Jangan Diskriminasi Mereka! – Ketua AMK


Kenyataan Media
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia

6 Jun 2012

PTPTN Di Desak Jangan ‘Amalkan Diskriminasi Terhadap Mahasiswa UNISEL !

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) menyelar tindakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang bertindak menggantung sebarang permohonan pelajar Universiti Selangor (Unisel) untuk mendapatkan pembiayaan pengajian mereka.

Ini dimaklumkan kepada mahasiswa-mahasiswi IPT berkenaan sewaktu taklimat oleh Pengurusan IPT yang diadakan minggu ini sempena pembukaan semester baharu dan pengambilan baharu mahasiswa ke IPT berkenaan.

Tindakan ini, menunjukkan bagaimana PTPTN telah menjadi ejen politik Umno-BN melalui cengkaman Kementerian Pengajian Tinggi untuk menekan IPTS khususnya yang beroperasi di Negeri-negeri Pakatan Rakyat, dalam konteks ini di Selangor.

Ini tidak mengejutkan sementelahan sebelum ini juga, Umno-lah yang galak mengasak Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor untuk membiayai pengajian mahasiswa/i khususnya di Unisel dan KUIS. Berikutan ketegasan PR menolak diskriminasi dan cengkaman hutang PTPTN ke atas mahasiswa/i, kini mereka dijadikan mangsa dengan penafian permohonan ini.

Harus ditegaskan bahawa penjelasan telah diberikan malah diperincikan oleh Pengarah Strategi KEADILAN sewaktu berdebat dengan Ketua Pemuda Umno baru-baru ini berhubung isu konsesi melampau melibatkan pembinaan dan pengurusan Unisel dan KUIS yang menyebabkan Kerajaan Negeri terpaksa menanggung kos melebihi yang sewajarnya.

Sungguhpun begitu, dalam Dialog AMK bersama Menteri Besar Selangor baru-baru ini, YAB Dato’ Menteri Besar telah membayangkan kebarangkalian PTPTN menghentikan pembiayaan kepada mahasiswa/i Unisel dan KUIS akan berlaku. Dan AMK telah mencadangkan agar bagi kes sebegini, Kerajaan Negeri Selangor boleh menyusun pelan tindakan untuk menanggung kos pengajian mahasiswa/i yang baharu mendaftar di Unisel dan KUIS.

Justeru, AMK melihat wujud kewajaran mendesak untuk Kerajaan Negeri Selangor mempertimbangkan opsyen menanggung kos pengajian tersebut.

Buat PTPTN, ‘sekalung tahniah’ kerana berjaya mengesahkan bahawa mereka ‘secara rasmi’ telah menjadi ejen Umno untuk melaksanakan politik dendam Umno kepada PR. Tentunya tindakan ini menzahirkan satu lagi ‘amalan diskriminasi kepada negeri Selangor.

AMK menyarankan agar PTPTN meneruskan agenda membalas dendam sebegini, kerana ini secara relatifnya memudahkan tugas PR untuk terus meyakinkan rakyat bahawa pemansuhan PTPTN adalah sesuatu yang relevan dan harus dilakukan, melalui kuasa undi di dalam PRU-13 akan datang !


Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia

PRU13: 1 Manifesto Untuk Pakatan Rakyat


Dari Malaysiakini

25 Mei 2012

Pakatan Rakyat guna satu manifesto untuk PRU13

Pakatan Rakyat akan menggunakan satu manifesto sahaja dan mengutamakan isu ekonomi dan pendidikan sebagai strategi memenangi pilihan raya umum (PRU) ke-13.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata ketiga-tiga parti terbabit telah membincangkan pembahagian kerusi di peringkat nasional dan menyelesaikan banyak pertindihan kerusi kecuali sebilangan kecil, termasuk satu di Kedah, yang dijangka selesai Jun ini.

“Majlis Presiden parti menetapkan garispanduan mengenai peruntukan kerusi dan saya yakin dengan semangat muafakat yang kuat dalam PR (Pakatan Rakyat, PRU kali ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara PR dan Barisan Nasional,” katanya.

Kerusi yang sememangnya dimenangi parti komponen Pakatan Rakyat (pada pilihan raya lepas) tidak akan diminta untuk dirundingkan (pembahagiannya), katanya kepada pemberita selepas melancarkan SISMEP 3.0 dan penyerahan bahan-bahan kempen pilihan raya kepada semua pengarah pilihan raya PKR di Kedah dan Perlis di Alor Setar hari ini.

