Insiden mata lebam: Lepas belasah, polis ‘sujud’ minta maaf – Anwar


Dari Keadilan Daily

17 Disember 2012

Insiden mata lebam: Lepas belasah, polis ‘sujud’ minta maaf – Anwar

(Oleh Aedi Asri)

KUALA LUMPUR 17 Dis: Menyingkap kembali keperitan dilaluinya semasa ditahan Umno BN di penjara Sungai Buloh, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ada beberapa polis memohon maaf dan menginsafi kekejaman yang dilakukan anggota pasukan itu ke atasnya.

“(Selepas) dipukul setengah mati, komandan kem jumpa saya pagi esoknya (dan) saya tengok dia menangis…Dia tunduk, pegang lutut saya dan mohon maaf.

“Saya tanya sebab apa, awak pukul (saya)? Dia jawab tidak (bukan dia yang pukul). Dia kata, semalam beliau dan isteri solat hajat minta saya selamat.

“(Kemudian) dia kata, ‘kalau saya ada wang (dan) boleh jaga keluarga, saya akan berhenti (menjadi polis). Saya tak boleh tahan dengan kerja macam ini’,” cerita Anwar kepada 50,000 hadirin pada Ceramah Kebangkitan Rakyat di Dungun, Jumaat lalu, mengenang kebaikan beberapa anggota polis terhadapnya ketika ditahan pada 1998.

Ekoran kejadian tersebut, Ketua Umum KEADILAN itu mengingatkan bahawa bukan semua polis menurutnya, ‘jahat’ seperti mantan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Rahim Noor.

Ini terbukti apabila seorang anggota polis turut datang dan menyapu ubat pada lukanya, selepas polis peringkat atasan melarang doktor memberi rawatan.

“Seorang korporal polis ada bawa ‘Tiger Balm’ (ubat sapu), dia datang dan sapu (pada luka). Itu sahaja rawatan untuk beberapa hari,” kata Anwar.

Pada 29 September 1998, Anwar ke mahkamah dengan mata lebam. Imej itu menjadi simbol kezaliman Umno BN dan penentangan rakyat ketika era reformasi.

Rahim Noor kemudian didapati bersalah memukul Anwar. Pada 15 Mac 2000, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara dua bulan dan denda RM2,000 terhadapnya.

Bagaimanapun, sehingga hari ini, tidak ada siasatan bebas mengenai penglibatan Umno BN dalam serangan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu pada malam 20 September 1998 oleh Rahim Noor, KPN ketika itu.

“Selepas 14 tahun, serangan mengerikan itu masih menjadi trauma seluruh negara,” kata Naib Presiden KEADILAN, N Surendran.

Beliau merupakan peguam Anwar untuk kes perbicaraan insiden mata lebam yang sepatutnya berlangsung 16 Oktober lalu tetapi dibatal setelah Tan Sri Musa Hassan menarik balik saman fitnah terhadap Anwar berhubung pemalsuan keterangan laporan perubatan oleh beliau dan Ketua Pasukan Pendakwa Raya, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Surendran berkata, ketika ditangkap, Anwar diikat tangan, ditutup mata, ditampar dan ditumbuk berulangkali sehingga jatuh ke lantai.

“Dalam keadaan separuh sedar, darah keluar dari mulut dan hidung, Anwar dinafikan hak mendapat rawatan. Malah dipaksa menandatangani perintah tahanan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri).

“Pegawai tertinggi polis ada di tempat kejadian. Namun tidak seorang pun yang mengambil tindakan membuat laporan,” ujarnya.

Pada malam tersebut, Anwar ditangkap secara salah oleh pasukan khas polis yang menerima arahan kerajaan Umno BN diketuai Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad ketika itu.

Tangkapan dan serangan itu sebahagian dari perancangan Umno BN mensabitkan Anwar dengan salah laku seks dan pertuduhan rasuah, selepas beliau dipecat pada 2 September 1998.

Namun kes berkenaan mendapat liputan meluas antarabangsa dan desakan berterusan mengheret Rahim ke penjara serta dipecat dari jawatannya sebagai ketua nombor satu dalam PDRM.

Lebih teruk, kata Surendran, Anwar hanya diberi rawatan selepas empat hari serangan dan dalam keadaan itu, beliau dipaksa memberi keterangan.

“Pada 1 Oktober 1998, Dr Mahathir berbohong kepada rakyat Malaysia dengan mengatakan bahawa kecederaan itu dilakukan Anwar sendiri,” katanya.


— Keadilan Daily

Kongres AMK 2011: Video Ucapan Penggulungan Ketua AMK

Ucapan penggulungan Ketua Angkatan Muda KeADILan oleh Sdr. Shamsul Iskandar Md. Akin pada 25 November 2011 di Pulai Spring Resort, Skudai, Johor di bawah tema “Di Bawah Riayah Keadilan”

—Credit Kepada MinaqJinggoVideo

[Video] Ledang: Isu-isu Semasa – Ketua AMK

Ketua AMK, Sdr Shamsul Iskandar Md. Akin menyampai ceramah berkaitan isu-isu semasa seperti ekonomi, Laporan Ketua Audit Negara, Kes Fitnah 2, Buku Jingga dan lain-lain di Parlimen Ledang, Johor.

