KEADILAN: Pemimpin Muda Sandaran Untuk Memenangi PRU 13


Dari The Malaysian Insider

16 Disember 2012

PKR sandarkan kepada pemimpin muda untuk memenangi PRU 13

PETALING JAYA, 17 Dis — Pemimpin muda akan disenaraikan sekurang-kurangnya 35 peratus daripada senarai calon PKR bagi pilihan raya umum (PRU) akan datang sebagai langkah agresif parti tersebut untuk mengalahkan Barisan Nasional (BN) dalam perlawanan penting merebut undi golongan muda, kata setiausaha agung Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Dengan PRU 13 perlu diadakan selewat-lewatnya Jun depan, tumpuan kepada demografi ini semakin meningkat, yang dikatakan berjumlah 60 peratus daripada 13 juta pengundi.

Dalam temuramah eksklusif bersama The Malaysian Insider, Saifuddin memberitahu parti tersebut mengiktiraf kepetingan undi golongan muda dan bakal meletakkan calon dari sektor tersebut paling ramai berbanding rakan Pakatan Rakyat (PR) PAS dan DAP dalam pilihan raya akan datang.

“Atas sebab yang paling mudah, satu sebabnya kerana 20 peratus daripada 12.9 juta pemilih yang akan mengundi pada pilihan raya kali ini adalah merupakan pengundi baru, first timer (pengundi kali pertama) yang pertama kali akan tengok kertas undi.

“Tapi kalau kita ambik cut-off 35 tahun ke bawah, peratusan tu jauh lebih besar, jadi yang boleh memahami citarasa anak muda, kehendak golongan muda, sudah tentulah parti Keadilan kena respon kepada perubahan ini,” kata Saifuddin.

Ahli parlimen Machang itu menjelaskan, PKR sudah mula membariskan kepimpinan muda sebagai calon pilihan raya semenjak pilihan raya 2008 lagi.

Ramai daripada kepimpinan muda ini sudah berada di arus perdana, tambah beliau.

“Misalnya, Nurul Izzah (Anwar), Yusmadi (Yusoff), Amiruddin Shari, Suhaimi (Shafie), Gan Pei Nei, Chang Lih Kang, Chan Ming Kai, S Kesavan, ini menyebut beberapa lama.

“Yang sedang menunggu giliran ini termasuklah saudara Rafizi (Ramli), Shamsul Iskandar dan ramai lagi,” tambah beliau.

Kata beliau PKR, adalah sebuah parti yang sangat akomodatif, menawarkan peluang sama rata kepada setiap segmen komuniti dan kumpulan umur yang ada dalam parti tersebut.

“Sama ada ianya NGO, student leader (pemimpin mahasiswa), pimpinan muda, profesional, pemimpin akar umbi, pesara kerajaan, ini semua selain daripada pemegang jawatan dalam parti, pilihan raya kali ini kami akan menampilkan calon-calon yang dianggap mewakili seluruh segmen masyarakat ini,” terang Saifuddin.

Selain diletakkan sebagai calon, PKR juga akan menggunakan anak-anak muda untuk menggepalai beberapa jentera parti tersebut untuk memenangi PRU 13 sepertimana dilakukan parti AK di Turki yang meletakkan anak-anak muda untuk mengetuai jentera strategik dan media baru untuk memantapkan lagi penguasaan di internet.

“Dan dalam engagement saya dengan mereka (parti AK) itu, saya dapati juga keadaan itu boleh kita apply (laksanakan) dalam konteks Malaysia kerana anak muda ini, dia tidak berminat lagi dengan media tradisi ini, bahkan media parti pun dia dah tak berapa minat dah.

Sebagai respon kepada ini, parti Keadilan juga merekrut aktivis anak muda khusus untuk menangani kempen media baru ini sahaja.

“Masih di bawah saudara Nik Nazmi (Nik Ahmad), tetapi rekrut baru yang kita buat termasuk saudara Praba Ganesan, Sim (Tze Tzin) dan ada lagi beberapa recruitment terus kepada pejabat Ketua Pembangkang.