Azmin yang juga pengarah pilihan raya PKR berkata sebanyak 13 juta risalah pilihan raya telah dicetak untuk diedarkan kepada pengundi dengan memberi tumpuan pengundi muda di seluruh negara.

Beliau yakin Pakatan Rakyat mampu mempertahan Kedah kerana sokongan pengundi muda yang semakin melonjak.


— Malaysiakini

Malam Berdarah Lembah Pantai: KEADILAN Mengecam Tindakan Politik Samseng


Kenyataan Media
Parti KEADILAN Rakyat (PKR)

25 Mei 2012

KEADILAN Kecam Serangan “Malam Berdarah Lembah Pantai”

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menyelar dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan Umno, khususnya Umno Lembah Pantai yang dinaungi Raja Nong Chik, yang telah mengganggu program Ceramah Perdana KEADILAN Lembah Pantai yang berlangsung di Apartment Pantai Permai malam tadi, 24 Mei 2012.

Tindakan provokasi samseng puak Umno yang telah membaling batu bata, telur dan botol air mineral ini telah mengakibatkan sekurang-kurangnya dua kecederaan:

1) seorang pakcik yang terkena batu di kepala; dan
2) seorang kanak-kanak berumur 12 tahun yang mungkin telah patah tangan akibat terkena batu bata di pergelangan tangan.

Dan beberapa orang awam termasuk anggota polis yang hadir juga telah terkena telur yang dibaling pihak Umno.

Kami juga difahamkan beberapa pegawai Ahli Parlimen Lembah Pantai telah diugut sebelum dan sewaktu program ceramah ini berlangsung, dan tayar kereta YB Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam, yang diletakkan di tapak berdekatan dengan tapak tempat ceramah juga telah ditoreh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Cukup jelas bahawa tindakan samseng Umno, khususnya Umno Lembah Pantai, untuk mengadakan ceramah yang ditempatkan dalam kawasan kuarters DBKL berjarak 100m dari ceramah KEADILAN adalah suatu tindakan provokasi yang cukup tidak bertanggungjawab. KEADILAN menggesa supaya pihak Polis Di-Raja Malaysia dan DBKL menyiasat bagaimana kuarters tersebut telah dibenarkan untuk digunapakai pihak Umno dan adakah ini merupakan SOP yang sesuai dalam konteks masakini.

Secara dasar, KEADILAN melihat tindakan provokasi Umno bukan sahaja pada malam tadi tetapi pada insiden-insiden sebelum ini di Merlimau, di Felda Lepar Hilir, dan banyak lagi sebagai satu taktik yang cukup terdesak oleh sebuah parti politik yang cukup ghairah untuk terus memegang kuasa dengan apa cara sekalipun.

Episod Malam Berdarah di Lembah Pantai malam tadi jangan harus berulang. KEADILAN menggesa pihak PDRM untuk menyiasat insiden ini dan juga insiden-insiden seumpanya dengan sepenuhnya, agar mereka yang bertanggungjawab dapat dibawa ke muka pengadilan.

KEADILAN juga menggesa Datuk Seri Najib Razak selaku Presiden Umno, Datuk Raja Nong Chik selaku Ketua Bahagian Umno Lembah Pantai, dan Khairy Jamaluddin selaku Ketua Pemuda Umno untuk sama-sama mengecam tindakan samseng ini, serta untuk mengatakan TIDAK kepada Politik Samseng. Sekiranya mereka tidak melakukan sedemikian, maka Umno telah melampaui batas dan melangkah garis di mana semua tindakan kekerasan ini merupakan tidak lain tidak bukan suatu “Deklarasi Perang Terhadap Rakyat”, yang memberi restu untuk menyerang Rakyat dan membunuh Demokrasi.

Akhir sekali, KEADILAN menyeru seluruh rakyat Malaysia, terutamanya parti-parti politik seperti Umno, supaya menolak dengan menyeluruh Politik Samseng.


YB Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Lembah Pantai merangkap Naib Presiden KEADILAN
YB Tian Chua, Ahli Parlimen Batu merangkap Naib Presiden KEADILAN
Sdr Shamsul Iskandar, Ketua Angkatan Muda KEADILAN

24/5: Ceramah Ketua AMK di Pantai Permai, Lembah Pantai.

