Rayuan Anwar Ditolak, Liwat II Akan Diteruskan

MALAYSIAKINI – Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menangguh perbicaraan kes liwat beliau sementara menunggu keputusan rayuan untuk mendapatkan kenyataan saksi utama yang juga pengadu kes berkenaan, Saiful Bukhari Azlan.

Berikutan keputusan hari ini, perbicaraan kes liwat ketua pembangkang itu akan pada 31 Mei ini.

Hakim Sulong Matjeraie, yang mengetuai panel tiga hakim berkata keputusan yang dibuat oleh hakim mahkamah tinggi adalah sah.

“Adalah tidak betul bagi menangguhkan perbicaraan sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan.

“Jika rayuan itu dibenarkan, hakim perbicaraan boleh memanggil semula saksi (Saiful) pada bila-bila masa perbicaraan sebelum keputusan dibuat. Dia masih boleh disoal-balas.

“Malangnya, kita tidak boleh memenuhi permintaan penangguhan itu dan permohonan dengan ini ditolak,” katanya.

Sebelum itu, pagi tadi, Hakim Mahkamah Rayuan, Md Apandi Ali melucutkan dirinya sendiri daripada mendengar rayuan daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan permohonan daripada peguam Karpal Singh.

Mahkamah rayuan sebelum ini dianggotai oleh tiga panel membabitkan hakim – Sulong Matjeraie, Ramly Ali dan Md Apandi.

Karpal membantah kehadiran Md Apandi sebagai seorang daripada anggota panel itu kerana beliau adalah bekas ahli Umno dan terbabit dalam beberapa kes petisyen pilihan raya.

Md Apandi juga adalah bekas bendahari dan juga penasihat undang-undang Umno Kelantan.

Menurut Karpal, permohonan berkenaan dibuat bagi mengelakkan persepsi bahawa keputusan akan berat sebelah terhadap ketua pembangkang itu.

Permohonan itu dikemukakan kepada Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Md Sheriff di kamarnya.

Selepas berehat, hakim Sulong memberitahu mahkamah bahawa Md Apandi secara suka-rela mengundurkan diri dan tempatnya digantikan oleh hakim Zaharah Ibrahim.

Panel berkenaan adalah bagi mendengar permohonan Anwar supaya pihak pembelaan dibekalkan dengan kenyataan saksi utama Mohd Saiful Bukhari Azlan yang juga pengadu dalam kes liwat berkenaan.

Pejabat Ketua AMK Malaysia

Saiful Berbohong Bukti Konspirasi Peringkat Tertinggi

SUARAKEADILAN – SHAH ALAM 12 Mei – Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin menggesa Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail supaya menggugurkan pertuduhan terhadap Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pertuduhan berniat jahat dan bersifat fitnah yang dihadapi beliau.

Shamsul berkata sepanjang perbicaraan soalbalas Mohd Saiful Bukhari Azlan di Mahkamah Tinggi, jelas terdapat percanggahan keterangan yang diberikan oleh saksi utama tersebut yang juga pengadu dalam kes itu.

“Pertuduhan ini sangat jelas di mana pengadu dalam kes ini tidak boleh mengelirukan mahkamah dengan membuat keterangan yang bercanggah.

“Ini kerana dalam laporan polis diketahui Saiful mengadu diliwat secara suka sama suka tetapi keterangan kemudiannya menjurus kepada dipaksa atau tanpa kerelaan. Jadi keterangan ini ternyata bercanggah,” tegas beliau kepada Suara Keadilan.

Menurut Shamsul, Peguam Negara mempunyai kuasa untuk menarik balik pertuduhan ke atas Anwar berdasarkan keterangan yang jelas bercanggah sekiranya beliau berpandu kepada prinsip undang-undang.

“Kuasa yang ada pada pihak Peguam Negara, pendakwaraya dan hakim tidak boleh digunakan sesuka hati. Pra syarat asas bagi perbicaraan yang adil ialah hakim yang adil, peguam dan pendakwaraya yang adil.

“Ini membuktikan kes ini adalah satu fitnah dan konspirasi peringkat tertinggi. Ini kita melihat pendekatan pendakwaan yang berbeza diambil dalam kes melibatkan Anwar.