“Beberapa aktivis mahasiswa yang diberikan tugas khusus untuk kendalikan ahl ehwal yang berkaitan dengan kempen parti dalam menggunakan instrumen media baru,” katanya.

Perlumbaan untuk golongan muda dan undi golongan pertengahan dijangka sengit diantara BN yang memerintah dan pembangkang persekutuan oleh kerana lebih 80 peratus daripada 29 juta penduduk Malaysia adalah 45 tahun dan ke bawah manakala sekurang-kurangnya separuh daripadanya berusia di bawah 25 tahun.

Datuk Seri Najib Razak mempersiapkan tenteranya dalam BN dan semasa perhimpunan agung Umno bulan lepas, perdana menteri menghantar satu mesej yang jelas kepada ahli-ahli parti untuk menangani demografi utama ini bagi menjamin penguasaan mereka ke atas Putrajaya.

Dalam ucapan perasmian beliau di perhimpunan itu, presiden Umno mengetuai beribu-ribu ahli berikrar untuk melakukan segala-galanya dengan kuasa yang mereka ada untuk memenangi hati dan minda rakyat Malaysia.

Beliau menegaskan bahawa pengundi hari ini adalah jauh lebih muda daripada sebelum ini, dan bijak “kerana dapat membezakan antara apa yang sebenar dan apa yang tidak”.

Pengerusi BN juga memberi amaran kepada pemimpin-pemimpin parti secara tertutup agar tidak terlalu bergantung kepada pengundi luar bandar, pengundi etnik Melayu dan bergerak ke golongan pertengahan, memberi amaran mereka boleh mengulangi calon presiden Amerika Syarikat Mitt Romney jika mereka berhenti di atas kejayaan.

Beberapa hari kebelakangan ini, DAP sekutu PKR telah juga menghantar mesej yang sama kepada ahli-ahlinya.

Dalam artikel untuk The New York Times / International Herald Tribune Sabtu lepas, Najib menggesa negara-negara Islam agar memahami dengan baik kehendak golongan muda dengan cara mengambil tahu dan mengerti perubahan demografi dan teknologi yang menyelubungi dan menjejaskan kehidupan mereka.

Beliau berkata dunia Islam sedang mengalami “kebanjiran golongan muda”. Pada 2010, golongan di bawah umur 30 adalah kira-kira 60 peratus populasi di negara-negara yang majoriti penduduknya Islam kata Najib dalam artikel beliau bertajuk ‘The Challenge of Muslim Youth’ (Cabaran Belia Islam).

“Kebanjiran golongan belia telah memperkenalkan tenaga pendam kepada ekonomi dan masyarakat sesebuah negara. Jika dibiarkan, ia boleh menjadi tenaga penyahstabilan.”

Najib berkata dunia hari ini banyak berbeza daripada 21 tahun dahulu akibat daripada teknologi yang berkembang.

“Era maklumat mempunyai generasinya sendiri, golongan pengguna digital — mereka yang hanya bergantung kepada dunia siber untuk berhubung. Mereka mengharapkan maklumat adalah bebas, demokrasi menjadi responsif, komunikasi menjadi global. Mereka mahukan peranan aktif dalam ekonomi digital.

“Diperkasakan oleh teknologi, golongan muda boleh melahirkan kekecewaan mereka kepada audien global. Ini mempunyai implikasi besar: kemunculan kesedaran baru mengenai politik antarabangsa,” tulis Najib dalam artikel tersebut.


— The Malaysian Insider

10,000 hadiri Himpunan Kebangkitan Rakyat Melaka


Dari Harakah Daily

9 Disember 2012

10,000 hadiri Himpunan Kebangkitan Rakyat Melaka

Program semalam bermula pada jam 4.00 petang dengan konvoi motosikal dan kereta yang telah mendapat sambutan luar dugaan.

Antara pimpinan tertinggi PR Pusat ialah Timbalan Presiden PAS, Muhammad Sabu; Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw.