24 Mei 2012: Ceramah Merdela Rakyat “Hala Tuju Politik & Ekonomi Rakyat” oleh Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK) Malaysia, Sdr. Shamsul Iskandar Mohd Akin di PPR Pantai Permai, Lembah Pantai bersama YB Nurul Izzah, YB Tian Chua, YB Khald Samad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

—Team Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK)

4 Tokoh Profesional Sertai KEADILAN Dialu-alukan – Presiden KEADILAN


Kenyataan
Presiden Pari KEADILAN Rakyat (PKR)

24 Mei 2012

Empat tokoh profesional masuk PKR

KEADILAN dengan berbesar hati ingin mengumumkan penyertaan empat orang tokoh profesional sebagai anggota KEADILAN. Mereka adalah Koh King Kee, bekas Pengurus Kanan Am Jabatan Perniagaan Antarabangsa di Nam Fatt Corporation Berhad, Brigadier Jeneral (B) Abdul Hadi Abdul Khatcab, Praba Ganesan, bekas Pengarang laman portal berita internet The Malaysian Insider dan Dr.Abdul Aziz Bari, bekas pensyarah undang­-undang di Universiti Antabangsa Malaysia (UIAM).

Koh King Kee yang merupakan graduan lepasan Universiti Malaya, pernah menjadi tahanan ISA pada Disember 1974 disebabkan beliau bergiat aktif memperjuangkan KEADILAN sosial. Beliau seorang tokoh korporat yang sentiasa mengikuti perkembangan politik tanah air walaupun pada ketika beliau menyambung pelajaran di University of Wisconsin dan berkhidmat di syarikat swasta di Beijing. Atas kepakaran dan pengalaman beliau, KEADILAN telah melantik beliau sebagai Penyelaras Penyelidikan bagi membantu usaha KEADILAN dan Pakatan Rakyat memenangi kerusi-kerusi dalam Pilihanraya Umum yang akan datang.

Brigadier Jeneral (B) Abdul Hadi Abdul Khattab pula merupakan bekas pegawai tertinggi Tentera Udara Di-Raja Malaysia (TUDM) yang pernah memfailkan saman terhadap Kerajaan Malaysia dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia atas pemecatan yang tidak sah beliau berhubung kehilangan dua enjin jet pejuang F5E dari kem TUDM di Sungai Besi. KEADILAN dengan tanpa syak telah melantik beliau sebagai Pengerusi Perundingan Keselamatan KEADILAN.

Manakala Praba Ganesan yang sangat berpengalaman dalam media baru telah dilantik sebagai Pengurus Strategi Media Parti KEADILAN Rakyat yang akan merancang dan melaksanakan strategi berkaitan media sosial Parti bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 yang bakal menjelang.

Penyertaan Dr. Abdul Aziz Bari sangat membanggakan KEADILAN kerana kepakaran dan karismatik beliau begitu menguntungkan perjuangan KEADILAN dan Pakatan Rakyat dalam usaha me-“MERDEKA”-kan RAKYAT dari rejim UMNO dan Barisan Nasional.

KEADILAN sangat mengalu-alukan penyertaan empat tokoh profesional ini dan membuka seluas-luas pintu kepada mana-mana tokoh atau individu yang ingin turut serta bersama KEADILAN dalam memperjuangkan agenda reformasi dan keadilan untuk masa depan Malaysia yang cerah.


Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail
Presiden
Parti KEADILAN Rakyat (PKR)

Jelajah DSAI: Siaran Langsung di Portal Selangorku Malam ini.

Malam ini ceramah Jelajah Datuk Seri Anwar Ibrahim “Merdeka Rakyat” di Lembah Pantai akan disiarkan secara langsung di http://www.selangorku.com/

24hb Mei

Diskusi: Halatuju Politik & Ekonomi Negara

Masa Siaran: 9.00 mlm – 11.30 mlm

Lokasi: Pantai Permai, Pantai Dalam

Penceramah:
1) Datuk Seri Anwar Ibrahim
2) YB Nurul Izzah
3) YB Tian Chua
4) Sdr. Shamsul Iskandar

— Team Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia

Dr. @AfifBahardin: Polemik berterusan politik, ekonomi Melayu PP


Ulasan
Naib Ketua Pemuda AMK Pulau Pinang

24 Mei 2012

Polemik berterusan politik, ekonomi Melayu Pulau Pinang

Polemik terbesar di Pulau Pinang pastinya persoalan kuasa politik dan ekonomi orang Melayu di negeri ini.

Sering kali kita mendengar atau membaca tajuk berita seperti ”Melayu Pulau Pinang terpinggir”, ”Melayu tiada suara di Pulau Pinang” dan banyak lagi ungkapan yang cuba menggambarkan bahawa kewujudan orang Melayu di Pulau Pinang benar-benar terancam.

Amat malang sekali, sejak Mac 2008 keadaan Melayu di negeri ini digambarkan seolah-olah lebih parah. terutamanya oleh media kawalan pembangkang di negeri ini iaitu, Umno dan BN.