Tambah beliau, keterangan Saiful bahawa beliau bertemu dengan pegawai penyiasat ACP Mohd Rodwan Yusof, berjumpa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, bertemu Senator Ezam Mohd Nor serta menghubungi Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengukuhkan bukti wujudnya konspirasi peringkat tertinggi dalam kes itu.

Ini kerana hampir kesemua mereka terlibat dalam pendakwaan dan konspirasi pertama terhadap Anwar pada 1999.

“Kesemua mereka ini mendapat habuan politik, dinaikkan pangkat termasuk Ezam dilantik sebagai Senator yang jelas membuktikan kes ini merupakan satu konspirasi tertinggi dalam politik negara bagi menamatkan karier politik Anwar.,” kata Shamsul lagi.

“Kuasa yang ada kepada Peguam Negara bukan mutlak, ia adalah kuasa yang perlu dipandu undang-undang. Justeru kita mendesak Peguam Negara menarik balik pendakwaan berlandaskan undang-undang,” kata Shamsul lagi.

Jelas beliau lagi, Anwar bukan sahaja dinafikan hak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil termasuk mendapatkan senarai saksi daripada pendakwaraya, malah dinafikan mendapat hak sewajarnya mengikut perundangan syariah apabila memfailkan pertuduhan qazaf terhadap Saiful.

“Sekiranya Datuk Seri Anwar dibenarkan untuk melalui proses di mahkamah syariah sudah pasti kes ini dibuang dan Anwar mendapat keadilan tetapi kes qazaf tersebut juga dinafikan terhadapa beliau,” kata beliau.

Shamsul menggesa rakyat dan semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya menzahirkan sikap mereka terhadap apa yang berlaku di mahkamah hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan peguam, Karpal Singh untuk mendapatkan kenyataan beramaran daripada Saiful yang diberikannya kepada pihak polis yang menjurus kepada aduan beliau diliwat secara paksa.

Pihak peguam bertegas bahawa Saiful dalam kenyataannya kepada polis menyatakan kejadian liwat yang didakwa itu berlaku tanpa kerelaannya manakala pihak pendakwaan pula menuduh Anwar mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan iaitu melakukan hubungan seksual secara sukarela.

Bagaimanapun, dalam penghakimannya, Mohd Zabidin memutuskan walaupun terdapat perbezaan antara keterangan Saiful dengan pertuduhan yang dihadapi Anwar, ia tidak boleh dijadikan asas bagi membolehkan kenyataan Saiful yang diberikan kepada polis, diserahkan kepada peguambela berdasarkan Seksyen 145 Akta Keterangan atau prosiding mencabar kesahihan di bawah Seksyen 155.

Shamsul Iskandar Mohd Akin

Ketua AMK Malaysia

Saiful: Najib Terkejut Dengan Pendedahan Saya

MALAYSIAKINI – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mendengar keterangan saksi utama yang juga pengadu kes berkenaan, Mohd Saiful Bukhari Azlan berhubung pertemuannya dengan timbalan perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak pada 24 Jun, 2008.

Pertemuan itu diadakan dua hari sebelum Saiful mendakwa yang dia diliwat oleh ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam keterangannya selama sejam pada perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini, Saiful juga memberi butiran berhubung pertemuannya dengan ACP Rodhwan Mohd Yusof (sekarang SAC 1) dan kemudiannya dia membuat panggilan telefon kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sehari sebelum kejadian berkenaan.

Saiful juga menceritakan pertemuannya dengan bekas Ketua Pemuda PKR, Ezam Mohd Noor (kanan) (sekarang ini Senator) di Rawang, sehari selepas kejadian berlaku ( 27 Jun) bagi mengadu kepadanya berhubung “penganiyaan” oleh Anwar.

Saiful, 25, saksi utama pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes liwat ketua pembangkang itu berkata beliau dibawa oleh rakannya bernama Rahimi dan juga pakciknya bernama Tuah Mohamad untuk berjumpa Ezam di rumahnya di Bandar Tasik Puteri, Rawang.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Karpal Singh yang mewakili Anwar, sama ada beliau mengenali Mohamad Ezam sebelum itu, Mohd Saiful berkata beliau hanya kenal Mohamad Ezam begitu sahaja sebagai kawan.