Pimpinan PR negeri yang hadir ialah Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Adly Zahari; Pengerusi PKR Negeri Melaka, Shamsul Iskandar Mat Akin dan Pengerusi DAP Negeri Melaka, Goh Leong San.

Turut hadir wakil-wakil NGO seperti HIshamuddin Rais mewakili Bersih; Singham dari Tindak; Salmi Ibrahim (Royalti Terengganu); Salmi Ibrahim (Royalti Terengganu); Andasura Rabu (Stop Lynas) dan Lee Chee Chern (Himpunan Hijau). Turut hadir bekas Menteri Penerangan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir. Kesemua pimpinan parti dan wakil-wakil NGO serta Kadir telah berucap malam tadi.

Program tersebut juga turut dimeriahkan dengan persembahan penyanyi Blues Gang, Ito yang menyampaikan 3 buah lagu.

Turun 12 Januari

Mohammad Sabu dalam ucapannya menyeru seluruh rakyat Malaysia khususnya Melaka supaya turun beramai-ramai ke Kuala Lumpur pada 12 Januari 2013 bagi menyatakan bantahan rakyat terhadap sistem pilihanraya yang tidak adil.

“Sudah tiga kali kita mengadakan Himpunan Bersih, tetapi kerajaan dan SPR terus membutakan mata dan memekakkan telinga tidak menghiraukan tuntutan Bersih dan rakyat Malaysia”.

“Kali ini pada 12 Januari 2013 kita akan turun ke Kuala Lumpur untuk sama-sama hadir pada program Himpunan Sejuta rakyat, kalau mereka degil lagi kita sepak mereka” tegas Muhammad dengan serius sambil menyepak angin.

Azmin dalam ucapan penuh semangatnya menjelaskan kepada rakyat bahawa kedudukan ekonomi negara berada dalam keadaan parah di mana hutang negara sudah meningkat lebih RM500 bilion dan ianya sudah sampai tahap kronik.

“Adakah kita semua ingin melihat negara kita menjadi Greece yang bangkrap kerana Menteri Kewangan yang sangat ‘cekap’ sehingga negara hampir muflis”

“Semasa Anwar menjadi Menteri Kewangan pertumbuhan ekonomi negara kita sebagai contoh tahun1994 ialah 9.2 %, 1995 (9.8) dan 1996 (10 %) berbanding Najib yang pencapaiannya 2009 ialah -1.5 %, 2010 (7.2%) dan 2011 (5.1 %) sahaja.. Jadi siapa sebenarnya yang bijak menguruskan kewangan negara Anwar atau Najib” tanya Azmin.

Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw menegaskan bahawa sudah sampai masanya rakyat negeri Melaka menukar kerajaan negeri dan kerajaan pusat yang dilihat gagal memberikan kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

“Ketua Menteri Melaka menganjurkan kenduri kahwin anaknya hingga membelanjakan kira-kira RM1juta, ini duit siapa, sedangkan hutang negeri Melaka sudah hampir RM900 juta, tetapi Melaka hanya bayar hutang kepada pusat hanya RM180,000 tahun lepas”.

“Manakala kerajaan pusat menzalimi rakyat dengan AES dan pelbagai lagi, mereka mencuri duit rakyat dengan dasar yang benar-benar zalim dan menyiksa rakyat” tegas beliau.

Sebelum ini tapak program terpaksa diubah dua kali akibat tuan tanah yang disewa tidak berani membenarkan tanahnya digunakan untuk program tersebut walaupun sudah bersetuju di peringkat awalnya kerana ugutan demi ugutan pihak yang berlagak samseng.


— HarakahDaily

Insiden Sabotaj Bas, Bertindak Segera! – AMK


Dari KeadilanDaily

2 September 2012

Sabotaj bas Merdeka Rakyat, AMK mahu ambil tindakan undang2

PULAU PINANG 2 Sept: Angkatan Muda Keadilan (AMK) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan Persekutuan berikutan gangguan program Merdeka Rakyat, kata Setiausahanya, Julailey Jemadi.