“Kami mahu Suruhanjaya Diraja” – Keluarga Arwah Sarbaini

Dari MalaysianInsider

15 OKtober 2011

Kes Sarbaini: Keluarga tuntut kerajaan bentuk suruhanjaya diraja

PETALING JAYA, 15 Okt — Keluarga Ahmad Sarbaini Mohamed sekali lagi menggesa agar suruhanjaya diraja diadakan untuk menyiasat kematian bekas pegawai Kastam Diraja Malaysia itu di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) April lalu.

Naib Presiden PKR N. Surendran berkata keluarga Allahyarham Sarbaini sehingga kini tidak boleh menerima keputusan koroner.

Surendran berkata keluarga Sarbaini tidak dapat menerima keputusan memandangkan koroner didakwa telah mengetepikan keterangan pakar bahawa rakaman CCTV yang diambil ketika kunjungan ke pejabat SPRM Wilayah Persekutuan telah dipadamkan dengan sengaja.

“Ini sesuatu yang sangat luar biasa. Koroner mengatakan bahawa ia kesilapan manusia dan tidak memberi perhatian yang sebenar ke atas isu ini,” kata beliau kepada pemberita pada sidang media di ibu pejabat PKR. Turut hadir ibu Sarbaini dan adik-beradiknya. “Tetapi apa yang penting ialah ada keterangan pakar polis dari makmal forensik polis di Cheras… yang dengan jelas mengatakan bahawa (rakaman) CCTV telah diusik oleh seseorang yang mahir,” katanya lagi.

Surendran berkata sukar untuk diterima apabila koroner menerima keterangan bahawa wujud elemen kesilapan manusia, yang disampaikan oleh pengarah SPRM Wilayah Persekutuan tetapi menolak pandangan pakar forensik yang layak.

“Siapa yang mengusik dan mengapa koroner tidak memberi tumpuan ke atas butiran ini? Mengapa beliau mengetepikannya? Sehingga kini, tiada penjelasan mengapa atau bagaimana rakaman CCTV diambil ketika Sarbaini mati dipadamkan,” kata beliau.

Dalam keputusannya akhir bulan lalu, Mahkamah Koroner memutuskan bahawa kematian Sarbaini tiada unsur bunuh diri, homisid ataupun penglibatan pihak ketiga.

Koroner Aizatul Akmal Maharani dalam penghakimannya berkata, pihaknya bersetuju dengan pandangan pakar terutama mengenai kecederaan yang dialami Sarbaini.

Kecederaan itu lebih membuktikan Sarbaini terjatuh dari tingkat tiga bangunan SPRM Wilayah Persekutuan tanpa disengajakan dan kematian disebabkan nahas, kata koroner.

Sarbaini, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang, ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu pejabat SPRM di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur 6 April lalu.

Beliau dilaporkan ke pejabat itu secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah membabitkan 62 pegawai Kastam.

Mengenai teori Sarbaini mengambil nyawanya sendiri atau membunuh diri, Aizatul Akmal berkata beliau tidak percaya dengan teori bahawa Sarbaini berbuat demikian kerana ketiadaan bukti berlakunya perkara itu.

“Keterangan pakar patologi forensik Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Prof Madya Dr Faridah Mohd Noor menunjukkan arwah tidak membunuh diri berdasarkan ketiadaan tanda-tanda yang biasanya wujud dalam kes sedemikian iaitu kelar di mana-mana bahagian anggota badan atau kandungan dadah atau racun di dalam badannya,” katanya.

Aizatul Akmal berkata pakar perunding kanan patologi di Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Shahrom Abdul Wahid juga menolak kemungkinan bahawa Sarbaini akan membunuh diri kerana tiada kesan luka akibat cubaan membunuh diri yang dijumpai pada tubuh Sarbaini.

“Tiada nota bunuh diri dijumpai di tempat kejadian dan tiada kesan dadah atau alkohol pada sampel darah si mati mahupun pada air kencing atau kandungan perut si mati, dan kedua-dua pakar itu menolak kemungkinan arwah mati disebabkan apa-apa penyakit,” katanya.

Aizatul Akmal mendapati teori bahawa Sarbaini telah dibunuh disangkal Dr Faridah dan Dr Shahrom dalam keterangan mereka.

Aizatul Akmal berpendapat sekiranya Sarbaini dipukul, pengsan dan kemudiannya dibuang ke luar tingkap, pastinya tiada kesan beliau cuba melawan kejatuhannya.

Menurutnya, tiada elemen khianat dalam kematian Sarbaini kerana tiada penglibatan pihak ketiga dan tiada apa-apa keterangan yang dapat menunjukkan mana-mana orang yang terlibat secara jenayah dalam sebab-sebab kematian Sarbaini.

Inkues yang bermula pada 4 Julai dan berakhir 4 Ogos lepas menyaksikan 34 saksi memberi keterangan termasuk beberapa pegawai SPRM Wilayah Persekutuan, dua pakar patologi, pegawai forensik dan beberapa pegawai Kastam Diraja Malaysia.

Keluarga Sarbaini tidak akan berhenti daripada mengenakan tekanan ke atas kerajaan sehingga suruhanjaya diraja diadakan bagi menyiasat kematiannya, kata Surendran.

“Mereka akan terus mengenakan tekanan dan menekan sehingga kami mendapat suruhanjaya diraja dan sehingga kami mendapat kebenaran. Ia tidak akan berakhir di sini,” kata beliau lagi.

—MalaysianInsider