Bekas pembantu kepada Anwar itu berkata pertemuan dengan Ezam pada lewat malam 27 Jun itu hanya berakhir keesokan paginya.

Kedua-dua Rodhwan dan Musa pula, adalah ‘watak utama’ semasa perbicaraan Anwar pada 1998 yang menyaksikan ketua umum PKR itu dipenjarakan. Anwar kemudiannya dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan.

Kepada soalan lain oleh Karpal adakah Musa ada menghubungi beliau, Saiful menjawab beliau yang menghubungi Musa.

Karpal: Kenapa telefon dia?

Saiful: Nak mengadu masalah saya.

Karpal: Banyak masalah bukan?

Saiful: Memang saya banyak masalah.

Karpal: Ada jumpa dia?

Saiful: Contact (hubungi) sahaja.

Karpal: Bila?

Saiful: Pada 25 Jun 2008, sebelah pagi.

Karpal: Kamu contact dia untuk ceritakan masalah kamu bukan?

Saiful: Ya, tapi saya hanya bercakap selama seminit dan dimarahi oleh KPN kerana mungkin dia ingat panggilan main-main dan beliau meletakkan telefon. Beliau juga mengingatkan saya untuk tidak menelefonnya lagi.

Disoal-siasat lagi oleh peguambela utama, Karpal Singh setelah permohonannya agar prosiding ditangguhkan ditolak, Saiful berkata dia dibawa ke kediaman persendirian Najib di Taman Duta, Kuala Lumpur oleh pembantu khas timbalan perdana menteri itu, Khairil Anas.

“Saya pergi ke rumah Khairil Anas bagi mengadu perkara itu. Dia kemudiannya memutuskan untuk membwa saya berjumpa dengan Najib di rumahnya di Taman Duta,” kata Saiful.

Saiful juga pernah mendakwa selain diliwat pada 26 Jun 2008, dia juga beberapa kali telah diliwat pada tarikh lain oleh Anwar.

Menurut Saiful, mereka tiba di rumah Najib selepas solat Maghrib, lebih kurang jam 8 malam dan dia menghabiskan kira-kira 20-30 minit menceritakan masalahnya itu kepada timbalan presiden Umno itu.

“Najib (kiri) terperanjat dengan pendedahan tentang apa yang berlaku (insiden Saiful diliwat Anwar),” katanya sambil menambah perbincangan malam itu membabitkan dirinya, Khairil dan Najib.

Ditanya Karpal sama ada Najib menawarkan sebarang nasihat, Saiful menjawab – tidak.

Saiful juga memberitahu mahkamah sebelum pulang dia ada terjumpa isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor tetapi tidak berjumpa secara peribadi.

Pejabat Ketua AMK Malaysia

Fitnah 2.0 : Mahkamah Tolak Permohonan Karpal

MALAYSIAKINI – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan peguam Karpal Singh bagi mengetepikan kenyataan pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan kepada polis.

Berikutan keputusan itu, hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, berkata pihak pendakwa mempunyai kuasa untuk menentukan mana-mana seksyen di bawah Kanun Keseksaan untuk mendakwa ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Walaupun terdapat percanggahan dalam laporan polis dan pengakuan saksi. Namun kenyataan saksi tidak konflik dengan kejadian. Berdasarkan hujah itu, permohonan Karpal ditolak,” katanya.

Hakim kemudiannya mengarahkan perbicaran disambung.

Pejabat Ketua AMK Malaysia

PM Dituduh Rancang Dakwa Anwar Liwat

MALAYSIAKINI – Para peguambela ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berusaha untuk mengaitkan perdana menteri dalam konspirasi untuk menjatuhkan Anwar dengan tuduhan meliwat seorang bekas pembantu lelakinya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini mengakui bertemu pembantu ketua umum PKR itu – Saiful Bukhari Azlan, selepas dia berkata diliwat oleh Anwar tetapi sebelum satu aduan polis dibuat pada Jun 2008.

Najib juga menafikan campurtangan dalam kes tersebut.

Saiful memberitahu mahkamah hari ini bahawa dia bertemu Najib pada 24 Jun – dua hari sebelum kenyataannya bahawa Anwar telah meliwatnya – satu jenayah di negara Islam – dan empat hari sebelum dia berjumpa polis.