“Perlembagaan Persekutuan menjamin hak rakyat untuk berpersatuan, berhimpun dan menyampaikan maklumat. Malangnya program Merdeka Rakyat diganggu.

“Sepatutnya polis menjamin keselamatan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana beliau pemimpin negara. Di Eropah, Ketua Pembangkang setaraf Menteri. Di Malaysia keselamatan Ketua Pembangkang dan programnya diabai.

“Kita berbincang dengan peguam untuk ambil tindakan undang-undang jika polis terus abaikan aspek keselamatan dalam siri jelajah akan datang,” katanya kepada Keadilan Daily, hari ini.

Beliau merujuk insiden bas jelajah Merdeka Rakyat yang dibaling batu dan disimbah cat merah di Pasar Besar Siti Khadijah, awal pagi Sabtu, 1 September lalu.

Berikutan itu, satu siri laporan polis akan dibuat minggu ini di seluruh negara oleh kontinjen AMK setiap negeri.

Julailey juga membayangkan tindakan undang-undang itu dalam bentuk perintah mahkamah atau injunksi sebagai peringatan kepada polis untuk menghalang gangguan terhadap program Merdeka Rakyat.

“Statistik kononnya Malaysia negara ke-19 paling selamat di dunia sudah jadi bahan ketawa,” katanya menyelar reaksi pasif Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein berhubung isu itu.


— KeadilanDaily

Eidul Fitri Memaknai Upaya Pembersihan


Kenyataan
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia

18 Ogos 2012

Eidul Fitri Memaknai Upaya Pembersihan

Allahu akbar! Allahu akbar! Allahu akbar! Walillah il-hamd!

Segala puji bagi Allah SWT, setelah sebulan mendidik jiwa di dalam Madrasah Ramadhan, ummat Islam dianugerahkan dengan satu hari perayaan yang dikenali dengan Eidul Fitri. Ianya bukan sekadar perayaan tetapi membawa maksud kembali kepada Fitrah.

Fitrah memberi makna bahawa manusia kembali kepada kejadian asal sebagaimana yang diungkapkan di dalam maksud hadith “Setiap orang bayi dilahirkan dalam keadaan fitrah yang suci bersih; maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikan dia yahudi…(Dan seterusnya)”.

Sambutan Eidul Fitri 1433 Hijrah menyaksikan disambut dalam keadaan negara turut meraikan Ulang Tahun Kemerdekaan yang ke-55. Pastinya dalam usia 55 tahun, Malaysia seharusnya sudah bebas sepenuhnya daripada cengkaman kezaliman dan penindasan dalam apa jua perspektif.

Justeru, Angkatan Muda Keadilan Malaysia dan Keadilan Negeri Melaka mengambil peluang Eidul Fitri kali ini untuk mengajak generasi muda Muslim di Malaysia/Melaka untuk kembali kepada sifat-sifat fitrah manusia yang bersih, tidak rasuah, tidak menyalahgunakan kuasa, benci kepada kezaliman sesama insan dan yang paling utama ialah melakukan islah, perubahan agar keadilan dapat ditegakkan di dalam sistem kehidupan. Dengan hanya kembali kepada fitrah inilah, realiti kemerdekaan dan pembebasan – dari aspek jiwa mahupun nusa – akan dapat diletakkan kembali pada landasannya.

Dalam keadaan kita menyambut hari kemenangan di Eidulfitri mulia ini, usahlah kita lupa akan penderitaan saudara seagama di Myanmar yang sedang berhadapan dengan krisis yang mengorbankan nyawa. AMK melalui insiatif kecil telahpun mengemukakan isu ini kepada perhatian Setiausaha Agung ASEAN, Dr Surin Pitsuwan. Harapan besar harus kita sandarkan pada doa kita pada Allah SWT, agar keadilan dikembalikan kepada etnik Rohingya.

Jangan juga dilupa rakan taulan, sahabat handai dan para reformis yang berkorban keringat dan air mata dalam menegakkan keadilan di negara kita. Jasa-jasa mereka perlu kita kenang, tanpa mereka perjuangan menegakkan keadilan ini mungkin tidak berada di posisi ini hari ini.