Mengikut statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, untuk tahun 2010, jumlah penduduk Pulau Pinang 1,609,000 orang. Mengikut pecahan etnik, orang Melayu sudah mengatasi jumlah orang Cina di negeri ini sebanyak 676, 900 (42.06 peratus) dan Cina 658, 700 (40.93 peratus) dan selebihnya 155,600 India dan 118,700 etnik lain-lain.

Maka, label bahawa Pulau Pinang negeri majoriti Cina tidak lagi sesuai untuk digunapakai. Hakikatnya jumlah orang Melayu dan Cina hampir
seimbang tetapi secara geografinya terpisah di pulau dan tanah besar, Seberang Perai.

Mac 2008 menyaksikan tsunami politik terbesar berlaku di Pulau Pinang. Jika pada pilihan raya umum 2004, BN dengan selesa memenangi 38 kerusi DUN.

Tsunami politik 2008 menyaksikan Pakatan Rakyat, terdiri daripada DAP memenangi 19 kerusi, PKR sembilan kerusi dan PAS satu kerusi, manakala BN melalui Umno sekadar memenangi 11 kerusi.

Ini bukanlah kali pertama rakyat Pulau Pinang memilih untuk menukar kerajaan kerana sejarah menunjukkan rakyat negeri ini pernah menolak Perikatan pada pilihan raya umum 1969 dengan memilih parti Gerakan.

Masalah yang diwarisi

Saat Pakatan menubuhkan kerajaan di Pulau Pinang, serangan retorik terkikisnya kuasa politik Melayu di negeri ini bermula. Stigma bahawa DAP sebuah parti cauvinis Cina diapi-apikan di kalangan orang Melayu.

Secara tiba-tiba rakyat disajikan dengan berbagai laporan kemiskinan orang Melayu, isu pemilikan tanah oleh orang Melayu yang kurang di Pulau Pinang dan pelbagai lagi bentuk serangan yang berasaskan politik perkauman sempit.

Walhal, kita semua sedia maklum, Umno pernah menerajui kerajaan negeri bukan hanya selepas merdeka, bahkan selepas 1969 pun, parti itu berada di tampuk kuasa.

Maka di manakah perwira dan pejuang bangsa Melayu yang merupakan pimpinan Umno ini berada ketika orang Melayu Pulau Pinang memerlukan pembelaan dan idea-idea baru dalam memajukan orang Melayu baik dari segi politik mahupun sosioekonomi?

Amat malang apabila masalah ekonomi dan kuasa pemilikan hartanah orang Melayu di negeri ini dipolitikkan seolah-olah ia bermula hanya selepas Pakatan memerintah. Sedangkan masalah ini diwarisi daripada kerajaan negeri di bawah pimpinan Umno dan BN.

Hakikatnya kerakusan Umno selama lebih 40 tahun memerintah Pulau Pinang menyebabkan banyak tanah milik orang Melayu, terutamanya di Tanjung tergadai, lantas kuasa ekonomi orang Melayu menguncup.

Krisis kepimpinan

Umno bukan saja gagal meningkatkan penguasaan ekonomi orang Melayu, tetapi telah memilih untuk membenarkan mereka yang korup kekal berkuasa kononnya di atas agenda ketuanan Melayu.

Namun, sejak 2008, kerajaan Pakatan pimpinan Ketua Menteri Lim Guan Eng melakukan beberapa reformasi penting di negeri ini.

Antaranya menghapuskan kemiskinan tegar, meningkatkan perbelanjaan hal ehwal agama Islam, memberi bantuan lebih banyak kepada rumah ibadat, khairat kematian yang lebih tinggi, hadiah untuk anak yang baru lahir, bantuan RM100 untuk warga emas dan lebih 70 peratus kontraktor Melayu memenangi projek kerajaan negeri hasil sistem tender terbuka.

Hakikat yang tidak dapat kita lari, nasib orang Melayu dan rakyat seluruhnya lebih terjamin semenjak Pakatan memerintah.

Program-program ekonomi yang disusun, kecekapan dan ketelusan pentadbiran kerajaan Pakatan bukan lagi rahsia atau retorik kosong semata-mata.

Laporan Audit Negara dan laporan pelabur asing menunjukkan negeri ini bebas dari amalan korup dan salahguna kuasa sejak Pakatan Rakyat memerintah.

Menjelang pilihan raya umum ke-13 yang semakin hampir, parti komponen BN – MCA dan Gerakan – masih lagi gagal untuk mengembalikan sokongan bukan Melayu di negeri ini.

