu oleh Aminulrasyid ditembak.

Remaja itu juga mendakwa tembakan berulang kali dilepaskan ke arah mereka oleh polis dan dia dibelasah selepas kereta mereka terhenti.

Hafizzudin juga meminta Kementerian Dalam Negeri menubuhkan satu badan bebas bagi menyiasat perkara itu dengan segera.

‘Tutup kebenaran’

Serentak dengan laporan polis itu, keluarga Aminulrasyid juga membuat laporan mendakwa pihak polis cuba menutup kebenaran di sebalik kematian remaja itu.

Laporan itu dibuat oleh kakak Aminulrasyid – Norazura Amzah, 39(kiri).

Peguam keluarganya, N Surendran yang hadir pada sidang media berkata laporan polis itu adalah permulaan pusingan pertama tindakan undang-undang oleh keluarga itu bagi membersihkan nama anak mereka.

Menurut Surendran, mereka berharap polis akan memandang berat laporan itu dan menyiasat dakwaan berkenaan.

Katanya, laporan polis itu juga meminta KDN menubuhkan badan bebas untuk menyiasat beberapa kenyataan dikeluarkan pihak polis yang didakwanya seolah-olah bertujuan menutup kes itu.

Pejabat Ketua AMK Malaysia

MP Kapar: “Jangan Buang Masa Telefon Saya”

MALAYSIAKINI – Ahli parlimen Kapar S Manikavagam mendakwa telah dilaga-lagakan dengan kepimpinan PKR dan kerajaan Selangor ekoran dakwaannya terdapat penyelewengan dalam syarikat kerajaan negeri, Kuala Semesta Sdn Bhd (KSSB).

“Sejak kebelakangan ini ada pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap isu (KSSB) ini untuk melaga-lagakan saya dengan kepimpinan parti dan kerajaan Selangor.

“Nasihat saya kepada mereka, jangan membuang masa dengan menelefon atau berjumpa dengan saya berhubung isu ini,” kata Manikavasagam (kiri).

Wakil rakyat PKR itu bagaimanapun tidak menyatakan dengan jelas siapakah pihak yang dimaksudkannya itu.

Selepas membuat pendedahan minggu lalu, berlaku cabar-mencabar antara beliau dan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim sehingga mendorong 11 ahli parlimen PKR tampil mencadangkan badan bebas bagi menyiasat dakwaan itu.

Kes KSSB itu juga dijadikan salah satu alasan bagi ahli parlimen Wangsa Maju Wee Cho Keong yang mengumum keluar PKR dan menjadi ahli bebas Jumaat lalu.

Selepas dikaitkan dengan tindakan Wee itu, Manikavasagam – dalam satu kenyataan hari ini – sekali lagi menegaskan kesetiaannya kepada PKR.

“Pendirian saya adalah sama dengan pendirian parti untuk menghapuskan segala bentuk gejala rasuah,” katanya.

Beliau juga berkata, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibraim telah memberikan jaminan kepadanya bahawa aduannya akan disiasat dengan telus dan terperinci.

“Justeru saya membuat keputusan untuk menyerahkan isu ini kepada ketua umum parti untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Dakwaan Manikavasagam itu kini dirujuk kepada Jawatan Kuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT), di bawah DUN Selangor.

Pejabat Ketua AMK Malaysia