Akhir kalam, saya mewakili warga kepimpinan dan keluarga besar Angkatan Muda Keadilan Malaysia dan Majlis Pimpinan Negeri Keadilan Melaka menyusun jari sepuluh memohon maaf zahir dan batin jika ada khilaf kepada seluruh rakyat Malaysia amnya. Mudahan-mudahan Syawal kali ini membawa sinar kebahagiaan di samping keluarga tersayang.

Marilah kita berdu’a agar Malaysia dianugerahkan oleh Allah SWT kerajaan yang baik dan kemudiannya mendapat keampunan serta keberkatan.

Salam Eidul Fitri, maaf zahir dan bathin.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia
Merangkap,
Pengerusi
Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Melaka

Sabah: Kebangkitan Rakyat Bawa Perubahan


Kenyataan Media
Timbalan Presiden KEADILAN

30 Julai 2012

Perkembangan Politik Sabah

KEADILAN melihat perkembangan politik Negeri Sabah sebagai kejayaan agenda reformasi yang disemai lebih 10 tahun yang lalu dan kini menyaksikan hasilnya dengan kebangkitan rakyat Sabah yang berani meruntuhkan tembok ketakutan dan kezaliman; lalu menuntut reformasi yang tulen.

Dua pengumuman penting di Tuaran dan di Beaufort pastinya mengubah landskap politik Sabah dan menzahirkan iltizam politik rakyat Sabah untuk mencetus serta melaksanakan agenda perubahan.

KEADILAN mengalu – alukan pengumuman Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin dan Datuk Seri Panglima Wilfred Mojilip Bumburing yang meletakkan semua jawatan dari parti masing-masing; UMNO dan UPKO serta kesediaan mereka untuk bersama Pakatan Rakyat dalam usaha melakukan perubahan dalam sistem kenegaraan.

Kita juga menyambut baik iltizam mereka untuk menjana kekuatan rakyat bagi melakukan perubahan di Negeri Sabah. Makanya kerana komitmen yang jelas di kalangan pimpinan Negeri Sabah yang berani mengambil risiko; KEADILAN tidak teragak-agak untuk bersama-sama mereka demi rakyat Sabah.

Kerjasama yang disepakati bersama Pakatan Rakyat merupakan titik permulaan kepada perubahan politik Malaysia dalam Pilihan Raya Umum ke 13. Slogan ‘Ini kali-lah’ menandakan angin perubahan telah sampai ke bumi Sabah. Sudah tiba masanya untuk rakyat Sabah sendiri menentukan masa depan Negeri Sabah serta menikmati hasil kekayaan Negeri yang selama ini diagihkan secara tidak adil oleh pentadbiran UMNO – Barisan Nasional (BN). Rakyat Sabah juga perlu menolak UMNO – BN yang mengkhianati semangat pembentukan Malaysia.

Dua pengumuman penting yang bersejarah itu menjadi bukti betapa rakyat Sabah sudah hilang keyakinan kepada kepimpinan Dato’ Seri Najib Tun Razak dan BN. Tambah pula, pentadbiran Dato’ Seri Najib hanya sekadar menabur janji dan sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri, ianya ditandai kegagalan untuk menepati janji.

Tekad rakyat Sabah untuk bersama Pakatan Rakyat pada hari ini adalah berpaksikan kepada keyakinan mereka terhadap agenda Pakatan Rakyat untuk melaksanakan perubahan. Mereka yakin dengan dasar – dasar Pakatan Rakyat yang terkandung dalam Buku Jingga dan perlaksanaannya akan menepati dan memenuhi hasrat dan cita – cita murni rakyat Malaysia yang mahukan urus tadbir yang baik serta pengagihan ekonomi yang adil kepada semua rakyat.

KEADILAN turut mengalu – alukan penubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPS) dan Angkatan Perubahan Sabah (APS) serta kesediaannya bersatu di bawah payung Pakatan Rakyat untuk menjana arus perubahan dalam Pilihan Raya Umum ke 13.