Saiful memberitahu mahkamah hari ini bahawa dia telah menceritakan kepada Najib masalah yang dihadapinya.

Dia bagaimanapun tidak menjelaskan apakah masalah yang dihadapinya ketika itu.

Saiful memberitahu demikian di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mendengar perbicaraan tuduhan liwat terhadap Anwar.

Anwar, 63, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan meliwat Mohd Saiful, 25, di sebuah pangsapuri di Bukit Damansara di sini pada 26 Jun 2008.

Jika sabit kesalahan, Anwar boleh dihukum 20 tahun penjara – hukuman yang sekaligus akan menamatkan karier politik ketua pembangkang ini yang telah berjaya menyatukan pembangkang untuk menafikan BN penguasaan dua pertiga BN di parlimen selepas pilihan raya umum 2008.

Anwar telah disabitkan dengan kesalahan liwat pada 2000, di samping hukuman atas kesalahan salahguna kuasa sebelumnya – selepas beliau dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri semasa kemuncak krisis kewangan Asia pada 1998.

Sabitan bagi tuduhan liwat itu dikecam secara meluas kerana didakwa tidak adil dan ianya kemudiannya dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Berikutan itu, Anwar layak bertanding dalam pilihan raya kecil parlimen Permatang Pauh selepas pilihan raya umum 2008 yang menyaksikan prestasi terburuk BN, termasuk hilang kuasa di lima negeri – Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan. Manakala PAS mengekalkan kuasa di Kelantan dengan tambahan kerusi.

Bagaimanapun, Perak jatuh kembali ke tangan BN selepas tiga wakil rakyat Pakatan Rakyat bertindak keluar parti dan menyokong BN.

Najib merupakan timbalan perdana menteri ketika Anwar berdepan dengan tuduhan liwat itu dan mengambil alih teraju pentadbiran negara pada April tahun lalu, dengan ikrar untuk meliberalisasikan ekonomi dan menangani ketegangan kaum antara kaum Melayu, Cina dan India.

“Perdana menteri terbabit. Terdapat konspirasi politik untuk menyingkirkan Anwar,” kata peguam Karpal Singh di mahkamah hari ini.

Karpal juga mencabar dakwaan Saiful yang dia diliwat, dengan menegaskan bahawa ia tidak disokong oleh satu laporan perubatan.

Perbicaraan kes liwat terhadap Anwar dijadual berterusan hingga Ogos depan.

– Reuters

Pejabat Ketua AMK Malaysia

Liwat II: Karpal Tuntut Senarai Saksi

MALAYSIAKINI – Perbicaraan kes liwat ll Datuk Seri Anwar Ibrahim disambung hari ini, selepas tiga bulan ditangguhkan, dengan peguambela Karpal Singh menuntut senarai saksi.

10.14pagi: Karpal bertanya mengapa pihak pendakwa begitu takut untuk menyerahkan senarai saksi kepada pihak pembela.

Katanya, jika tiada sebarang konspirasi untuk menjatuhkan Anwar, maka pihak pendakwa sepatutnya menyerahkan senarai saksi kepada pihak pembela.

10.06pagi: Peguamcara Negara 11 dan ketua pasukan pendakwa, Datuk Mohd Yusof Zainal Abidin berkata beliau terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan supaya tidak menyerahkan senarai tersebut, dengan berkata senarai saksi itu “mungkin” diberikan diakhir pendakwaan.

Mohd Yusof berkata beliau tidak nampak hubungan antara soal-balas dengan senarai saksi.

Menurutnya lagi, daripada keterangan Saiful, pihak pembela sudah boleh mengagak siapakah saksi-saksi berkenaan.

Karpal, bagaimanapun, berkata beliau mahu mahkamah menggunakan kuasanya mengikut Seksyen 56 Kanun Prosedur Jenayah untuk memaksa senarai saksi itu diserahkan.

Karpal juga mengadu tidak mendapat nota keterangan.

9.57pagi: Peguambela Karpal Singh mahu mahkamah memastikan mereka mendapat senarai saksi sebelum bermula sesi soalsiasat Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Beliau berkata, pihak pembela perlu tahu sama ada saksi mereka mungkin turut ada dalam senarai saksi pendakwa.

Pejabat Ketua AMK Malaysia