Krisis kepimpinan yang dihadapi komponen BN nyata bakal merencatkan lagi usaha mereka untuk menawan kembali negeri ini. Usaha transformasi Datuk Seri Najib Razak yang indah khabar dari rupa juga disambut dingin oleh majoriti rakyat negeri ini.

Pencerahan buat segenap bangsa

Umno tidak mampu untuk membentuk kerajaan tanpa kemenangan parti komponen, MCA dan Gerakan, tanpa sokongan dari etnik lain selain Melayu di negeri ini.

Kenyataan pengerusi perhubungan Umno negeri Datuk Zainal Abidin Osman bahawa mereka bersedia menjadi pembangkang untuk satu lagi penggal membuktikan Pakatan bakal mengekalkan kuasa pada pilihan raya depan.

Maka, realiti politik orang Melayu Pulau Pinang pada pilihan raya umum depan tidak lagi duduk sebagai majoriti pembangkang, tetapi menambah wakil rakyat Melayu dalam barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Sudah tiba masanya sokongan orang Melayu dialihkan kepada PKR dan PAS. Orang Melayu harus berani keluar dari dogma bahawa Umno saja mewakili orang Melayu.

Orang Melayu harus sedar bahawa parti politik untuk masa depan adalah parti politik yang mampu mendapat sokongan semua rakyat Malaysia tanpa kira ras dan agama.

Tiada guna lagi mengangkat pemimpin Melayu yang hebat melaungkan ketuanan tetapi sebenarnya korup dan pura-pura. Pemimpin Melayu yang progresif, berjiwa rakyat dan adil kepada semua adalah sosok pemimpin yang kita perlukan di saat ini.

Moga sosok pemimpin ini mampu membawa pencerahan kepada segenap bangsa di negeri ini untuk kita bina Pulau Pinang yang lebih gemilang untuk diwariskan pada anak- anak negeri.


Dr. Afif Bahardin
Naib Ketua AMK Pulau Pinang

Program Ketua AMK Di Melaka Pada 30 Mei 2012

Perasmian Bilik Gerakan Dan Majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya PAKATAN RAKYAT Parlimen Bukit Katil

Ceramah Umum Dan Persembahan LIVE Nyanyian Lagu Tema Pilihanraya PAKATAN RAKYAT PRU Ke 13

Penceramah:
-YB Nga Kor Ming(MP Taiping & ADUN Pantai Remis)
-YB DR. Mohd Hatta Ramli(MP Kuala Krai)
-YB DR.Yaakob Sapari(Ahli Exco Selangor)
-YB Goh Leong San(ADUN Kesidang)
-SDR. Shamsul Iskandar(Ketua AMK)
-SDR. Adly Zahari(Pesuruhjaya PAS Melaka)

Tarikh:30-05-2012 (Rabu)
Masa:8.00pm
Tempat:Pusat Servis DAP DUN Ayer Keroh
Alamat:63-2,Jalan BBI 1,Taman Bukit Beruang Indah,Bukit Beruang,75450 Melaka.

—Team Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia

Esok: Ketua AMK di Jelajah DSAI ke Lembah Pantai

Siri Jelajah Dato’ Seri Anwar Ibrahim Ke Parlimen Lembah Pantai

Merdeka Rakyat

24 Mei 2012 (Khamis)

1) 7.15 mlm

Solat & Tazkirah Maghrib:
Lokasi: Kediaman Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Bukit Segambut

2) 9.00 – 12.00 mlm –

Ceramah Perdana:
Hala Tuju Ekonomi Dan Politik Tanahair
Lokasi : Perkarangan Flat Pantai Permai, Pantai Dalam (Jln Bukit Angkasa)

3) Penceramah :

i. YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim
ii. YB Nurul Izzah Anwar
iii. YB Tian Chua
iv. YBhg Shamsul Iskandar Mohd Akin

TERKINI: DSAI dan Azmin diperintah ke Mahkamah Jln Duta Esok!


Dari Keadilan Daily

21 Mei 2012

Bersih 3.0: Anwar, Azmin diperintah ke Mahkamah Jalan Duta esok

KUALA LUMPUR 21 Mei: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Azmin Ali diperintah hadir ke Mahkamah Majistret Jalan Duta pada jam 9.00 pagi esok.

Setiausaha Kerja Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Syed Syah Syed Osman, mengesahkan Anwar diperintah demikian.

Writ saman Azmin pula diterima oleh Pegawai Khasnya, Hilman Idham, di Tingkat 1, Ibu Pejabat KEADILAN di Damansara, hari ini.

Azmin dituduh di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Kanun Keseksaan kerana menyertai Himpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.


— Keadilan Daily