Ini menandakan keyakinan rakyat Sabah kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai peneraju utama dalam Pakatan Rakyat yang insha Allah akan dinobatkan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke 7. Semoga kebangkitan rakyat Sabah pada hari ini akan menghasilkan kejayaan dengan tertubuhnya Kerajaan Rakyat Negeri Sabah dalam Pilihan Raya Umum ke 13.

Salam reformasi


Mohamed Azmin Ali
Timbalan Presiden KEADILAN

Takziah Buat Keluarga Peter Ato Mayau

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia merakam ucapan takziah kepada keluarga Peter Ato Mayau atas pemergiannya semasa nahas helikopter sebentar tadi. Mendiang merupakan Ketua Cabang KEADILAN Mambong, Sarawak dan juga Naib Pengerusi MPN KEADILAN Sarawak.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia

Kami Tetap Akan Ambil Alih SYABAS!


Kenyataan Media
Kerajaan Negeri Selangor

19 Julai 2012

NON-ENGAGEMENT WITH SELANGOR STATE GOVERNMENT BY FEDERAL GOVERNMENT WILL NOT STOP SYABAS TAKEOVER

The reluctance of the Federal Government to engage with the Selangor State Government with its newly announced special Cabinet committee on water issues in Selangor, Kuala Lumpur and Putrajaya is a stark reflection of the highly partisan and biased manner in which it has been operating.

It should be obvious to the Federal Cabinet, that any discussion that does not engage the Selangor State Government will not have any meaningful outcome. This is yet another example of the obstructionist behaviour of the Federal Government, which places politics and profits for their cronies above the people of Selangor.

Since 2008, the Selangor State Government has patiently and consistently put forward multiple proposals to the Ministry of Energy, Green Technology and Water to restructure the water industry in Selangor holistically. It is the lack of political backbone from the Minister Peter Chin to give the green light to our proposal that is the impediment.

The Selangor government is elected to represent the interests and will of the people of the state. We do not take our responsibilities lightly. This means we will not stand idly by while a privately owned corporation causes panic among the public with what we believe is an unjustified water rationing exercise.

Representing the interests of the people of Selangor also means we will not continue with lopsided concession agreements that allow water tariff rates to increase to levels beyond the reach of ordinary Selangor households.

Our intentions and conscience are clear, that is to safeguard the interest and rights of the people of Selangor. To this end, the takeover of Syabas will proceed with full speed as announced.


Elizabeth Wong
Executive Councilor
Selangor State Government

Murad diugut, mohon maaf pada DS Anwar – KEADILAN


Dari Malaysiakini

27 Jun 2012

PKR: Murad diugut, mohon maaf pada Anwar

PKR mendakwa bekas Penolong Gabenor Bank Negara Datuk Murad Khalid secara peribadi menemui Datuk Seri Anwar Ibrahim di Munich, Jerman untuk memohon maaf berhubung isu akuan bersumpahnya terhadap ketua umum parti itu.

“Apabila beliau tahu Datuk Seri Anwar Ibrahim ada di Alpha Clinic, pada hujung 2004, beliau terbang dari Kuala Lumpur ke Munich, Jerman untuk memohon maaf bahawa keluarganya diugut (supaya dia) menandatangani akuan bersumpah,” dakwa Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution.

Dalam akuan bersumpah itu, Murad mendakwa Anwar mempunyai banyak akaun saham dan hartanah sehingga bernilai RM3 bilion.

Bercakap dalam sidang media hari ini, Saifuddin berkata sebenarnya Murad “bukan sasaran” memandangkan perkara tersebut telah lama berlaku.

Sebaliknya, beliau mendakwa Umno lebih berminat kepada skandal dan ancaman terhadap kedudukan parti itu.

“Jangan memandang rendah kedudukan PKR… Kita tidak akan berpeluk tubuh bahawa kita memiliki seluruh dokumen, cukup untuk mendedahkan setakat mana (penglibatan) individu tertentu.

“Kita tampil baru sekelumit,” tegasnya yang juga ahli parlimen Machang.

Turut hadir dalam sidang media itu Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli.

Akaun bersumpah ‘innuendo’

Sementara itu, Rafizi turut mendakwa, akuan bersumpah itu bersifat innuendo – “tidak memberi fakta dan senarai semua harta” yang didakwa dimiliki Anwar.

Sebaliknya, kata Rafizi, akuan itu hanya dakwaan dengan menyebut beberapa nama yang kemudiannya dikaitkan dengan ketua pembangkang itu.

Sehubungan itu, katanya, beliau mengambil inisiatif sendiri untuk mengesahkan dakwaan Abdul Murad sama ada benar atau tidak dengan menyelidiki latar belakangnya.

Hasil siasatan beliau, Rafizi mendakwa rekod Abdul Murad “tercalar dengan dakwaan rasuah dan salah guna kuasa” sewaktu berkhidmat di Bank Negara.

Perkara itu antaranya berkaitan dakwaan menerima habuan dalam pembayaran keahlian kelab Golf dan insurans kediaman dibayar pihak ketiga dengan jumlah tertentu.

Rafizi mendakwa pihaknya mempunyai bukti berhubung dakwaan yang dibuatnya hari ini.

“Saya mengajukan pendapat bahawa dakwaan Datuk Murad Khalid mengenai kewujudan master account yang memegang hartanah dan saham sebenarnya merujuk kepada pegangan beliau sendiri,” kata Rafizi.

Beliau berkata berdasarkan siasatannya juga, Abdul Murad didakwa mempunyai hubungan dengan banyak syarikat yang mempunyai kepentingan dengan Bank Negara dan industri perbankan negara ini.

“Ini menimbulkan tanda tanya sama ada beliau terlibat dengan pelbagai salah laku dan penyelewengan serta menggunakan kedudukan beliau untuk mengumpul harta, sehinggakan kelemahan ini dimanipulasikan oleh musuh-musuh Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membuat perakuan bersumpah palsu terhadap beliau (Anwar),” kata Rafizi.

Rafizi: Umno jangan galak sangat

Sehubungan itu, Rafizi menasihatkan kepada Abdul Murad supaya kembali ke pangkal jalan, memperbetulkan keadaan dengan berterus terang.

“Beliau perlu tampil ke hadapan memohon maaf secara umum kepada Anwar dan seluruh rakyat Malaysia,” katanya sambil menambah PKR tidak mahu memperbesarkan isu ini.

Rafizi turut mendakwa pihaknya juga mempunyai salinan surat asal beliau kepada mantan perdana menteri Tun Mahathir Mohamad yang didakwanya “membawa implikasi buruk kepada beliau dan beberapa pimpinan tertinggi Umno”.

“Jadi, saya beri amaran kepada pemimpin Umno, jangan galak sangat… (Ada yang) mengaibkan lebih daripada dakwaan (Abdul Murad)… Kita tidak berminat nak meneruskan (pendedahan ini). Mari kita cakap soal polisi,” kata Rafizi.

Ditanya sama ada pendedahan dakwaan itu sebagai “ugutan” kepada Abdul Murad, Rafizi berkata beliau tidak fikir ia sebagai ugutan kerana sebahagiannya termasuk dalam dokumen kes mahkamah.

“Kalau dia rasa ia ugutan, terserah kepadanya. Kita tengok apa reaksinya terlebih dahulu,” katanya.


— Malaysiakini

RM 5 juta Untuk Lompat Masuk BN


Dari Malaysiakini

27 Jun 2012

MP PKR: Saya ditawarkan RM5j untuk sertai BN

Ahli Parlimen PKR Indera Mahkota, Azan Ismail mendakwa beliau telah ditawarkan lebih RM5 juta untuk lompat parti menyertai BN pada tahun 2010.

Beliau bagaimanapun, tidak mahu mendedahkan butiran lanjut mengenainya.

Azan memberitahu pemberita hari ini bahawa ia berlaku pada 27 Januari 2010 di sebuah hotel lima bintang di Kuala Lumpur di mana “ejen terbabit telah mengatur satu siri pertemuan”.

Beliau mendakwa, mereka mewakili seorang pemimpin yang sangat dihormati, yang pernah memegang jawatan tinggi dalam kerajaan.

Ahli Parlimen PAS Shah Alam Khalid Samad berkata Azan adalah “saksi utama” untuk membuktikan bahawa sememangnya ada operasi rahsia untuk memujuk ahli parlimen PKR melompat parti.


— Malaysiakini

Jual rahsia negara: KEADILAN tuntut penjelasan Najib


Dari Keadilan Daily

6 Jun 2012

Jual rahsia negara: KEADILAN tuntut penjelasan Najib

PETALING JAYA 6 Jun: Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bertanggungjawab berkenaan penjualan rahsia pertahanan negara kepada syarikat pembina kapal Perancis, DCNS.

Menurutnya, selaku Menteri Pertahanan pada masa itu, Najib tidak boleh berdiam diri dan membiarkan sahaja dengan memilih untuk menutup kes tersebut.

“Saya mendesak Najib, supaya tidak mengambil mudah skandal penjualan rahsia pertahanan negara. Beliau harus tampil memberikan jawapan bagaimana rahsia tersebut boleh dijual oleh penasihat utama beliau sendiri.

“Tindakan menjual rahsia pertahanan negara ini adalah pengkhianatan pada tahap tertinggi mesti dijawab oleh Najib sendiri kerana ia berlaku semasa beliau memimpin Kementerian Pertahanan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, di sini hari ini.

Kata beliau, akibat perbuatan tidak bertanggungjawab itu, keselamatan negara bakal tergugat kerana rahsia yang menjadi aset tertinggi itu sudah terbongkar.

“Secara langsung, dengan terdedahnya strategi tersebut ia membuka ruang untuk memanipulasi kelemahan Scorpene. Tindakan ini membahayakan nyawa perajurit negara yang mengendalikan kapal selam Scorpene yang sudah beroperasi.

“Pendedahan ini menunjukkan bagaimana pimpinan Umno Barisan Nasional tidak teragak-agak untuk menggadaikan kemerdekaan dan keselamatan negara demi mengumpulkan kekayaan,” katanya.

Beliau turut mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalankan siasatan dan mengheret ‘penjenayah’ itu ke muka pengadilan.

“Saya juga mendesak pihak berkuasa yang terbabit – PDRM, SPRM, ATM, memulakan siasatan segera untuk membawa yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

“Sekiranya, ATM tidak terlibat dalam penjualan maklumat strategik negara, maka saya mendesak pimpinan tertinggi ATM untuk membuat laporan polis dengan segera,” katanya yang juga Ahli Parlimen Gombak.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Rundingan Keselamatan (MRK) KEADILAN, Brig Jen (B) Datuk Abdul Hadi Abdul Khatab menyifatkan kejadian memalukan negara itu berlaku akibat pemusatan kuasa di tangan menteri.

“Pengaruh menteri dan lantikan politik serta pegawai bukan tentera terlalu besar boleh mendatangkan kesan buruk kepada strategi dan taktik pertahanan negara, apatah lagi ini bukanlah bidang kepakaran mereka.

“Ia mengesahkan pendapat ramai pimpinan angkatan tentera bahawa kuasa yang terlalu dipusatkan di tangan menteri dan pegawai bukan tentera perlu dikaji semula demi keselamatan negara,” katanya.

Tambah beliau, berdasarkan pengalamannya, bagi mengelakkan kejadian pengkhianatan ini berterusan, campur tangan menteri perlu dikaji semula.

“Salah satu perkara yang perlu dikaji serta merta ialah campur tangan dan kuasa menteri yang terlalu besar sehingga melunturkan pendapat panglima-panglima angkatan tentera.

“Ia juga merupakan satu perlanggaran keselamatan (security breach) yang akan membahayakan nyawa prajurit kita yang bertugas dengan operasi kapal selam Scorpene,” kata Abdul Hadi.


— Keadilan Daily